Friday, April 30, 2010

Memori 1

Suatu masa dahulu, aku dan Maizatulakmal Mahmood tak boleh dipisahkan. Kami diibaratkan kembar Siam yang tidak melekat di mana-mana bahagian atau abdomen badan dan berkongsi mana-mana organ dalaman, cuma kami berkongsi pemikiran dan idealogi yang sama. Pergh, ayat canggih tak ingat! Kamu akan tahu siapa Maizatulakmal Mahmood sekiranya kamu telah membaca entri aku yang lampau. (Older post = entri lampau. Boleh la. Cuma agak klasik bunyinya.)

Kegiatan harian kami selain dari bangun awal pagi (dengan syarat ada kelas seawal jam 8.00 pagi), adalah menghadiri kuliah (bukan Al-Kuliyyah, ya), membuat tugasan atau assignment dengan hati yang berat, bermain di taman permainan dan merosakkan permainan binatang berspring dengan menghayun diri sekuat mungkin hingga spring tercabut dari tanah, makan tengahari di cafe dengan memilih lauk yang paling murah dan cuma minum ais kosong sekiranya keadaan poket tidak begitu mengizinkan, duduk di mana-mana sudut kompleks membeli-belah dan bergelak ketawa tanpa perasaan dengan memerhatikan pelbagai gaya orang yang lalu-lalang, chatting di cyber cafe secara haram iaitu tidak mendaftar nama di kaunter dan pecut lari tanpa memandang ke belakang apabila selesai urusan chatting, berbalas jasa baik dengan kawan-kawan lain dengan cara me'nandatangankan' senarai kedatangan di dalam dewan kuliah bagi pihak kawan yang tidak masuk kelas kerana keluar shopping di City Square, mendengar walkman di dalam dewan kuliah ketika subjek yang membosankan sedang ke udara dan.. wah, baru sedar sekarang betapa banyaknya kejahatan telah dibuat dalam hidup.

Sekejap. Nak menyesal pun tak guna kerana bubur nasi sudah habis dimakan. Jangan label kami dengan panggilan jahat, okeh. Kami belum sampai ke tahap itu. Eh, tegasnya! Secara tiba-tiba, teringat satu peristiwa, seorang pegawai pentadbir kolej yang agak berusia sedang membuat ucapan di podium dewan kuliah. Pada waktu itu, moto kolej kami adalah 'Strenght Through Knowledge'. Mungkin perkataan tersebut agak payah disebut untuk orang berusia. Itu andaian akulah. Ini kerana pegawai pentadbir tersebut yang juga seorang haji, payah benar nak menyebut perkataan tersebut. Berulang kali disebut, sampai tersasul-sasul dan terbabas-babas hingga herot-berot mulut dan terpejam-pejam mata beliau. Sila bayangkan sekarang, ya. Untuk golongan seperti aku dan Maizatulakmal Mahmood, keadaan ini samalah seperti menjolok sarang tebuan. Begitu perit, pedih, senak dan birat perut kami menahan gelak hingga nyawa kami rasanya bagai telur di hujung tanduk. Sumpah! Kebetulan pada waktu itu, meja kami adalah antara yang paling di hadapan. Dek kerana terlalu menahan gelak yang teramat sangat, meja kami bergegar-gegar dengan kuatnya hingga mengganggu siswa lain terutamanya di barisan belakang kami. Pegawai tersebut turut terperasan dengan tingkah laku kami yang agak biadap sehingga dia terdiam seketika sambil memberi pandangan 'sayu' pada kami.

..............

Okeh, sekarang kamu boleh panggil kami jahat.

Ya Allah, jauhkanlah kami dari godaan syaithon..

Thursday, April 29, 2010

Cantik vs Buruk

Cantik. Sangat subjektif.

Ada seorang kawan melabelkan cantik seseorang terletak pada kebersihan, kemulusan dan kehalusan kulit wajahnya. Jadi, kalau muka kamu bercap mohor atau bercop syarikat sila lupakan untuk mendapatkan pujian cantik dari mulut beliau. Orang-orang malang ini akan diklasifikasikan sebagai manusia dalam genre buruk oleh beliau. Hah, sadis kan?

Adakah wajar bagi kita manusia biasa yang memang tak akan sempurna dari sudut mana pun mengkategorikan manusia lain sebagai buruk? Ohh, sangat tidak wajar. Dikelaskan sebagai buruk sangat menyakitkan. Manusia diciptakan oleh penciptaNya sebagai ciptaan yang sangat kompleks dan sangat cantik. Mungkin benar 'first impression' memainkan peranan untuk menghantar mesej buruk atau cantik kepada otak kita setelah mata kita menjalankan tugasnya. Tapi adalah tidak adil menilai sesuatu yang cantik itu adalah sangat sempurna dalam semua segi. Hakikatnya, inilah yang terjadi dalam realiti kehidupan kita.

Wanita cantik dilihat mempunyai kelebihan dan akan diberi pebagai kelebihan oleh pemuja-pemuja kecantikan. Tiba-tiba teringat waktu remaja dulu, di kala diri sendiri dan kawan-kawan rapat tak pandai bergaya, tak pandai menata rambut, tak pandai bersolek atau kata mudahnya sangat selekeh, kami secara terpaksa keluar beraya dengan seorang remaja cantik di sekolah yang menjadi pujaan ramai. Aduh, terasa diri macam seekor ayam togel berkurap yang berjalan di sebelah seekor angsa putih berwarna keemasan dengan..cukup! Jangan hina diri sendiri secara keterlaluan! Kemuncak cerita ini, sewaktu beraya di rumah seorang kawan lelaki (hah, di sinilah terbukti bahawa wanita cantik sangat dihargai dan diberi pelbagai kemudahan seperti pemegang J Card atau Summit Privilege Card), wanita cantik tersebut telah diberikan piring, sudu dan gelas yang cantik (cantikla.. dibandingkan dengan apa yang diberikan kepada kami) oleh kawan lelaki tersebut. Kejam! Mungkin dia beranggapan bahawa yang cantik adalah untuk yang cantik dan yang buruk adalah untuk..oh, cukup!
Tapi, itu kisah dulu-dulu.. Cheh, nak cakap sekarang dah cantiklah tu.

Kata Sofea Jane, bila ingin terasa cantik sila bayangkan diri anda sangat cantik. Mungkin berkesan. Adakala bila berjalan di mana-mana mall, bila kita sangat yakin yang diri kita sangat cantik pada hari tersebut, secara automatik kita akan dilimpahi dengan keyakinan. Hinggakan bila ada yang memandang kita sebab pakai baju terbalik atau ada najis burung di rambut pun, kita akan anggap mereka terpesona dengan keanggunan kita. Haha.. Tapi bila kita rasa yang diri kita sangat tidak cantik pada waktu itu, rasa menyampah pada diri sendiri akan timbul dan rasanya tak ada langsung mata yang sanggup memandang kita. Pernah tak rasa, pernah tak?

Kalau semua orang inginkan yang cantik, bagaimana pula dengan yang buruk? Allah Maha Adil. Jangan fikirkan tentang itu. (Macam memujuk diri sendiri). Cinta tidak memandang cantik atau buruk. Sesungguhnya yang benar-benar cantik adalah kecantikan pada hati. (Contoh ayat skema). Ingat nak, jangan sesekali anggap diri sendiri sebagai sangat cantik sebab itu namanya perasan sebab bukan semua anggap kamu tu cantik dan ingat, jangan anggap orang lain sebagai makhluk buruk yang sangat buruk sebab dianugerahkan dengan muka tak bersih dan fizikal yang tak sempurna dan wonder kenapa ada orang nak atau suka dengan orang buruk macam tu? Fuh, semput bila baca dengan sekali lafaz.

Kesimpulannya: Cantik itu sujektif dan mengklasifikasikan orang lain sebagai buruk adalah sangat kejam dan berdosa sebab menyinggung perasaan orang dan dikategorikan sebagai buruk adalah sangat menyakitkan hingga terasa nak libas mulut orang tersebut dengan serampang dua mata. Peringatan untuk diri sendiri dan semua orang, bersyukurlah dengan segala kurniaan Allah kepada kita sebab masih ramai yang dilahirkan tidak sempurna di bumi ini. Sekarang, bersyukur tak?

Bersyukur tak dilahirkan seperti ini.
Wanita ini sangat tabah dan.. buta?

Saturday, April 24, 2010

El-Nino di Malaysia?

Pagi ini ketika aku sedang sibuk membuat kerja-kerja pejabat (atau dengan kata lain melayari Facebook) dan jarum jam menunjukkan ke angka 11.15 am, tiba-tiba pejabat kami didatangi tetamu budiman yang tak diundang dan kalau dia datang lagi sekali mungkin aku akan bersiap sedia dengan sebatang cangkul di belakang pintu. Huh!


Tiada salam sebab dia bukan beragama Islam. (Pentingkah fakta ini?)


Tetamu disambut oleh Aini si storekeeper yang mejanya terletak berdekatan pintu masuk.


Tetamu: "Wa datang mau angkat duit."


Aini: "Duit apa? You dari mana?"


Aini sangka tetamu budiman ini adalah supplier kami yang datang untuk minta payment. Jadi, dengan lemah lembutnya Aini telah membawa tetamu budiman tersebut berjumpa dengan aku. Chess!


Aku: "Uncle nak minta duit apa?"


Tetamu: "Duit gaji wa punya anak la.."


Suara tetamu mula meninggi.


Aku: "Uncle, bukan kami yang bayar gaji tapi boss yang bayar."


Tetamu: "Telefon you punya boss sekarang!"


Tetamu menjerit sekuat hati. Tak padan tua, sikit lagi urat leher nak putus. Tangan aku dah menggigil hebat, bukan pasal takut tapi sebab marah dan geram dengan kekurang hajaran tetamu tersebut. Takde disiplin punya monyet. (Erk, berdosa tak?)


Aku: "Yang uncle nak marah-marah ni kenapa?"


Aku menjerit marah. Fuyyoo, sila tepuk tangan. Tetamu tersebut naik berang sebab aku melawan. Untuk kesekian kalinya aku semakin sedar yang aku ini memang berkepala angin dan panas baran. (Huh, patut kah dibanggakan?)


Tetamu: "Wa cakap...you telefon you punya boss!!"


Tetamu budiman tersebut menjerit sekali lagi dengan lebih kuat. Perrgghh, menyirap darah aku. Tangan aku dah mencapai entah apa atas meja aku untuk dibaling ke arah tetamu budiman tersebut. Spontan seh.


Aku: "Kita punya boss hari Sabtu tak pernah masuk office!"


Aku menjawab angkuh. Sangat kurang ajar dengan orang tua. Rasanya mak aku tak pernah ajar sedemikian rupa. Tapi, aku terpaksa demi mempertahankan maruah dan kekerasan kepalaku. Habis, tetamu tu ingat kepala dia sorang je keras?


Tetamu: Macam nak menerpa ke arah aku. "You telefon you punya boss!!!"


Tiga tanda seru di situ menunjukkan tahap kekuatan suara tetamu tersebut yang aku pasti bila dia balik rumah mesti dia suruh isteri dia belikan Strepsil atau Ricola. Dia ni tak ada dialog lain ke? Atau tak hafal skrip?


Aku tak pasti pada masa itu tangan aku menggigil pada tahap berapa skala Ritchter. Sekali lagi aku jelaskan bukan pasal takut tapi sebab marah. Yaa, aku marah!! Grrrrr... Pada saat tersebut, aku memandang tetamu tersebut sebagai objek yang sangat kecil dan kerdil. Memang pun dia kecil. Kalau tidak kerana terdetik di hati ingat Allah, aku pasti ada antara kami yang terpaksa di tahan di wad pesakit luar Hospital Sultan Ismail. Kalau tak dia yang parah, mungkin aku.


Akhirnya, ya, akhirnya aku bersyukur sebab yang aku capai bukan objek-objek berat di sekelilingku tapi telefon bimbit pejabat yang aku gunakan untuk mendail nombor telefon boss yang kemudian aku serahkan dengan muka yang sangat tidak ikhlas kepada tetamu budiman tersebut yang sepatutnya bersyukur kerana tidak tercedera langsung dalam peristiwa ini. Banyaknya penggunaan perkataan yang. Kalau dalam karangan Bahasa Melayu di sekolah, mesti cikgu akan gariskan perkataan yang tersebut dan menolak markah aku.


Kejadian seterusnya tak perlulah aku ceritakan sebab rasanya sudah tiada kaitan dengan aku lagi. Bukan aku lagi yang ditengking dan terpaksa menengking tetapi tugas tersebut telah diserahkan kepada boss aku di dalam talian telefon pada masa tersebut.


Kesimpulannya, aku sedar aku adalah insan biasa yang tak boleh lari dari sifat alami aku. Arrgghh! Si kepala angin dan panas baran ini benar-benar tak boleh berubah!

Thursday, April 22, 2010

Menjejak pencuri baju dalam

Bagi yang berumur 18 tahun ke bawah sila teruskan membaca sebab aku tidak mengklasifikasikan entri ini sebagai 18SX.


Pada suatu malam beberapa malam yang lalu ketika aku sedang menjemur baju di waktu malam sebab cuma waktu malam je aku berkesempatan mencuci selori baju di rumah.

Jiran: " Awak pernah hilang baju dalam yang dijemur di luar rumah? "

Aku: " Hemph.. pernah 2,3 kali. Kenapa? "


Aku berhenti menjemur baju sambil perhatikan dia dengan penuh kesungguhan.


Jiran: " Saya pernah nampak orang 'tu' panjat pagar rumah awak untuk curi baju dalam "


Aku: " Hah, betul ke? Gila ke apa orang tu? "


Aku bulatkan mata dan kepal tangan. Aku bayangkan sedang menumbuk kepala orang 'tu'.


Aku: " Siapa kak? Kat rumah ni memang dah 2,3 kali hilang benda tu. Tinggal kitorang tak report polis je. "


Jiran: Senyum. " Alaa..orang dekat-dekat sini juga. Saya selalu nampak dia lalu-lalang tepi rumah awak. Dah lama saya tau dia buat benda ni. Sejak saya baru pindah sini lagi. "


Alah dia ni. Nak main teka-teki pulak. Sebut je la siapa..


Jiran: " Saya pernah nampak dia kat belakang sana tu. Dia tengah 'kerjakan' baju-baju dalam tu. Dia gunting-gunting, dia bakar-bakar, dia cium-cium. Yang kelakar tu, dia sambungkan baju-baju dalam tu cangkuk ke cangkuk dan gantung kat ampaian baju sepanjang-panjangnya. "

Aku: " Psychonya! Bagitaulah siapa orangnya kak. Akak punya pernah hilang ke? "

Jiran: " Pernah sekali dulu. Lepas tu dah tak pernah jemur baju dalam kat luar lagi. Jiran saya siap tuduh saya yang curi baju dalam dia yang hilang juga. Tapi, belum boleh bagitau sebab saya pun belum pasti orangnya. "

Aik, pulak! Tadi kata dah tau siapa orangnya, tiba-tiba belum pasti pulak. Aku rasa macam jiran ni pulak yang aku nak lesing-lesing dan luku-luku.

Akhirnya perbualan kami terhenti tanpa konklusi. Jiran melangkah balik dengan iringan mata aku yang sangat geram dan hati yang bagai dipam-pam dengan pam basikal sebab dia tak nak bagitau siapa orangnya. Susah sangat ke nak cakap? Beberapa minit kemudian cerita ini sudah pun aku kecohkan ke telinga seluruh anggota keluarga dalam rumah yang turut mengeluarkan asap di telinga dan juga juga api di mulut masing-masing kerana marah dan geram. Tapi cerita tinggal cerita sebab kami pun tak tau siapa sebenarnya orang kurang waras yang patut dibakar hidup-hidup itu. Wah, kejamnya aku!

Aku pernah terfikir untuk pasang CCTV di luar rumah untuk menangkap orang gila tersebut tapi memandangkan kos yang diperlukan lebih mahal dari belanja dapur untuk seminggu maka terpaksa dilupakan. Adik aku pula berangan untuk menjerat penjenayah tersebut dengan menggantung baju dalam yang disembur dengan apa-apa racun (sebaiknya racun tikus) dan kemudian tunggu di tempat strategik untuk mengenalpasti sampah masyarakat itu. Kami turut mengumpul dosa-dosa kering dengan mengaitkan beberapa nama jiran sekeliling yang agak berkelayakan untuk melakukan kerja bodoh dan gila tersebut.

Akhirnya, pada suatu pagi yang mulia, jiran yang telah membuat hidup kami diselubungi misteri selama beberapa hari mula tak tahan menyimpan rahsia. Tempayan betul!

Setelah jiran tempayan mendedahkan rahsia barulah kami berkata, oooo...rupanya cimpanzi tu yang buat! Puas hati kami sebab dah tau siapa orang tersebut. Yang menjadi misteri (sikit-sikit misteri, macam Misteri Nusantara pula), kenapa orang-orang yang tahu tentang hal ni cuma mendiamkan diri walaupun pernah mengalami kehilangan? Mungkinkah baju dalam mereka yang hilang cuma berharga selonggok RM3 di pasar malam? Aku pula yang rasa berkobar-kobar nak buat laporan polisi.

Akhirnya sebagai konklusi yang aku dapat, rupanya beruk tersebut adalah anak kepada seorang yang agak berpengaruh di kawasan perjiranan kami. Tak adil betul. Macam filem hindustan betul seh.
Aku terfikir untuk curi seluar dalam milik mangkuk ayun, mangkuk tingkat, mangkuk tandas, monyet, orang utan, tenuk, babun bontot merah (dan segala yang buruk-buruk) tersebut, kemudian tulis nama dia sebelum balutkan pada buah nangka yang ada berdekatan dengan jalan masuk utama ke sini.

Pendapat kamu semua?

Imaginasi penulis.

Wednesday, April 21, 2010

Monster kecil bergigi besi

Di rumah aku ada se..ekor? se..orang? se..se.. hemmph..apa penjodoh bilangan untuk monster ya?

Okeh, di rumah aku ada monster bergigi besi. Garang, tak padan kecil dan pendek. Haha.. Monster ini kuat makan dan suka berus gigi. Monster ini mempunyai kekuatan untuk menjerit semasa marah sehingga dinding rumah bergetar. Monster ini tak suka makan semeja dengan seorang lagi monster lain yang lebih kuat makan. Monster yang satu lagi itu memang kuat makan, suka masuk angin dan kembung perut. Okeh, lupakan tentang monster yang satu lagi itu.

Monster yang aku ceritakan ini kadangkala sangat kurang percaya diri walaupun kelihatan hebat dengan gigi besinya. Monster ini suka tidur di atas timbunan kain yang tidak berlipat. Monster ini mempunyai jadual temujanji dengan doktor gigi setiap 2,3 bulan sekali. Monster ini kurang suka menonton rancangan kartun di televisyen. Monster ini pernah beberapa kali me'rebonding' rambutnya dan pernah sekali meng'perm'kan rambutnya. Monster ini jarang ingin berfikir panjang bila ingin melakukan sesuatu dan sering menyesal di kemudian hari akibat kurang menggunakan kepanjangan fikirannya itu.

Monster ini suka pakai celak. Monster ini suka buat muka garang. Monster ini mempunyai koleksi baju yang sangat banyak. Monster ini kalau mahukan sesuatu akan bersungguh-sungguh mahukan sesuatu itu. Akibat kesungguhannya itu, monster ini sudah memiliki si Bucux dan si Comel. Monster ini suka pinjam perfume Avon aku. Monster ini suka sembunyikan makanan di bawah katilnya. Monster ini suka kentut sesuka hati dan sekuat hati. Monster ini sering menjadi mimpi ngeri bagi anak-anak kecil dengan gaya menarinya yang menyeramkan.

Monster ini suka beli barang kemudian tak pakai. Monster ini selalu malas mandi tapi suka menghabiskan masa di dalam bilik air semasa mandi. Monster ini suka bergaduh dengan Alyaa dan Alysaa. Monster ini takut tidur sendiri di dalam biliknya dan akan menggunakan Alysaa sebagai penjaganya semasa tidur.

Monster ini suka makan cokelat dan suka warna merah. Monster ini sangat obsesi terhadap Rayyan. Monster ini sangat penting dalam hidup aku. Hari ini, monster ini sudah berangkat ke luar Malaysia selama 2 minggu lamanya.

Monster, cepatlah balik. Aku susah tanpa kau!

Kalau nak jumpa monster ini, cari dia di sini : http://cokelatmerah.blogspot.com/

2 biji sudah tersedia..

Setelah sejam dikukus, kek cokelat lembab aku sudah siap. 2 loyang menanti di situ. Kek yang sangat dinantikan. Air liur aku dah meleleh.

Aku sudah kata, aku sangat suka kek cokelat lembab!

Terharu dan rasa ingin menangis sekarang.


Tuesday, April 20, 2010

Sahabat

Sahabat


Sahabat…mengapa kau pergi
Tinggal aku sendiri
Kau tahu ku tak sanggup


Sahabat…ingat lah kau slalu
Jadi yang terbaik
Walau kau tak disini lagi


Sahabat…aku rindu padamu
Datang walau sesaat
Ku ingin kan kau hadir


Aku disini dan menunggu
Diam tanpa dirimu
Kau tahu ku tak bisa
Beranjak terbang dan melayang
tanpa diri mu ku tak bisa dan kembalilah

Sahabat adalah orang yang sangat dekat kepada kita secara lahiriah dan kadangkala batiniah. (Bunyinya agak menyeramkan..). Pernah tak bila tiba-tiba kita terfikir benda yang sama pada waktu yang sama dengan sahabat kita? Contohnya, tiba-tiba kita dan sahabat ternyanyi lagu yang sama secara serentak. Maksudnya, bila kita adalah sahabat, jiwa kita sangat rapat dan kadangkala berkongsi perasaan dan jiwa.

Waktu belajar di sekolah dan kolej adalah saat-saat yang paling menyeronokkan bagi kebanyakan orang. Waktu yang kalau boleh diulang, oohh, alangkah bestnya! Kalau boleh pinjam mesin merentas masa macam dalam filem 'Back to the Future' mesti aku orang pertama yang akan pinjam.

Okeh, ni adalah senarai orang-orang yang pernah dekat dengan jiwa aku selama hidup aku:

1. Maizatulakmal Mahmood

Budak Batu Pahat. Sangat rapat dengan aku waktu belajar di kolej. Classmate, housemate, roommate dan kadangkala soulmate. Sangat berbeza penampilan dengan aku tapi jiwa kami sangat serasi. Teman gelak, teman kutuk orang, teman pedajalkan orang. Dia kuat makan, kami panggil dia tong sampah bergerak. Dia boleh dicampak ke mana-mana sebab dia mesti boleh hidup kat mana-mana. Kadangkala aku tak boleh hidup tanpa dia dan biasanya dia memang tak boleh hidup tanpa aku. Dia takde perasaan, kutuk gila babi depan dia pun dia sengih je. Budak kampung yang selamba. Bila duit elaun habis, dia selalu pinjam duit aku. Dia boleh hidup walaupun dalam poket ada RM2.50 sahaja. Dia sangat memahami aku, walaupun orang tengok kami tak serasi bila bersama (kenapa? sebab dulu dia bertudung labuh dan berjubah, lepas tu kalau pakai baju kurung mesti ada baju lagi selapis kat dalam. Aku pulak free hair. Imagine now..) Dia selalu kata aku cute, memang pun..Haha! Dia tidur ngorok! Rasa macam nak tekup muka dia dengan bantal je. Dia budak pendek, budak gumuks..haha.. Tapi tu semua yang buat aku sayang kat dia..

2. Hanimarliza Johari & Sazaliza Mat Isa

Kawan-kawan aku sejak kecil. Dari sekolah rendah sampai menengah dan sampai sekarang. Kami banyak buat benda yang sama. Kami banyak bersama kalau buat apa-apa. Kami belajar di sekolah rendah yang sama, sekolah agama yang sama, sekolah menengah yang sama, dalam kelas yang sama, pusat tuisyen yang sama, kelab yang sama, persatuan yang sama. Pendekata, semua sama. Bila jalan bersama, kami sebiji macam Laksamana Do Re Mi atau Ramli, Sudin dan Aziz atau 3 dara pingitan yang dibarisi oleh Esah, Noi dan Awa. Walaupun takde yang gumuks antara kami. Nasib baik kami tak kahwin dengan lelaki yang sama. Haha, gila!

3. Nur Hanani Abd Hamid & Nurhasnita Jalalludin

Antara budak-budak pandai dalam kelas waktu di kolej. Berkawan dengan mereka ni buat aku pun teruja untuk belajar betul-betul. Tapi masa nak exam aje la. Nasib baik tak salah pilih kawan sebab aku pun berjaya dapat pointer yang cukup untuk buat latihan praktikal semasa semester terakhir dan berjaya habiskan diploma dalam tempoh 2 tahun sahaja. Waktu-waktu lain kami sama je dengan remaja lain. Muda hanya sekali, so kita enjoy! Nani @ Anje ni masa baru masuk kolej adalah seorang budak yang sangat skema. Baju besar gedabak, seluar slack yang baggy, bag pun besar sampai boleh muat badan sendiri. Tapi lama-lama gaya dia dah ok. So dah tak malu nak jalan dengan dia lagi. Haha.. Dia ni rabun, lepas tu ada penyakit tangan menggigil bila pegang apa-apa. Aku ejek dia 'par' iaitu singkatan untuk parkinson. Dia ada satu kotak besar yang penuh dengan supplemen-supplemen Amway yang saiz setiap biji buat aku rasa macam lebih sanggup kunyah gula-gula getah yang dah luput tarikh dari telan pil tu! Dia gelabah orangnya dan selalu pakai seluar tidur yang buat aku nampak dia macam petani moden. Susah nak terangkan tentang ni.

Net pula budak Kelantan tapi membesar kat Johor. Dia bukan penyokong PAS okeh. Dia sangat feminin dan sangat lemah-lembut. Dia ada ramai peminat. Tapi yang minat kat dia tak best langsung, tu pasal dia tak pernah suka dengan orang-orang yang minat kat dia. Dia suka mamat yang bulat-bulat. Ni pun susah nak terang. Cuma aku dan Nurul yang tau. (Siapa Nurul? dia ni kawan baik Net..). Net ni kadang-kadang selebet. Ada ke dia susun biji cili yang dia makan kat keliling pinggan dia. Cheh! Dia suka buat suara lalat dan selalu sendawa bunyi air kotak. Oh my.. Aku suka kawan dengan dia. Tak tau pasal apa, tapi memang aku suka perempuan ini.

4. Rafidi bin Mustapha

Kawan baik aku yang sangat berani meluahkan perasaan dia kat aku. Gila! Okeh, kami mula rapat selepas dia dah meluahkan perasaan. Walaupun dia suka aku, tapi aku tak boleh suka dia. Sebab aku memang tak boleh suka dia. Pernah dengar tak perasaan tak boleh dipaksa? Bagi aku, kawan baik tak boleh jadi couple okeh. Lepas habis belajar pun kami masih berhubung baik. Aku suka tulis surat untuk dia dan dia pun suka tulis surat untuk aku. Aku suka cerita semua tentang aku dan apa yang aku lalui dalam surat. Aku suka bila dapat surat dari dia. Aku pernah janji kalau sampai umur aku 27 tahun dan aku masih belum jumpa pasangan hidup aku, maka aku akan pilih dia. Tapi belum sampai 27 tahun pun aku dah jumpa pasangan hidup aku. Maafkan aku okeh. Dia datang masa majlis perkahwinan aku dan dia pakai spek hitam. Dia sedih. Maafkan aku okeh.

5. Norizan Ahmad dan Norazlina Othman

Dua orang sahabat merangkap officemate aku sekarang. Berbanding sahabat-sahabat masa lalu di atas, kami bersahabat lebih kepada hubungan kekeluargaan. Kami berkongsi segala cerita. Masalah peribadi, masalah kerja, berkongsi cerita tentang keluarga, suami, anak-anak. Mungkin sebab kami bersahabat ketika masing-masing sudah dewasa dan berfikiran matang. Norizan @ Ijang aku kenal sejak sekolah rendah lagi. Pernah berbasikal bersama masa ke sekolah. Pernah memancing ikan paya di rumahnya. Sekarang kami kerja sepejabat pula. Kak ina pula orang Kelantan. Kahwin dengan abang kepada classmate aku waktu sekolah menengah. Wah, berbelit pulak cerita ni. Takpe, abaikan. Tapi sekarang kak Ina dah berhenti kerja. Dan kerja-kerja beliau aku yang terpaksa memberikan bahuku untuk menggalasnya. Uwaaa.... Tapi, disebabkan dunia kami lebih berkisar dalam pejabat sahaja, (iaitu dalam sehari selama lebih kurang 9 jam diperuntukkan dalam pejabat sahaja), maka merekalah sahabat baik yang sedang aku miliki dan sedang dekat dengan aku sekarang.

Tak payah cari aku yang mana, okeh.


Okeh, sila cari aku yang mana.

Susah nak mencari seseorang yang layak digelar sahabat. Orang yang boleh menerima baik buruk kita. Orang yang tak kisah walau siapa pun kita. Orang yang tak memandang rupa atau pun kekayaan dan status kita. Walaupun ada antara sahabat-sahabat ni dah jauh meninggalkan aku, mereka masih ada dalam ruang hati aku.
Dan terima kasih untuk itu.

Monday, April 19, 2010

Rasa macam mak guard office T_T

Senyap sunyi.

Uncle akauntan tak masuk.

Puan HR tak masuk. (Sakit badan pasal pergi urut badan. Ada keraguan di sini. Bukan ke sepatutnya pergi urut badan pasal sakit badan? Whatever..)

Budak storekeeper tak masuk. (Dilanda gastrik pasal makan buah pelam masam. Cari penyakit..)

Kakak operations dah berhenti. (Buat apa ungkit kisah lama?)

Kakak cleaner dah balik. (Padahal selama ni tak pernah kisah pun bila dia balik)

Supervisor dah keluar. (Memang pun dia selalu kat luar. Haha, saja nak memberi bayangan yang lebih kuat betapa sunyinya suasana)

Senior clerk kerja luar. (Sama seperti keterangan untuk supervisor)

Boss belum masuk.

So, dah bayangkan betapa senyap sunyinya?

Dan aku betul-betul rasa macam tajuk di atas..

Tsk..


Kesunyian mencongkam. (Cheh, rasa macam baru putus cinta je)

Mungkin aku terpaksa, ya, terpaksa menggunakan telefon office untuk menghubungi sahabat handai atau saudara mara untuk menghilangkan kesunyian ini. Maafkan aku boss..

Saturday, April 17, 2010

Kek cokelat lembab

Ini blog untuk buat kek cokelat lembab ke?


Soalan yang kebarangkaliannya sangat tinggi untuk ditanya oleh mereka yang baca tajuk blog ni. Aku pun tak tau kenapa pilih kek cokelat lembab sebagai url blog aku. Mungkin sebab aku ni penggemar cokelat yang turut aku wariskan pada generasi aku. Bukan setakat kek cokelat tapi merangkumi semua makanan yang ada campuran cokelat kecuali aiskrim cokelat.


Tak, tak semua entri blog aku akan mengandungi kisah tentang cokelat. Jangan risau! Entri pertama sebagai penerangan kenapa kek cokelat lembab adalah tajuk blog aku. Bila dah sebut dua tiga kali kek cokelat lembab buat aku berikrar untuk buat kek cokelat lembab pada hari esok. Ini kerana dah lama tak buat kek cokelat lembab sebab peti sejuk di rumah kami dah beberapa minggu rosak. Bila peti sejuk rosak bermakna kek cokelat lembab yang dibuat berkemungkinan akan dikongsi bersama haiwan-haiwan lain seperti lipas, tikus, kucing..erk! Kucing makan kek cokelat lembab? Tiba-tiba teringat pada kucing peliharaan kami dulu yang suka makan kuih muih terutamanya kuih karipap. Namanya Mimi.


Tajuk blog dalam Bahasa Inggeris tapi entri dalam Bahasa Melayu. Caca-marba. Tak apalah, mungkin akan mengundang perhatian dan menarik minat golongan intelektual, berpelajaran, Mat-mat Salleh untuk baca blog aku walaupun bila dah mula baca akan menyumpah diri sendiri kerana terjebak dan tertipu dengan blog ini.


Aku harap kamu semua tak termasuk dalam golongan tu.
Related Posts with Thumbnails