Thursday, December 23, 2010

Jangan tutup lampu

Aku ni agak penakut orangnya. Tak berani tengok cerita hantu seorang diri walaupun cerita hantu yang bodoh punya lawak. Cerita-cerita macam tu automatik akan jadi menyeramkan gila bila kamu layan seorang diri. Kan? Tapi kalau bab-bab jadi tukang check bila ada sesuatu yang berbunyi lain macam di luar rumah atau dapur di malam hari, mesti aku akan offerkan diri secara sukarela. Itu kalau waktu tu tak ada orang lelaki di rumahlah.

Entah kenapa, tiba-tiba aku teringat pula satu kisah yang taklah menyeramkan sangat, yang terjadi kira-kira 7 atau 8 tahun yang lepas. Aku rasa semua orang pernah alami saat-saat yang menyeramkan dalam hidup. Walaupun aku ni bukanlah jenis yang terlalu obses dengan kisah-kisah tahyul, tapi makhluk-makhluk halus ni memang wujud di sekeliling kita. Setakat ni aku belum lagilah dapat gangguan yang teruk sangat. Minta dijauhkan. Cuma pernahlah juga ada pengalaman ditindih sampai tak boleh bergerak langsung even nak menjerit sikit pun tak boleh keluar suara langsung. Fenomena ini sebenarnya dipanggil sebagai sleep paralysis oleh para saintis di mana kita akan turut mendapat gangguan halusinasi ketika itu. Tapi aku bukan nak cerita tentang ini.

Ingat ya, cerita ni tak terlalu menyeramkan. Jangan nak harap sangat bulu roma kamu berdiri. No goosebumps here.

Deretan bangunan rumah kedai 2 tingkat yang kami duduki waktu tu dibina di atas sebidang tanah lapang yang dengar-dengarnya adalah tempat pembuangan benda-benda halus satu waktu dulu. Itu kata orang-orang veteranlah yang sudah tinggal lama di tempat tu. Mungkin betul juga sebab waktu bangunan tu sedang dalam pembinaan pun, dah ramai orang yang terserempak dengan benda-benda pelik di sekitar kawasan tu. Kebetulan pula, di belakang bangunan tu ada satu kawasan tanah lapang yang dijadikan tempat longgokan bongkahan batu-batu besar entah dari kilang mana. Atas bongkah-bongkah batu besar tulah dah ramai sangat orang ternampak ada seseorang duduk di atasnya di tengah-tengah malam buta. Jadi, kalau waktu malam, kami jarang sangat buka pintu belakang. Takut ternampak apa-apa yang pelik. 

Waktu tu aku masih muda belia. Adik aku yang nombor dua tu pun baru habis sekolah rasanya. Adik yang bongsu masih di tingkatan 1 kalau tak silap. Yang mengalami peristiwa ni adalah adik aku yang nombor dua tu. Tapi waktu kejadian, kami semua turut berada dekat di situ. 

Malam tu, macam biasa adik aku akan ke bilik air untuk mencuci muka sebelum tidur. Bilik air terletak bersebelahan tandas, di bahagian tengah rumah. Sewaktu mencuci muka tu, dia biarkan saja pintu bilik air terbuka. Yelah, bukan nak buat apa pun. Cuma nak cuci muka. Waktu tu aku dan adik aku yang bongsu berada di ruang tamu dan menonton televisyen. Ahli keluarga yang lain berada di bilik masing-masing.

Tiba-tiba adik aku yang berada dalam bilik air menjerit sekuat hati macam orang yang ketakutan sangat. Semua orang terkejut dan terus berlari menuju ke bilik air. Adik aku dengan muka terkejut dan agak marah terus pandang ke arah aku dan berkata, "Kau ni kak, kenapa buat macam tu? Terkejut aku tau!". Erk, apa yang budak ni cakap? Apa yang aku dah buat? Semua orang pun rasa pelik.

"Tadikan kau jengukkan kepala kat pintu ni masa aku tengah cuci muka. Siap pakai bunga-bunga kuning lagi kat kepala! Entah apa-apa."

Aku diam. Semua orang pun diam.

"Bila pulak aku jenguk-jenguk kau kat sini? Aku tengok tv kat depanlah."
"Kau jangan main-main kak. Siap sengih-sengih lagi. Mana kau buang bunga kuning besar kat telinga tadi tu?"
"Bunga kuning?"

Semua orang saling pandang-memandang. Tengok pada gaya dan muka adik aku, memang tak ada ciri-ciri sedang bercakap bohong pun. Serius je mukanya.

"Betullah. Kau jenguk-jenguk aku tadi. Aku nampak jelas muka kau tadi. Siap senyum-senyum lagi. Seram gila muka! Kau..."

Belum sempat dia habis cakap, aku dah cabut lari sekuat hati diikuti oleh semua orang di situ sambil masing-masing menjerit-jerit takut. Semua orang termasuk adik aku. Kami masuk bilik dan kunci pintu. 

Kau bagitau aku sekarang, dah kalau bukan aku yang menjengukkan kepala dengan bunga besar warna kuning yang terselit kat kepala sambil tersenyum lebar kat adik tu, siapa lagi? Dah tu, kenapa muka dia macam muka aku?

Kemudian beberapa malam berikutnya, sekali lagi adik aku tu dapat gangguan. Lebih kurang pukul 2 pagi, sewaktu semua orang sedang nyenyak tidur, tiba-tiba adik aku menjerit sekali lagi. Waktu tu aku dan dia berkongsi bilik. Waktu malam memang lampu bilik kami matikan. Jadi suasana memang gelap dan suram. Terkejut besar aku bila dia menjerit pagi-pagi buta tu. Bila aku bangun, dalam samar-samar aku tengok adik aku tu tengah duduk di atas katilnya dengan muka cemas dan takut. Katil adik aku tu terletak bersebelahan dengan tingkap. Bilik kami berada di tingkat 2 dan tingkap itu sengaja kami buka di waktu malam.

"Kau kenapa?"
"Aku takutlah kak."
"Takut kenapa? Kau mimpi ke?"
"Tak. Tadi aku rasa muka aku ni macam kena kibas-kibas lembut dengan kain. Bila aku terbangun, aku terus pandang tingkap."

Aku dah hampir-hampir nak terkencing.

"Aku nampak ada benda terbang kat luar. Dia terbang slow motion je kat tingkap ni. Aku nampak kain panjang warna putih. Rambut pun panjang. Tapi muka tak namp.."

Fuh, tak sempat habis cakap aku dah pecut lari keluar dari bilik.

Apakah itu ya? Kata keluarga aku, jangan kacau 'dia'. Nanti 'dia' stoplah tu.

Dah habis. Tak meremang pun bulu roma kan? Aku dah cakap tadi.

p/s: aku tak nak letak gambar yang seram-seram kat sini. Takut nanti aku sendiri yang takut nak buka blog ni.


2 comments:

  1. malam2 kena la tutup lampu.. baru feel :D hihihi

    ReplyDelete
  2. waaaaaaaaaaaaa!! takut nyer!! wlupun xder gmbr, still blh feel tau citer Misae ni..huhuh.. :(

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails