Suatu masa dahulu, aku dan Maizatulakmal Mahmood tak boleh dipisahkan. Kami diibaratkan kembar Siam yang tidak melekat di mana-mana bahagian atau abdomen badan dan berkongsi mana-mana organ dalaman, cuma kami berkongsi pemikiran dan idealogi yang sama. Pergh, ayat canggih tak ingat! Kamu akan tahu siapa Maizatulakmal Mahmood sekiranya kamu telah membaca entri aku yang lampau. (Older post = entri lampau. Boleh la. Cuma agak klasik bunyinya.)
Kegiatan harian kami selain dari bangun awal pagi (dengan syarat ada kelas seawal jam 8.00 pagi), adalah menghadiri kuliah (bukan Al-Kuliyyah, ya), membuat tugasan atau assignment dengan hati yang berat, bermain di taman permainan dan merosakkan permainan binatang berspring dengan menghayun diri sekuat mungkin hingga spring tercabut dari tanah, makan tengahari di cafe dengan memilih lauk yang paling murah dan cuma minum ais kosong sekiranya keadaan poket tidak begitu mengizinkan, duduk di mana-mana sudut kompleks membeli-belah dan bergelak ketawa tanpa perasaan dengan memerhatikan pelbagai gaya orang yang lalu-lalang, chatting di cyber cafe secara haram iaitu tidak mendaftar nama di kaunter dan pecut lari tanpa memandang ke belakang apabila selesai urusan chatting, berbalas jasa baik dengan kawan-kawan lain dengan cara me'nandatangankan' senarai kedatangan di dalam dewan kuliah bagi pihak kawan yang tidak masuk kelas kerana keluar shopping di City Square, mendengar walkman di dalam dewan kuliah ketika subjek yang membosankan sedang ke udara dan.. wah, baru sedar sekarang betapa banyaknya kejahatan telah dibuat dalam hidup.
Sekejap. Nak menyesal pun tak guna kerana bubur nasi sudah habis dimakan. Jangan label kami dengan panggilan jahat, okeh. Kami belum sampai ke tahap itu. Eh, tegasnya! Secara tiba-tiba, teringat satu peristiwa, seorang pegawai pentadbir kolej yang agak berusia sedang membuat ucapan di podium dewan kuliah. Pada waktu itu, moto kolej kami adalah 'Strenght Through Knowledge'. Mungkin perkataan tersebut agak payah disebut untuk orang berusia. Itu andaian akulah. Ini kerana pegawai pentadbir tersebut yang juga seorang haji, payah benar nak menyebut perkataan tersebut. Berulang kali disebut, sampai tersasul-sasul dan terbabas-babas hingga herot-berot mulut dan terpejam-pejam mata beliau. Sila bayangkan sekarang, ya. Untuk golongan seperti aku dan Maizatulakmal Mahmood, keadaan ini samalah seperti menjolok sarang tebuan. Begitu perit, pedih, senak dan birat perut kami menahan gelak hingga nyawa kami rasanya bagai telur di hujung tanduk. Sumpah! Kebetulan pada waktu itu, meja kami adalah antara yang paling di hadapan. Dek kerana terlalu menahan gelak yang teramat sangat, meja kami bergegar-gegar dengan kuatnya hingga mengganggu siswa lain terutamanya di barisan belakang kami. Pegawai tersebut turut terperasan dengan tingkah laku kami yang agak biadap sehingga dia terdiam seketika sambil memberi pandangan 'sayu' pada kami.
..............
Okeh, sekarang kamu boleh panggil kami jahat.
No comments:
Post a Comment