Wednesday, March 30, 2011

Hikayat si ulat buku

Terlahir sebagai ulat buku sangat menyenangkan sebenarnya. Yang jadi masalahnya bila tersekat dalam satu situasi yang sangat membosankan dan kebetulan tak ada langsung bahan bacaan yang boleh dinikmati. -_-

Sedari kecil aku memang suka benar membaca. Sejak pandai membaca dan berjaya menghabiskan buku pertama dalam hidup aku yang tajuknya 1111 Tafsir Mimpi milik bapa aku, memang aku tak boleh lekang dari buku, majalah, komik, suratkhabar, label botol syampu dan kicap, atau apa saja asalkan ia boleh dibaca. Waktu makan pun mesti bentang buku depan mata. Biasanya majalah komik Gila-Gila. 

Yang jadi kegilaan waktu tu, siri buku cerita penyiasatan macam 5 Sekawan (The Famous Five) oleh Enid Blyton, Siri Salma oleh Nancy Drew, dan siri penyiasatan Hardy Boys. Kemudian ada novel tentang budak-budak sekolah asrama karya Enid Blyton juga iaitu Sekolah Seri Melur (The Malory Towers) dan Sekolah Tengku Asikin (The St. Clare). Kalau dah baca buku cerita ni, memang tak toleh kiri kanan dah. Wah, tiba-tiba rasa macam nak punggah balik kotak-kotak lama tempat simpan novel-novel ni kat rumah.


Antara koleksi novel dalam simpanan aku. Buku
cerita budak-budak dah simpan dalam kotak sebab
habis dikerjakan dek si kembar.

Bila dah meningkat remaja dan jadi ahli perpustakaan awam di tempat aku, paling kurang dalam seminggu aku akan baca 3-4 novel atau buku cerita. Untuk mahirkan Bahasa Inggeris, kadang-kadang pinjam novel orang putih yang tebal-tebal macam tak boleh habis baca. Biasanya novel Stephen King dan jarang habis baca. -_-. Tapi yang suka sangat baca, novel-novel karya R.L Stine dan siri Sweet Valley High oleh Francine Pascal. Dan masih juga baca karya-karya Enid Blyton versi asal untuk kanak-kanak :p

Novel-novel terbitan Creative Enterprise pun jadi kegemaran aku waktu tu. Novelis macam Liana Afiera Malik, Lamia Aimal, Samsiah Mohd Nor, Matt Romeo, Ujang, Norhayati Berahim memang jadi kegilaan.  Tapi yang tak boleh lupa, novel-novel karya Ahadiat Akashah. Macam satu kemestian untuk semua remaja waktu tu kan? Novel yang meletup waktu tu, Lagenda Budak Setan. Fuh! Memang novel-novel dia takkan sempat jejak kat rak buku perpustakaan lah. Berebut budak perempuan nak pinjam. Kesudahannya, kumpul duit dan beli sendiri. Lagi puas hati.

Bila novelis Habiburrahman El- Syirazi mencipta fenomenal dengan novelnya seperti Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2, aku pun tak ketinggalan juga. Novel-novel beliau ni memang buat kita terbuai dan termasuk dalam cerita. Memang superb! Tapi sebaiknya baca yang belum diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Novel tu lebih indah dalam bahasa asalnya.

Membaca buat aku rasa senang dan tenang. Kalau boleh, aku nak novel yang aku baca tu tak ada kesudahan dan tak boleh habis-habis. Cuma, bila dah semakin sibuk dengan pelbagai komitmen sebagai isteri, ibu, anak dan pekerja yang multitask, aku rasa macam hampir-hampir jadi mantan ulat buku. Suratkhabar pun jarang sempat baca. Kesian kan?

5 comments:

  1. Saya pun suka membaca..tp bc novel la plg suka..bahan bacaan lain tu bergantung pd mood..saya suka bc komik gak...(^,^)nk de koleksi sendiri..

    ReplyDelete
  2. teruskan hobi yang bermanfaat tu kerana dpt menambah pengetahuan.mungkin juga boleh memberi impak dlm bidang yg diceburi ..

    ReplyDelete
  3. saya pun sama.. suka baca..tapi rasa nak jual buku2 tu sebab simpan pun macam tak akan baca dah...agak2 boleh tak jual buku terpakai online??

    ReplyDelete
  4. samalah... dr kecik smpai k besar suma buku2 tuh saya ada baca...tingat buku2 5 sekawan, siri salma..sekolah seri melur..sweet valley....
    mmg belonggok buku...

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails