Wednesday, January 30, 2013

Happy belated birthday, kembar!

Hari jadi si kembar sebenarnya 8 Januari, tapi tertunda-tunda sampaiiii la 27 Januari baru sempat buat parti kecil-kecilan. Tak rasa pun, pejam celik pejam celik, dorang dah 8 tahun. Macam baru je semalam aku berpeluh-peluh nak handle 2 baby kecik dalam 1 masa, mana yang nak susu, mana yang e'ek, mana yang nak ganti diapers. Serius, penat gila! Every single thing kau kena buat 2 kali. Tengok kembar memang best, tapi kena kerah tenaga 2 kali ganda banding dengan baby tak kembar. Tu yang masa dapat si Rayyan aku rasa macam kacang je nak handle budak ni. 

Birthday party dorang aku buat kecik-kecik dan biasa-biasa je. Decoration memang buat sendiri la macam sebelum-sebelum ni. Bab-bab menyerlahkan kreativiti ni memang aku suka. Aku suka DIY paper flower pom-poms yang aku belajar buat dari Youtube. Mat saleh buat pakai tissue paper, tapi aku buat pakai crepe paper. Jadik jugak. Makanan, separuh aku order dan separuh lagi buat sendiri. Kek rainbow yang gojes aku order dari Marina Mint's. Sape yang duduk area Pasir Gudang, Masai, Seri Alam, boleh order kat dia. Kek dia memang cantik-cantik dan sedap. Oh ye, thanks to Gugel yang tolong aku carik resepi mee soto yang sedap. Dan thanks to mak, adik aku, si gigi besi & encik Papa yang banyak tolong buat persiapan untuk parti makan-makan ni. Puihh. Frasa macamkan menang award Vokal Terbaik. Dah la, tanpa banyak bunyi, layankan je la gambo-gambo ni ye. Mahap ye, aku takde kamera DSLR.

kad jemputan & birthday banner.
malas nak tebuk-tebuk lubang, aku sepit je pakai klip-klip comel.
yang ni recycle dari birthday Rayyan yang lepas. nasib baik ada lagi.
3 ketul je pun aku buat.


mee soto home made. sedap jugak aku masak :p

pencuci molot.
isi goodies bag. tak sempat nak letak label.
macam cempedak dalam bungkusan pun ade..
moist choc cake buatan sendiri versi last minute. bughok ghupe -_-
rainbow kek by Marina Mint's. very the gojes, kan?
beauty & the beast..;p
kembar yang malu-malu kucen..
budak jantan tu bontot dah terangkat nak join tiup lilin. harhar.

budak ni eksyen macam ini besday dia yang punya.
sebahagian dari budak-budak & jemputan yang datang.
santek kan? sayang betol nak makan. sila la order dengan beliau.
Sekian, untuk makluman.


Monday, January 21, 2013

Syukuri sihat sebelum sakit

Ada kenalan mak bapak aku, kaki baru je kena potong baru-baru ni sebab kencing manis. Paras atas lutut. Bayangkan, kaki kita yang selama ni kita punya dan kita pakai untuk banyak tujuan termasuk terajang orang dan kucing, tiba-tiba dah tak ada. Hanya dengan membayangkan memang  tak boleh rasa apa yang orang rasa sebab bukan kaki kita yang kena potong. Tapi bila aku cuba bayangkan betul-betul, gerun sungguh. Kehilangan salah satu anggota badan yang penting dari tubuh badan kita sendiri, tu cukup menggerunkan.

Sekarang ni, aku tengah menikmati kenikmatan wujudnya sebijik ulser mulut yang tak berapa besar kat tepi lidah belah kiri. Sakitnya buat aku bercakap macam orang berlidah pendek. Pelat banyak huruf tapi tetap tak mengganggu daya momentum aku untuk membebel. Makan pun dah macam nenek yang semua pagarnya dah runtuh. Memang tak setragis kehilangan kaki sampai paras lutut. Tapi cukup menyeksakan. 

Satu malam tu, bila aku duduk-duduk depan tv dengan mulut yang tak boleh tutup rapat sebab perit woh bila tersentuh walau sikitpun kat ulser tu, aku terfikir, ya Allah, betapa pentingnya nilai sebuah kesihatan untuk seorang manusia. Seksanya bila Allah turunkan walau sekecik manapun penyakit untuk kita. Tak kiralah sekronik mana atau sekecik manapun penyakit tu, semuanya tetap menyakitkan dan menyeksakan. Ulser mulut, sakit mata, bisul, luka melecur, panau, kurap, kuku cagu, selsema, demam, batuk sampaikan ke kencing manis, darah tinggi, kanser, sakit buah pinggang, buasir, leukimia dan macam-macam penyakit moden, semuanya menyeksakan dan membawa derita.

Masa tu barulah terfikir, alangkah bahagianya hidup sebagai manusia sihat walafiat. Tapi waktu kita sihat, masa tu kita lupa semuanya. Lupa nak bersyukur, lupa nak menerima apa adanya kurniaan Allah pada kita. Selalu nak lebih, tak cukup dengan apa yang ada. Padahal, kesihatan adalah nikmat terbesar yang Allah dah kurniakan pada kita. Besar sangat sampai tak terbanding dengan apa pun walau harta berjuta 7 keturunan tak habis.

Syukurilah apa yang ada. Biarlah tak banyak harta dan tak berkereta mewah macam jiran sebelah, yang penting Allah dah beri kita kesihatan. Itu dah cukup besar nikmatnya.

Sekadar peringatan untuk diri sendiri dan kawan-kawan.


Wednesday, January 16, 2013

Sekolah menengah aku takde prom night

Bila teringat zaman-zaman sekolah, balik-balik yang melekat dalam otak musti kenangan masa zaman sekolah rendah. Yang part-part sekolah menengah satu-satu je yang boleh buat feeling sentimental tu datang. Agaknya sebab masa sekolah rendah otak belum terbeban ngan subjek-subjek membunuh macam science stream punya kelas. Gila. Ingat sipi-sipi je cover buku teks Add Maths dengan Kimia pun aku dah rasa nak terjun lombong. Baru cover, belum isi dalam. Aku yakin akan alami brain damage stage 6.5 kalau ada sesiapa paksa aku belajar balik subjek-subjek tu. Gila bapak punya susah. Walhal aku yang memang sedia  bengap pun. Belajar main-main, apa yang kau harap? Dapat A+?  Puii.. dah lulus pun kira satu kebanggaan maha hebat.

Kalau pun ada memori yang best pasal sekolah menengah pun, kenangan dengan kawan-kawan lah. Tak pun makanan yang sedap kat kantin sekolah. Keropok lekor garing dengan karipap pusing, feveret aku dengan best friend aku, Hani. Lepas tu, kenangan masa jadi ahli koperasi sekolah sebab kitorang ada uniform yang sangat cool dan smart. Tu pun neck tie aku jarang pakai sebab tak pandai nak ikat. Balik-balik suruh si Calvin ikat siap-siap sebelum aku terus pakai ikut kepala dan jerut kat leher.

kira smart la ni kan?


Ada satu kejadian yang aku tak boleh lupa, masa aku form 2 kot. Masa tu exam subjek apa entah. Cikgu yang jaga kelas aku pun aku tak ingat nama dia. Tapi aku ingat muka dia. Masa dia membebel kat depan kelas, kira macam briefing la, dia bagitau tak boleh meniru (bila punya zaman dibolehkan meniru dalam exam kan?), tak boleh pandang kiri kanan, tak boleh buat isyarat-isyarat apa pun pada kawan, aku cakap dalam hati, gila punya strict cikgu ni. Lantas aku pun toleh sikit je, sikiiiit je ok, dalam 15 darjah gitu untuk pandang muka kawan baik aku si Hani yang duduk kat belakang aku. Kononnya nak buat muka, ohh, annoyingnye cikgu ni! dengan bijik mata ke atas. Sekali tu, elok je aku toleh ke belakang tu, terus cikgu tu menjerit sekuat hati. "Kamu! Kamu yang meja no 3 tu." Aku lah tu kan. Sebab cikgu tu siap tuding jari dan pandang aku macam nak telan. Dan-dan aku rasa nak terkucil 2,3 baldi. "Kamu biadap ye? Saya baru je cakap jangan pandang kiri-kanan, kamu dah buat!!" Semua mata tertuju kat aku. Aku punya malu rasa macam orang bogel berjalan kat khalayak ramai je. Rasa nak sodok kepala masuk bawah meja. Dia suruh aku bangun dan suruh aku pindah tempat. Duduk paling depan sekali betul-betul sebelah meja dia. Lahabau! Aku punya leher memang kejung keras takde toleh-toleh belakang dah. Tapi nasib baik aku ni jenis hati keras, susah nak nangis. Jadinya, memang aku tak nangis, tapi aku menyumpah-nyumpah cikgu tu dalam hati sepanjang exam tu berjalan. Pehh, kalau ingat-ingat balik, malunya aku masa tu rasa macam nak korek simen dan duduk diam-diam dalam tu. Kalau ada pistol, dah konfem cikgu tu arwah.

Selain dari kenangan kategori annoying macam kat atas ni, ada jugak kategori addicted. Contohnya game titik-titik. Siapa yang cipta game ni pun aku tak tau. Tapi, once kau dah main dan kau menang, memang akan rasa nak main je. Biasanya budak-budak Cina yang rajin main game ni. Pantang ada masa lapang sikit, kitorang mesti cepat-cepat koyakkan kertas matematik yang kotak-kotak tu, then concentrate main. Mula-mula masa amatur, aku memang kalah je manjang. Tapi bila dah berpengalaman dan profesional, dah tau teknik-teknik untuk menang, memang jarang kalah la.

sape tak pernah main?

Hurm. Nanti kita kongsi kenangan zaman sekolah menengah lagi ye. Taklah seteruk mana pun kan? 
Kecuali untuk stok-stok bengap Add Math, Kimia, Fizik macam akulah, kan?

Friday, January 11, 2013

Rayyan, Yuna dan RM10

Malam tadi bila semua kerja rumah dah siap, aku pun lepak-lepak la atas katil dalam bilik dengan si Rayyan sambil tengok TV Suria (channel Singapore-orang Johor belah selatan je dapat), rancangan Bicara, dengan Yuna sebagai personaliti yang dipilih untuk diwawancara. Nampak boring, tapi menarik jugak sebab ada Yuna. Kalau dia wawancara Lee Hsien Loong, takdenya lah aku tengok. Sila gugel kalau tak tau siapa. Si kembar dah tidur dalam bilik diorang dari tadi. Golongan tu memang stok-stok tidur awal. Memang spoil betul kalau nak keluar berjalan malam-malam. Pukul 8,9 malam mata dah macam kena sapu gam UHU memasing.

Disebabkan Rayyan masih belum kenal siapa gerangan pompuan nama Yuna tu, maka dia pun tak berminat langsung nak ambil port. Yang dia sibuk dok godeh dari tadi adalah wallet aku yang dia ambil dari dalam handbag. Jenuh nak melayan. Tiap keping kad yang ada dalam wallet tu dia tanya, ni kad  apa? Kenalah aku jawab dengan penuh komited. Ni kad bank, ni kad Tesco, ni kad UO, ni kad kedai 5 hengget sambil mata melekat kat TV. Tak boleh main taram je jawab, sebab dia tau. Dah tau pesal kau tanya, nak?

Bila dah habis sesi soal jawab kad tu, aku nampak dia keluarkan duit dari dalam wallet tu. RM21. Sengkeknya mak aku. Agaknya dia cakap macam tu sebab lama gila dia tenung duit RM10 2 keping dengan RM1 sekeping tu. Entah apa yang dia kaji pun aku tak tau. Mungkin jugak dia tengah fikir berapa banyak Oreo McFlurry yang dia boleh dapat dengan duit tu. Feveret terbaru dia sekarang tu.

Sebab khusyuk tengok Yuna kat TV, aku pun dah tak perasan apa budak kecik tu buat lepas tu. Ada la dalam 5,6 minit gitu, aku pun toleh belakang aku. Nampak si Rayyan tengah bersandar kat kepala katil dengan tabung Winnie the Pooh dia kat tangan. Duit RM21 tadi tinggal RM11. Maknanya, dia dah lipat-lipat sekeping duit RM10 tadi dan masukkan dalam tabung dia. "Rayyannnnn! Rayyan buat apa ni?"  Dia sengih je. "Habislahhhh! Mama dah takde duit lagi.." aku cakap sambil buat-buat muka sedih. Terus dia buat muka bersalah. "Mama takde duit eh? Nanti Rayyan suruh papa 'belikan' duit eh..". "Mama taknak, mama nak duit tadi jugak". Aku buat-buat nangis. Gedik sungguh. "Nanti Rayyan ambik pisau, potong tabung ni. Nanti Rayyan bagi mama duit semua eh?" . Alolo.. comelnya anak aku. Betullah kan. Kalau dah anak sendiri, tentulah kita rasa anak kita paling comel dalam dunia, kan?

Agaknya sebab dia dah terbiasa, kalau dapat duit je mesti nak kena masuk tabung. Lepas ni kena ajar, tak boleh ambik duit orang tanpa izin. Karang duit siapa-siapa je dia ambik, sumbat dalam tabung. Rosak sahsiah anak aku. Tapi, pandai pulak kau pilih yang kaler merah ye?

Lepas tu, Rayyan goncang-goncang tabung dia. Keluar duit 10 sen. "Nah, duit mama. Rayyan letak dalam bag mama eh?".  Maka budak kecik tu pun hampir lemas sebab aku gomol-gomol dan sedut-sedut pipi dan perut dia kuat-kuat. Nilah antara 'benda' yang paling aku sayang dalam donia.

Hari pertama keluar dunia, 28 mei 2009.
Umur 4 bulan.
Setahun 3 bulan.
2 tahun 4 bulan.
2 tahun 6 bulan.
Sekarang. Dah 3 tahun 8 bulan.


Thursday, January 10, 2013

Surat untuk ustazah

Wah, kemain tajuk macam cerpen Dewan Bahasa dan Pustaka.

2 hari lepas, aku terjumpa sebatang pensel warna biru muda milik Alysaa. Tau Alysaa punya sebab setiap batang pensel warna tu dengan gigihnya aku tulis nama sebab selalu sangat hilang. Membantu jugak kekdah tu sebab ada jugak dalam 2,3 kali dorang balik rumah dan bagitau aku dorang terjumpa pensel warna milik dorang dalam kawan dorang punya kotak pensel warna. Apa punya berbelit ayat ni. Yang peliknya, pensel warna dorang ni selalunya yang hilang musti kaler kuning. Musykil sungguh aku. Apakah kanak-kanak telah menuntut ilmu hitam yang memerlukan mereka kumpul 40 batang pensel warna kaler kuning?

Berbalik pada cerita mula-mula tadi. Pensel warna biru muda tu kan. Aku tanyalah Alysaa, apasal kaler dia main letak je kat lantai kan? Suruh dia masukkan dalam kotak pensel warna dia. Punya lama dia kelebek-kelebek dalam bag cari kotak pensel warna tu, sampai aku naik fed up tunggu. Last-last aku tanya, mana kotak kalernya? Muka dia dah cuak. Maklumlah, maknya kalau mengamuk memang berubah jadi cantik jelita. Dia kata tak jumpa kotak kalernya. Aku tanya, tadi ada bawak ke sekolah ke? Ada, dia kata. Siap bawak 2 kotak kaler. Satu hat kaler kecik yang kontot tu. Sekotak lagi hat kaler yang panjang punya. Padahal, malam sebelum tu aku dah bagi kaw-kaw punya warning, jangan bawak 2 kotak, nanti hilang. Haa, kan betul. Sekali hilang 2 kotak terus. Terus aku punya hangin kus-kus naik sampai ubun-ubun. Sisik naga aku dah start tumbuh 2,3 panel kat badan haa.

Aku suruh dia cari kat semua tempat. Godeh bag Alyaa sekali. Tapi takde jugak. Kompom hilang.  Hilang kat sekolah agama pulak tu. Kaler sekolah agama dengan sekolah kebangsaan memang aku asingkan. Kaler 2 kotak tu aku baru je tolong korekkan, susun elok-elok malam sebelum kejadian tu. Semburan aku lepas tu lebih menikam sukma. Siap ada campuran asid-asid sekali. Kena tempias air liur aku memang berlubang lah kulit ko. Bayangkan, 2 kotak sekali hilang! Kata mak aku, dahlah tu. Janganlah marah sangat. Aku cakap, takkan aku nak ketawa terkekek-kekek bila barang sekolah dia selang 2 hari mesti hilang?

Membawak sampai time dia mengaji pun aku masih membebel dengan sepenuh perasaan. Siap aku tampar peha dia belah kiri. Melalak la, apa lagi. Elleh, tepuk sikit je pun. Tak pernah pulak aku biratkan badan anak aku pakai rotan atau hanger baju. Tapi dia punya melalak macam kena simbah cuka getah. Dah tu, dengan takde perasaan, aku cakap malam ni takde dinner untuk dia. Kengkononnya nak menghukum la. Hakikatnya takdelah aku sampai hati pun tak kasi kau makan, nak. Kasi gertak sikit je. Tapi mak aku punya ambik serius, dan-dan dia pergi ambikkan nasi dengan ayam goreng sepotong, terus suap budak tu makan. Memang baik punya back up ko dapat ye.

Mak aku cakap, dulu masa aku kecik-kecik pun barang selalu hilang jugak. Heh. Ye ke? Mak aku siap pergi bagitau cikgu, alat tulis aku selalu hilang. Jadi cikgu pindahkan tempat duduk aku. Masa tu memang dah tau pun kawan yang dok sebelah aku tu selalu ambik barang aku. Peh, budak tu kalau aku ingat, memang aku doakan sangat biar anak dia tak ikut perangai dia, tapi jadi mangsa barang kena rembat. Biar dia rasa apa yang mak aku rasa dulu. Eh. Sekali aku pulak yang rasa. Cis.

Bila dah reda sikit, mak aku cakap pergilah jumpa ustazah dia. Cakap barang anak selalu hilang. Aku kata nak tulis surat je. Karang kalau aku pergi ngadu, cikgu mesti suspect aku mak yang cerewet. Alangkan barang hilang dah pergi bising-bising kat kelas, apalagi kalau anak kena cubit rotan? Rosak pulak reputasi aku nanti. Maka aku bertekad la nak tulis surat untuk ustazah besoknya.

Disebabkan banyak gila kerja kat opis besoknya, aku pun terlupa nak buat surat untuk ustazah. Si Alysaa pun dah act macam biasa je sebab malam tadi lepas dia kena suap dengan nenek dia, dia punya bawak diri sorang-sorang je layan tv kat ruang tamu, orang lain semua lepak tengok tv dalam bilik. Bila aku datang, dia buat muka Puss in Boots dalam movie Shrek. Aku pun luluh cair lalu melurut-lurut rambut beliau dengan penuh kasih sayang. Cis. Memang aku mak yang strict tapi penyayang. Hewhew. Jadi, dia ingat aku dah maafkan lah semuanya dan dia pun kembali cerita semua benda yang jadi kat sekolah sepanjang hari. Ohh. Innocentnya budak kecik ini.

Besoknya, dalam kesibukan buat kerja-kerja opis, aku teringat pasal surat untuk ustazah tu. Punya baik ayat aku susun. Kalau ustazah baca, kompom dia offer aku jadik guru besar kat sekolah. Aku siap bangkitkan isu-isu sahsiah pelajar la, mewakili mak bapak lain la, pendek kata kalau korang baca pun mesti ingat aku ni editor kamus DBP punya la. Dah siap print, baca lagi 2,3 kali sampai puas hati. Masuk dalam envelope cokelat dan mesti suruh budak kembar tu bagi kat ustazah besok.

Surat tu aku letak dalam totebag yang bawak pergi opis. Belum tunjuk lagi kat budak-budak tu. Malam tu, masa tengah basuh pinggan, aku dengar si Alyaa bising-bising kat ruang tamu. Siap beristighfar bagai. Tergelak aku dengar. Selalu dengar aku buat time membebel la tu. Dia jerit dari ruang tamu. "Mama, dah jumpa kaler Alysaa yang hilang! Rayyan sembunyi dalam bakul mainan!!". Aku- sigh. Budak jantan kecik tu punya onar rupanya. Orang dok bising-bising kaler kakak hilang 2 kotak, dia diam je takde bunyik. Dahla sia-sia kakak kena sembur siap kena tepuk-tepuk peha bagai ha. 

Dan, fuhhh! Nasib baik aku lupa nak buat surat tu semalam. Nasib baik belum sampai ke tangan ustazah. Nasib baik. Nasib baik. Kalau tak, MALU BESARRR aku!

Bertuah punya Rayyan!!!!!

Alysaa (kiri) sebagai orang kena tuduh.

Rayyan- si pesalah sebenar.


Wednesday, January 2, 2013

Si kembar kembali ke sekolah

Tahun lepas kemain aku excited sebab si kembar baru masuk darjah 1. First day sekolah, siap ambil cuti 1/2 hari, nak hantar diorang.
Tapi ini tahun, semua relax je. Diorang pun dah pro. Tak payah lagi nak berantar2 bagai.
Pulak tu tahun ni, sekolah agama dapat sesi pukul 10.15 pagi sampai 11.45 pagi.
Jadinya, kenalah diorang bersiap-siap sendiri kat rumah sebab aku kat opis masa tu.
Macam tahun lepas, masuk sekolah agama pukul 8.45 pagi, masih sempat lagi aku yang siapkan apa semua, hantar diorang sekolah sebelum pergi kerja.
Dah besar nak, pepandailah kau handle semua ye.

Nak masuk sekolah ni, excited sungguh bebudak kecik tu.
Maklumlah, dapat bag baru, kasut baru, baju baru. Serba-serbi baru. Nak show off le teww.
Tahun lepas punya bag sekolah dah hancur bancai macam apa. Tu pun aku tahankan je, suruh diorang pakai sampai habis sekolah. Bag sekolah takde brand, gambar je cantik. Angry birds. Kualiti macam haremmm.
Bayangkan, baru sekolah 3 hari  dah banyak yang tetas sana-sini.
Aku dah serik beli bag yang harap gambar je lawa. Indah khabar dari rupa. Bagai aur dengan tebing.*tiba-tiba*
Sebab tak sanggup nak tengok diorang usung karung bawang sana-sini (bag sekolahnya penuh ngan jahitan encik Papa yang cantik lagi jahitan guni bawang tu), aku belikan je bag Swan.
Aku masa sekolah pun tak pernahnya dapat merasa pakai bag sekolah Swan.
Kalau tahun depan bagnya masih elok, sila pakai selagi boleh ye, anak-anak.

Kalau ada anak yang dah bersekolah ni, masuk bulan 12 memang start la cerebrum otak para ibu-bapa akan mengalami sengal-sengal ringan.Ni baru si kembar yang sekolah, dah menggigil nak keluarkan duit dari wallet.
Tahun depan lagilah, si Rayyan pun dah start masuk tadika.
Tadika punya yuran pun dah dekat-dekat macam IPT punya yuran pendaftaran.

Untuk ibu-bapa yang berpendapatan sederhana dan taknak buat banyak pembaziran pada benda-benda yang tak berapa nak penting, kita kena kawal emosi berbelanja.
Kena bijak berbelanja. Memang semua nak yang terbaik untuk anak. Tapi kadang-kadang, sikap tu lah yang rosakkan anak-anak kita sendiri.
Bila diaorang dah dibiasakan dengan benda-benda yang mahal-mahal dan branded, nanti sampai ke besar dia bawak idealogi bahawa yang branded dan mahal tu adalah yang terbaik.
Yang brand-brand biasa diaorang dah tak pandang lagi. Siapa yang susah? Kiteee jugak.
Padahal ada je barang tak berjenama yang lebih berkualiti dari yang berjenama. Kecuali bag Angry Birds yang aku beli tahun lepas tu la.

Nama nak berbelanja mewah untuk anak-anak sebab nak menunjuk-nunjuk pada orang yang kita ni berduit dan high class, memang taklah bagi aku.
Baik aku simpan duit tu untuk masa depan diorang.
.
.
.
.
.
.
Fuh. Memang kompom takde orang nak kawan dengan aku. 


Tuesday, January 1, 2013

2 ribu 3 belas sudah datang

Sekolah dah nak bukak besok, baru 2,3 hari ni aku bersengkang mata sampul buku-buku si kembar ni.
Dah jadi mak orang pun masih bawak perangai dari azali. Suka buat kerja last minute.
Dah la buku teks yang sekolah bagi pinjam tu sikit lebih kurang macam belacan. Menjenuh aku kasi repair sana-sini, biar nampak ada rupa buku sikit.
Kalau tak, pembungkus tempe tu lagi lawa 45 darjat.

Ni dah masuk 2013.
Seingat aku, sejak aku jadi manusia, tak pernahnya aku keluar malam 31 Disember tu nak celebrate malam tahun baru dengan penuh semangat berjoli-joli katak.
Ada la, 2,3 kali. Tu pun duduk tak sampai sejam kat tengah padang dekat-dekat rumah, tunggu persembahan bunga api.
Nama nak pi konsert la, karnival itu inilah, takdenya. Macam tak penting gitu.
Aku rasa macam lagi baik aku terbongkang depan tv. Takpun teruskan aktiviti kat rumah macam biasa.
Lipat kain ke, baca novel ke, buat latihtubi dubbing suara tarzan ke.
Orang lain sibuk bersesak-sesak sampai nak pitam secara beramai-ramai kat dataran mana-mana entah, aku kat rumah melanguk depan tv tengok Hell Hotel macam takde apa-apa jadi pun.
Pastu dah ngantuk, tido..
Sesuai betul hidup zaman mesolitik.

Macam umat manusia lain jugak, aku harap tahun 2013 ni lebih baik dari tahun sebelumnya.
Semoga kesihatan, ketenangan jiwa, rezeki yang diberkati dan keluarga yang sakinah, mawaddah, warahmah, mengiringi aku sekeluarga sampai penghujung tahun dan bersambung pulak ke tahun seterusnya. Insya allah kalau umur panjang.

Selamat tahun baru, semua orang.

Related Posts with Thumbnails