Friday, September 30, 2011

Entusias untuk lebih gemuk

Bila dah selalu kena panggil 'kering' dengan opismate aku yang kelebihan lemak tak tepu tu (heheh), maka aku pun memasang nawaitu yang agak kuat untuk menambahkan sikit je lagi berat badan aku ke tahap BMI yang lebih ideal. Sebenarnya opismate aku tu bukanlah punca utama dalam ini cerita. Encik Papa pun selalu jugak suruh aku tambahkan sikit berat badan macam zaman-zaman anak dara dulu. Mak aku pun selalu komplen yang aku nampak lebih tua dari usia dengan badan yang sekeping macam ni. (-_-) Nampak macam takde apa-apa je ayat diorang tu, tapi sebenarnya bertahap sarkastik tinggi bagi aku.

Tahap ke'sekepingan' aku takdelah setaraf dengan penghidap penyakit aneroxia. Tapi cara mereka cakap, macam lah aku ni salah seorang dari warga kebuluran kesan dari kezaliman imperialisme. Takpe, sekurang-kurangnya kata-kata kejam mereka tu aku jadikan pembakar semangat dan pencabar utama aku untuk mencapai matlamat penting aku. Fuh, semangat gila sampai kembang-kempis lubang hidung.

Entusias aku untuk lebih gemuk sikit tu aku suarakan kat laman Facebook dengan harapan adalah juga dapat sikit petua atau informasi tentang produk yang bagus untuk tambahkan berat badan. Memang banyak yang bagi cadangan, tapi cadangan yang paling bagus adalah, "kau telan batu ladung mancing saiz 18, gerenti berat badan naik". (-_-) Bernas sungguh cadangan ko tu, Mael!

Bertitik tolak dari entusias aku tu, maka aku pun akan mula mengorak langkah untuk menggapai matlamat menggerakkan sikit jarum penimbang berat badan ke nombor yang lebih tinggi lagi. Berikan aku sokongan padu dan pembakar semangat untuk mengharumkan lagi nama aku di persada mata mereka semua!! Berjuanglah!!




Thursday, September 29, 2011

Ada jin dalam rumah?

Kadang-kadang bila tidur lewat, selalu terdengar macam bunyi perabot kena tarik atau dialih-alihkan pada waktu malam dari rumah jiran sebelah. Aku tak pastilah pulak sama ada jiran aku tu  memang ada hobi pelik atau ada sesuatu yang lain kat rumah dia. Selalunya, untuk tenangkan hati, aku akan fikirkan yang positif sahaja walaupun aku tau jugak melalui pembacaan, iaitu antara tanda-tanda rumah yang turut sama dihuni oleh jin adalah, selalu kedengaran bunyi perabot ditarik atau dialihkan pada waktu malam.

Teringat satu kisah waktu aku masih belajar di IPT dan tinggal di rumah sewa, apartment 5 tingkat. Aku tak berapa ingat sangatlah jalan ceritanya secara terperinci, sebab kejadian tu berlaku di rumah kawan-kawan aku di blok apartment yang lain, tapi bersebelahan dengan apartment tempat tinggal aku. Masa malam kejadian tu, kawan-kawan aku tu rasanya sedang berkumpul kat ruang tamu. Satu rumah ada dalam 10-12 orang. Mungkin sedang belajar di meja atau sedang menonton televisyen. Serius aku tak ingat, apa kejadian yang buat mereka semua lari bertempiaran masuk ke bilik utama. Yang penting memang cukup menakutkanlah sampai buat diorang semua terkejut dan lari masuk bilik. Kalau aku ingat kan bagus, boleh buat korang meremang bulu roma. Yang aku ingat, diorang berkumpul dan bersesak-sesak dalam satu bilik sebab takut nak keluar. 

Masa dalam bilik tu, dalam keadaan serba ketakutan dengan ada yang menangis lagi, diorang dengar macam-macam bunyi dari ruang tamu. Bunyi macam perabot-perabot dibaling-baling dan ditolak-tolak dengan ganasnya, macam ada orang mengamuk. Yang aku ingat masa tu, kebanyakan meja belajar kami memang diletakkan di luar bilik sebab dalam bilik dah penuh dengan katil double-decker dan locker baju. Tak pastilah berapa lama bunyi-bunyi tu kedengaran. Yang pasti, diorang memang tak keluar dari bilik tu sampai keesokan paginya. Nasib baik master bedroom ada bilik air!

Bila dah pagi, diorang pun beranikanlah diri keluar dari bilik. Keadaan ruang tamu memang cukup tunggang langgang. Semua perabot dah beralih tempat. Siap ada meja yang bertindih-tindih macam kita susun meja kat sekolah dulu, kalau nak cuti panjang akhir tahun. Ingat tak? Misterinya, siapa yang buat macam tu? Aku ingat, kalau jumpa dengan salah sorang dari penghuni rumah tu dulu, nak tanya baliklah, dapat bongkar tak misteri malam tu?

Tapi, kewujudan jin dan benda-benda halus yang seangkatan dengannya tu, memang tak boleh dinafikan. Kalau ada yang tak percaya, maknanya dia tak percaya pada isi kandungan Al-Quran. Aku dapat ni dari blog mana entah tadi. Sekadar untuk dikongsi bersama:

Berikut adalah di antara tanda-tanda adanya gangguan samada di rumah, pejabat atau kedai:   
* Kedengaran bunyi guli jatuh di lantai.  
* Kedengaran seperti ada orang mengemas atau menarik perabot pada waktu malam.   
* Makanan yang dimasak cepat rosak dan basi (sering berlaku di kalangan peniaga makanan seperti gerai, restoran dan sebagainya).   
* Tempat berbau busuk atau kemenyan.   
* Keadaan keluarga porak-peranda.   
* Sering berlaku perselisihan faham di antara suami dan isteri.   
* Nampak kelibat, bayangan atau lembaga hitam dalam rumah.    
* Kedengaran suara orang memanggil di dalam rumah.   
* Perniagaan merosot secara tiba-tiba.  
* Sering kehilangan wang.  
* Rumah yang susah untuk dijual semula.   
* Suasana muram dan malap.  
* Sering terjumpa duit syiling 1 sen atau 5 sen di ruang atau sudut kedai atau pejabat.   
* Bayi sering menangis.

Aku rasa, semua orang mesti pernah alami sekurang-kurangnya 2 atau 3 dari perkara kat atas kan? Atau 4, atau 5, atau 6, 7, 8? Ayooo.. tak tau..

Tuesday, September 27, 2011

"Berusahalah!", kataku si blogger picisan

Terpaksalah hitamkan sebab malu nak tunjuk, amount 'banyak' sangat. :p

Ada la dalam berapa bulan sebelum ni, lama gila aku tak update blog, apalagi nak bukak website Nuffnang. Bila dah ramai kawan blogger yang tegur, kenapa dah lama tak update (budget blogger femes lah kunun), aku pun dengan hati yang separa malas pun cubalah mengupdate blog secara cincai. Sebab masa tu busy layan drama-drama korea secara online, jadi blog ni pun terabaikan. Dah update blog tu, try-trylah jenguk nuffnang kejap, mana tau pendapatan dah naik barang se 25 sen atau 50 sen, kan? Sekali tengok-tengok, woh, dapat BE sekali 5, kau! Siap dah ada yang dah jadik ME lagik. Terkujat daku sekejap. Ye la, blogger picisan macam aku ni biar betul boleh dapat BE sampai segitu sekali kan? Dahla pemalas nak update, jarang blogwalking. Mula-mula aku ingat nuffnang ni tersilap langkah ke apa. Last-last terpaksalah aku terima hakikat, yang aku kena lebih rajin update blog dan berusaha lebih kuat lagi sebab nuffnang dah bagi peluang dan kepercayaan untuk aku, kan? Dah rezeki, jadi aku pun bersyukurlah. Sekian terima kasih.

Suri rumah dan Doraemon

Aku bersyukur betul sebab tuhan dah bagi sepasang tangan dan kaki untuk aku. Tapi rasanya, kalau pun tuhan bagi aku 4 pasang tangan untuk aku, itupun masih tak cukup untuk aku gunakan bila berada kat rumah. Sekarang, boleh bayangkan tak betapa sibuknya rutin harian sebagai seorang suri rumah separa masa macam aku ni yang ada 3 orang tentera kerahan yang sentiasa sibuk 'berkhidmat tanpa disuruh'?

Bila ada yang cakap, "Apa je yang kau buat kat rumah? Takkan tak ada masa langsung?". Nak aje aku tampar mulut beliau. Tak taulah kenapa ek, bila kat rumah memang kerja tak pernah habis. Tengah buat satu kerja, dalam otak ni ligat berfikir, lepas ni nak buat apa pulak ye? Walaupun siangnya bekerja 9 to 5, bila dah balik rumah, kesibukan dan kepenatan adalah lebih berganda dari waktu 9-5 tadi tu. Bagi orang yang tak faham mungkin akan fikir, apa lah sangat yang nak dibuat kat rumah, bukanlah penat mana pun. Tapi, cuma suri rumah je lah yang tau betapa penatnya bila berada kat rumah. Lagi-lagi bagi suri rumah sepenuh masa. Aku betul-betul salute kat mereka ni sebab kerja sebagai suri rumah ni lah yang paling penat sebenarnya berbanding dengan kerja di pejabat 9-5. Betul tak?

Bila kat rumah, dari sekecil-kecil benda macam merancang untuk menu makan tengahari atau malam sampailah ke benda yang besar-besar macam merancang perbelanjaan untuk sebulan, tak termasuk lagi nak membasuh baju, menyental pinggan periuk belanga, mengemas rumah dari ruang tamu bersambung ke dapur dan bilik tidur, melipat baju, mengurus anak nak ke sekolah, mengurus anak bila kat rumah, jadi cikgu mengajar anak buat kerja sekolah dan banyak lagi hal remeh temeh yang kadang-kadang orang yang tak faham akan rasa macam, "alaa, buat jelah cepat-cepat, dah siap terus buat kerja lain pulak", rasa macam nak bagi pelempang 5 das je kan kat orang yang tau cakap je macam tu? Diorang ni tak rasa apa yang orang lain rasa, jadi memang pandai bercakap je lah. Diorang tak rasa macam mana sibuk dan penatnya kita yang buat kerja ni sampai nak sedut oksigen @ bernafas pun kadang-kadang tak sempat. Fuh~

Cuma, kalau diberi peluang, aku nak tuhan bagi aku seekor Doraemon (boleh eh seekor?). Tu je.

An An An, tottemo daisuki, Doraemon..


Monday, September 26, 2011

Dua hal itu

Ada dua hal yang sedang bergayut-gayut dalam tangkai hati aku sekarang ini dan tak nak hilang-hilang walaupun aku dah berusaha sedaya upaya untuk hilangkan.

Pertama, nenek aku yang sedang sakit teruk kat kampung. Tak boleh makan, tak boleh bercakap. Nenek memang ada masalah dengan perutnya. Tapi masalah yang lebih besar adalah, nenek susah nak dipujuk untuk pergi berubat di hospital atau klinik. Tapi kalau tak keras kepala macam tu, bukan orang tualah namanya. Umur nenek dah 70 tahun lebih. Jadi aku risau kalau ada apa-apa jadi pada nenek. Kalau boleh aku nak selalu ada kat sebelah nenek. Mujurlah ramai makcik-makcik, sepupu-sepapat dan saudara-mara aku yang boleh diharap untuk jaga nenek. Aku sayang nenek!

Kedua, bila ada orang yang nampaknya macam lebih tua 3,4 tahun dari aku pun dah mula panggil aku kakak. Senang kata, semua orang tak dikenali yang aku jumpa, semua panggil kakak padahal nampak sangat usia mereka lebih tua dari aku. Tambah lagi bila emak aku yang dah mula komplen yang aku nampak lebih tua dari usia sebenar. Hooo.. itulah ketakutan yang sebenar. Aku dah mula listkan apa yang patut aku buat, produk apa yang patut aku pakai, makanan atau minuman kesihatan apa yang perlu aku minum, pakaian macam mana yang perlu aku gayakan, jampi serapah apa yang perlu aku amalkan (kehkeh) dan nak cucuk tang mana botox tu nanti (kahkah). Okeh, yang jampi serapah dan botox tu aku tipu.

Ketakutan untuk kehilangan seseorang yang kita sayang dan juga kebimbangan untuk melewati usia tua adalah dua hal yang aku rasa adalah kebimbangan terbesar dalam diri semua orang terutamanya perempuan normal. Jadinya, aku masih tergolong dalam golongan perempuan normal yang takut nak kira bilangan kedut di bahagian mata, takut nak rasa kekenduran kulit akibat kehilangan kolagen, takut untuk rasa lenguh dan penat sebab kehilangan jisim tulang dan takut untuk rasa perit serta sedih sebab kehilangan orang yang aku sayang. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi 2 hal yang nak atau taknak, lambat laun akan tetap aku hadapi, kecuali kalau aku pakai produk Olay Regenerist atau aku yang pergi dulu.

Rayyan dan moyangnya merangkap nenek aku. Cepat sembuh, nek!

                                                                   


Saturday, September 24, 2011

Syukur

Selalu mengeluh. Itu tak cukup, ini tak bagus. Kenapa tak dapat tu, kenapa tak sama macam dia. Letih, bosan, penat. Tak bersyukur langsung!

Padahal diberi peluang untuk hidup lagi bila bangun setiap pagi, diberi nikmat melihat, mendengar, bercakap, merasa, diberi kesihatan yang baik untuk buat semua benda yang kita boleh buat, diberi sebuah keluarga yang bahagia, diberikan rezeki dan punca rezeki yang halal, dikurniakan dengan orang-orang tersayang yang buat kita tersenyum setiap hari, itu dah terlalu BESAR nikmatnya.

Syukur, alhamdulillah. Terima kasih Allah!

Wednesday, September 21, 2011

Mati yang pasti

Mendapat dua berita kematian pagi ini menerbitkan rasa insaf dan gerun pada diri. Betapa kematian boleh mendatangi kita bila-bila masa tanpa amaran awal. Begitu banyaknya khilaf dan dosa. Betapa sikitnya amal dan bekalan. Ditimbang dan disukat, masih jauh timbangan kanan nak selaras dengan yang kiri. Bila dah tiada, orang terus lupa pada kita. Hilang jejak dan kesan. Mohon dari Allah, semoga sempat beramal bakti dan kumpul cukup bekalan untuk akhirat yang pasti.

Al fatihah untuk Allahyarham Shamsudin dan Allahyarhamah Kak Esah, dua kenalan keluarga aku yang telah dijemput pulang ke sisi pencipta-Nya pagi ini. Semoga Allah merahmati dan meletakkan mereka di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Tuesday, September 20, 2011

Antologi kisah-kisah teladan Sang Kancil


Kisah 1

Masa zaman sekolah-sekolah dulu, memang tipulah kalau tak pernah sangkut dengan cinta monyet, kan? Jadi, 'monyet' yang tersangkut dengan aku adalah seorang mamat cute mute yang asal dari Kelantan. Memang cukup cute sebab berdarah kacukan Pak-pak Arab. Hensommm! Masa tengah hangat-hangat dok bercinta tu, walaupun jarang jumpa dan cuma berinteraksi pakai surat dan telefon, ada lah sorang kawan baik aku ni bagi pesanan percuma kat aku. Dia kata, " Kau kena hati-hati sikit dengan orang Kelantan ni, sebab biasanya diorang ni suka kahwin banyak! ". Aku diam saja sebab umur pun baru 17 tahun, takdelah aku fikir sampai bab-bab kahwin lagi kot. Lagipun bukan orang Kelantan saja kot suka kahwin banyak, lelaki lain dari ceruk mana pun nak kahwin banyak kalau ada kesempatan. Dipendekkan cerita, cinta monyet aku tu taklah bertahan lama sangat. Habis tahun pertama aku belajar kat kolej, hubungan kami pun putus sebab perhubungan jarak jauh yang banyak sangat cabarannya. Tup-tup bila aku dah habis belajar, aku dapat kad jemputan kahwin dari kawan baik aku tu. Dia nak kahwin dah. Jodohnya, dengan seorang mamat Kelantan. (-_-") Tapi bukan dengan ex aku tu lah.

Kisah 2

Ada sorang jiran aku ni, suka sangat cerita pasal tepi kain orang lain. Kalau dah start bercerita, dengan tangan-tangannya sekali ikut bercerita. Anak si polan macam tu lah, laki si A macam gini, bini si B macam  gitu. Yang aku tak boleh lupa bila dia kata, anak dan laki si D tu perangai buruknya suka ngintai orang mandi dan suka curi baju dalam orang! Dia siap bagi nasihat, kalau nak jemur barang-barang belah dalam ni, jangan letak luar rumah. Kalau terpaksa jemur kat luar rumah pun, jemur selit-selit jangan bagi orang senang nampak dan senang nak curi. Baiklah. Tak lama lepas tu, dapat tau rupanya orang yang suka merayap-rayap waktu-waktu orang tengah mandi dan orang yang suka curi pakaian dalam tu rupanya anak lelaki dia sendiri. Lama jugak dia tak keluar rumah dan tak bercampur dengan orang keliling.

Kisah 3

Aku tak suka betul layan drama-drama Korea ni. Bila adik-adik aku dah start layan drama yang pada aku meleret-leret, budget-budget comel, dan entah apa-apa tu, mesti aku kutuk habis-habisan. Sampai diorang dah naik muak bila aku dah start upacara membebel-bebel kat belakang diorang masa drama Korea tengah bersiaran. Beberapa tahun kemudian, aku secara tak sengaja, tersangkut dengan drama Korea, Boys Over Flowers yang buat aku betul-betul ketagih dan tak senang duduk nak tau apa ending cerita ni. Diikuti dengan drama You're Beautiful, Marry Me Mary, My Girlfriend is a Gumiho, Full House dan bla,bla,bla. Adik-adik aku tanpa disuruh telah memulangkan paku buah keras secara nonstop dan penuh sinis serta sadis hingga hampir merosakkan telinga aku. Tapi, ada aku kesahh?

Intipati dari 3 kisah yang aku ceritakan kat sini adalah, kadang-kadang apa yang kita cakap tanpa menggunakan akal dan fikiran sihat akan kena kat kita balik. Kau faham tak, kena kat kita balik!! Jadi, bila nak bercakap atau nak mengutuk, fikir sekejap, confirmkah benda ni tak kena kat aku balik nanti? Fikir, fikir..Nanananana..

Wednesday, September 14, 2011

Aku jadi Sigourney Weaver malam tadi

Kami duduk semeja beramai-ramai di kedai tu. Seingat-ingat aku, ada dalam 10 orang atau lebih duduk di meja petak panjang tu. Semuanya aku tak kenal, kecuali mak aku sorang. Ada dua orang perempuan Cina sibuk mempromosi barang yang mereka jual. Macam sejenis makanan kesihatan atau apa entah. Seorang nyonya-nyonya dalam lingkungan umur 40-an, dan seorang lagi amoi-amoi dalam lingkungan umur 20-an. Amoi tu tak banyak cakap, cuma nyonya tu yang tak nak berhenti bercakap. Emak aku lah sasaran utama diorang sebab emak aku ada kedai runcit, jadi mereka nak letak produk mereka di kedai emak aku.

Kemudian nyonya tu keluarkan beberapa keping pamplet tentang produk mereka. Aku memang malas nak layan. Nyonya tu tunjuk satu pamplet kat aku. Ada gambar biskut raya yang dibesarkan pada saiz separuh A4. Siap dengan keratan rentas untuk tunjukkan apa isi dan bahan yang ada dalam biskut petak tu. Peliklah. Jual satu jenis je ke? Gumamku dalam hati. Kata nyonya tu, biskut ni sedap dan sesuai untuk dihidang Hari Raya ni. Memanglah kau kata sedap, sebab kau nak suruh aku beli. Masih bergumam dalam hati. Kemudian, aku terfikir, biskut raya buatan Cina bukan Muslim? Sedikit rasa geli geleman muncul kat tekak aku.

Mungkin sebab tengok aku tak berapa nak layan, nyonya tadi diam. Pandangan aku tertumpu pada beberapa orang lelaki yang duduk berhadapan dengan aku. Seorang lelaki separuh baya, seorang lagi dalam lingkungan  akhir 30-an dan seorang lagi kanak-kanak yang berusia lebih kurang 11 atau 12 tahun. Aku agak mereka ni satu keluarga. Yang agak tua tu bapa kepada lelaki 30-an,  budak kecil tu cucunya dan lelaki 30-an tu bapa kepada budak kecil tu sekaligus anak kepada lelaki yang agak tua tu. Kenapa pulak aku cerita detail tentang mereka ni? Ah, baca jelah.

Waktu tu aku rasa semua mata tertumpu pada mereka bertiga. Mungkin sebab keletah budak lelaki tu yang tak boleh nak diam. Sekejap melompat ke pangku ayahnya dan sekejap lagi berpindah ke riba datuknya. Air Teh O segelas yang dipegangnya habis terpercik-percik atas meja. Hyperaktif kot budak ni. Aku bergumam lagi. Datuknya pula banyak minum dari tadi. Dah habis segelas air, tambah lagi segelas. Baru habis teguk, letak atas meja sekejap, kemudian teguk lagi. Haus benar dia nampaknya.

Budak lelaki tu masih berpindah-randah dari riba ke riba. Kalau aku, dah lama aku 'pangg'kan budak macam tu. Waktu dia duduk atas riba datuknya, tiba-tiba lelaki agak tua tu menyeringai kesakitan. Aku agak mungkin budak lelaki tu terpijak kaki dia di bawah meja. Tapi makin lama lelaki tu nampaknya semakin kesakitan. Takkanlah kaki kena pijak sampai macam tu sekali? Yang peliknya, semakin sakit, semakin banyak dia minum. Sampai tertumpah-tumpah air ke seluruh badannya. Muka lelaki tu semakin merah dan menggelupur kesakitan atas kerusi. Anak lelakinya di sebelah tak banyak reaksi kecuali menunjukkan sedikit wajah cemas.

Kami yang duduk mengelilingi meja tu menjadi panik dengan situasi tu. Lelaki agak tua tu cuba bangun dari duduk tapi jatuh tertimpa ke atas anak lelakinya. Kemudian dalam keadaan kelam kabut tu, lelaki agak tua tu membuka bajunya dalam keadaan tergopoh gapah dan tergesa-gesa. Waktu dia memalingkan bahagian belakang badannya ke arah kami, kelihatan bulatan-bulatan aneh berwarna agak kekuningan tumbuh dengan lebatnya di bahagian bawah belakang badannya. Bentuknya macam onion rings McDonalds tu. Masih banyak 'onion rings' tumbuh di bahagian lebih bawah tapi tertutup dengan seluarnya. Janganlah dia buka seluar pulak..

Tiba-tiba lelaki tua tu terjatuh ke bawah meja dan kelihatan air memancut-mancut dengan banyaknya dari bawah meja. Macam keluar dari badan lelaki tua tu. Aku betul-betul dah panik gila. Dengan segera aku dan beberapa orang yang duduk di meja tu keluar dari situ. Sempat berhenti seketika di hadapan kedai untuk memerhatikan keadaan lelaki tua di bawah meja tu. Oh Tuhan, itu pemandangan yang sangat menakutkan. Lelaki tu terlentang dengan kakinya ke atas. Tapi kakinya dah mengecut macam kena rebus. Dah berubah warna agak kehitam-hitaman. Air mengalir dengan banyaknya dari bahagian bawah tubuhnya. Tak pasti dari mana. Yang pasti, aku memang dah takut gilaaa...

*
*
*
*
*
*
*
*
*

Aku terbangun dalam keadaan panik dan takut. Fuhhh! Apa punya mimpi tu? Aku rasa orang tua tu alien kot? Betul punya takut sampai aku rasa macam real je mimpi tu. Nak kata aku ada tengok cerita yang seram-seram sebelum tidur, tak ada pulak rasanya. Dah lama tak tengok movie sampai jauh malam. Tengok-tengok jam, dah pukul 7.05 pagi. Aku dah terlambat wehhh! Kesiangan sebab mimpi alien yang merepek meraban. Chess! Aku tidur tak basuh kaki dan tak baca doa malam tadi.

Pakcik tu nak transforms jadi menatang ni kot?


Friday, September 9, 2011

Perang mulut: Pro dan kontra

Bergaduh memang tak bagus. Dan biasanya pergaduhan atau perang mulut secara besar-besaran boleh buat situasi lepas tu jadi lebih baik atau mungkin lebih buruk.

Sebabnya, bila berlaku perang mulut, emosi lebih menguasai akal dan minda. Jadinya, semua yang dikeluarkan dari mulut memang bersumber dari lubuk jiwa yang paling dalam yang diekpresikan dengan penuh jujur dan polos tapi dengan nada suara macam bapak setan lah, kan. Anggap je lah semua yang terlafaz waktu tu adalah isi hati yang telah sekian lama dipendam oleh si pelafaz kata. Jadi, kalau nak tau kebenaran yang menyakitkan tentang diri kita melalui pandangan orang lain, tanyalah dia waktu api kemarahan dia tengah meluap-luap ok. Selain dapat tau kebenaran yang menyakitkan tu, juga berpeluang untuk dapat sedas dua pelempang atau penyepak free.
 
Yang bagusnya, bila hubungan jadi lebih baik lepas perang mulut tu sebab masing-masing dah luahkan isi hati dan perut, jadi partner gaduh pun secara rasminya dah tau apa yang terpendam dan tersirat sebenarnya selama ni, lalu berkata " Betul ke apa yang awak cakapkan tadi tu?" atau " Macam tu ke perangai saya selama ni?" atau " Baru saya sedar dengan kesilapan saya" atau " Apasal awak mengamuk macam tersampuk jin tanah ni?".

Tu dari sisi positifnya lah. Dari sisi negatifnya, aku tak jaminlah kalau ada yang makan minum pakai tiub getah lepas ni atau dapat penginapan 3 hari 2 malam kat mana-mana wad ICU di hospital berdekatan rumah.





Thursday, September 8, 2011

Kita boleh ubah sebenarnya. Walaupun tak banyak, sikit pun mesti boleh.

Memanglah tak ada manusia yang sempurna kan? Carilah ke ceruk dan rantau mana pun, tak akan ada yang wujud sebagai manusia sempurna. Hensem dan cantik macam manapun, tetap ada kekurangan. Kentut tetap busuk dan tetap korek lombong bijih kalau tak ada orang nampak. Kehkeh.

Bila kamu kata dah tak boleh berubah sebab dah memang perangai macam tu, memang agak hampehlah kedengarannya. Misalnya, kau terlalu panas baran, terlalu kelam kabut, terlalu gopoh gapah, terlalu pelupa, terlalu pemarah, terlalu cepat gabra, terlalu bermulut longkang, terlalu sensitif, terlalu kuat membebebel dan terlalu-terlalu lah dalam banyak perkara, tak ada alasan sebenarnya benda-benda macam tu tak boleh diubah. Walaupun tak banyak, sikit pun mesti boleh sebenarnya. Ikut pada kemahuan hati. Aku yakin sebab aku pun banyak buat perubahan pada diri sendiri. Sedikit demi sedikit.

Kadang-kadang kita cuma sedar kita ada perangai buruk bila ada orang lain yang sedarkan. Mungkin dengan cara kau terbaca diari seseorang secara tak sengaja dan dalam tu si polan ada luahkan tentang keburukan kita yang dia tak suka. Menyakitkan sebenarnya, tapi itulah hakikatnya. Betullah kata orang, kebenaran selalunya menyakitkan. Tapi at least dari situ, sikit sebanyak kita akan berinisiatif merubah diri ke arah yang lebih baik. Sebab tentulah menyedihkan bila dapat tau rupanya selama ni macam tu pandangan orang pada kita.

Bila dah tau kau makan berbunyi kuat sangat, kalau dah ada orang tegur kau tak beretika, at least lain kali bila makan slowkanlah volume yang keluar dari mulut tu. Bila dah banyak orang cakap yang kau ni bermulut longkang dan selalu sakitkan hati orang bila berkata-berkata tu, pandai-pandailah ubah sikit cara bercakap untuk kurangkan dosa kau dan dosa orang yang kutuk kau kat belakang. Bila tau yang kau ni terlalu kelam kabut, gopoh gapah, berdarah gemuruh dan pelupa, usahakanlah untuk jadi lebih tenang dan cool bila buat apa-apa. Tarik nafas perlahan-lahan atau amalkan bacaan doa misalnya?

Hoh. Mesti kata aku ni cakap je pandai. Tapi serius, aku dulu terlalu banyak kekurangan dan keburukan. Bila dah lalu banyak fasa dalam hidup, secara automatik fasa hidup beserta dengan cabaran-cabaran dalamnya tulah yang akan merubah dan menghijrahkan diri kita kepada sesuatu yang lebih baik. Walaupun tak berubah 100 peratus, at least kita boleh kurangkan sedikit.

Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Apa pun alasannya, kita sebenarnya boleh ubah diri kita kepada sesuatu yang lebih baik. Pokok pangkalnya terletak pada diri. Kalau yakin boleh, insya allah boleh!

Woh~ Aku sudah jadi pakar motivasi tak bertauliah ini hari. Heh.

Monday, September 5, 2011

Bila saatnya hari raya itu membosankan

Satu hukum alam yang agak tak aku senangi tapi nak tak nak kena hadapi dan lalui juga adalah:

Kenapa sesuatu yang best macam cuti hari raya dan keseronokan tak terhingga yang dah mula dirasakan sejak dari malam sebelum raya hingga ke pagi raya, CEPAT SANGAT berlalu?

Isk..isk..

Sekarang sudah kembali ke meja kerja di office.
Dan itu membosankan.
Sangat-sangat.

Berpedang di pagi raya (-_-)

Aku panggil ini gaya Anuar Zain. Harus lebih maskulin sayang!
Ditransformkan menjadi badut oleh auntie mereka.
Menyibuklah kau, gigi besi!
Baru aku perasan Rayyan sedang pegang eye shadow dan berusnya!
Nikmat!
Korang rasa, diorang ni cantik tak?
Rayyan dan kesan kencing sepupunya si Atia di kusyen.
Pandai pulak tangkap gambar ala-ala gambar profile facebook!

Related Posts with Thumbnails