Thursday, March 31, 2011

Jadilah pelindung terbaik untuk anugerah itu

Bercampur baur perasaan bila baca harian Metro secara laju-laju dan percuma di depan kedai runcit pagi tadi. Aku yang membaca pun diselingkupi rasa hiba dan pilu, apatahlagi mereka yang mengalaminya. Terus teringat anak-anak di sekolah dan di rumah. Rasa hiba dan sedih (sebenarnya tak tau nak terangkan apa rasanya) tu, aku bawa sampai ke tempat kerja. Ya Allah, minta dijauhkan dengan dugaan-dugaan sedemikian rupa.

Aku alah betul kalau membaca berita tragis tentang anak-anak. Anak mati dilanggar kereta jiran, anak mati lemas dalam baldi, bayi mati tersedak susu, budak mati terjerut tali buaian, anak jatuh dari tingkat 14, budak mati tersepit kaki meja lipat. Tengok, baca tajuk pun dah gerun semacam kan? Kadang-kadang, tak sedar air mata jatuh waktu baca berita-berita macam tu. Apatahlagi bagi yang bergelar ibu. Seolah-olah dapat selami dan rasai apa yang ibu itu rasakan.

Ajal maut urusan Allah. Dan sebagai ibu- bapa, kita tak boleh leka dan alpa terhadap semua aktiviti dan kegiatan anak-anak. Setiap masa dan detik kita kena pantau dan ambil tahu di mana dan apa yang anak-anak sedang lakukan sebab alpa dan cuai sesaat pun, macam-macam perkara boleh terjadi. Kita tak boleh menghalang takdir dari berlaku, tapi mungkin kita boleh elakkan sesuatu yang buruk dari berlaku dengan bersikap lebih peka, waspada dan prihatin.

Anak adalah anugerah yang terindah dan tak ternilai kurniaan Allah. Jadilah pelindung yang terbaik untuk mereka.

My whole world

Wednesday, March 30, 2011

Hikayat si ulat buku

Terlahir sebagai ulat buku sangat menyenangkan sebenarnya. Yang jadi masalahnya bila tersekat dalam satu situasi yang sangat membosankan dan kebetulan tak ada langsung bahan bacaan yang boleh dinikmati. -_-

Sedari kecil aku memang suka benar membaca. Sejak pandai membaca dan berjaya menghabiskan buku pertama dalam hidup aku yang tajuknya 1111 Tafsir Mimpi milik bapa aku, memang aku tak boleh lekang dari buku, majalah, komik, suratkhabar, label botol syampu dan kicap, atau apa saja asalkan ia boleh dibaca. Waktu makan pun mesti bentang buku depan mata. Biasanya majalah komik Gila-Gila. 

Yang jadi kegilaan waktu tu, siri buku cerita penyiasatan macam 5 Sekawan (The Famous Five) oleh Enid Blyton, Siri Salma oleh Nancy Drew, dan siri penyiasatan Hardy Boys. Kemudian ada novel tentang budak-budak sekolah asrama karya Enid Blyton juga iaitu Sekolah Seri Melur (The Malory Towers) dan Sekolah Tengku Asikin (The St. Clare). Kalau dah baca buku cerita ni, memang tak toleh kiri kanan dah. Wah, tiba-tiba rasa macam nak punggah balik kotak-kotak lama tempat simpan novel-novel ni kat rumah.


Antara koleksi novel dalam simpanan aku. Buku
cerita budak-budak dah simpan dalam kotak sebab
habis dikerjakan dek si kembar.

Bila dah meningkat remaja dan jadi ahli perpustakaan awam di tempat aku, paling kurang dalam seminggu aku akan baca 3-4 novel atau buku cerita. Untuk mahirkan Bahasa Inggeris, kadang-kadang pinjam novel orang putih yang tebal-tebal macam tak boleh habis baca. Biasanya novel Stephen King dan jarang habis baca. -_-. Tapi yang suka sangat baca, novel-novel karya R.L Stine dan siri Sweet Valley High oleh Francine Pascal. Dan masih juga baca karya-karya Enid Blyton versi asal untuk kanak-kanak :p

Novel-novel terbitan Creative Enterprise pun jadi kegemaran aku waktu tu. Novelis macam Liana Afiera Malik, Lamia Aimal, Samsiah Mohd Nor, Matt Romeo, Ujang, Norhayati Berahim memang jadi kegilaan.  Tapi yang tak boleh lupa, novel-novel karya Ahadiat Akashah. Macam satu kemestian untuk semua remaja waktu tu kan? Novel yang meletup waktu tu, Lagenda Budak Setan. Fuh! Memang novel-novel dia takkan sempat jejak kat rak buku perpustakaan lah. Berebut budak perempuan nak pinjam. Kesudahannya, kumpul duit dan beli sendiri. Lagi puas hati.

Bila novelis Habiburrahman El- Syirazi mencipta fenomenal dengan novelnya seperti Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2, aku pun tak ketinggalan juga. Novel-novel beliau ni memang buat kita terbuai dan termasuk dalam cerita. Memang superb! Tapi sebaiknya baca yang belum diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Novel tu lebih indah dalam bahasa asalnya.

Membaca buat aku rasa senang dan tenang. Kalau boleh, aku nak novel yang aku baca tu tak ada kesudahan dan tak boleh habis-habis. Cuma, bila dah semakin sibuk dengan pelbagai komitmen sebagai isteri, ibu, anak dan pekerja yang multitask, aku rasa macam hampir-hampir jadi mantan ulat buku. Suratkhabar pun jarang sempat baca. Kesian kan?

Tuesday, March 29, 2011

Aku dan 'penyakit' itu

Aku memang jarang beli sesuatu untuk diri sendiri sejak dah jadi mak orang yang lebih pentingkan keperluan (& kehendak) anak-anak berbanding keperluan (terutamanya kehendak) diri sendiri. Yang dah jadi mak, taulah apa rasanya. Yang belum lagi jadi mak, tunggu kamu dah dapat anak nanti, baru akan rasa.

Tabiat buruk aku, sebelum dapat gaji akan senaraikan barang-barang keperluan dan kehendak aku dalam satu kertas dan selit dalam wallet supaya senang nak tau apa yang perlu aku beli bila dah dapat gaji nanti. Masalahnya, bila dah dapat gaji dan keluar ke mana-mana untuk beli barang, satu demi satu barang yang aku dah senaraikan tu akan dicancel sebab sayang nak keluarkan duit dan rasa boleh beli lain kali sebab tak berapa penting sangat.

Kemudian bila dah sampai rumah, akan tepuk-tepuk dahi atau kepala sebab tengok semua barang keperluan peribadi aku dah habis di rumah, atau menyesal sebab tak beli-beli barang kehendak yang dah berbulan-bulan aku impikan padahal masa keluar tadi dah siap pegang-pegang dan belek-belek barang tu.

Aku tak taulah apa nama 'penyakit' tu.

Monday, March 28, 2011

Bila kulit wajah tak mulus, gebu dan bersih

Aku bukan nak bagi petua kat sini. Aku cuma nak bangkitkan isu, bila kulit wajah tak mulus, gebu dan bersih, apakah tanggapan atau impression yang akan kamu dapat dari orang lain. Aku pernah bangkitkan tentang ini, di sini. Adalah sangat menyedihkan bila kita dipandang hina, rendah dan buruk oleh orang lain yang kebetulan bernasib baik kerana memiliki kulit wajah yang sempurna, idaman semua orang di muka bumi ini kecuali bagi penduduk negara miskin yang merasakan bahawa sesuap makanan adalah lebih bermakna daripada memikirkan tentang kulit wajah mereka.

Aku ada termasuk ke dalam satu blog yang agak sarkastik bila merujuk kepada pembaca yang kurang bernasib baik kerana memiliki kulit wajah yang tak sempurna macam kulit wajah dialah, kononnya. Kalau ya pun kulit wajah awak cantik, janganlah menghina sangat orang lain. Mungkin dia nak gunakan ayat yang santai dan selambalah kononnya, tapi tak sedar yang ayat-ayat dia tu buat dia nampak agak bongkak dan riak dengan kelebihan yang dia ada. Macam mana kalau tiba-tiba Allah tarik balik kesempurnaan kulit wajah yang cuma pinjaman tu?

Kalau diberi pilihan, semua orang mestilah nakkan kulit yang sempurna tak ada cacat cela. Tak ada jerawat, jeragat, parut, bintik hitam dan putih, dan macam-macam masalah kulit. Malangnya tak semua orang bernasib baik. Ada yang terpaksa keluarkan jumlah wang yang agak besar dan cuba bermacam-macam jenis produk untuk dapatkan kulit yang cantik.Tapi biasalah, bukan semuanya menjadi dan tak semuanya sesuai dengan kulit kita. Lagipun kalau tak cuba, macam mana kita nak tau keberkesanannya, kan?

Moralnya, bila nampak orang lain dengan kulit wajah yang kurang sempurna dan bercela, janganlah pandang rendah dan bagi tanggapan negatif. Mungkin itu satu masalah besar yang susah nak diselesaikan walaupun dengan pelbagai solusi bagi dia. Mungkin juga masalah tu yang selalu merantai dia menjadi seorang yang kurang percaya diri dan sentiasa merasa rendah diri? Jenis kulit manusia ni berbeza-beza. Jadi bersyukurlah kalau kamu dikurniakan dengan kulit normal yang tak bermasalah. Janganlah angkuh dan ujub sangat dengan  kelebihan diri. Dan kalau berniat nak menegur tentang kekurangan orang lain, carilah ayat yang sesuai dan berlapik. Jangan sampai menyinggung perasaan dan membuat orang rasa rendah diri dan sedih. Atau kalau nak, cuba pergi dekat-dekat dan tanya dia, kenapa kulit teruk sangat macam ni? Kau tak nak kulit cantik ke? Dan tunggulah sedikit habuan  berupa hayunan tangan atau kaki menuju ke arah sasaran pilihan beliau jika kurang bernasib baik.

Epilog: Grr.. tiba-tiba muncul 3, 4 biji jerawat segarrr di pipiku yang memang dah sedia tak sempurna ni. Kalau nak rasa kena hayun sikit, meh la kutuk-kutuk jerawat dan kulit aku. Depan-depan aku.

Google punya. Aku tak ada DSLR.



Thursday, March 24, 2011

Ketakutan 10 minit

Tadi terlambat 10 minit jemput si kembar dari tadika mereka. Asyik sangat berblogging di pejabat sampai terlupa nak jeling-jeling jam. Hah, apalagi. Kelam kabut aku jadinya. Tadika anak memang dekat dengan tempat kerja dan rumah aku. Biasanya atuk mereka yang jemput, tapi kebetulan dah dua hari ni atuk mereka ada urusan penting, jadi akulah yang terpaksa jemput.

Ketakutan pertama aku alami masa sampai ke tadika si kembar. Tadika dah kosong! Biasanya kalau ada budak-budak yang terlambat dijemput oleh ibu bapa atau penjaga, mereka akan bermain-main di perkarangan tadika. Tapi tak ada sesiapa pun kat situ. Jantung aku terhenti sekejap. Okeh, tak apa. Mungkin maid aku dah jemput mereka balik tadi. Terus menuju ke rumah. Waktu nak masuk ke dalam rumah, sempat toleh pada rak kasut untuk pastikan mereka dah balik. Ketakutan kedua mula muncul bila aku tak nampak pun kasut mereka tersusun kat situ. Fuh, memang tersentap habis aku bila maid aku muncul dan cakap yang si kembar belum balik dari tadi. Tolonglah bayangkan apa yang aku rasa, okeh! Macam-macam andaian buruk muncul dalam kepala otak aku.

Tempat seterusnya yang aku terfikir adalah kedai mak aku. Mungkin juga budak cashier kedai dah jemput mereka sebab kadang-kadang dia pernah juga jemput si kembar balik dari sekolah. Dah macam siri penyiasatan Enid Blyton pulak aku rasa. Sebelum terus menuju ke kedai mak aku, singgah dulu di tadika mereka, takut-takut kalau aku terlepas pandang tadi. Waktu bersiap sedia untuk turun dari kereta dan bertanya pada cikgu, aku ternampaklah kelibat kepala dua orang budak kecil terjengah-jengah dari tingkap gelap dalam bilik kecil di bahagian depan tadika yang dijadikan bilik guru tu. Comel je muka pandang-pandang aku dari dalam tu dengan muka excited. Automatik debaran dan kekalutan tadi terus hilang. Phewww!

Dari jauh si kembar berlari-lari masuk ke dalam kereta sambil mulut mereka membebel-bebel. "Mama, kenapa tadi mama terus je jalan, tak tunggu Alyaa dengan Alysaa?". Kemudian, "Mama, kata teacher, mama dah terlepas. Teacher suruh tunggu je dalam bilik tu diam-diam".  Haha. Comel.

Aku yang kalut sangat tadi sebab tak nampak bayang diorang tunggu kat luar kelas macam biasa sampai tak terfikir pun nak masuk dalam dan tanya cikgu. Macam ibu ayam hilang anak. Apapun, aku tak nak lagi alami perasaan takut dan kalut sebab kehilangan anak lagi lepas ni dan sampai bila-bila pun walaupun hanya untuk 10 minit macam ni. Woh, mintak dijauhkan!

Si kembar.



Wednesday, March 23, 2011

Sesalan si mulut longkang

Dalam hidup, ada tak hal yang kamu sesali tapi tak boleh buat apa pun sebab semuanya dah terlambat? Aku rasa semua orang ada kot? Ya, ada beberapa peristiwa yang agak aku sesali dalam hidup tapi yang satu ni memang aku tak boleh lupa sebab aku tak tau macam mana nasib aku kat akhirat kelak. (-_-")

Waktu masih belajar di IPT dulu, ada kawan-kawan yang panggil aku mulut longkang sebab kalau bercakap main lepas je. Kalau nak kutuk orang tak pandang kiri kanan dan kadang-kadang tak pakai otak yang waras. Depan-depan orang pun boleh bantai gelakkan apa-apa yang tak kena pada orang tu. Ada sekali tu aku gelakkan sorang mamat hip-hop yang baru turun dari bas sebab dia pakai serkup kepala sebijik macam anak tudung yang makcik-makcik selalu pakai. Aku cakap dengan kawan-kawan yang budak tu pinjam serkup kepala mak dia dan gelak-gelak depan budak tu macam syaitan. Lepas tu baru aku perasan yang mamat tu sebenarnya adalah OKU sebab dia gunakan bahasa isyarat untuk berinteraksi dengan kawan-kawan dia. Aku terus diam terkedu dan rasa bersalah yang amat sangat. Tak taulah berapa banyak dosa aku kaut masa tu. Tapi, sekurang-kurangnya aku cuma gelakkan anak tudung dia, bukan dia kan? Sumpah, aku tak ada niat nak gelakkan keistimewaan dia.

Tapi yang paling aku tak boleh lupa adalah kisah seorang budak perempuan junior di IPT tempat aku belajar. Aku pun tak tau kenapa sejak dari pertama kali aku tengok budak tu, hati aku macam tak senang. Nak kata dia cantik, taklah cantik. Cuma dia nampak agak over berbanding kawan-kawan dia. Solekan dia, gaya dia berpakaian, warna rambut dia, pergerakan dia, semuanya mengundang rasa meluat sangat bagi aku. Aku rasa macam dia tu gedik dan nak publisiti murahan je. Alah, korang pun mesti ada perasaan yang sama kalau jumpa orang macam tu kan? Setiap kali aku nampak kelibat dia, mesti berbakul-bakul aku kutuk.  Siap bagi nama gelaran lagi untuk budak tu. Aku tak ingat apa, tapi mestilah gelaran yang tak best langsung. Ditambah lagi bila aku dapat tau nama penuh budak perempuan tu sangat-sangat islamik dan tak sesuai langsung dengan gaya dia waktu tu. Kawan-kawan aku pun naik pelik, kenapa aku anti sangat dengan budak perempuan tu. Dia kenal aku pun tidak. Bercakap pun tak pernah. Apalagi nak kata dia ada buat salah dengan aku? 

Sampailah satu hari, kami dikejutkan dengan berita tentang beberapa orang pelajar kolej kami terlibat dalam sebuah kemalangan maut. Macam berdentum guruh kat telinga aku bila aku dapat tau, salah seorang mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan tu adalah budak perempuan junior yang selalu sangat aku kutuk semasa hidupnya. Dapat bayangkan tak betapa menyesalnya dan takutnya aku dengan apa yang aku dah buat selama ni? Berhari-hari jugak aku asyik fikirkan tentang dosa yang aku dah buat sampai tidur malam pun aku takut kalau-kalau arwah datang kacau aku. Tiba-tiba semua cerita kawan-kawan arwah tentang arwah tu, semuanya aku berminat nak dengar. Dengarnya, arwah meninggal sebab tercampak keluar dari cermin depan kereta tu. Tak taulah berapa banyak Al-Fatihah aku dah sedekahkan untuk arwah. Kalau solat, aku berdoa sangat supaya Allah dapat ampunkan dosa aku dan semoga dosa aku dapat diringankan walaupun aku tak sempat minta maaf dengan arwah.

Seriously, sejak tu aktiviti kutuk-mengutuk dan gelak-menggelakkan orang sikit demi sedikit aku buang walaupun belum berjaya buang sepenuhnya. Sekurang-kurangnya, bila niat nak mengutuk orang tu datang, aku akan terfikir, macam mana kalau aku tak sempat minta maaf dengan orang yang aku kutuk tu, bila tiba-tiba aku atau dia yang pergi dulu?

Setiap kejadian ada hikmahnya. Allah dah bagi petunjuk untuk aku supaya tak tambah lagi dosa atas kesalahan yang sama. Maksudnya, Allah sayangkan aku, kan? Jadi kawan-kawan, muhasabahkan diri. Kat akhirat kelak, tak ada orang lain yang boleh bantu kita semasa kita terima hukuman atas dosa yang kita dah buat semasa hayat kita.

Al-Fatihah untuk arwah.

Tuesday, March 22, 2011

Jangan beratkan timbangan belah kiri

Aku benci betul bila seseorang tu buat salah terutamanya perkara-perkara yang menyalahi agama dan budaya lalu kita tegur, dan dia menjawab:

"Elleh, si A atau si B atau si C atau pun si polan bin polan tu buat macam tu jugak!"

Habis, kalau si A atau si B atau si C atau pun si polan bin polan tu kena campak masuk neraka, kau nak ikut jejak dia jugalah? Jadi, kalau kau buat kesalahan yang sama macam kesalahan yang orang lain dah buat, maka kesalahan tu kiranya dah dihalalkanlah? Kalau buku amalan jahat orang tu dah penuh berjela ditulis malaikat di bahu kirinya, kau pun tak nak kalah jugak?

Bila orang buat amalan baik tak nak pulak dia ikut.

Sengal ke tak orang macam ni?

Monday, March 21, 2011

Awak, mama awak suka tengok kartun tak?

Hurmm.. okehlah. Aku dah tua. (Susahnya nak mengaku). Tapi masih tak boleh berhenti tengok kartun di televisyen. Bila anak-anak layan kartun di tv, mesti tumpang semangkuk. Wonder Pets, SpongeBob Squarepants, Danny Phantom, Dora the Explorer, Go Diego Go, Catdog, Upin & Ipin dan yang terbaru, Boboi Boy, semua aku layan. Tapi wonderlah, kenapa diorang tak pernah pulak tanya apa kartun kegemaran aku kat tv ye? Tak prihatin langsung.

Dalam banyak-banyak negara di dunia ni, aku paling suka negara Jepun. Tak termasuk bencana alamnya lah. Aku rasa Jepun ni macam best je tempat dia. Dahlah orangnya comel-comel, berdisiplin, negaranya pun cantik. Tu yang aku sedih jugak bila Jepun dilanda tsunami hari tu. Dalam botol yang aku isi bintang-bintang kecil dari kertas dan aku tuliskan impian-impian yang aku nak capai dalam hidup tu, melawat Jepun adalah salah satu daripadanya. Drama-drama Jepun dan kartun-kartunnya pun memang cukup menarik. Lawak diorang comel betul. Jadi, dah dapat agaklah apa kartun kegemaran aku di tv kan? Kalau rancangan kartun kegemaran aku ditayangkan di tv, aku duduk mukasurat paling depanlah jawabnya. Heh, mengalahkan budak-budak! Ni dia list kartun kegemaran aku, mana tau kot-kot ada yang kongsi minat dengan aku, kan?

Atashinchi
Kochikame
Chibi Maruko Chan
Crayon Shinchan. Tu ada Misae, kan?
Detective Conan. Haha.

Hah, ada yang kongsi minat dengan aku tak? Kehkehkeh.

Saturday, March 19, 2011

Peringatan: Kerja adalah amanah, Misae!

Bila tiba giliran aku untuk bekerja pada hari Sabtu, mesti emak aku atau si gigi besi akan merungut. "Bawak-bawaklah bercuti." dengan muka tempe (sebab diorang nak ajak aku keluar lepak kat shopping mall lah tu)

Uik, mana boleh! Walaupun cuma separuh hari, bagi aku kerja adalah amanah. Aku bukanlah baik sangat, tapi bila masuk bab-bab amanah ni, orang boleh sandarkan rasa percaya pada aku. Setiap sen yang aku terima sebagai gaji bila dah cukup bulan nanti, tak ada satu sen pun yang akan terlepas dari dinisab dan  dihitung di kemudian hari kelak. Itupun aku takut juga sebab selalu melencong masuk Facebook atau blog dalam waktu pejabat, walaupun tempat kerja aku tak mengharamkan pun penggunaan Internet di pejabat. Yang penting kerja aku tak pernah tak siap atau lambat siap sebab itu adalah tanggungjawab aku dan aku dibayar untuk itu. Cuti tahunan dan MC pun aku ambil kalau betul-betul penting dan perlu saja. Memang dari sekolah pun dah macam tu. Kalau betul-betul dah tak larat bangun, baru aku ambil cuti. Itupun dengan rasa bersalah yang amat.

Aku jumpa ayat ni masa menggoogle tajuk etika kerja dalam Islam :-

Selain dari itu setiap manusia hendaklah insaf bahawa menurut ajaran Islam setiap kegiatan kita di dunia ini akan diperhitungkan di akhirat nanti sebagaimana ternyata di dalam firman Allah yang bermaksud:

“Tiap-tiap diri bertanggungjawab terhadap apa yang telah diperbuatnya”. (Al-Muddaththir : 38)

Ini bererti iaitu sekira kita tidak menunaikan kerja kita dengan sewajarnya, seperti kita mencuri masa dengan membuat kerja peribadi di dalam waktu pejabat, melengah-lengahkan bayaran kepada pemborong, meluluskan permohonan yang sepatutnya ditolak dan seumpamanya maka semestinyalah kita akan dihukum di akhirat kelak walaupun kita mungkin terlepas daripada tindakan tatatertib atau pun hukuman di dunia ini. Sebaliknya berbahagialah kita di dunia dan di akhirat sekiranya kita melaksanakan tugas kita dengan sewajarnya menurut tuntutan Islam. 


Wah, termasuklah masuk kerja lambat, mengular dalam Facebook, update entri dalam blog, main game, rajin cuti dan mc, dan..dan.. wahhh!

Jangan bohonglah. Semua orang pun pernah buat. Mari buat transformasi, reformasi dan evolusi. 

Sekurang-kurangnya untuk 2,3 hari ini. (Tapi boss kau tak kisah kot?-kata syaitan tepi telinga aku)





Friday, March 18, 2011

Yang indah-indah kenapa selalu cepat habis?

Cuti, waktu rehat, makanan sedap, rancangan kegemaran di televisyen, duit, melancong bersama kawan dan keluarga, dan masa untuk berkumpul dengan adik-beradik yang jarang dapat berjumpa sebab masing-masing duduk berjauhan. Semuanya cepat habis dan cepat berlalu. T_T

Gonna miss my sisters!!

Thursday, March 17, 2011

Kisah hitam sandwich tuna

Dulu aku suka betul makan roti sandwich berinti tuna dalam tin. Lagi-lagi masa bergelar pelajar IPT dan duduk ramai-ramai kat rumah sewa. Simple, sedap dan mengenyangkan. Sampai dah habis belajar pun aku masih suka makan sandwich tuna. Sampailah satu hari si gigi besi cakap, "Kak, apasal kau suka sangat makan sandwich tuna ni? Aku tengok sebijik macam muntah kucing!"

Siot! Sejak hari tu aku dah tak pernah makan lagi sandwich tuna, sebab bila masuk je dalam mulut aku terus terbayang yang aku tengah kunyah bahan buangan binatang tu. (-_-")

Aku rindu sama kamuu..

Wednesday, March 16, 2011

Kata cikgu Bahasa Melayu aku, bahasa adalah jiwa bangsa

Selalunya bila berblogwalking walaupun jarang-jarang, sambil tercari-cari mana letaknya shoutbox atau shoutmix blog yang aku terjah masuk, mata pasti akan tertumpu pada entri yang paling atas atau terbaru dalam blog tu. Biasanya aku akan baca dua, tiga baris yang pertama dan akan terus ke bawah sekiranya cerita atau cara penceritaannya menarik perhatian aku. Kalau aku betul-betul tertarik, aku akan masuk ke entri ke 2 dan selepas tu melekat agak lama di dalam blog tersebut untuk membaca entri lain yang menarik bagi aku. Kalau aku rasa blog tersebut memang betul-betul bagus, maka aku dengan rela hati akan menjadi follower blog tersebut. Itu style aku la.

Cuma yang aku tak berapa gemar, bila masuk ke dalam blog yang menggunakan banyak perkataan kesat, kasar, lucah dan mencarut, yang bagi aku sangat tak sopan dan sesuai lebih-lebih lagi untuk seseorang yang berstatus ibu kepada 2 atau 3 orang anak! Mungkin di luar blog, penulis blog tu taklah seteruk mana, tapi melalui penulisan kan dah cukup untuk mengundang pandangan dan persepsi negatif terhadap si penulis. Sampai tergeleng-geleng kepala aku bila baca entri-entri si penulis yang tak melambangkan pun ciri-ciri seorang ibu beranak 2 dan sedang hamil pulak tu! Macam manalah agaknya kalau anak dia sendiri yang  baca blog ibunya, ya? Hurmm.. tak pun aku yang terover sangat sebab tu kan blog dia, jadi suka hati dialah nak tulis apa pun kan? Okeh. Abaikan.

haha.
Lagi satu, bila masuk blog budak-budak sekolah yang menggunakan banyak bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kat sini merangkumi penggunaan ayat singkatan atau ayat SMS yang diubahsuai sesedap rasa, yang super-duper susah untuk orang tua macam aku ni nak faham. Entah dari mana diorang belajar, aku pun tak tau. Contohnya, ikut jadi ikowt, pergi jadi pegy, sayang jadi shayunk, ni jadi nieyh, dia jadi dyew, je jadi jew, gila jadi gilew. Euwwww! Budak kecil yang baru pandai bercakap pun tak pelat gedik sampai macam tu. Bila baca blog macam tu, rasa macam budak baru belajar membaca pulak rasanya. Macam orang Tamil cuba nak baca tulisan jawi atau orang Thailand berusaha nak baca tulisan Russia. Susah dan senak otak.

Sekarang mari hiburkan hati dengan lagu ini.


Tuesday, March 15, 2011

Terima kasih, Tun!

Aku tak suka politik. Semua yang ada dalam politik bagi aku semuanya kotor. Penuh propaganda, konspirasi, tikam belakang, tipu helah, caci-maki, kutuk mengutuk dan fitnah-memfitnah. Makanya, aku tak akan melibatkan diri pun dalam bidang-bidang dan hal-hal yang berkaitan dengan politik.

Cuma, aku sangat mengagumi seorang tokoh hebat yang banyak berjasa dalam membangunkan, memajukan dan menstabilkan Malaysia hingga menjadi seperti Malaysia sekarang. Keperibadian, keberanian dan kebijaksanaannya memang sangat dikenali dan dikagumi dunia. Tapi, bila ramai pula yang mengutuk, mencaci, menabur fitnah dan sengaja mencari salahnya kemudian disebarkan pula kepada orang ramai dengan niat untuk merosakkan imej dan mencalarkan reputasi beliau, aku rasa itu sangat jahat dan tidak bertamadun. Lagi-lagi bila yang terlibat pula kebanyakannya orang Melayu yang beragama Islam. Sibuk mencari salah orang lain, macamlah diri sendiri sudah sempurna. Mereka tak fikir pula dosa yang mereka tanggung dengan menyebarkan dan mewar-warkan keburukan seseorang yang belum tentu lagi betulnya kepada orang lain, ya?

Tun Mahathir dah banyak berjasa terhadap Malaysia dan rakyatnya. Masalahnya, Melayu memang mudah lupa. Kadangkala disebabkan satu kesalahan saja, 1000 kebaikan yang lalu semuanya terpadam begitu saja. Sesekali berterima kasihlah dengan apa yang telah beliau lakukan terhadap Malaysia.  Tak ada manusia yang sempurna tetapi mencampur adukkan hal peribadi beliau dengan jasa beliau terhadap negara adalah sangat tidak rasional sebab dua perkara tersebut berada dalam konteks yang sangat berbeza. Hal peribadi masing-masing adalah urusan masing-masing. Kenapa nak tambah dosa sendiri dengan menyebarkan keburukan dan aib orang lain? Apapun, ni pandangan peribadi aku. Kepada yang tak setuju, terpulanglah dengan pendirian masing-masing. Malaysia negara demokrasi kan?

Pemimpin hebat di mata aku.

Monday, March 14, 2011

Belasungkawa untuk Jepun

Tersentuh hati manusiawi melihat gambar-gambar dan video-video ketika gempa bumi dan tsunami yang dahsyat melanda Jepun, lebih-lebih lagi gambar-gambar pasca tsunami yang meninggalkan kesan yang sangat dahsyat persis seperti apa yang pernah menimpa saudara kita di Acheh pada 2004.  Allah Maha Besar. Segala yang baik dan buruk datangnya dari Allah. Belasungkawa untuk Jepun atas ujian Allah terhadap mereka. Semoga kita dapat mencari ikhtibar di sebalik bencana ini sekaligus menjadikan kita hamba Allah yang lebih baik. Semoga Jepun dapat bangkit dari kedukaannya dan membangun dengan lebih maju lagi seperti membangunnya mereka selepas pengeboman Hiroshima dan Nagasaki satu waktu dulu. Amin. Sesungguhnya tiada apa yang dapat menghalang kekuasaan Allah.


  

  







Gambar-gambar pasca gempa bumi dan tsunami Jepun.

Thursday, March 10, 2011

Konspirasi menjatuhkan Rayyan

Rayyan adalah sejenis ketakutan kepada kakak-kakaknya, si kembar Alyaa dan Alysaa. Ketakutan di sini merujuk kepada gangguan fizikal dan mental yang dilakukan olehnya terhadap si kembar sama ada ketika mereka sedang membuat kerja sekolah, sedang bersantai-santai di depan televisyen sambil menonton rancangan kartun kegemaran mereka ataupun ketika mereka sedang bermain berdua-duaan tanpa melibatkan Rayyan. Gangguan mental dan fizikal tersebut biasanya merangkumi perkara-perkara seperti berikut, iaitu menarik rambut kakak kembarnya sekuat hati hingga mereka melalak kesakitan, merampas buku Bacalah Anakku yang sedang mereka baca, menconteng buku sekolah kakaknya sesuka hati, menukar siaran televisyen serta mengecilkan atau menguatkan volume televisyen tanpa disuruh, rampasan kuasa terhadap barang permainan, basikal dan skuter kakak-kakaknya walaupun dia sendiri ada jeep kecil milik peribadi dan pelbagai jenis gangguan yang menimbulkan rasa trauma mereka terhadap Rayyan. * sigh *

Situasi ini menyebabkan Rayyan sering dipulaukan dan tidak diendahkan lebih-lebih lagi jika kakak mereka mendapat permainan baru sumbangan atuk atau papa mereka. Tak pasti juga kalau-kalau si kembar ada buat teori atau konspirasi untuk menjatuhkan atau menggulingkan kuasa Rayyan yang sedang bermaharajalela sekarang sebab kadang-kadang aku ada nampak mereka buat perbincangan secara tertutup di sudut rumah.

Nasib baik si kembar tak pernah buat serangan balas atau konfrontasi pada Rayyan setiap kali dia buat onar. Tapi aku rasa ni semua perkara biasa, nanti dah besar mereka akan faham sendiri apa yang dinamakan hubungan adik-beradik ni. Ya, aku harap.

Rayyan: pemimpin radikal :p

Si kembar yang memiliki gagasan hebat.


Aksi ketika melakukan rampasan kuasa.



















 

Tuesday, March 8, 2011

Webcam, shawl manik dan Cikgu Shida

Si gigi besi baru beli webcam. Lappy milik dia harap je skrin besar gedabak tapi tak ada webcam. Kesian. Jadi, dia ajak aku berchatting di Yahoo Messenger untuk buat percubaan pada webcamnya itu. Kind of jakun jugalah. Jadi, kami pun cuba buat video call antara Shah Alam, Selangor dan Pasir Gudang, Johor.

Gigi besi  : Kak, kau try buat video call kat aku.
Aku        :  Ok.
Gigi besi  :  Tak ada pun.
Aku        :  Aku dah buatlah. Kau yang tak answer
Gigi besi  :  Masalahnya tak ada keluar apa-apa pun kat tempat aku.
Aku        :  Ok. Try lagi.
Gigi besi  :  Mmm.. masih tak ada.

Jadi, si gigi besi telah meminta bantuan seorang kawannya untuk settingkan webcam pada lappynya.

Gigi besi  :  Try lagi.
Aku        :  Ok.
Gigi besi  :  Ha.. ada dah?
Aku        :  Ok. Ok. Dah ada. Apasal gambar kau tak bergerak. Webcam cap apa ni?
Gigi besi :  Hahaha. Apasal mulut kau senget?
Aku        :  Kuang hajau.
Gigi besi  :  Kak, apasal muka kau macam Cikgu Shida?

Cilakak. Bab mulut senget aku boleh kompromi lagi. Dia kata muka aku macam Cikgu Shida? Penat je aku pakai shawl manik yang maniknya besar gedabak dan berat sampai kepala aku pun rasa senget dibuatnya. Cess!

Cikgu Shida

ps: erk..bukan maksud aku Cikgu Shida tu buruk ke apa, cuma gaya lawak dia masa miming dalam video tu aku tak berkenan kot.. Muka aku ada macam pelawak ke? Hurmmm....

Monday, March 7, 2011

Betul-betul sedang menuju ke era warga emas yang ada akaun Facebook dan blog ..serta Twitter (yang tak aktif)!! Wohoo!!

Ingat tak yang ini? Aku semakin yakin dengan kesahihan tajuk itu. Sebabnya, benda yang semakin teruk baru saja terjadi beberapa hari yang lepas, yang tak sempat aku masukkan sebagai entri dalam blog sebab sibuk berhujung minggu.

Hari Sabtu lebih kurang jam 5.05 petang, selepas bermalas-malasan di depan tv sambil layan filem hindustan, aku bangun sambil mencari lappy yang rasanya selepas balik dari kerja setengah hari tadi, aku dah letak elok-elok dalam bilik. Cari punya cari, dari bawah katil, belakang pintu, atas meja, bawah sofa, bawah karpet, atas siling, celah dapur, laman rumah, sampailah ke dalam kereta di luar rumah, mak aih, aku tak jumpa! Aku tak jumpa, okeh! Serius, jantung aku dah hilang sebelah! Cari lagi sekali, masih lagi tak jumpa. Aku tak kisah kalau benda yang aku tak jumpa tu harganya setakat 2,3 ringgit.

Stop sekejap sambil pegang-pegang cuping telinga, sebab kata mak aku kalau kita tak ingat sesuatu, dengan pegang cuping telinga kita boleh ingat balik. Satu teori yang tak berapa nak masuk dalam akal aku tapi dalam keadaan genting macam tu, aku tak sedar yang aku 'ter'praktikkan teori yang tak dapat dibuktikan kesahihannya secara saintifik tu. Memang betullah teori tu tak betul sebab aku masih tak dapat ingat apa-apa kat mana sebenarnya kedudukan titik lokus lappy tu.

Rasanya tak ada orang asing yang masuk selain aku dan si kembar dan gorjes Rayyan yang berlingkar malas depan tv dari tadi. Cuma ada maid aku yang tengah bertungkus-lumus buat kerja di dapur. Aku berhenti kejap sambil renung muka dia. Dia ni ada bakat ambil barang orang tanpa minta izin atau dengan bahasa ringkasnya mencuri ke? Dah.. aku pun start fikir yang bukan-bukan pasal dia dengan penuh kecurigaan tahap tinggi.

Akhirnya aku terfikir satu tempat yang paling berisiko tinggi untuk aku dapatkan balik lappy aku, tu pun kalau betul ada kat situ. Ambil kunci kereta kemudian meluncur laju menuju destinasi dengan little rascals aku yang duduk di tempat duduk belakang kereta. Sejurus sampai ke destinasi, melompat keluar dengan melawan daya graviti sebelum bergegas menuju ke pintu office tempat kerja aku dengan harapan menggunung. Nasib baik aku ada pegang kunci office. Buka lampu dan melilaukan mata. Kecewa. Aku tak jumpa! Atas meja, bawah meja, tepi meja, tak ada! Kejap. Ada sesuatu atas kerusi akauntan tu. Wahhh!! Aku dah jumpa!

Sekarang, tajuk tu memang betul-betul sesuai dengan keadaan aku. Seorang bakal warga emas yang meninggalkan laptopnya di atas kerusi uncle akauntan di pejabat, kemudian mencarinya bagai nak gila di tempat lain sambil membuat prasangka buruk terhadap orang yang tak bersalah! Oh, itu menyedihkan! (-_-")

Oh, masih cun. Tak apa.

Wednesday, March 2, 2011

"Kemaafan dendam yang terindah" kata si kek karamel pelangi itu.

Berikutan peristiwa semalam, maka aku memberikan ini sebagai tanda kemaafan terhadap beliau. Yang lain jangan nak terliur. Memang aku keras kepala dan egoistik, tapi dalamannya tetap lembut dan gebu macam kek karamel pelangi ni. Sayangnya, bukan buatan sendiri, tapi tempahan dengan seorang kenalan.

gambar dari sini. Thanks Ijang!
Yang lain, kalau rasa kamu pun akan dapat kek macam ni setiap kali berselisih faham dengan aku, maaflah ya. Mungkin impian tu tak akan tercapai.

Semoga semuanya menjadi lebih jernih lagi selepas ni.
Tapi, hey, beliau tu pun banyak buat salah jugak apa!!

. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .  . . . . . . . . . . . . . . . . . .

Erk, dasar egoistik! T_T

Tuesday, March 1, 2011

(-_-")

Maaf adakalanya terlalu sukar untuk dilafazkan.

Lagi-lagi untuk seorang aku dan keras kepalaku.

Maaf yang tak terhingga untuk seseorang...
Related Posts with Thumbnails