Friday, January 28, 2011

Gigi besi kebanggaanku!

Aku tau, si gigi besi mesti marah kalau tau aku postkan entri ni, sebab dia tak suka show off. Tapi aku tak dapat tahan perasaan dari berasa bangga dan berbesar hati yang teramat sangat bila adik bongsu aku tu tiba-tiba sms aku petang semalam dengan ayat ini, berhubung dengan keputusan peperiksaan mid semesternya:

"Kak, aku dapat 4 flat. Masuk president list. Aku 15 terbaik. Tadi aku naik pentas, dapat cokelat."

Fuhh! Berbunga-bunga hati aku! Aku sayang gilakkk kat adik aku tu!

p/s: Si gigi besi sedang bergelar mahasisiwi  di sebuah IPT di Shah Alam dalam jurusan Makmal Perubatan.

Cuma, kenapa cokelat? Dan bukan trofi or apa-apa yang lebih relevan?

Thursday, January 27, 2011

Perkara yang sangat mengerikan bagi kebanyakan perempuan

Jangan takut. Tak ada gambar yang mengerikan di sini sebab aku adalah golongan yang sangat penakut dengan benda-benda yang mengerikan. Sebab tu aku tak jadi seorang doktor.

Perkara yang sangat mengerikan bagi aku dan mungkin kebanyakan wanita lain di luar sana adalah apabila tiba-tiba kita tersedar yang umur kita semakin meningkat dan bertambah setiap masa. Kemudian kita akan menuju ke cermin dan membelek serta menilik wajah kita terutamanya di bahagian mata kalau-kalau ada kedutan yang muncul dengan perasaan yang sangat risau dan bimbang. Seterusnya meneliti struktur kulit kita kalau-kalau ianya semakin kelihatan kendur dan kering akibat mula kehilangan kolagen sedikit demi sedikit. Meraba rambut di kepala sebab nampaknya ia semakin menipis dan berkurangan di banyak tempat. Kemuncaknya bila kita benar-benar kalut dan mula berkira-kira untuk membeli pelbagai jenis produk untuk mengawetkan tubuh badan termasuk pelbagai jenis suntikan yang boleh membuatkan kita kelihatan lebih muda dan kekal muda.

Aku rasa semua perempuan pun pernah melalui dan akan mengalami semua perkara di atas. Cukup mengerikan, kan? Dan rasa ngeri itu semakin bertambah bila ada seseorang yang nampaknya kelihatan lebih tua atau mungkin sebaya dengan kita tiba-tiba memanggil kita kakak dan mencium tangan kita semasa bersalaman.  *Pitam*

Ya, tahun ni umur aku diupgrade lagi ke satu series yang sangat menakutkan. Aku dah mula jeles bila golongan yang muda setahun atau 2,3 tahun di bawah aku akan mula mengambil alih umur yang aku dah tinggalkan.Tapikan, walaupun umur dah meningkat, aku tak pulak rasa berlakunya perubahan yang besar dalam hidup aku. Semuanya rasa macam biasa je. Masih lagi macam sebelum-sebelum ni. Korang rasa macam tu tak? Waktu belajar di kolej dulu, kawan-kawan selalu gelakkan aku sebab nampak macam budak umur 13 tahun walaupun dah nak masuk 20 tahun. Sekarang, aku rasa macam nak ulang balik masa tu.

Cuma bila aku kadangkala dipanggil 'adik' atau 'amoi' oleh penjual barang sewaktu membelek-belek barang mereka, aku rasa lega sikitlah sebab masanya belum tiba sangat untuk aku rasakan ketakutan dan kengerian yang melampau berhubung dengan peningkatan umur aku. Fuhhh!

Nenek yang comel.

Wednesday, January 26, 2011

Dilema kurus dan gemuk


Bila kamu kurus, orang kutuk kamu tak cukup makan. Tu pasal badan kering. Tak cukup zat lah konon. Sedap buat sup tulang je.

Bila kamu gemuk, orang lagilah kutuk. Tak pandai jaga makan. Makan melebihi dos. Terlebih zat dan lemak tepu pulak.  Bagus untuk buat daging korban.

Hakikatnya, di golongan yang mana pun kamu berada, kamu tetap takkan boleh lari dari kutukan-kutukan itu. Selagi kamu masih bernama manusia. Sebab manusia tak pernah puas. Yang kurus nak gemuk, yang gemuk nak kurus. Sampai bila pun takkan tamat. Neverending story.

Okeh. Aku kurus. Siapa nak kutuk aku sekarang?

p/s: dari dulu pun orang selalu panggil aku kudut, kering, cikeding, papan lapis, tv LCD, kena tiup angin boleh melayang (setakat ni aku belum pernah melayang pulak bila angin bertiup kencang). Tapi aku consider je dia orang kutuk sebab dia orang jeles dengan aku. Sebabnya , aku tak pernah rasa pun badan aku menjadi satu isu atau masalah besar untuk aku sendiri. Lagi senang rasanya sebab aku ringan. Senang nak berjalan dan tak mengah. Tak kisah menyelit kat mana pun. Kalau naik kereta dan kereta menyenget sebelah, orang takkan terus pandang kat aku. Dan yang paling penting, aku tak perlu nak berdiet dan habiskan fulus untuk produk-produk kuruskan badan. Sebab selain dari baka keluarga aku yang memang kurus, metabolisme badan aku memang tinggi. Makan banyak mana pun tak ada effect. Kata kawan, aku pakai enjin turbo. Haha. Jadi, berbadan kurus tak semestinya sebab tak cukup makan dan tak cukup zat - macam kata seorang makcik yang pernah aku jumpa. Tanggapan tu salah ya, makcik. Maaf.

Moralnya: Jangan pandang hina pada orang lain. Dan dengan mengutuk orang lain, senang-senang saja kau bagi kerja pada malaikat di sebelah kiri bahu untuk mengisi bukunya.

Tuesday, January 25, 2011

Happy belated birthday my twins!!

Misi membuat persiapan untuk majlis sambutan hari jadi Alyaa dan Alysaa secara kecil-kecilan di sekolah, yang terlewat selama seminggu dari tarikh sebenar akhirnya sudah terlaksana dan tercapai. Atau dalam bahasa orang putihnya, mission accomplish.

66 bungkus goodie bags dan 66 biji  moist chocolate cupcakes dengan buttercream harus disiapkan pada hujung minggu sebelum dihantar ke sekolah mereka pada hari Isnin. Fully home made. Sangat penat, okeh. Disebabkan banyak komitmen lain pada hujung minggu, termasuk menghadiri jemputan ke majlis perkahwinan anak jiran lama yang juga kawan baik kepada keluarga kami, maka sesi berperang di dapur cuma dapat dimulakan pada petang hari Ahad, bermula dari pukul 4.30 petang membawa ke pukul 11.00 malam. Kemudian bergegas menghantar si gigi besi ke stesen bas untuk pulang ke Shah Alam setelah bercuti hujung minggu selama 2 hari di rumah. Balik ke rumah semula lebih kurang jam 12.15 tengah malam dan menyambung sesi mengemas sisa-sisa dan kesan-kesan peperangan tadi.

Memang gila punya penat. Tapi hati terasa puas dan terharu bila dapat berikan sesuatu kepada si kembar untuk ulang tahun mereka tahun ni. Ikuti kronologi membuat persiapan hinggalah sambutan ulang tahun si kembar di sekolah mereka dengan sepenuh perasaan okeh. Mari.


Proses membakar cupcakes.
 
Cupcakes yang dah siap dibakar dan dikukus. Pakai 2 method tuu..

Dah siap letak butter cream. Warna pink, kesukaan Alysaa.

  
Warna biru, kesukaan Alyaa.

Kelas K2 Jaguar dengan Teacher Rohani.
  
Kembar dengan cupcakes mereka.
  
Tengok gaya, memang tengah nyanyi lah ni.

Comel pulak cupcakes ni bila snap kat sekolah.

Teacher suap-suap manja.

Teacher tunjuk bakat melukis.
  
Hasil yang sangat membanggakan.

Teacher Norulfida pun nak glemer juga.

Hadiah yang comel dari cikgu. Awal-awal lagi Alysaa dah
masukkan kunci dalam tabung untuk tujuan keselamatan.

Hah. Ada yang sengal-sengal otak bila aku letak gambar banyak-banyak? Maklumlah, aku jarang benar letak gambar dalam entri-entri aku. Semoga ulang tahun ini membawa seribu keberkatan dalam hidup mereka. Semoga selalu menjadi pari-pari kecil mama yang paling hebat dan comel dalam dunia. Mama sayang sangat dengan Alyaa & Alysaa. Happy belated birthday, my twins!



Friday, January 21, 2011

Aku: Homo Sapiens

Aku taulah tak ada manusia yang sempurna dalam dunia ni. Aku tau juga kadang-kadang sebagai manusia biasa yang tidak dijanjikan syurga macam Rasulullah kita, aku selalu juga rasa yang aku ni lebih baik dan sempurna daripada orang lain walaupun pada orang lain tak sebegitu pandangannya. Heh, semua orang pun pernah dan selalu rasa macam tu. Jangan nak tipu. Aku pun tau, aku selalu bagi pandangan negatif pada orang-orang yang selalu memandang rendah dan hina pada orang lain sebab status, sejarah hidup atau perangai buruk orang tu, sebab aku rasa manusia semuanya pernah buat silap. Ada sisi terang dan gelap masing-masing.

Tapi bila aku dah alami sendiri perkara di atas, iaitu berhadapan dengan manusia yang status dirinya rendah dan hina, sejarah hidupnya busuk dan buruk, perangainya yang hitam legam dan tak ada tanda nak berubah sampai berjaya memporak-perandakan sebuah situasi yang dulunya aman, aku tak boleh halang diri aku sebagai manusia biasa yang memandang rendah pada orang lain sebab status, sejarah hidup atau perangai buruk orang tu, sebab aku: homo sapiens biasa. Ada sisi terang dan gelap aku sendiri.

Tuhan, ampunkan aku.

Tuesday, January 18, 2011

Penghangat tubuh di musim dingin

Ada beberapa benda yang boleh menghangatkan tubuh di musim-musim dingin sebegini. Suka hati kamulah nak fikir apa. Tapi aku tak boleh hidup dan melalui kedinginan itu tanpa ini:

*

*

*

*

*

*

*



Bagi spesis yang mudah masuk angin macam aku, inilah benda yang mesti ada untuk membuat aku sendawa dengan penuh nikmat. Burppp!

Thursday, January 13, 2011

Doktor gigi kacak

Tiada yang lebih mendebarkan jiwa dan jantung selain dari menunggu nombor giliran kamu naik sebelum masuk ke bilik rawatan gigi di klinik pergigian. Rasanya macam semua orang dengar bunyi degupan jantung kamu yang mengepam darah dengan begitu kuat dan laju lebih-lebih lagi bila nombor giliran semakin hampir tiba. Fuh! Fuh!

Tiada yang mampu menenangkan jiwa hatta seorang doktor gigi yang kacak sekalipun bila kamu masuk ke dalam bilik itu dan nampak kerusi yang bakal kamu duduki sedang dibaringkan dalam posisi 160 darjah, segala aneka peralatan untuk gigi terutamanya playar itu, lampu yang bercahaya indah di atas kepala kamu, bau ubat-ubatan yang melemaskan dan wajah-wajah jururawat pergigian yang serius macam pemain bola sepak.

Hoh! Itu sangat menegangkan jiwa dan raga. Oh ya, pernah tengok filem Dentist?

Hello there!!

Monday, January 10, 2011

Ana Raffali bikin kejutan


Tengok tak Juara Lagu ke 25 semalam? Aku suka dengan persembahan Faizal Tahir dan Yuna. Superb! Lagi-lagi masa Faizal Tahir 'menyelam' dalam air dan keluar semula dalam keadaan basah kuyup Seksi you! Lepas tu suara Yuna masa lantunkan lagu Cinta Sempurna. Memang menusuk kalbu dan membuai rasa. 

Yang lain pun bagus juga. Banyak persembahan dan gimik yang best-best. Untuk keputusan bagi Kategori Vokal Terbaik, aku puas hati jugalah sebab suara Hafiz memang smooth dan solid walaupun baru lepas terlibat dalam kemalangan sebelum tu. Persembahan Faizal Tahir untuk lagu Hanyut pun memang layak menang Kategori Persembahan Terbaik. Sangat kreatif dan unik, okeh. Setaraf dengan persembahan artis antarabangsa.

Pemenang tempat ke 2 dan ke 3 tak boleh dipertikaikan lagi sebab komposer dan penulis liriknya memang bukan nama yang asing lagi dalam arena seni suara negara. Cuma, bila pemenang bagi Juara Lagu ke 25 diumumkan, semua orang macam terkedu dan terperanjat dan tak sangka dan, dan, dan.. macam eh, betul ke penyanyi tu yang menang? Seriously, aku pun agak tak puas hati jugalah sebab rasanya Faizal Tahir dan Yuna punya lagu dan performance jauh lebih baik. Dan aku pun memang mengharapkan nama mereka yang diumumkan sebagai pemenang.

By the way, keputusan dah pun diumumkan. Nak pertikaikan pun tak guna sebab juri lebih pakar dan lebih tahu siapa yang layak untuk menang. Manalah kita tau apa sebenarnya yang dinilai dalam sesebuah lagu. Mungkin apa yang nak disampaikan oleh Ana Raffali tu berjaya sampai kepada juri-juri yang sememangnya pakar dalam bidang masing-masing. Tak semestinya lagu baru dan penyanyi baru tak layak untuk menang kan? Apapun, tahniah untuk Ana Raffali sebab menjadi pelapis muda dan baru yang kreatif kepada penggiat seni yang dah sedia ada di tanah air ni.

Friday, January 7, 2011

Melayan perasaan

Aku sedang merindui detik-detik manis yang terlalu indah untuk dikenang hingga membuatkan hati berbunga-bunga manis, pada beberapa musim yang lalu.

Yang aku tak pasti adakah mungkin ia boleh berulang kembali.

Euwwww. Melankolislah konon. Geli je.

Wednesday, January 5, 2011

Mama, Alysaa tak nak makan ikan!

Hello, Alysaa!!
Tempat kerja aku dekat dengan rumah. Dekat sangat. Naik kereta 3 minit dah sampai. Kalau pecut gila-gila, 1/2 minit dah sampai. Jadi, waktu rehat aku akan balik rumah untuk makan. Tahun ni si kembar balik sekolah pukul 12.15 tengahari, jadi memang jumpalah di rumah kalau aku balik rehat. Dah boleh suap sendiri sebenarnya, tapi disebabkan kemanjaan yang ekstrem kalau ada aku, maka kebiasaannya mereka akan merengek suruh aku suapkan makan.

Semalam Alysaa cipta sejarah lagi. Waktu aku suap dia dan kembarnya Alyaa makan nasi berlaukkan ikan kembung masak asam dan sayur bayam, dia tercekik tulang. Rasanya aku dah tilik habis tulang-tulang hatta yang sehalus kuman sekalipun. Dan biasanya juga dia dapat kesan kalau aku tersuap tulang. Tapi semalam, memang nak jadi sejarah, tulang ikan kembung tu tersekat di kerongkongnya pula.Gelabahlah aku.

Nasib baik mak aku ada waktu tu. Kami cuba macam-macam cara nak bagi keluar tulang ikan tu. Jolok tekak suruh muntah, telan nasi banyak-banyak, minum air bergelas-gelas, sampai habis ikhtiar. Waktu rehat aku pun dah nak habis. Yang terfikir cuma, hantar Alysaa ke klinik. Tak kesian ke kalau dia menangis tiap kali telan air liur sampai mulutnya menganga je sebab takut nak telan air liur? Akhirnya aku call office dan bagitau aku masuk lambat sebab nak hantar anak ke klinik sekejap.

Pergi klinik dan Doktor Shahrul cabut tulang tu tak sampai pun seminit. Yang lamanya sebab Alysaa mengamuk sakan bila tengok doktor datang bawa forcep kecil tu dengan lampu suluh. Dah pujuk pun tak makan saman. Masih juga meraung bagai nak rak. Sampaikan aku terpaksa bagi sogokan dengan berjanji untuk belikan dia bekal makanan Barbie kalau dia diam dan bagi doktor cabut tulang tu. Tapi tak menjadi juga taktik tu. Sudahnya kata doktor, "Ok. Mamanya ke tepi dulu". Apalagi, doktor dengan 4 orang pembantu kliniknya pun 'kerjakan' Alysaa tak sampai seminit. Kelakar betul! Kata doktor, walaupun tulang kecil atau besar, mesti cabut cepat, takut bernanah dan luka kat dalam tu. Macam kelakar bunyinya kan, tercekik tulang lari ke klinik. Tapi sekurang-kurangnya dah jadi pengajaran dan pengalaman.

On the way nak balik rumah, Alysaa tuntut janji. Mama, kata nak belikan bekal Barbie? Oh, anakku! Bila aku cakap yang dia tak layak nak dapat bekal makanan tu sebab tak berkompromi dengan doktor tadi, dia menangis lagi. Manalah ada benda tu kat sini. Takkan nak ke Jusco sekarang juga. Disebabkan tak sampai hati, maka aku belikan juga bekal makanan yang colorful dengan gambar kartun harga RM4 x 2 (untuk Alyaa sekali) kat pasaraya. Jimat duit!

Ironinya, bila tiba waktu makan malam, Alysaa sudah trauma untuk makan berlaukkan ikan dan cuma nak makan berlaukkan ayam sahaja. Fuh, sabar je lah.

Tuesday, January 4, 2011

Si kembar sudah jadi senior, ooi!

Hari ni, kembar aku Alyaa dan Alysaa melangkahkan kaki dengan kasut baru, stokin baru, bag baru, kotak pensel baru dan uniform lama ke sekolah tadika mereka sebagai pelajar senior. Sila berikan 2 tepukan.

Mereka berada dalam kelas K2 ini tahun. Belajar dalam sesi pagi berbanding sesi petang tahun lepas. Sudah boleh aku tinggalkan sejurus sahaja mereka mendapat tempat duduk di barisan hadapan sekali tanpa perlu menunggu beberapa puluh minit seperti tahun lepas di mana mereka menangis sayu dan sendu diikuti raungan pilu hingga memaksa Teacher Norulfida mendukung mereka bergilir-gilir menuju  ke dapur untuk diberikan gula-gula supaya senyap.

Mereka dah sebati dengan suasana kelas dan sekolah. Sudah boleh bergaul mesra dengan kawan-kawan. Sudah bijak berkongsi-kongsi makanan dan bertukar-tukar cerita. Itu sudah cukup buat aku tarik nafas lega sebelum mereka berhijrah ke sekolah rendah tahun depan.

Aku sudah rasa apa yang mak aku rasa 23 tahun yang lepas.

Aku sayang mak aku. Dan juga little rascalsku.

Ini gambar tahun lepas sejurus sebelum mereka melalak. 
Stok tudung sekolah habis, jadi pakai tudung sendiri.

Monday, January 3, 2011

Dua kosong satu satu

Dah masuk hari ke 3 dalam tahun baru 2011. Selalu buat entri terlambat.
Aku bukan nak cerita pasal azam baru. Sebab aku dah bebel tentang tu dalam entri sempena tahun baru Maal Hijrah. Lebih afdhol buat azam baru ikut takwim hijriah. *Buat muka alim*

Tahun ni kompeni tempat aku kerja awal-awal dah bagitau. Tiada bonus dan kenaikan gaji untuk tempoh beberapa bulan akan datang ni sehingga kedudukan kewangan kompeni sudah agak stabil, baru dua perkara tu akan dipertimbangkan. Kambing gurun betul. Dah la start bulan ni pemotongan EPF dah dinaikkan semula ke 11%. Tambah tolak darab bahagi, dah sah-sahlah jumlah duit gaji yang bakal aku dapat tiap-tiap bulan akan berkurangan. Aku tak tau nak bakar meja majikan aku pakai minyak tanah atau minyak petrol.

Lupakan sekejap tentang tu. Bikin aku panasss.

Tahun ni juga, kembar aku, Alyaa dan Alysaa dah masuk kelas K2 di tadika mereka. 8 Januari 2011 ni, genaplah umur mereka 6 tahun. 6 tahun yang sangat membahagiakan bersama mereka. Walaupun kerap bertukar menjadi tarzan setiap kali mereka buat hal, tapi hakikatnya mereka sangat melengkapkan kehidupan aku. Ditambah lagi dengan kewujudan Rayyan Mikhail selepas mereka, rasanya aku dah miliki semua kebahagiaan di muka bumi ni. Memiliki mereka membuatkan aku semakin berusaha untuk menjadi dan memberikan yang terbaik untuk mereka. Serius. Kalau kamu ada anak, kamu akan faham perasaan itu. Segala yang kita lakukan adalah demi anak-anak.

Lupakan tentang usia. Peduli apa aku. Yang bertambah cuma nombornya sahaja. Yang penting, jiwa tetap muda. Haha. Ayat penyedap hati terbaik untuk golongan yang susah nak terima hakikat sebenar. Kecuali aku.

2011. Aku mengharapkan ada sesuatu yang baik yang akan menjengah dalam kehidupan aku dan keluarga. Kecuali bab-bab pertambahan umat manusia. Aku belum tidak terfikir dan tidak merancang sama sekali. Untuk yang berkenaan, sila ambil perhatian. Sangat jelas, okeh!

2011. Ceh, macam sajak pun ada. Aku harap semuanya akan baik dan teratur. Insya-allah.

Dan.. oh ya! Semoga selsema dan batuk kokol yang aku dah nikmati selama seminggu ni akan sembuh dan pulih seperti sedia kala. Amin.
Related Posts with Thumbnails