Sunday, October 31, 2010

Nenek aku kata..

Bila golongan veteran dalam keluarga aku berkata:

  1. Jangan bergambar bertiga, nanti yang di tengah akan mati dulu.
  2. Jangan nyanyi di dapur waktu masak, nanti dapat suami tua.
  3. Jangan tunjuk pelangi, nanti jari kudung.
Maka aku akan kata:

  1. Apakah?
  2. Adakah?
  3. Kahkahkah.

Bukan semua pantang larang orang-orang tua tu berjaya mendapat tempat atau kepercayaan dari aku kecuali beberapa pantang larang yang mempunyai dasar kelogikannya kalau difikir, dikaji dan ditelaah dengan pemikiran yang mendalam. Maklum, orang-orang tua suka bermadah, berlapik atau berkias ketika berkata-kata.

Tapi ada satu kata-kata mereka yang sangat aku tentang pada mulanya, akhirnya sangat aku persetujui dengan sepenuh hati setelah melaluinya sendiri iaitu:

Utamakan diri kita dahulu sebelum anak-anak.

Mula-mula aku kata, wah, mestilah dahulukan anak-anak dulu, baru fikir tentang kita. Contohnya, aku lebih dahulukan suap anak-anak makan sampai kenyang, kemudian barulah aku makan.

Tapi bila hari ini aku tiba-tiba dilanda demam dengan sakit badan yang menyengat, rasa dedar yang melampau dan perit akibat cirit-birit akibat lupa menjaga kesihatan dan kebajikan diri sendiri kerana terlalu memberi perhatian kepada anak-anak lalu mengakibatkan aku tak mampu mengurus mereka dengan baik dan sempurna, maka kata-kata orang tua itu sangat aku terima bulat-bulat.

Sebab, cuba fikir secara logik, kalau kita yang jatuh sakit, siapa yang akan menjaga anak-anak kita? Jadi, jagalah diri sebaik mungkin, contohnya makan terlebih dahulu sebelum menyuap anak-anak makan untuk memastikan kesihatan kita cukup baik untuk menjadi penjaga dan pelindung yang sempurna kepada mereka.

Dapat?

Saturday, October 30, 2010

Biskut

Aku seorang multi-talented yang jarang ada masa untuk rehat dan bersantai-santai. Aku rasa iklan yang sesuai untuk menggambarkan siapa diri aku terutamanya di hujung minggu ketika aku tidak bekerja dan semua bala tentera itu tidak bersekolah, kemungkinan besar adalah iklan sejenis biskut di kaca televisyen di mana seorang ibu boleh bertukar ganti pakaian dalam waktu beberapa saat mengikut situasi yang sedang dihadapi.

Rehat bagi seorang wanita dewasa seperti aku bukan bermaksud membuka bekal dan makan di kantin sekolah dalam tempoh 30 minit.

Aku rasa aku perlu beli sebungkus biskut seperti yang diiklankan dalam televisyen dan berharap agar biskut itu mengandungi sedikit ubat tidur yang boleh buat aku tertidur tanpa gangguan hingga jam 8.00 malam ini. Kalau tak, untuk apa ia diiklankan sedemikian rupa?

Thursday, October 28, 2010

Hitam dan putih



Untuk kali yang ke tiga, cawangan kedai runcit milik emak aku dikopak lagi oleh gelandangan berkepala hangguk. Kalau dulu mereka kopak pintu depan dan kemudian shutter kedai, kali ni mereka kopak tingkap di bahagian belakang kedai pula. Habis kaca tingkap dikopak dan palang besi dibengkok-bengkokkan. Aku agak mungkin masa kejadian si penyamun tu bertukar menjadi Incredible Hulk kot? Atau paling tidak pun makan sayur bayam dalam tin kemudian berubah menjadi Popeye the Sailorman dan paling koman menjadi hero Melayu, Papaya.


Kalaupun dah terdesak untuk meneruskan hidup, masa nak makan benda-benda yang dicuri tu, mereka tak teringatkan Allah ke? Mujur juga barang-barang berharga yang agak mahal seperti rokok yang gila mahal sekarang, sekotak je dah cecah RM10, dibawa balik ke rumah setiap kali kedai ditutup. Jadi barang-barang yang hilang lebih pada barang-barang makanan dan minuman macam milo, susu, kopi, mi segera, minuman ringan dalam tin dan botol termasuk seplastik makanan ringan yang dah luput tarikh. Aku berharap betul biar penyangak-penyangak tu keracunan makanan atau paling tidak pun tercekik keropok tengik sampai mampus!


Nak buat report polis lagi, nak report kat MPPG lagi. Fuh, kalau aku jumpa sampah masyarakat yang buat kerja tu, harus aku tembak pakai peluru kapur kat setiap rongga badan yang dia ada. Takpun ikat kat rel keretapi kat Jalan Pekeliling tu dan suruh depa tunggu keretapi datang.


Dalam pada marah dan geram dengan tindakan orang-orang tak berotak tu, aku sempat rasa bangga dan gembira sebab ada kawan aku yang cantik manis, yang aku kenal sejak dari bangku sekolah rendah lagi bakal berlepas ke tanah suci Mekah al Mukaramah pada musim haji ini bersama suaminya untuk menunaikan ibadah haji. 


Sejuk je rasa dalam perut bila dengar yang dia akan ke sana untuk kali yang ke berapa entah, setelah menunaikan ibadah umrah sebelum ni. Murah rezeki kau, Nora! Aku pun tumpang bangga dengan kawan lama aku tu. Balik haji nanti dah dapat tittle Hajah Nora Lyana bt Mohd Salleh dalam usia yang muda lagi. Tahniah, kawan. Sila doakan keselamatan beliau suami isteri dalam perjalanan pergi dan balik nanti. Amin.


Hah, perasan tak? Dua cerita aku hari ni macam konsep Yin Yang. Cerita yang genrenya sangat berlawanan. Satu negatif dan satu lagi positif. Yang satu sibuk mencari laknat Allah, yang satu lagi berusaha mencari keredhaan Allah. Bezanya cuma, konsep Yin Yang menjelaskan setiap benda di alam semesta memiliki polaritas abadi berupa dua kekuatan utama yang selalu berlawanan tapi selalu melengkapi, tapi dua cerita yang aku ceriterakan ni tak adalah saling melengkapi. Cuma kita perlu terima hakikat, bumi yang kita kongsi bersama ni memang akan sentiasa dipenuhi dengan dua kisah seperti ini, baik dan jahat, hitam dan putih, positif dan negatif, pro dan kontra, yin dan yang. 


...sebab syurga dan neraka sedang menanti kita di akhir cerita.

Tuesday, October 26, 2010

Encik Fendi dan jam dinding


Encik Fendi adalah pensyarah kami di kolej yang mengajar beberapa kursus seperti Pengaturcaraan Pascal I & II, Cobol, dan Visual Basic. Waktu itu dia masih bujang, muda belia dan mungkin baru berumur dalam lingkungan 24 atau 25 tahun. Orangnya tinggi lampai, berkulit cerah dan bermata agak sepet. Tak taulah kalau-kalau dia ada kacukan dengan keturunan Cina, aku pun tak berapa nak ambil tau waktu tu.


Orangnya kalau nak diklasifikasikan sebagai hensem gila, taklah juga. Tapi sedaplah mata memandang. Dan disebabkan pada waktu itu di kolej kami nampaknya macam dia sajalah pensyarah yang sedap untuk dipandang, maka dialah yang paling hensem di kalangan pensyarah. Kecuali kalau pada waktu itu ada pensyarah baru yang muda, bujang, kacak lagi tampan datang untuk mengajar di kolej itu, maka jatuhlah status hensem yang dipegang oleh Encik Fendi sebab dia taklah sehensem mana pun. Maaf, Encik Fendi. Siapa suruh tak bagi saya markah penuh untuk subjek Pengaturcaraan Pascal I masa saya di semester 1 dulu?


Aku rasa dalam ramai-ramai pensyarah di kolej aku mahupun di kolej lain pada waktu itu, mungkin dia di antara 1:20 orang yang tak suka memakai jam tangan. Aku pun tak suka pakai, tapi aku bukan pensyarah. Encik Fendi ni orangnya agak gelabah dan kelam kabut. Dia sangat tak garang jadi kami tak berapa nak takut dengan dia. Kalau aku borak-borak sambil bisik-bisik kat tempat duduk belakang waktu dia sedang membebel di depan dewan kuliah, maka dia akan panggil nama aku sekuat hati walaupun aku tak sedar langsung yang dia panggil nama aku, dan cuma tersedar yang aku sedang jadi pusat perhatian bila semua mata memandang dan menoleh ke arah aku yang terpinga-pinga macam penguin tak comel. Itulah, kalau Encik Fendi tambahkan sikit markah saya dalam kuiz Cobol dulu tu mesti saya cerita yang best sahaja pasal Encik Fendi.


Sebut pasal jam tangan tadi, serius, dia memang tak suka pakai jam tangan. Mungkin juga dia ada sejarah hitam berkaitan dengan jam tangan. Itu tak penting bagi aku. Tapi yang agak menyusahkan bila waktu dia mengajar dalam kelas, kami kena selalu mengingatkan dia bila waktu mengajar dia sudah hampir tamat sebab Encik Fendi kalau mengajar macam semua masa dia yang punya." Encik Fendi, masa dah time! "Aku pun tak tau siapa yang cipta kalimah tu. Tapi yang pasti setiap kali ada pelajar yang menyebut dialog tu, secara automatik semua pelajar lain akan membelek jam tangan masing-masing atau pun menjeling jam dinding yang tersangkut di dinding depan dengan perasaan lega.


Pada suatu hari, wah, macam intro cerita arnab dan kura-kura, seperti biasa Encik Fendi masuk ke dewan kuliah dan mengajar kami seperti biasa. Hari itu dia akan mengajar kami selama 2 jam. Jam dinding menunjukkan pukul 3.00 petang. Okeh, setelah mengajar lebih kurang sejam lebih, mungkin sejam 15 minit atau kurang, Encik Fendi meminta diri untuk ke tandas.


Maka bermulalah ceritera. Entah apa punya jenis jin yang merasuk seorang budak lelaki yang sememangnya terejal dalam kelas aku, hingga dia dengan nekad pergi ke depan kelas, meletakkan jari telunjuknya di bibir dan menyuruh kami diam, kemudian berjengket dan mengambil jam dinding yang tersangkut di dinding dan mengubah kedudukan jarum jam minit menjadi lebih cepat selama 45 minit. Kami sekelas yang berjumlah hampir 100 orang tak pula menghalang perbuatannya. Kiranya bersetujulah tu. Keji sungguh.


Menunggu Encik Fendi kembali dari tandas adalah detik-detik yang sangat mendebarkan bagi kami semua. Macam-macam andaian yang muncul dalam benak, lagi-lagi kalau terkantoi. Jam dinding dah menunujukkan pukul 4.55 petang. Aku pun tak taulah Encik Fendi ni pakai memori berapa gigabait. Dia pun agak terpinga-pinga juga bila pelajar terejal tadi tiba-tiba menjerit, "Encik Fendi, masa dah time!!" Peh, menggigil juga lutut kami semua. Macam tak sampai hati pula nak aniaya pensyarah kami tu. Takut juga kalau Encik Fendi minta tengok jam tangan pelajar kat barisan depan tu. Tapi nasib baik Encik Fendi tak pakai memori berkapasitas besar waktu tu.


Maka, Encik Fendi pun mengemas buku-bukunya di atas meja dan memberi salam kepada kami sekelas yang tiba-tiba terasa bersalah dan kesian pula pada dia. Tapi, ketupat Faiza pun dah basi, jadi tak boleh buat apa. Jadi, kami pun balik awal selama 45 minit pada hari itu.


Keesokan harinya, Encik Fendi menyuarakan kehairanannya yang teramat sangat berkaitan kejadian pelik yang menimpa dirinya semalam kepada kami.


"Semalam, saya dah balik dan punch card, tapi jam kat mesin punch card tu rosak agaknya. Dah pukul 5.00 petang tapi dia cetak pukul 4.15 petang kat punch card saya. Dah tu, Encik Zack (juga seorang pensyarah) pula pandang-pandang semacam kat saya. Pelik betullah!"


Apa kami nak buat selain pegang perut sambil tahan gelak? Encik Fendi, walaupun cerita ni dah lama berlalu tapi saya harap Encik Fendi dah ada jam tangan sendiri sekarang untuk mengelakkan kejadian tak bermoral seperti ini berlaku lagi. Kalau Encik Fendi ada jam tangan waktu tu, tentu kejadian tu takkan berlaku kan?


Apapun, ia terlalu manis untuk dilupakan. Terima kasih Encik Fendi!

Saturday, October 23, 2010

Aku dan artis

Dah berapa entri aku yang lepas ni kebanyakannya bergenre agak serius. Aku tiba-tiba terasa macam seorang guru yang menulis sebuah blog rujukan subjek Kimia dan Fizik untuk pelajar sekolah menengah atas yang akan mengambil SPM.

Keras juga otak aku kalau selalu bersikap serius. Muka pun dah rasa ketat semacam. Tapi nak buat macam mana. Takkanlah aku nak bergegak-gempita dengan lawak bodoh dan pada masa yang sama kedukaan sedang mengelilingi aku?

Maka, dalam usaha untuk mencairkan sedikit otak aku yang sedang beku dan tepu, aku tiba-tiba tergerak hati untuk berkongsi memori nan silam di ketika aku masih muda belia. Ada yang kata aku dah tua ya? Sila keluar dari sini sekarang, sebelum aku sendiri yang keluar! Heh, lawak gila slapstik! Malas nak layan.

Okeh, sebagai seorang bekas remaja (sarkastik sungguh ayat ini), aku pun pernah mengidolakan artis sampai tergila-gila dan buat benda-benda tak berfaedah yang kalau diingat-ingat balik terus kata, mak aih, gila bodoh aku buat macam tu dulu! Bukanlah tak berfaedah macam mana, cuma setakat buat aktiviti-aktiviti yang bolehdikatakan tergolong dalam golongan orang yang macam tak ada kerja lain nak buat.

Mari aku senaraikan nama-nama artis yang pernah aku idolakan sangat sampai sanggup beli majalah hiburan disebabkan cuma ada gambar artis tersebut yang berukuran 2cm x 2cm di bahagian belakang cover majalah. T_T.


Ziana Zain
Gila minat aku kat akak ni dulu. Sejak dia femes dengan lagu Madah Berhelah kot? Lepas tu berlakon pula dalam filem Sembilu 2, Maria Mariana 1 & 2. Semua filem tu aku tengok kat pawagam. *Hidung kembang tanpa sebab*. Dia ni bagi aku sangat cantik. Kaset pertama yang aku beli dalam hidup, album dia nilah yang tajuknya Setiaku Di Sini. Aku siap buat dua buah buku scrap, penuh dengan koleksi gambar-gambar Ziana Zain yang aku gunting dari majalah-majalah hiburan dan akhbar-akhbar. Pehh! Betul-betul tak ada kerja lain! Lepas tu disebabkan Dato' Siti Nurhaliza berjaya kalahkan Ziana Zain di Juara Lagu 1996, aku terus anti gila dengan Siti. Fanatik punya pasal. Entah apa-apa.
  

Jimmy Lin
Artis Taiwan yang cute gila. Selalu berlakon jadi budak-budak sekolah. Sangat comel. Sangat-sangat. Benda bangang yang aku buat masa gilakan mamat ni, aku selalu tanya pasal dia kat kawan-kawan sekelas aku yang berbangsa Cina. Kemudian, ambil buku atlas, cari peta dunia, cari kedudukan negara Taiwan, tandakan titik lokus kat mana Taipei iaitu tempat tinggal dia dan kemudian berangan-angan untuk sampai ke situ. Gila!


Backstreet Boys
Ada ke remaja sebaya aku masa tu yang tak tergila-gila dengan boy band ni? Mula meletup dengan lagu As Long As You Love Me tahun 1996. Sanggup kumpul nak duit beli album-album band ni. Rasa macam tak cool je kalau tak tersenarai sebagai kipas susah mati diaorang ni. Lepas tu sanggup beli sticker-sticker, kad-kad nama, kad-kad bergambar dan macam-macam aksesori yang ada gambar band ni dalam katalog yang kawan aku jual. Kena order dulu barang-barang tu kemudian tunggu pembekal kirim lalu pos. Merepek betul!


Leornardo Di Caprio
Masa ni, rasanya dalam tahun 1997, filem Titanic memang tengah phenomenal gila. Satu dunia gilakan filem ni. Habis tu, takkan aku nak ketinggalan. Sahabat pena aku dari Germany siap dah tengok filem ni berkali-kali kat pawagam. Lagu tema filem ni, My Heart Will Go On oleh Celine Dion memang top habis. Berbelit-belit juga lidah dan otak aku nak menghafal lirik lagu ni. Bila dah hafal, rasa bangga gila. Lepas tu, jumpa poster filem ni kat pasaraya. Punyalah kumpul duit nak beli poster besar tu. Harganya RM11.90 kalau tak silap. Dah beli, tampal dengan penuh bangga dalam bilik. Pergi kedai mamak, ternampak pula akhbar bahasa Cina ada siarkan berita dan gambar filem ni. Walaupun tak faham sepatah haram, beli juga untuk dapatkan gambar dalam tu. Dah tu, habiskan masa berhari-hari lukis potret Leornado. Bagi aku menjadi jugalah walaupun dalam potret tu nampak macam mamat tu baru lepas buat pembedahan plastik.



Danny X-Factor
Yang satu ni aku pelik sungguh. Apa faktor aku suka benar kat mamat ni pun agak samar-samar. Masa ni aku masih belajar di kolej. Dia nilah yang buat aku selalu puasa sunat hari Isnin dan Khamis sebab duit poket dah habis akibat beli majalah hiburan yang cuma letak gambar dia berukuran 2cm x 2cm. Apa punya biollah aku masa tu. Dah tu habis semua buku-buku nota, fail-fail dan sampul-sampul buku aku tampalkan dengan muka mamat ni sekali dengan group dia, X-Factor. Dia ni jugalah artis pertama dan terakhir yang berjaya mendapat beberapa keping surat dari aku. Entah apa yang aku merepek meraban dalam surat tu pun sumpah aku tak ingat. Lagu group beliau yang aku hafal gila masa tu antaranya Kau Sehangat Api, 7251364 dan Sehingga ke Akhir Hayat. Penting eh?

Sheila on 7
Group dari seberang yang sangat femes kat Malaysia. Aku mula suka kat group ni sejak lagu dia orang, Sephia meletup kat pasaran. Masa ni aku dah agak matang sikit la. Dah jadi senior kat kolej dan dah dekat-dekat nak grad. Kiranya ada jugalah sebab kukuh aku nak minat kat group ni especially vokalis dia, Duta, sebab suara dia ni sangat sedap dan melalaikan. Sempat juga kumpul beberapa album group ni yang memang aku bagi two thumbs up! Disebabkan dah betul-betul mumayyiz, maka tak adalah sangat benda bodoh yang aku buat kecuali melompat-lompat macam orang histeria atau terkena sawan setiap kali group ni muncul di televisyen.




Semakin beranjak dewasa dan semakin tua matang, aku dah mula hilang keinginan nak minat gila-gila lagi pada mana-mana artis yang semakin ramai wujud kat muka bumi ni. Kebanyakan artis yang baru-baru muncul pun aku tak berapa nak kenal. Kecuali beberapa orang artis yang masih lagi dalam lingkungan umur baya-baya aku, yang kebanyakan peminatnya terdiri dari makcik-makcik peminat drama-drama bersiri atau sinetron-sinetron, seperti Aaron Aziz dan Farid Ahmad. Mungkin sebab aku dah tak ada masa nak buat kerja-kerja gila macam waktu muda-muda dulu ataupun mungkin sebab aku dah malas nak keluarkan duit yang sangat susah payah aku nak dapat, hanya untuk beli album-album artis ni.


Oh ya, sekarang ni aku agak suka jugalah dengan seorang artis muda yang sangat kreatif dan seorang artis lelaki yang sangat cool dan berbakat iaitu Aizat dan Faizal Tahir. Cuma, mereka tak akan membuatkan aku kembali menjadi seorang budak perempuan yang sedang menikmati fasa-fasa hidup menyeronokkan sebagai seorang remaja seperti satu ketika dulu. Sebab aku dah cukup dewasa dan lebih tua matang. Shut up!



Friday, October 22, 2010

Takdir Allah yang pasti

Ajal maut ketentuan tuhan dan mati itu adalah pasti.


Malam tadi sewaktu aku dan keluarga sedang bersantai-santai di rumah, tiba-tiba kami mendapat satu panggilan dengan suara yang mencemaskan dari hospital. Sepupu aku menelefon memberitahu bahawa bapa saudaranya telah meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Tersentak dan terdiam kami sekeluarga. Terus terbayang wajah arwah yang juga jiran kami yang suka tersenyum, penyabar dan pendiam orangnya.


Tiba-tiba aku teringat pada keluarga arwah. Isteri dan 3 orang anak-anak arwah yang masih kecil. Ya Allah, macam manalah keluarga arwah menghadapi ni semua. Sebak betul aku rasa. Hilang sudah tempat mereka bergantung hidup. 


Seketika saja, berita itu sudah tersebar di kalangan jiran-jiran tempat aku tinggal. Ada sumber yang kata, arwah dan seorang rakannya yang turut meninggal dunia, di langgar lori sewaktu pulang dari kerja lebih kurang jam 10.00 malam tadi. Arwah yang cedera parah di kepala dan kaki, meninggal dunia di hospital dan rakannya pula meninggal dunia di tempat kejadian.


Sesungguhnya, bila-bila masa saja Allah boleh mengambil nyawa kita, kan?. Walhal arwah masih tergolong muda, belum mencecah usia 40-an lagi. Aku terfikir, kalaulah tuhan mengambil nyawa kita sedangkan amalan kita masih terlalu sedikit dan belum cukup persediaan untuk menghadapi kematian, bagaimanalah nasib kita di sana kelak ya? Aku terfikir juga, bagaimana nasib keluarga yang kita tinggalkan jika kita tidak meninggalkan apa-apa untuk kepentingan masa depan mereka. Sudahlah bekalan di akhirat tak mencukupi, bekalan untuk keluarga pun kita gagal lengkapkan.


Itulah pentingnya menyeimbangkan dunia dan akhirat. Aku tak tujukan pernyataan ni untuk arwah dan keluarganya tapi lebih kepada perasaan insaf yang terbit dari dalam diri aku sendiri dan hikmah yang muncul dari setiap peristiwa yang terjadi. Sesungguhnya kejadian malam tadi betul-betul memberi sedikit impak dalam rohani aku. Aku terfikir, kalaulah aku yang pergi dulu, macam manalah keadaannya. Tapi rasanya aku lebih sanggup meninggalkan dari ditinggalkan. 


Untuk keluarga arwah, salam takziah aku ucapkan. Semoga dapat menerima ketentuan Allah ini dengan redha. Memanglah kita turut berduka dengan musibah yang menimpa keluarga arwah, tapi takkan sama dengan apa yang mereka lalui sebab kita tak berada di tempat mereka.


Ya Allah, jauhkanlah aku dan keluarga aku dari musibah sedemikian rupa dan berikanlah kami kesempatan untuk beramal dengan sebaik-baik amalan, berusaha untuk menjadi manusia yang lebih baik.


Al-fatihah untuk allahyarham Anuar bin Syamsi. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman. Amin.

Thursday, October 21, 2010

Mari jujur


Aku rasa nilai terpenting yang patut wujud dalam diri manusia adalah kejujuran. Aku taklah rasa yang aku ni jujur sangat, sebab mana ada manusia yang sempurna. Tapi rasanya sejak kecil aku tak pernahlah buat perkara-perkara jahat dan sangat tak jujur. Kalau setakat perkara-perkara nakal, siapa yang tak pernah buat kan?


Contohnya dalam konteks pekerjaan. Aku taklah kata yang aku ni pekerja terbaik atau pekerja contoh, sebab company tempat aku bekerja sekarang ni bukannya ada pun buat anugerah-anugerah macam tu. Tapi sekurang-kurangnya aku rasa aku jujur dan bertanggungjawab dalam melakukan semua kerja yang diamanahkan pada aku. Walaupun, heh, selalu masuk lambat, (shhhh!!) tapi semua kerja dan tugas aku, sedaya upaya akan aku siapkan dalam tempoh yang ditetapkan.


Seriously, kerja aku memang banyak dan tak ada habisnya. Tapi aku tetap buat dengan penuh rasa tanggungjawab sebab aku dibayar untuk buat semua tu. Sesekali ada juga mengular masuk ke Facebook atau update blog, sebab kau tahan ke kalau mengadap kerja je 8 jam tanpa henti? Otak kita pun sesekali kena berehat juga. Kalau stress, boss juga yang susah. Mana nak cari pekerja macam aku yang sangat berdedikasi dan bertanggungjawab ni? Fuh, tak sedar diri!


Kalau bab-bab duit, lagilah aku takut nak menyeleweng. Waktu umur 11 tahun, aku dan geng aku terjumpa duit RM5 di tengah jalan. Memanglah seronok jumpa duit. Tapi masa nak bagi-bagi duit tu untuk 3 orang, aku terus terfikir, tak salah ke kalau aku ambil duit tu? Macam berdosa besar je. Lagipun kata orang, kalau kita jumpa dan kutip duit tengah jalan, nanti mesti ada barang kita yang akan hilang. Akhirnya, serius, aku tak ingat sama ada kami letak balik duit tu di tempat kami jumpa ataupun kami gunakan duit tu untuk tambang bas balik ke rumah.


Teringat waktu kecil, bila dengar bunyi loceng orang jual aiskrim calong semakin dekat, aku akan menggelepar dan menggelabah macam kera kena belacan kalau mak bapa aku tak ada berdekatan dengan aku sebab aku tak boleh nak minta duit 20 sen. Jadi aku akan berlari menuju ke arah seluar panjang bapa aku yang dia sangkutkan di dinding dan seterusnya menyeluk poketnya untuk mendapatkan 20 sen. Itupun kira tak jujur juga kan sebab selepas habis aiskrim tu aku makan dengan calong-calongnya sekali, baru perasaan takut dan bersalah tu muncul. Aku rasa macam dan-dan tu juga tuhan akan masukkan aku ke dalam neraka.


Kesimpulannya, kejujuran sangat penting. Semua orang yang tak jujur adalah orang jahat. Contohnya pencuri, perompak, penipu, pembohong, pemecah amanah, pembunuh, perogol. Semuanya tak jujur dalam hidup. Walaupun orang lain tak nampak ketidakjujuran yang kita buat, tapi Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui.


Aku harap sangat tidak ada sedikitpun dari norma-norma ketidakjujuran itu wujud walaupun setitik dalam jiwa aku dan pewaris-pewaris aku. Walaupun kadang-kadang terasa apa yang kita dapat tak setimpal dengan apa yang kita buat ataupun adakalanya terasa kita dipergunakan untuk kepentingan orang lain, tapi sekurang-kurangnya perasaan ikhlas dan jujur dalam melakukan tanggungjawab kita boleh membersihkan jiwa kita dari perkara-perkara yang boleh menghitamkan hati.


Allah lebih tahu menilai setiap titik kejujuran yang ada dalam diri kita.


Mari insaf bersama-sama.

Wednesday, October 20, 2010

Meraban

Pada waktu ini, tepatnya sekarang, otak aku betul-betul sedang beku. Beku macam daging import yang disimpan dalam ruang sejuk beku dalam peti ais.


Yang terfikir buat masa ini cuma selepas balik kerja ni nak ke pasaraya berdekatan untuk membeli stok susu Rayyan yang sudah habis, ubat gigi kanak-kanak dan mandian Lifebuoy untuk si kembar cantik. Kemudian kena siapkan duit 50 sen untuk bayar Metro Parking.


Wah, nampak sangat otak aku berada dalam keadaan yang tak berapa stabil.


Alysaa sudah dua hari mengambil pil Prednisolone yang dosnya semakin dikurangkan sedikit demi sedikit. Tapi aku sangat lega hati sebab kata emak aku sudah ada sedikit perubahan pada wajah Alysaa. Fuh, aku harap sangat Alysaa semakin pulih selepas ini.


Terima kasih tak terhingga untuk kawan-kawan aku yang turut berkongsi sedikit perasaan duka atas apa yang terjadi pada puteri kecil aku tu. Juga untuk doa dan harapan mereka.


Oh ya. Nanti nak beli biskut Oreo juga dan kemudian minta bekas kecil comel berbentuk bulat yang diberi percuma dengan setiap pembelian 2 bungkus Oreo di kaunter khidmat pelanggan pasaraya.


Dan tiba-tiba teringat longgokan baju yang terpaksa aku basuh malam ini.


Ohh, otak aku semakin tak sihat nampaknya.

Tuesday, October 19, 2010

Cepat sembuh, Alysaa sayang!

Berkampung selama beberapa hari di hospital sama ada sewaktu menjaga Alysaa di dalam wad 8D ataupun bertemu bermacam jenis doktor pakar berkaitan dengan penyakit Alysaa membuatkan perasaan sayang aku pada Alysaa, Alyaa dan Rayyan bertambah besar dan kuat. Melihat keadaan pesakit-pesakit lain yang datang untuk mendapatkan rawatan di situ semakin menambahkan perasaan syukur aku yang tak terhingga kepada Yang Maha Esa. Sekurang-kurangnya Allah memberikan aku anak-anak yang sempurna tubuh badan dan akal fikirannya. Kadang-kadang aku mengeluh kenapa tuhan turunkan ujian yang berat untuk aku tanggung. Padahal aku tak sedar, lebih ramai lagi orang lain yang menerima ujian dan cubaan yang lebih berat dari apa yang aku hadapi sekarang.


Alysaa ditahan selama 2 hari di wad 8D kerana penyakit Bell's Palsy. Kekhilafan dan kegagalan seorang nurse menggunakan otaknya dengan baik telah menyebabkan Alysaa lambat mendapatkan rawatan yang sepatutnya dimulakan sejak awal terkena penyakit itu. Rujuk kisah ini untuk lebih faham. Doktor menyarankan agar kami melakukan CT Scan untuk otak dan bahagian belakang telinga atau temporal bone lebih kurang 3 minggu dari sekarang untuk mengesan kenapa penyakit ini boleh berulang kembali. Aku betul-betul berharap agar semuanya baik dan Alysaa kembali pulih seperti sedia kala.


Doktor pakar ENT membekalkan Alysaa dengan pil prednisolone untuk dos penggunaan seminggu. 


Kalaulah boleh penyakit tu berpindah pada aku, aku sanggup asalkan Alysaa sihat semula. 


Kerja bertimbun-timbun yang aku tinggalkan kat pejabat selama menjaga Alysaa di wad dan membawa Alysaa untuk temujanji dengan doktor-doktor pakar baru hari ni dapat disiapkan. Aku ingat kalau boss marah sebab aku tak masuk kerja dan tak siapkan kerja kemudian dia pecat aku, aku terima je. Sebab Alysaa lebih penting dari segalanya. Aku tak takut pun kalau dia marah sebab kalau dia berada kat tempat aku, mesti dia pun akan buat benda yang sama.


Aku sedih ni. Tak ada masa nak buat lawak.


Aku cuma harap Alysaa kembali pulih macam dulu. 
Nantilah, bila senang-senang aku letak gambar Alysaa di wad 8D.

Wednesday, October 13, 2010

Tips berbelanja dengan cemerlang (untuk poket anda menjelang hujung bulan)


Aku mengaku, dulu-dulu aku sangat kuat berbelanja. Lagi-lagi sewaktu masih bergelar pelajar di IPT. Pantang ada duit sikit mesti gatal kaki nak melawat mana-mana kompleks membeli-belah yang berdekatan dan seterusnya terlibat dengan urusan meng'kayakan' tokey kedai. Ada-ada saja yang aku beli walaupun benda tu sebenarnya tidaklah begitu penting. Sampaikan banyak yang tak terpakai. Tak guna betul!


Aku rasa faktor utama yang mendorong sifat boros berbelanja aku pada waktu itu mungkin sebab aku belum rasa lagi bagaimana jerih-perihnya nak mencari atau menghasilkan duit. Yang aku mahir sangat pada waktu tu mungkin cuma cara-cara bagaimana untuk menghabiskan atau meleburkan duit dalam sekelip mata. Ini bukan trick silap mata okeh. Jadi, ia memang betul-betul tak guna!


Tapi sekarang, bila aku dah rasa bagaimana seksanya nak menunggu genap sebulan untuk terima gaji setelah berhempas-pulas menyiapkan kerja-kerja pejabat yang gila banyak, barulah aku tau menghargai benda yang dipanggil duit tu. Setiap sen duit tu adalah titik peluh aku. Heh, macam iklan beras yang ada Raja Farah masa kecil. Setiap butir beras adalah setitik peluh petani.


Jadi, aku nak turunkan beberapa tips yang aku selalu amalkan sebelum dan sewaktu keluar berbelanja. Suka hati kamulah nak ikut atau tak.




  • Buat senarai barang yang perlu dibeli. Utamakan barang-barang keperluan. Barang-barang yang lebih kepada kehendak jiwa tu, letakkan di senarai paling bawah. Kalau ada duit lebih baru beli. Tapi kalau barang tu kau dah lama impikan sejak 6 bulan lepas hingga terbawa-bawa menjadi mimpi ngeri di malam hari, sila beli segera untuk mengelakkan kerosakan bahagian dalaman otak.


  • Jangan bawa duit dalam jumlah yang banyak. Kalau boleh bawa duit cukup-cukup untuk barang yang dibeli sahaja. Bila kamu tahu dalam bag duit ada banyak duit, perasaan ingin memborong seisi kedai beserta dengan tuan punya kedai sekali akan muncul dengan membuak-buak. Tapi tak apalah kalau bawa duit lebih sedikit, in case untuk kegunaan di waktu yang tak terduga. Contohnya terlenyek kereta control anak orang dan bapanya pula memiliki tubuh yang sasa dan tegap.


  • Jangan fikir semua barang berjenama tu bagus sangat. Banyak juga barang kurang berjenama yang lebih berkualiti berbanding yang berjenama. Aku banyak pengalaman dalam hal ni. Beli barang berjenama ni seumpama membayar untuk jenamanya sekali. Jadi disebabkan itu, aku dah ada senarai sendiri jenama yang betul-betul boleh dipercayai dan betul-betul berkualiti bukan hanya bersandarkan pada jenama semata-mata. Aku takkan sanggup membayar RM99.00 untuk sepasang selipar jepun berjenama G***S yang rupanya saling tak tumpah dengan selipar tandas aku di rumah. Cet!


  • Terus menuju ke kedai yang ingin dituju dan pulang. Amalan ini bagus diamalkan di pertengahan bulan atau hujung-hujung bulan di mana poket semakin kering dan susutnilainya juga bertambah. Kalau kamu gatal juga nak meronda-ronda ke kedai-kedai lain dengan alasan hanya untuk window shopping dan kemudian terbeli pula sebuah bag tangan, jangan salahkan ibu mengandung kalau kamu terpaksa telan nasi dengan garam sahaja sementara menunggu gaji keluar. Window shopping sambil tutup mata dengan sleeping eye patches dibolehkan.


  • Jangan terpedaya dengan helah jualan murah. Kena tengok betul-betul, memang murah ke barang yang dijual tu? Ada kedai yang kononnya buat jualan murah dan bagi potongan harga sekian-sekian, tapi rupanya harga yang ditawarkan adalah harga sebenar barang tu sebelum jualan murah tu lagi. Itu pun nak ajar ke?


  • Elakkan pakai kad kredit. Mentang-mentang tinggal gesek kad je, kau pun belanja tak ingat dunia. Ingat gerek sangat ke pakai kad kredit? Semua orang pun boleh pakailah sekarang ni. Kelebihannya cuma tak perlu bawa duit tunai dalam kuantiti yang banyak. Tapi kekurangannya sangat banyak wehh. Dah nama pun kad hutang. Makin banyak kau gesek kad tu, makin banyaklah kau kena bayar. Lantaklah, bukan pakai duit aku pun kau bayar hutang kan?


  • Kalau boleh tak perlu bawa anak. Tapi aku sendiri pun jarang tak bawa anak kalau keluar berbelanja. Masalahnya kalau bawa anak ni, semua yang dia tengok, semua dia nak beli. Kalau yang mak bapa jenis hati batu, telinga batu dan muka batu iaitu jenis yang tak kisah bila anak dah meraung-raung sambil tolak rak-rak barang di Tesco sampai tumbang sebab tak dapat barang yang dia nak, tak kisahlah. Tapi kalau jenis mak bapa yang sangat lembut hati, penyayang, pemurah dan tak sanggup nak menghampakan anak-anak, tu yang jadi masalah. Aku kalau baru dapat gaji akan masuk kategori kedua. Tapi kalau poket dah kemarau, akan masuk dalam kategori pertama. Fleksibel.


  • Berbelanja di tempat yang menawarkan pengumpulan mata ganjaran atau points. Serius. Points tu kalau dah tukar dengan baucar tunai, sangat menggembirakan hati. Macam tahun ni aku berjaya kumpul 1,200 mata di sebuah pasaraya dan dapat baucar tunai bernilai RM60.00. Okeh la tu kan?
Cukuplah kot? Biasanya ni saja yang aku amalkan setiap kali keluar berbelanja. Tapi tips ni semua tak sesuai untuk golongan berpendapatan tinggi dan hidup mewah sebab mereka banyak gila duit dan tak perlu risau tak cukup duit sampai hujung bulan. Yang penting, amalkanlah budaya menabung setiap bulan walaupun sedikit untuk kesejahteraan masa depan.

Monday, October 11, 2010

Kisah cinta si DOL



Tiba-tiba aku teringat kisah ni. Kisah lama yang aku tak berapa tau nak kategorikan bergenre apa.

Mula-mula aku nak tanya. Ada tak budak sekolah rendah yang tak comel? Aku rasa semua budak sekolah rendah comel-comel. Kalau tak percaya, cuba belek balik gambar-gambar zaman tok kaduk yang kamu simpan dalam album gambar lama. Bandingkan dengan sekarang. Comel kan masa tu? 

Jadi, kisah aku kali ni adalah berkisar tentang memori aku di zaman lagu-lagu rock kapak tengah hangat gila kat pasaran. Zaman sekolah rendah. Bukan pasal cikgu Abu Bakar yang suka rotan tapak kaki  pelajar yang tak hafal sifir. Atau pasal Cikgu Rosyati yang jual majalah Bintang Kecil dengan cara bayaran ansuran kepada pelajar tapi selalu membebel kalau aku cuma bayar RM0.20 sahaja tiap kali dia buka buku hutang. Ataupun pasal Ustaz Mohsin yang suka pakai seluar jenama Pop Soda yang ketat.

Ini kisah cinta budak-budak kecil. Yang lap hingus pun belum mahir lagi. Bawa duit belanja RM0.50 setiap hari, ada hati nak ngurat anak dara orang. Tak sarkastik kan? Aku harap watak utama dalam cerita ni tak baca blog aku ni. Tapi kalau aku tengok-tengok gayanya sekarang ni, agaknya blog pun dia tak tau apa benda. Mungkin batu blok dia tau lah. Menangis agaknya kalau dia baca statement aku ni. Lagi-lagi kalau dia sebenarnya seorang IT Manager. Tapi kalau berdasarkan motor kapcai kokak yang dia selalu pakai ke hulu dan ke hilir tu, tak mungkin pula rasanya.

Kisah ni kelakar sebenarnya. Bagi akulah. Aku pun tak perasan sejak bila si Dol (bukan nama sebenar) start suka kat aku . Cet, macamlah si Dol tu Aaron Aziz. T_T. Kalau tak masa darjah 5, mungkin darjah 6. Seingat-ingat akulah, aku mula perasan budak ni lain macam sikit bila masa belajar dalam kelas dia selalu tenung-tenung dan renung-renung aku. Lepas tu kawan-kawan dia selalu sampaikan salam dia kat aku. Yang kelakarnya, kami duduk dalam satu kumpulan waktu tu. 

Kalau nak describe pasal budak ni, senang je. Dia ni jenis yang selalu dapat nombor corot-corot dalam kelas. Gelabah, kelam kabut, lepas tu jenis yang selalu kena buli-buli. Oohh, really not my type! Aku sendiri pun selalu perambat dia dengan batang penyapu kalau tiba turn kami bertugas, dia pula pergi sembunyi belakang blok sekolah nak elak dari sapu kelas. Kerja sekolah pun selalu tak siap, dah tu cikgu selalu suruh aku ajar dia.

Yang lawaknya, dulu kan ada satu fenomena suruh kawan-kawan tulis biodata dalam buku autograf. Ingat tak? Aku suruh lah si Dol ni tulis biodata dengan ucapan dia dalam buku aku. Dua tiga hari juga baru dia pulangkan. Bila aku buka, dia punya ucapan memang best. Dia siap bahasakan diri dia abang dalam tu. Aku punya geram, aku pergi tarik telinga dia kuat-kuat, lepas tu suruh dia padam semua perkataan abang dalam tu dan ganti dengan perkataan aku. Geli-geleman aku baca. Lepas tu suka bagi aku hadiah entah apa-apa. Tak ingatlah aku campak ke mana barang-barang yang dia bagi.

Aku selalu sound direct dengan dia yang aku tak suka dia. Aku tak hingin dengan dia langsung. Tapi dia buat muka kerang busuk. Kuat semangat betul si Dol ni. Bila bulan puasa, waktu semua budak tengah sibuk-sibuk bertukar-tukar kad raya, dia boleh bagi aku kad raya sampai berbelas keping. Setiap hari sekeping kad. Sampai aku ngamuk suruh dia stop, baru dia stop.

Hari-hari aku marah dia. Caci-caci, maki-maki. Tapi dia tak ada perasaan langsung. Tak taulah hati dia tu buat dari apa. Last-last aku malas nak layan si Dol ni. Lantak kaulah nak feeling sorang-sorang. Sampailah budak-budak kelas semua tau dan sibuk gabung-gabungkan nama aku dengan dia. Ewwww!! Aku sangat tak suka dengan Dol tu!

Masa pun berjalan. Habis UPSR dan dah dapat result, kami pun bertukar ke sekolah menengah. Tapi kami dah tak sekelas lagi. Best gila aku rasa. Tapi masih ada juga yang panggil aku dengan nama gabungan yang aku benci tu. Dem! Aku ingat si Dol ni dah lupa kat aku sampailah satu hari aku dapat tau yang dia ada simpan gambar aku dalam bag sekolah dia. Itu pun ada kawan aku yang bagitau. Terkejut besar aku. Mana pula dia dapat gambar aku? Apa lagi, aku pun pergilah serang dia dan minta balik gambar aku tu. Memang ada! Bukan sekeping, tapi berkeping-keping. Gambar saiz pasport pakai uniform sekolah untuk buat kad perpustakaan awam kalau tak silap. Dia kata, dia jumpa gambar aku tercicir kat bus stop. Dah tu, kenapa tak pulangkan kat aku? Sengal betul mamat ni. Heh, padahal muka aku dalam tu kelakar gila. Aku pun tak sanggup nak tengok lama-lama. Boleh pula dia simpan baik-baik dalam bag sekolah dia.


Aku rasa sampai tingkatan 2 atau 3 kot baru dia stop suka kat aku. Lama juga kan? Agaknya kalau dia tu hensem, pelajar terbaik sekolah atau atlit sekolah yang femes, mungkin ceritanya lain kot? Ada sikit diskriminasi ;p. Tapi dengan Dol ni, walaupun aku tak suka kalau dia suka aku, tapi aku tetap berkawan dengan dia macam biasa. Aku suka kawan dengan dia ni sebab aku boleh kutuk-kutuk dia tanpa perasaan, tunjal-tunjal kepala dia, cubit-cubit dia sampai lebam-lebam dan suruh dia buat apa-apa je. Aku rasa kalau aku suruh dia jadi kuli tanpa gaji kat rumah aku pun dia sanggup.


Apapun, akhirnya dia dapat juga cari budak perempuan lain yang betul-betul suka kat dia, kot? Berkepit memanjang walaupun dah habis waktu sekolah. Aku pun tumpang gembira. Gembira sangat sebenarnya sebab dah tak ada gangguan-gangguan jiwa lagi. Maaflah ya Dol. Tak ada jodoh kita.


Tapi aku salute kat dia sebab dia berani express perasaan dia dan sangat tabah menanti walaupun tak dapat imbalan yang dia harapkan. Tak macam budak lain yang tak berani luahkan perasaan dan cuma selit surat cinta dan kad raya bawah meja. Heh!! 


Pengajaran dari cerita ni, cinta tak semestinya memiliki. Sadis betul!

Thursday, October 7, 2010

Sup gearbox punya cerita


Kerja opis berlambak-lambak atas meja aku. Kalau boleh nak panggil jengkaut kasi tolak semua pergi tepi. Tapi tak boleh sebab aku takut dapat surat perlucutan jawatan.


Tiba-tiba mengada-ngada pulak nak masuk blog sekejap. Seterusnya tangan ni menggatal pulak nak taip entri baru. Memang aku pekerja contoh yang serba boleh. Selain komited pada kerja aku juga sangat versatile serta multifuntional sebab boleh buat banyak kerja dalam satu masa. Serius. Kalau kat rumah aku boleh masak sup daging sambil basuh baju pakai mesin basuh automatik. Erk, tak hebat eh?


Alysaa belum ada perkembangan positif. Masih macam tu. Tapi takkan aku asyik nak fikirkan tentang tu sampai kerja lain tergendala. Life must go on. Sekurang-kurangnya Alysaa cuma alami sedikit masalah di bahagian sebelah wajah sahaja dan masih aktif melakukan aktiviti 'memecahkan tongkang' di rumah. Dia juga boleh ke sekolah seperti biasa tanpa sebarang masalah kecuali sedikit masalah sebutan yang pelat pada sebahagian huruf. Semoga Alysaa cepat sembuh ya sayang.


Tadi ada sebut pasal sup kan? Tiba-tiba aku teringat pada satu kisah yang terjadi minggu lepas. Bukanlah cerita gempak tapi kalau diingat-ingat balik dah cukup meremangkan bulu kaki aku.


Aku ni jenis yang taklah memilih sangat dalam bab-bab pemilihan lokasi tempat mencekik ni. Kat mana-mana pun boleh makan asalkan halal dan bersih. Gerai tepi jalan pun okeh.


Nak dijadikan cerita, hari tu kami sekeluarga teringin pula nak makan sup. Tak kisahlah sup apa. Tapi biasanya kami order sup gearbox dan sup daging yang dimakan dengan nasi putih atau roti sandwich. Kebetulan tempat kami selalu lepak sambil makan sup tu tutup pula pada hari tu. Jadi terpaksa cari inisiatif lain. Teringat ada satu lagi gerai yang jual aneka jenis sup. Memang tak pernah makan kat situ. Jadi apa salahnya cuba.


Bila sampai gerai tu dan park kereta bersebelahan dengan tempat buang sampah, aku dah rasa macam menyesal pula pergi situ. Tapi tak apalah. Lagipun tempat buang sampah tu agak jauh juga dengan meja tempat kami duduk. Aku pandang keliling. Tak ada pelanggan lain. Mungkin sebab gerai tu baru buka kot? Meja-meja dan kerusi-kerusi kat situ macam buruk-buruk dan kotor. Tak apa lagi. Mungkin sebab belum kena lap lagi. Suami pergi order sup gearbox dan sup ayam. Biasanya sup gearbox untuk suami dan aku, sup ayam atau daging untuk anak-anak.


Pemilik gerai seorang lelaki separuh umur berbadan tegap yang bekerja sendiri. Tak ada pembantu langsung. Dah tu muka serius memanjang. Tak mesra alam langsung.


Bila makanan dah sampai, bulu roma aku dah mula meremang. Pinggan nasi dan mangkuk sup beserta sudu-sudunya sangat kotor! Pinggan kaca berbunga-bunga yang lutsinar tu berdaki-daki hitam kat bahagian bawah. Kau boleh telan nasi tak kalau macam tu? Dah la tu, nasinya pula jenis yang paling murah kot? Sudu dan garfu pula berminyak-minyak. Gelas jangan katalah. Nasib baik ada straw. Tapi masa nak minum tu aku terfikir lagi, entah-entah straw tu pun recycle juga kot? What the?? Macamana aku boleh sesat sampai sini?


Disebabkan tak nak membazir, aku jamah sikit je. Itupun makan nasi yang kat bahagian atas-atas je. Tak sanggup aku nak sentuhkan sudu pada permukaan pinggan tu dan kemudian sumbat ke mulut. Oh, tidak!! Kalau supnya sedap tak apa juga. Kata suami, dia pun rasa macam nak muntah. Sup ayam dan gearbox tu tak segar langsung. Macam yang dah berhari-hari, lepas tu dimasak semula. Beza sangat dengan sup yang kami selalu makan di gerai yang satu lagi tu. Gerai tu memang femes dan memang sedap. Memang penuh memanjang. Belum sampai malam semuanya dah licin disapu orang.


Akhirnya kami pun berhenti makan. Tak sanggup lagi rasanya menanggung derita. Semuanya tak habis. Sup gearbox tak bersentuh pun. Aku dah bersumpah tak nak datang situ lagi. Disebabkan itulah sampai sekarang tekak aku geli-geli gatal kalau sebut sup-sup ni. Kepala pun rasa kembang semacam.


Sekurang-kurangnya aku perlukan 2,3 bulan untuk pulih sepenuhnya dari trauma ini. Cilakak!!

Tuesday, October 5, 2010

Perjalanan panjang yang melelahkan - demi Alysaa

Peringatan: Ini adalah sebuah kisah yang sangat panjang. Aku dah bagitau awal-awal okeh.


Bell's Palsy ialah penyakit lumpuh saraf muka yang menyebabkan ketidakmampuan mengawal otot muka pada sisi yang terkena penyakit ini. Untuk keterangan lanjut, rujuk di sini.


Alysaa Najwa Mineka adalah kembar kepada Alyaa Nazura Mineka. Aku mula mengesan adanya kelainan pada wajah Alysaa lebih kurang setahun yang lepas. Muka Alysaa senget dan tak simetri. Dan itu sangat menakutkan. Keadaan itu menyebabkan Alysaa tak boleh makan, minum, bercakap, menutup mata, tersenyum dan ketawa dengan sempurna. Letakkan diri kamu di tempat aku. Hal itu sangat-sangat memberi impak kepada perasaan aku sebagai seorang ibu. Sangat-sangat!


April 2009
Rawatan di sebuah poliklinik telah membawa kami dirujuk terus ke sebuah hospital besar dengan menaiki ambulans. Situasi sedih terjadi sewaktu Alysaa menaiki ambulans dan terpaksa berpisah dengan kembarnya. Alyaa meraung semasa ambulans mula meninggalkannya dan Alysaa menangis sayu di pangkuan aku dalam ambulans. Dan itu sangat meruntun jiwa.


Alysaa di masukkan ke wad pediatrik selama 2 hari. Waktu tu aku sedang mengandungkan si gorjes Rayyan - 8 bulan. Walaupun terasa agak payah untuk bergerak apatah lagi terpaksa menjaga Alysaa di dalam wad, itu semua langsung tak terasa sebab Alysaa lebih penting. Alhamdulillah, doktor mengesahkan penyakit Alysaa tidak begitu teruk dan masih boleh dirawat. Dengan bekalan sejenis ubat yang perlu dihabiskan dalam tempoh 2 minggu serta ubat titik mata untuk mengelakkan matanya menjadi kering akibat tidak boleh ditutup dengan sempurna, kami pun dibenarkan pulang ke rumah. Berkat doa dan usaha yang kami buat termasuk berubat secara tradisional, penyakit Alysaa nampaknya semakin membaik.


Oktober 2010
Sabtu (2 Oktober 2010) - Aku terperasan raut muka Alysaa agak pelik petang tu waktu dalam kereta. Dia terbangun dari tidur dan terus menangis. Waktu tu lah aku perasan wajah Alysaa sama macam setahun yang lepas. Tersentap aku dan suami sebab kami tak jangka langsung penyakit tu boleh datang semula.


Ahad (3 Oktober 2010) - Kami sekeluarga menghadiri majlis sambutan Hari Raya di tadika anak kembar aku. Waktu di majlis tu aku sedih sangat sebab Alysaa tak boleh minum dengan sempurna. Air dan buah tembikai yang dimakannya meleleh di hujung bibir. Sedih tak sedih? Aku berdoa sangat supaya Allah pindahkan penyakit tu pada aku dan pulihkan keadaan Alysaa seperti sedia kala.


Isnin (4 Oktober 2010) - Aku ambil cuti hari ni. Pagi-pagi lagi kami dah bertolak ke hospital besar di mana Alysaa pernah dirawat dulu. Bila sampai di Klinik Pakar Pediatrik, aku hulurkanlah kad klinik Alysaa. Tapi kata nurse yang jaga kaunter, kami perlu ada surat rujukan dari doktor klinik luar untuk dapatkan rawatan kat situ. Hai, rekod lama kan dah ada? Kata sistem kat sini canggih? Oh, aku lupa! Biasalah, tempat macam ni penuh dengan birokrasi! Jadi, kami terpaksa berpatah balik ke Pasir Gudang untuk dapatkan surat rujukan dari mana-mana doktor.


Jam 10.40 pagi, kami sampai di Polilkinik Pasir Gudang. Bila dah daftar, aku pun menujulah ke ruang rawatan pesakit luar. Masya Allah! Ramai gila umat. Rasanya ada lagi 100 orang lebih kot sebelum tiba nombor giliran aku. Peliklah, kalau hari Isnin mesti ramai orang sakit. Agaknya sakit yang dikumpul-kumpul sejak hari Sabtu kot sementara nak tunggu klinik buka. Disebabkan faktor masa, takut nanti Klinik Pediatrik kat hospital tu tutup, maka kami ambil keputusan ke Hospital Waqaf An-Nur sebab biasanya pesakit kat situ tak seramai poliklinik ni.


Jam 11.00 pagi, sampai di Hospital Waqaf An-Nur. Pun ramai orang walaupun tak seramai yang tadi. Jam 12.30 tengahari, baru nombor giliran naik. Bila masuk jumpa doktor dan aku bagitau pihak hospital minta surat rujukan, doktor tu pun membebel. Dia kata, hospital tu memang selalu macam tu! Dah ada rekod pun nak surat rujukan lagi. Hah, aku ingat aku sorang je yang fikir macam tu. Hampir pukul 1.00 tengahari baru kami tinggalkan hospital tu. Disebabkan sekeping surat je!


Lepas singgah makan tengahari, kami teruskan perjalanan semula ke hospital yang mula-mula tadi. Hujan lebat pula mengguyur kami. Lebih kurang jam 2.00 petang kami pun selamat sampai ke hospital. Jam 2.15, sampai di kaunter pendaftaran Klinik Pakar Pediatrik tadi. Oh, sudah tukar nurse! Aku terus hulur surat rujukan. Malas nak cerita panjang. Nasib baik nursenya sangat peramah dan lemah-lembut. Sejuk sikit hati. Bila dah tanya lebih kurang tentang penyakit Alysaa, dia pun bagi tarikh temujanji untuk jumpa doktor pakar. Hah, tak boleh terus jumpa hari ni? Dia bagi aku tarikh 18/10/2010. Gila kau! Lagi 14 hari aku terpaksa tunggu dan saksikan penderitaan anak aku depan mata sendiri? Aku tak puas hati. Aku tanya dia, kenapa tak boleh jumpa hari ni? Tak bahaya ke penyakit ni dibiar lama-lama baru nak dirawat? Dia kata nak tanya doktor dulu macamana. Okeh, at least aku puas hati.


Dia suruh aku duduk dulu, nanti dia panggil balik. Lepas bercakap dengan doktor dalam telefon, dia panggil aku balik. Dia kasi tarikh baru, 15/10/2010. What the?? Bukan ke tu sama je? Okeh, aku tak faham sangat pasal prosedur klinik pediatrik ni. Tapi masalahnya, doktor pun tak tengok langsung situasi dan kondisi anak aku. Bila aku tanya nurse tu balik, macamana kalau terjadi apa-apa dalam tempoh 11 hari tu, senang je dia jawab. Bawa la pergi unit kecemasan. Oh, ayat yang sangat indah di telinga aku. Aku tanya balik, doktor kata apa? Nurse tu jawab, keadaan anak aku bukan dikategorikan sebagai kecemasan sebab anak aku masih boleh berlari-lari riang dan bergelak ketawa dengan kembarnya. Okeh, fine! Apa lagi aku boleh buat? Mengamuk sambil lempar meja pendaftaran tu kat muka nurse tu atau pergi cari doktor pakar tu dan gigit telinga dia?


Aku macam mati kutu. Tak tau nak buat apa lagi. Untuk hilangkan rasa marah dan kecewa, kami lepak kat sofa klinik tu sambil bincang-bincang dan maki-maki sikit. Finally, aku usulkan supaya kami jumpa semula dengan mana-mana doktor untuk lebih kepastian tentang penyakit Alysaa ni. Jadi, lebih kurang jam 2.50 petang kami bertolak balik ke Pasir Gudang dan menuju ke poliklinik yang aku tinggalkan tadi sebab ramai sangat pesakit. Sampai situ lebih kurang 3.15 petang. Nombor giliran yang aku dapat pagi tadi dah lama terlepas. So aku tanya kaunter pendaftaran, masih boleh guna ke nombor tadi? Dia kata tak perlu ambil nombor baru. Pakai je nombor giliran tadi dan terus masuk ke dalam bilik doktor. Bagi reason, tadi ramai sangat orang. Maka aku pun masuk. Sempat pula doktor tu bebel, dah datang tadi kenapa balik pula? Balik masak ke? Nasib baik aku tak cepuk mulut doktor tu dan nasib baik dia tak banyak soal. Jantung aku dah mengepam darah dengan kelajuan maksimum masa tu. Aku dah plan, kalau dia nak bebel-bebel lagi, aku ingat nak sound doktor tu, doktor, jantung saya dah nak tercabut ni. Tolonglah jangan begini. Heh. Baik kan?


Penerangan dari doktor tu tentang situasi Alysaa agak menenangkan hati aku. Disebabkan Alysaa tak berada dalam kondisi yang mencemaskan, maka aku dinasihatkan agar tunggu je lah tarikh temujanji tu dengan penuh keredhaan. Maka, aku pun harus berdoa dan berusaha agar penyakit Alysaa sentiasa terkawal dan tak melarat. Ohh, kau tak berada dalam kasut aku lah!!


Kerenah birokrasi wujud di mana-mana terutamanya di jabatan-jabatan kerajaan. Dah tak boleh ubah. Kecuali kau ada kabel atau kenal orang dalam yang boleh membantu segala proses dan prosedur berjalan lancar. Di saat-saat beginilah aku sangat-sangat berharap, moga kelak ada antara anak aku yang akan menjadi doktor. Tapi doktor yang baik hati dan tak mengamalkan biroksrasi melampaulah. Maaflah kalau ada doktor yang membaca ye.


Dikesempatan ini, aku mengharapkan agar sesiapa saja yang membaca kisah ini akan turut mendoakan agar anak aku cepat sihat dan sembuh seperti sedia kala. Walaupun aku tau, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Kau tak akan rasa apa yang orang lain rasakan selagi kau tak berada dalam situasi mereka. Sob..sob..


Aku sayang gila kat pewaris-pewaris aku.

Saturday, October 2, 2010

Kenapa, kenapa, kenapa?


Banyak tanya betul budak-budak yang umurnya dalam lingkungan 4-5 tahun ni kan? Kadang-kadang sampai tak terlayan dan tak terjawab. Dalam usia macam ni rasa keingintahuan dalam diri mereka sangat tinggi. Pantang nampak benda yang pelik sikit, ringan je mulut nak bertanya. Sebagai ibu-bapa yang bertanggungjawab, aku dan papa mereka akan mencuba untuk menjawab setiap soalan yang diajukan walaupun kadang-kadang jawapan yang kami berikan cukup meraban. Habis tu takkan nak bagi jawapan yang sangat saintifik untuk soalan yang contohnya berbunyi begini, "Mama, kenapa bulan tu ikut Lyaa?". Sempat juga terbelit otak nak bagi jawapan yang ringkas dan dia faham serta paling penting dia tak sambung soalan tu dengan soalan yang lebih payah nak dicarikan jawapan. Dan biasanya jawapan yang aku bagi sangat simple. "Sebab dia sayang Lyaa.". Cuba bayangkan kalau aku bagi jawapan yang sebenar mengikut hukum alam semesta, ilmu kaji bintang dan astronomi. Heh, tak payahlah bayangkan. Silap-silap aku sendiri tak faham apa yang aku terangkan.


Antara contoh soalan PMR.. erk.. contoh soalan yang buat aku pening nak carikan jawapan adalah seperti yang dinyatakan di bawah:

  • Kenapa adik Lyaa ada dua? atau, kenapa anak mama ada tiga?
  • Kenapa tuhan buat pokok tu macam tu?
  • Kenapa tuhan buat bunga tu cantik-cantik macam tu?
  • Kenapa anak mama dah pandai baca? atau, kenapa anak mama dah pandai bercakap?
  • Kenapa boy rambut pendek?
  • Kenapa girl tu hisap rokok? (kalau nampak perempuan menghisap rokok)
  • Kenapa tali tu dari tadi ikut kita? (tali tu maksudnya kabel elektrik di tepi jalan raya yang dipandang dari dalam kereta)
  • Kenapa anjing kat tempat kerja mama ada kat sini? (kalau ternampak anjing berwarna sama dengan anjing yang 'ditugaskan' menjaga keamanan tempat kerja aku)
Susah kan soalan-soalan tu? Nasib baik tak kena jawab dalam bentuk esei dengan 350 patah perkataan. Dah tu selagi kita tak jawab, soalan tu akan terus diajukan sampai dia puas hati dengan jawapan yang kita berikan.

Emm..ingat dah tua ni tak perlu lagi nak menjawab-jawab soalan macam zaman-zaman sekolah dulu. Hukhuk..
Related Posts with Thumbnails