Thursday, April 29, 2010

Cantik vs Buruk

Cantik. Sangat subjektif.

Ada seorang kawan melabelkan cantik seseorang terletak pada kebersihan, kemulusan dan kehalusan kulit wajahnya. Jadi, kalau muka kamu bercap mohor atau bercop syarikat sila lupakan untuk mendapatkan pujian cantik dari mulut beliau. Orang-orang malang ini akan diklasifikasikan sebagai manusia dalam genre buruk oleh beliau. Hah, sadis kan?

Adakah wajar bagi kita manusia biasa yang memang tak akan sempurna dari sudut mana pun mengkategorikan manusia lain sebagai buruk? Ohh, sangat tidak wajar. Dikelaskan sebagai buruk sangat menyakitkan. Manusia diciptakan oleh penciptaNya sebagai ciptaan yang sangat kompleks dan sangat cantik. Mungkin benar 'first impression' memainkan peranan untuk menghantar mesej buruk atau cantik kepada otak kita setelah mata kita menjalankan tugasnya. Tapi adalah tidak adil menilai sesuatu yang cantik itu adalah sangat sempurna dalam semua segi. Hakikatnya, inilah yang terjadi dalam realiti kehidupan kita.

Wanita cantik dilihat mempunyai kelebihan dan akan diberi pebagai kelebihan oleh pemuja-pemuja kecantikan. Tiba-tiba teringat waktu remaja dulu, di kala diri sendiri dan kawan-kawan rapat tak pandai bergaya, tak pandai menata rambut, tak pandai bersolek atau kata mudahnya sangat selekeh, kami secara terpaksa keluar beraya dengan seorang remaja cantik di sekolah yang menjadi pujaan ramai. Aduh, terasa diri macam seekor ayam togel berkurap yang berjalan di sebelah seekor angsa putih berwarna keemasan dengan..cukup! Jangan hina diri sendiri secara keterlaluan! Kemuncak cerita ini, sewaktu beraya di rumah seorang kawan lelaki (hah, di sinilah terbukti bahawa wanita cantik sangat dihargai dan diberi pelbagai kemudahan seperti pemegang J Card atau Summit Privilege Card), wanita cantik tersebut telah diberikan piring, sudu dan gelas yang cantik (cantikla.. dibandingkan dengan apa yang diberikan kepada kami) oleh kawan lelaki tersebut. Kejam! Mungkin dia beranggapan bahawa yang cantik adalah untuk yang cantik dan yang buruk adalah untuk..oh, cukup!
Tapi, itu kisah dulu-dulu.. Cheh, nak cakap sekarang dah cantiklah tu.

Kata Sofea Jane, bila ingin terasa cantik sila bayangkan diri anda sangat cantik. Mungkin berkesan. Adakala bila berjalan di mana-mana mall, bila kita sangat yakin yang diri kita sangat cantik pada hari tersebut, secara automatik kita akan dilimpahi dengan keyakinan. Hinggakan bila ada yang memandang kita sebab pakai baju terbalik atau ada najis burung di rambut pun, kita akan anggap mereka terpesona dengan keanggunan kita. Haha.. Tapi bila kita rasa yang diri kita sangat tidak cantik pada waktu itu, rasa menyampah pada diri sendiri akan timbul dan rasanya tak ada langsung mata yang sanggup memandang kita. Pernah tak rasa, pernah tak?

Kalau semua orang inginkan yang cantik, bagaimana pula dengan yang buruk? Allah Maha Adil. Jangan fikirkan tentang itu. (Macam memujuk diri sendiri). Cinta tidak memandang cantik atau buruk. Sesungguhnya yang benar-benar cantik adalah kecantikan pada hati. (Contoh ayat skema). Ingat nak, jangan sesekali anggap diri sendiri sebagai sangat cantik sebab itu namanya perasan sebab bukan semua anggap kamu tu cantik dan ingat, jangan anggap orang lain sebagai makhluk buruk yang sangat buruk sebab dianugerahkan dengan muka tak bersih dan fizikal yang tak sempurna dan wonder kenapa ada orang nak atau suka dengan orang buruk macam tu? Fuh, semput bila baca dengan sekali lafaz.

Kesimpulannya: Cantik itu sujektif dan mengklasifikasikan orang lain sebagai buruk adalah sangat kejam dan berdosa sebab menyinggung perasaan orang dan dikategorikan sebagai buruk adalah sangat menyakitkan hingga terasa nak libas mulut orang tersebut dengan serampang dua mata. Peringatan untuk diri sendiri dan semua orang, bersyukurlah dengan segala kurniaan Allah kepada kita sebab masih ramai yang dilahirkan tidak sempurna di bumi ini. Sekarang, bersyukur tak?

Bersyukur tak dilahirkan seperti ini.
Wanita ini sangat tabah dan.. buta?

1 comment:

  1. saya perasan ternd gadis sekarang, yang dulu tak dikenali, selebet dan berhingus, bila meningkat remaja, jauh berbeza sekali. sentaop sewaktu persekolahan

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails