Tuesday, April 24, 2012

Kehilangan

Nenek duduk atas katil sebelah aku sambil usap-usap rambut aku perlahan. Kemudian dia raih jari jemari aku dan gentel-gentel hujung-hujung jari. Supaya lebih runcing, katanya. Kemudian nenek akan mula bercerita pasal banyak benda pada aku. Tentang kisah mak aku masa dia kecik-kecik. Tentang betapa dia nak tengok aku bahagia di masa depan aku nanti. Tentang betapa beruntungnya aku menjadi aku. Tentang banyak benda.

Nenek tak tinggal dengan kami. Dia jarang-jarang datang jenguk kami lepas kesihatan dia tak begitu berkompromi dengan dia lagi. Kecuali waktu aku kecik-kecik dulu, bila ada teksi yang berhenti depan rumah, aku tau tu mesti nenek dan atuk datang dari kampung. Tapi bila atuk dah meninggal tahun 1996 dulu, nenek dah jarang datang. Mungkin sebahagian dari diri nenek dah pergi jauh bersama perginya arwah atuk.

Nenek ada di hari bahagia aku. Hari aku disatukan dengan Encik Papa. Aku dah dewasa mungkin, pada masa tu. Tapi nenek masih lagi duduk atas katil sebelah aku. Usap dan belai rambut aku macam waktu aku berumur 6 tahun dulu. Dan masih bercerita tentang banyak benda pada aku. 

Nenek juga ada waktu aku dikurniakan dengan anugerah indah, si kembar Alyaa dan Alysaa. Juga waktu aku terlalu gembira menerima Rayyan Mikhail dalam hidup aku. Nenek akan bangun awal pagi untuk mandikan dan urut mereka. Nenek akan dodoikan mereka dengan lagu-lagu yang sama dia pernah dodoikan untuk aku waktu masih bayi dulu. Nenek akan senyum dan puji betapa sempurnanya mereka sebagai cicit-cicitnya. Sayang, arwah atuk tak bersama kami lagi untuk kongsi semua tu.

Kali terakhir aku jumpa nenek bulan November tahun lepas, nenek memang dah tak berdaya lagi. Terbaring dan tak boleh bangun lagi berjalan-jalan macam biasa. Nenek sakit tapi masih mampu tersenyum bila kami, anak-anak dan cucu cicitnya balik berkumpul sama-sama dengan nenek untuk sambut Aidil Adha. Aku tau, aku akan kehilangan nenek sama macam aku kehilangan atuk dulu. Tapi aku belum boleh bayangkan itu waktu tu.

Tanggal 23 April 2012, jam 5.30 petang kami dapat khabar dari kampung, nenek dah tak ada lagi. Nenek dah dijemput Ilahi kembali kepada penciptaNya. Nenek pergi dalam usia 80an. Remuk redam dan galaunya jiwa. Betapa aku akan merindukan senyum nenek, suara nenek, sentuhan nenek, usapan nenek dan cerita-cerita nenek. Betapa aku akan rindukan jari-jemari nenek yang dah berkedut seribu, menggentel-gentel hujung jari aku supaya lebih runcing.

Nenek, doaku sentiasa bersamamu. Ya Allah, kau cucurilah rahmatMu ke atas roh nenek dan tempatkanlah arwah nenek di kalangan orang-orang beriman. Ampuni segala dosa nenek dan terimalah segala amal ibadatnya selama ini.  Amin. 

Terima kasih nenek sebab pernah ada dalam hidup aku.

Al fatihah.

Tuesday, April 3, 2012

Hikayat setandan pisang

Waduh. Berkulat blog aku tak pernah hapdate. Terabai sungguh macam hidup segan mati tak mau. Aku tak tau nak cerita apa sebenarnya. Tapi bila tengok adik aku si gigi besi lebih tabah mengupdate berbanding aku dengan 5 entri selama 2 bulan berbanding 1 entri bagi pihak aku, tercabar pulak aku sebagai warga senior. Yelah, budak kecik tu dah aku cop blogger berkarat sebab gila pemalas nak update blog, tapi rupanya karat aku lagi tebal. Chess. Maka, terimalah hikayat setandan pisang dari penglipurlara tak tertanding ni. Yang rasa nak muntah ijo 3 sudu pergi siap-siap.

Awal bulan lepas, nenek aku kat Batu Pahat yang tanah keliling rumahnya luas macam padang golf siap bercucuk tanam macam-macam tanaman kampung kat keliling rumah, bagi kami setandan pisang berangan yang sangat cantik bentuk fizikalnya. Cantik betul sampai kalau diandaikan pisang tu manusia, nescaya macam Maya Karinlah gamaknya. Disebabkan jumlah sisirnya yang banyak dan sayang nak dibazirkan, maka aku pun plan macam-macam benda nak buat dengan pisang tu. Lepas beberapa hari, ada dua tiga sisir yang dah ranum. Menu pertama yang aku buat adalah pisang bersira sirap. Ni makanan orang berketurunan Bugis. Pisang yang masak ranum dan manis di rebus dalam air yang menggelegak dan lepas tu makan dengan kuah sirap. Habis satu sisir. Satu sisir mak aku bagi pada pengasuh si Rayyan. Kemudian dua sisir aku sedekah pada pakcik aku dan keluarganya yang rajin makan. Satu setengah sisir aku beri pada opismate aku, si Nova. Aku taktaulah Nova buat apa dengan pisang tu. Dia yang makan atau monyet-monyet keliling rumah dia yang baham.

Masih ada banyak sisir lagi. Aku selongkar goggle dan cari resepi kek pisang. Dapat pulak resepi kek coklat pisang. Try yang ni dulu. Sedap jugak. Habis sesisir lebih pisang. Wahh, banyak lagi. Berlumba-lumba pulak pisang ni nak meranum. Maka aku pun buat kek pisang yang tak berapa nak gebu. Grrr.. Berkurang sesisir lagi pisang. Kebetulan pulak si kembar Alyaa & Alysaa suka makan pisang, maka dalam sehari berbijik-bijik jugak dorang makan pisang berangan yang manis dan gebu tu. Tapi masih ada baki beberapa sisir lagi. Pulak tu dah semakin ranum dan mula membonyok. Rasa nak panggg pisang tu pun ada jugak. Ehmm.. Kalau dah agak bonyok gitu, apa lagi yang sedap selain dari cekodok pisang. Ye tak?

Tak payah cerita banyak, memang 2,3 hari jugaklah jenuh kitorang membaham cekodok pisang sebagai sarapan pagi dan minum petang. Memang conform tak sembelitlah untuk sebulan tu. Maka, setelah beberapa minggu setandan pisang berangan tu menghuni sudut dapur rumah, akhirnya tamatlah hikayat setandan pisang berangan yang sangat molek rupa parasnya. Huh, terseksa jugak aku berfikir apa nak buat untuk elakkan pembaziran. Cuma, ada lagi satu tupperware kek pisang bantat yang tak laku dalam peti ais rumah aku. Erk, tu kira pembaziran jugak kan?



Related Posts with Thumbnails