Friday, October 22, 2010

Takdir Allah yang pasti

Ajal maut ketentuan tuhan dan mati itu adalah pasti.


Malam tadi sewaktu aku dan keluarga sedang bersantai-santai di rumah, tiba-tiba kami mendapat satu panggilan dengan suara yang mencemaskan dari hospital. Sepupu aku menelefon memberitahu bahawa bapa saudaranya telah meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Tersentak dan terdiam kami sekeluarga. Terus terbayang wajah arwah yang juga jiran kami yang suka tersenyum, penyabar dan pendiam orangnya.


Tiba-tiba aku teringat pada keluarga arwah. Isteri dan 3 orang anak-anak arwah yang masih kecil. Ya Allah, macam manalah keluarga arwah menghadapi ni semua. Sebak betul aku rasa. Hilang sudah tempat mereka bergantung hidup. 


Seketika saja, berita itu sudah tersebar di kalangan jiran-jiran tempat aku tinggal. Ada sumber yang kata, arwah dan seorang rakannya yang turut meninggal dunia, di langgar lori sewaktu pulang dari kerja lebih kurang jam 10.00 malam tadi. Arwah yang cedera parah di kepala dan kaki, meninggal dunia di hospital dan rakannya pula meninggal dunia di tempat kejadian.


Sesungguhnya, bila-bila masa saja Allah boleh mengambil nyawa kita, kan?. Walhal arwah masih tergolong muda, belum mencecah usia 40-an lagi. Aku terfikir, kalaulah tuhan mengambil nyawa kita sedangkan amalan kita masih terlalu sedikit dan belum cukup persediaan untuk menghadapi kematian, bagaimanalah nasib kita di sana kelak ya? Aku terfikir juga, bagaimana nasib keluarga yang kita tinggalkan jika kita tidak meninggalkan apa-apa untuk kepentingan masa depan mereka. Sudahlah bekalan di akhirat tak mencukupi, bekalan untuk keluarga pun kita gagal lengkapkan.


Itulah pentingnya menyeimbangkan dunia dan akhirat. Aku tak tujukan pernyataan ni untuk arwah dan keluarganya tapi lebih kepada perasaan insaf yang terbit dari dalam diri aku sendiri dan hikmah yang muncul dari setiap peristiwa yang terjadi. Sesungguhnya kejadian malam tadi betul-betul memberi sedikit impak dalam rohani aku. Aku terfikir, kalaulah aku yang pergi dulu, macam manalah keadaannya. Tapi rasanya aku lebih sanggup meninggalkan dari ditinggalkan. 


Untuk keluarga arwah, salam takziah aku ucapkan. Semoga dapat menerima ketentuan Allah ini dengan redha. Memanglah kita turut berduka dengan musibah yang menimpa keluarga arwah, tapi takkan sama dengan apa yang mereka lalui sebab kita tak berada di tempat mereka.


Ya Allah, jauhkanlah aku dan keluarga aku dari musibah sedemikian rupa dan berikanlah kami kesempatan untuk beramal dengan sebaik-baik amalan, berusaha untuk menjadi manusia yang lebih baik.


Al-fatihah untuk allahyarham Anuar bin Syamsi. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman. Amin.

1 comment:

  1. al-fatehah.......semoga keluarga arwah tabah hadapi dugaan...

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails