Thursday, August 26, 2010

Nostalgia raya 80an

Raya memang best, untuk budak-budak okeh. Aku membesar dalam tahun 80an dan itu sangat aku syukuri sebab suasana zaman 80an sangat berbeza dengan zaman sekarang. 80an sangat menggamit memori manis serta sangat nostalgik apalagi jika membesar di kampung-kampung. Kadang-kadang kesian dengan budak-budak zaman sekarang sebab tak dapat rasa apa yang kita rasa dulu.


Bila sebut raya waktu kecil dulu, benda pertama yang terlintas dalam otak aku adalah majalah kartun Gila-Gila edisi raya terbitan Creative Enterprise. Entah kenapa. Mungkin sebab kalau hari raya, Gila-Gila akan diterbitkan dalam edisi bumper. Syok woo baca Gila-Gila waktu hari raya. Mungkin aku sorang je yang rasa feelnya. Susah nak terangkan.


Majalah feveret aku dolu-dolu.

Dulu-dulu kalau beraya rumah orang, standard duit raya yang biasa orang kasi adalah 20 sen. Kalau 50 sen dah cukup banyaklah tu. Apalagi kalau $1.00 (dulu belum pakai RM), harus beraya dua tiga kali ke rumah yang sama tapi kena ganti baju dulu. Hahah. Kemudian bila dah tawaf keliling kampung cari duit raya, bila rasa agak-agak penat tu, bolehlah balik rumah sekejap untuk berehat sambil kira berapa pendapatan yang berjaya dikumpul pada hari itu. Pendekata, hari raya adalah hari bekerja untuk budak-budak. Heh, comel kan? Untuk menambahkan lagi tahap kecomelan, duit raya yang berjaya dikaut akan disimpan di dalam tabung ayam. Tabung ayam yang sangat mulia dan baik hati sebab sanggup menyimpan duit kita dan sanggup dipecahkan bila tuannya ketandusan wang. Hehe..Taklah, dulu aku pecahkan tabung ayam bila dah penuh untuk disimpan dalam Bank Simpanan Nasional. Wee, bertambah comel!

Tabung ayam berhati mulia.

Kalau beraya di rumah orang, aku suka makan biskut raya yang cantik-cantik sahaja. Biasanya biskut raya dalam keluarga semperit terutamanya yang berbentuk bunga macam bunga dahlia atau ros. Ditambah pula kalau ada manik-manik berwarna-warni atasnya.Satu balang pun aku boleh habiskan termasuk yang aku sumbat dalam kocek gaun yang aku pakai untuk bekal sampai ke rumah nanti. Tapi biasanya belum sampai rumah pun biskut tu dah hancur.

Manik tulah yang membuat aku tergila-gila.

Dulu, bila Ramadan dah masuk seminggu, budak-budak sekolah dah mula sibuk bertukar-tukar kad raya. Semakin popular budak tu di sekolah, semakin banyaklah kad raya yang dia dapat. Ayat biasa dalam kad raya yang biasa ditulis oleh budak-budak biasanya, 'puasa penuh tak? kalau tak penuh tak boleh raya', atau 'raya nanti jemputlah datang ke rumah', atau 'baju raya dah siap?'. Tapi yang pasti di hujung ayat mesti ada ayat ni, 'pecah kaca pecah gelas, sudah baca harap balas'. Ini membuatkan si penerima merasakan bahawa membalas kad raya tersebut adalah satu kewajipan. Ada unsur paksaan di sini. Yang seronoknya bila kad-kad raya tu digantung di dinding rumah. Kalau rasa kad raya tak berapa banyak, gantunglah kad raya tahun lepas. Orang bukan tau pun, kan?




Tapi yang paling best adalah sesi bermain bunga api. Aku memang jarang sangat main mercun sebab aku penakut. Apalagi kalau jenis mercun yang kita kena pegang then kena cucuh api untuk nyalakan sumbu lepas tu baling. Huh, jangan harap aku nak main. Aku takut kalau mercun tu meletup sebelum sempat aku baling. Kalau mercun bawang aku beranilah. Dulu, bunga api yang popular, bunga api cap kucing yang pemegangnya dawai besi, bunga api yang belang-belang merah putih dan bunga api yang keluarkan api warna-warni tu. Tapi sekarang benda-benda tu semua dah tak selamat lagi nak dibuat main. Piawaian keselamatannya dah tak setanding dulu-dulu dan kualitinya pun makin rendah. Apalagi budak-budak sekarang makin kreatif dan penuh daya saing. Maksud aku berdaya saing untuk menjadi juara siapa paling banyak hilang jari di hari raya nanti.


Ni bunga api cap kucing.


Satu lagi hal yang aku tak boleh lupa, adalah hiburan di pagi raya. Kalau rancangan sarkis, sampai sekarang pun masih ada lagi. Entah siapa yang cipta tradisi tu. Kalau hari raya mesti ada rancangan sarkis. Apa kaitannya aku pun tak tau. Kalau zaman aku kecil dulu, aku suka tengok rancangan Aksi Mat Yoyo di saluran 12 terbitan SBC Singapura. Sekarang dah jadi saluran Suria terbitan Mediacorp Singapura. Tapi rancangan Aksi Mat Yoyo dah lama habis. Dulu-dulu itulah rancangan kanak-kanak paling popular di Singapura dan kawasan selatan Johor sebab kami boleh dapat semua siaran TV Singapura. Ada watak Yoyo, Yaya dan Pak Mat Sentol. Mesti ramai yang masih ingat.


Ni Pak Mat Sentol dan Yoyo kalau tak silap.

Kalau cerita pasal raya di tahun 80an, memang tak boleh habis. Sebab semuanya seronok. Sayangnya generasi kita sekarang dah tak boleh lalui kebanyakan benda-benda menyeronokkan yang kita dah lalui dulu. Contohnya, aku akan berfikir 100 atau 200 kali untuk mengizinkan anak-anak aku beraya keliling kampung macam aku dulu. Banyak hal negatif yang akan timbul dalam benak fikiran aku ni. Bunga api pun dah jadi barang larangan selepas kaki anak aku sedikit melecur terkena serpihan bara api, selepas aku tiba-tiba teringin nak bagi peluang untuk anak-anak merasa bermain bunga api pada hari kedua puasa yang lepas. Kesian Alysaa jadi mangsa.

Kalau cerita pasal duit raya pun memang bikin sakit kepala. RM0.20 mana laku lagi sekarang. Paling koman pun kena kasi RM1.00 kat budak-budak yang datang beraya. Kalau anak-anak jiran atau sedara-mara, jumlah tu kena up lagi. Cuma si gigi besi yang sanggup kena kutuk dan maki dengan budak-budak sebab kat rumah aku, dia sorang je yang berani bagi duit raya RM0.30 - RM0.50 kat budak-budak. Heh! Memang muka tebal macam tapak wedge sandal keluaran Summit. Wedge sandal oh wedge sandal, idaman aku di hari raya nanti. *Tiba-tiba*.




Apapun, Hari Raya tetap sebuah hari yang sangat istimewa dan syok! Hari di mana kita merayakan kemenangan kita setelah berjaya mengharungi pelbagai dugaan di bulan Ramadan. 

Hnsshh.. tak sabar nak tunggu hari raya sebab si gorjes  Rayyan akan pakai baju melayu! Ngee..I luvvvveeee U, baby!!

Wednesday, August 18, 2010

Kisah nakhoda dan bahteranya



Pagi tadi dikejutkan dengan berita perceraian talak satu seorang kawan lama yang juga merangkap saudara-mara keluarga belah emak aku. Taklah terkejut sangat sebab selama ni pun aku memang tau dia ada sedikit masalah rumahtangga. Ana (bukan nama sebenar) aku kenali sejak kecil lagi. Walaupun tak begitu rapat tapi hubungan kami baik jugalah. Ana berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya beberapa tahun lebih awal dari perkahwinan aku. Mereka dikurniakan empat orang anak berusia 10 tahun hingga 3 tahun.


Punca perceraian mereka tak perlulah aku nyatakan di sini. Cukup sekadar mereka tak bahagia lagi hidup bersama. Atau alasan biasa bagi pasangan yang bercerai, kami dah tak sefahaman lagi. Kalau bab-bab nikah kahwin atau Munakahat ni, aku taklah begitu pandai sangat. Cuma yang aku ingat, waktu belajar di sekolah agama dulu, subjek ni memang antara subjek kegemaran pelajar terutamanya pelajar lelaki. Apatahlagi kalau ustaz atau ustazah yang mengajar selalu menyelitkan lawak berunsur sedikit porno semasa mengajar. Biasanya kalau situasi begitu terjadi, pelajar perempuan cuma tersenyum malu sampai merah-merah pipi. Yang lelaki jangan cakaplah, macam nak retak lantai simen dan dinding dengan gegak gempita yang mereka buat. Tapi kalau tiba subjek lain, mereka ni macam ayam berak kapur. Belajar pun nak tak nak, memekak je yang lebih. Haha. Jangan marah ye lelaki. Dah memang dasar kau orang macam tu. Buwek!


Berbalik pada kisah perceraian tadi. Siapa yang salah dan siapa yang betul, cuma mereka saja yang tau. Bagi aku hal-hal rumahtangga ni sangat peribadi. Sebolehnya walaupun sudah bercerai, tak perlulah mengaibkan bekas pasangan hidup kita dengan kisah-kisah peribadi yang selalunya memang menarik minat orang lain untuk ambil tahu. Baik buruk pasangan kita biarlah menjadi rahsia kita sahaja. Cuma yang menarik minat aku adalah persoalan ini, bila kita sudah tak merasa kebahagiaan lagi dalam rumahtangga kita, haruskah kita memilih jalan perceraian sebagai penyelesai masalah? Mungkin ya.


Aku rasa cuma perempuan bodoh sahaja yang sanggup bertahan dengan suasana rumahtangga yang tak lagi harmonis atau manis lagi. Tiada lagi perasaan sayang dan cinta. Tiada lagi perasaan saling percaya dan saling menghormati. Tiada lagi rasa menghargai atau dihargai. Apalagi? Cerailah. Titik.


Apa gunanya bertahan kalau hanya ditimbuni perasaan sedih, sakit hati, merana, lara, pilu, terabai dan marah? Tak ada unsur positif walau dari perspektif mana pun ia dipandang. Berada dalam situasi sebegitu cuma membuat kualiti hidup kita di tahap yang sangat rendah dan buruk. Kalaupun ada yang bertahan atas alasan demi anak-anak, fikirlah dahulu. Sihatkah persekitaran sedemikian untuk tumbesaran dan emosi anak-anak? Emosi sungguh aku di sini. Tarik nafas dulu.


Aku bukanlah menggalakkan perceraian di sini. Allah sendiri membenci perceraian walaupun perceraian itu dihalalkan. Tapi, perkahwinan itu sendiri untuk apa sebenarnya, kan? Bagi aku perceraian adalah jalan terakhir jika semua usaha untuk menghalangnya dari terjadi telah dilakukan oleh pasangan itu. Mungkin nampak senang untuk dibahaskan tapi yang merasanya tentu lebih tahu persis apa yang dirasanya itu.


Kesimpulannya, aku sangat membenci kekerasan dan penindasan terhadap kaum wanita. Untuk para suami di luar sana, hargailah dan sayangilah isteri anda sebab apa yang anda miliki sekarang mungkin adalah anugerah terbaik dan terindah yang Allah kurniakan dalam hidup anda. Tak semestinya selepas ini anda bakal mendapat pengganti yang lebih baik, mungkin seribu kali lebih buruk dari sekarang. Hambek kau! 


Jika sedang duduk berdiam diri, cuba sesekali imbas kembali kenangan-kenangan manis yang pernah tercipta dengan isteri. Bagaimana susah payah yang pernah diharungi semata-mata untuk mendapatkan isteri. Renungkan apa pengorbanan dan jasa yang telah dilakukan oleh isteri dalam hidup anda. Bayangkan apa yang akan terjadi jika tiada lagi si isteri di sisi anda. Bolehkah ada wanita lain yang setabah dan sesabar isteri dalam melayan kerenah anda dan anak-anak, mengharungi susah senang bersama anda selama ini?


Kalau isteri anda sanggup berkorban dan membantu anda mencari nafkah bersama-sama untuk keluarga, mengerah tenaga dan keringat untuk menguruskan keluarga dan rumahtangga, apa salahnya anda turut membantu isteri di rumah sebagaimana dia turut membantu anda mencari nafkah. Kasihani dan hargailah isteri anda. Janganlah cuma nak ikut sunnah nabi dalam hal beristeri empat sahaja, tapi bab sunnah nabi selalu tolong isteri buat kerja rumah pula buat-buat tak tahu.


Tolonglah wahai suami dan lelaki. Jadilah seorang nakhoda yang cekap dan hebat mengemudi kapalnya. Tolong, okeh!

Tuesday, August 17, 2010

Wow, ada bunga api!

Biasanya di mana-mana karnival, festival, pesta, sambutan hari kemerdekaan atau tahun baru, mesti ada pertunjukan bunga api. Dan biasanya lagi, acara pertunjukan bunga api tu diletakkan di hujung-hujung acara. Mungkin sebab tak bagi orang balik awal ataupun mungkin sebab bunga api tu mahal, jadi ia dianggap sebagai kemuncak acara. Selalunya bermula dari dentuman pertama diikuti dengan indahnya bunga api meletup di ruang angkasa sehinggalah dentuman yang terakhir, pasti diiringi dengan suara-suara kagum dan jakun penonton yang terpesona dengan keindahannya. Memang cantik! Tapi, aku tak hairan langsung apatahlagi jakun. Aku berlagak? Taklah.


Tak berapa jauh dari rumah aku, tinggallah seorang usahawan berjaya (macam nak cakap seekor gergasi yang besar) yang menjalankan perniagaan membeli barang-barang lusuh dan besi-besi buruk di samping perniagaan tambahannya iaitu sebuah restoran berkaraoke yang selalu membingitkan telinga penduduk di sekitarnya termasuklah keluarga aku sebab restorannya beroperasi hingga dini hari. Okeh, dapat tangkap tak cerita aku?


Aku bukan nak bercerita tentang salasilah keluarga usahawan tersebut sebab aku pun bukannya kenal baik dengan dia. Cuma aku nak membongkar rahsia, kenapa aku dan mungkin kebanyakan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan rumah aku tak begitu kagum, jakun atau teruja dengan mana-mana acara yang menyenaraikan acara pertunjukan bunga api di dalam aturcara majlisnya sebagai daya penarik.


Aku tak berapa ingat sejak bila, tapi yang pasti tiap kali kita bakal bercuti umum pada esok hari kerana ada hari-hari penting, sambutan atau apa-apa jua perayaan, pengusaha tersebut PASTI akan mengadakan acara pertunjukan bunga api di premis perniagaannya sehingga boleh dilihat oleh hampir kesemua penduduk kampung. Tak kira apa juga perayaan atau sambutan hari-hari penting, okeh. Bukan setakat pertunjukan bunga api biasa-biasa macam di majlis orang kahwin, tapi setaraf dengan pertunjukan yang selalu kita lihat di mana-mana acara penting seperti majlis penutup Pengisytiharan Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Festival Layang-layang, hari kemerdekaan atau sambutan Tahun Baru. Serius!


Sampaikan kadang-kadang kalau kita terlupa yang besok adalah sebuah hari yang penting, bila nampak saja acara bunga api dah bermula, baru kita tertanya-tanya dan meneka-neka sendiri, hari apa besok gamaknya ya? Yang aku pelik, tak ada hari yang penting pun acara bunga api tetap dilangsungkan. Oh, mungkin sambutan hari jadi kucing atau burung peliharaannya. Siapa tau, kan? Kalau dah blur pertunjukan bunga api tu untuk sambutan apa, maka biasanya aku dan si gigi besi akan membuat andaian dan kesimpulan yang pertunjukan bunga api itu adalah untuk menyambut hari Rabu pada esok hari. Kalau besok hari Rabulah. Kalau besok hari Isnin, ye untuk menyambut kedatangan hari Isnin. 


..........................


Kalau tak faham, anggap je lah diri kamu belum mumayiz.


Macam baru-baru ni, malam sebelum besoknya kita menyambut hari pertama Ramadan, pertunjukan bunga api berlangsung lagi. Yang ni aku pastilah, tujuannya adalah untuk sambutan 1 Ramadan. Tapi, pentingkah acara pertunjukan bunga api tu ya? Hemphh.. Lantak dialah. Yang dia bakar pakai duit dia, bukan duit aku dan keluarga aku.







Antara percikan bunga api yang berjaya aku tangkap gambarnya pada malam sebelum 1 Ramadan.
Gambar-gambar ini berjaya menunjukkan tahap ke'tidakprofesionalan' aku dalam hal-hal fotografi.
Kesian.

Thursday, August 12, 2010

Sinar Ramadan datang lagi



Ramadan menjelma, maksudnya Syawal semakin hampir! Yeay! Hehe.. itu fahaman aku sewaktu kecil dululah!


Ramadan tetap sebuah bulan yang sangat istimewa. Cuma kita orang Muslim saja yang tau. Sangat istimewa. Kemudian semua penat lelah kita menahan segala nafsu dan menginsafkan diri itu dibayar pula dengan Syawal yang sangat indah. Terlalu indah, lagi-lagi untuk budak-budak kecil. Macam kita dulu-dulu. Syok kan?


Banyak benda yang kita tak boleh jumpa di bulan lain selain dari Ramadan. Contohnya bazar Ramadan, solat Tarawih (dan morehnya), bersahur, berbuka puasa, malam Lailatul Qadar, bunga api dan mercun (ops, sekarang dah diharamkan!), mencuba baju baru dan kasut baru setiap hari menjelang raya, ceh, itupun aktiviti aku masa kecik-kecil dulu! Ngee..


Ramadan mungkin adalah satu bulan yang cukup menyeksakan bagi budak-budak kecil. Kalau tidak, kenapa waktu aku darjah 2 atau 3 dulu, aku selalu masuk ke tandas selepas habis waktu sekolah semata-mata untuk meneguk air paip? Kalau kebetulan ada kawan yang ikut atau ada murid lain dalam tandas, aku akan berpura-pura mencuci muka dan bila waktunya sudah sesuai, aku akan telan beberapa liter air paip. Air paip okeh. Bukan air sirap atau pepsi sejuk yang berais batu. Cess, meleleh air liur aku sekarang!


Alah, aku kecil lagilah masa tu. Belum akil baligh pun. Mungkin tuhan boleh maafkan. Amin.


Ramadan mungkin best bagi budak-budak kecil sebab kata ustaz, jin dan syaitan semuanya dirantai pada bulan ini. Jadi, lebih berani bila ke tandas seorang diri di malam hari. Ataupun, taklah lari berkejaran macam dikejar anjing bila pulang dari kelas tuisyen anjuran cikgu-cikgu bujang di malam hari.


Ramadan adalah bulan mulia di mana kita berpeluang melipatgandakan pahala dengan amalan-amalan ibadah. Ramadan juga adalah bulan di mana bibir menjadi kering, badan menjadi sangat lemah terutamanya menjelang waktu berbuka, bulan di mana banyak makanan terbuang sebab terlalu mengikut hawa nafsu pelahap dan gelojoh sewaktu melihat juadah berbuka di bazar Ramadan dan bulan menghabiskan duit dengan berbelanja raya dalam edisi tak ingat dunia. Aku harap aku tak termasuk dalam mana-mana kategori di atas. Kecuali yang bibir kering, tu memang tak boleh tolaklah. Kalau bibir merah merekah, segar ranum je, tentu orang fikir lain.


Pendekata, Ramadan adalah sebuah bulan yang sangat istimewa. Dan keistimewaan itu tentunya berganda-ganda dirasakan bila Ramadan dijalani dengan orang-orang yang kita sayangi di sekeliling kita. Walaupun kegembiraan menyambut Syawal tak lagi sehebat perasaan kita sewaktu budak-budak dulu, sekurang-kurangnya kita masih diberi peluang untuk menikmatinya di atas muka bumi Allah ini. Alhamdulillah.


Selamat menjalani ibadah puasa dengan penuh taqwa dan keinsafan.


Salam Ramadan.

Saturday, August 7, 2010

Berani buat, berani tanggung!

Kalau kamu buat salah, tak kira apa pun kesalahan itu, sama ada besar atau kecil, kamu mesti berani menanggung risikonya. Jadi, sebelum membuat apa-apa tindakan, tolonglah gunakan otak yang terletak di kepala, bukan yang terletak di kepala lutut. Fikir dulu apa kesan jangka panjang atau kesan jangka pendek yang berkemungkinan boleh terjadi sekiranya kesalahan itu tetap juga kamu lakukan. Tindakan ini namanya berfikiran panjang. Janganlah cetekkan pemikiran macam air longkang di belakang rumah.


Kalaupun otak kamu gagal berfungsi dengan baik untuk memikirkan bahaya risiko perbuatan salah kamu itu, dan kamu pun dah terlanjur berbuat salah, maka seharusnya kamu bersikap 'berani buat, berani tanggung'. Kalau ikut hukum dalam agama, setiap perbuatan salah pasti ada balasannya. Jadi, tanggunglah risiko atau balasan yang terpaksa kamu bayar atas kesalahan kamu.


Mudah kan?


It's so simple, man!

Thursday, August 5, 2010

Terjadinya SESUATU adalah kerana SESUATU

Dalam kitab Tauhid tahun 1 di sekolah agama dulu, aku belajar tentang semua benda hidup dan benda tak hidup di muka bumi ini ada penciptanya. Kerusi dan meja dicipta oleh tukang kayu, ubat-ubatan dicipta oleh saintis dan doktor, barang kemas dicipta oleh tukang emas dan semua makhluk bernyawa serta seluruh isi alam adalah ciptaan Allah yang Maha Esa.


Waktu itu cuma belajar perkara-perkara asas dalam ilmu Tauhid. Tapi yang asas itulah biasanya yang menjadi pegangan dan pedoman untuk kita.


Aku bukan nak mengajar ilmu Tauhid hari ini. Aku belum dan tak cukup hebat untuk membahas tentang ilmu mentauhidkan Allah itu.


Cuma, berdasarkan asas itulah maka aku tersedar. Segala yang terjadi di sekeliling mahupun dalam hidup kita sendiri ada penyebabnya. Bagaimana Allah menciptakan setiap ciptaanNya dengan fungsi masing-masing yang tersendiri, hatta seekor kuman sekalipun, begitu jugalah dengan setiap sesuatu yang terjadi pasti ada penyebab dan hikmah di sebaliknya.


Peristiwa menyedihkan dan menyakitkan hati yang terjadi pada aku kebelakangan ini, yang pada mulanya tak boleh aku terima serta sangat aku sesali, akhirnya aku pandang dan nilai dari perspektif aku yang positif. Segala cas-cas, neuron-neuron serta aura-aura negatif yang terdapat dalam peristiwa menyakitkan hati itu cuba aku tukarkan kepada yang positif-positif sahaja. Kamu ingat itu senang?


Persoalan seperti "kenapa ini boleh terjadi" dan "apa salah aku sehingga ia terjadi", cuba aku temukan jawapannya. Walaupun kadangkala rasanya macam aku memaksa diri supaya aku boleh menerima jawapan itu dengan hati ikhlas dan terbuka.


Belajar memaafkan dan melupakan sedang aku usahakan sekarang walaupun sangat sukar untuk diimplementasikan dan diserapkan dalam jiwa aku yang baran.


Mungkin peristiwa  itu terjadi sedikit sebanyak adalah kerana kesalahan serta kelalaian aku sendiri yang selama ini tak aku sedari serta sekadar kupandang sambil lewa. Kadangkala hal yang kecil itulah yang mencetuskan hal yang lebih besar. Haihhh..


Rasanya aku harus buat sedikit perubahan dalam hidup. Dari sudut positifnya, peristiwa itu telah menyedarkan aku tentang beberapa hal yang selama ini tak aku sedari dan tak aku tanggapi secara serius. Setakat ini, cuma itulah kesan positif yang dapat aku paksakan masuk ke minda warasku. Sangat aku paksakan.


Moralnya, walaupun kau berkepala angin dan panas baran sekalipun, sesekali bila terjadi bencana atau bala yang membuat belasungkawa dalam jiwa, cubalah untuk memandang dari sudut positif apa sebenarnya yang membuat peristiwa itu boleh terjadi dan apa hikmah di sebaliknya.


Cubalah walaupun sangat sukar sekali.


Terutamanya untuk orang baran seperti aku.

Monday, August 2, 2010

Anjakan paradigma


Kamu ada matlamat hidup tak? Ah, semua orang ada matlamat hidup. Cuma bergantung kepada kesungguhan kita untuk mencapainya atau cuma sekadar bermatlamat tapi tiada daya usaha untuk merealisasikan matlamat itu menjadi sebuah realiti.


Aku ada matlamat hidup sendiri. Dan aku biasanya menentukan masa atau tempoh untuk aku mencapai matlamat itu. Walaupun biasanya dah cukup masa yang ditentukan pun, matlamat aku belum juga menjadi kenyataan, aku akan melanjut dan memperpanjangkan lagi masa atau tempoh tersebut untuk memastikan aku betul-betul boleh mencapai matlamat yang aku tentukan itu. Susah. Agak susah untuk betul-betul menjadikan matlamat itu sebuah kenyataan sebab kadang-kadang dalam masa yang ditentukan itu, banyak hal tak terduga yang boleh terjadi. Itu adalah antara cabaran besar yang selalu aku hadapi.

Waktu masih baru berkahwin dulu, aku dan suami ada membuat senarai matlamat yang perlu kami capai dalam tempoh 10 tahun perkahwinan kami. Senarai matlamat dan impian hidup itu kami tuliskan di dalam sehelai kertas kecil dan panjang yang kemudian kami lipat hingga menjadi bintang-bintang kecil. Bintang-bintang kecil itu kami simpan di dalam sebuah balang kaca kecil berbentuk bintang bersama puluhan bintang-bintang kecil lain. Kami berjanji untuk membuka semula botol kaca tersebut 10 tahun dari tarikh kami memulakannya. Sekarang usia perkahwinan kami sudah memasuki 6 tahun. 4 tahun lagi botol kaca itu akan dibuka dan lihat sama ada matlamat atau impian kami sudah menjadi kenyataan atau tidak.  Jadi, pada tahun 2014 kalau masih berumur panjang dan Allah masih menginginkan kami bernafas di muka bumi ini, botol itu akan dibuka. Dalam tempoh 10 tahun itu, kami boleh menambah lagi senarai impian dan memasukkannya ke dalam botol itu. Macam budak-budakkah? Taklah. Sekurang-kurangnya ini menjadi pendorong dan pemangkin kepada kami untuk berusaha mencapai matlamat atau impian kami.

Untuk berubah dalam apa jua hal, kita perlu anjakan paradigma. Hal ini suami yang banyak tekankan dalam hidup aku. Maksudnya, untuk lebih berjaya dalam hidup dan tidak tersekat di takuk yang sama tanpa apa-apa perubahan yang lebih mantap, kami perlu berani membuat perubahan dan menukar cara pemikiran kami. Apa yang kami ada sekarang walaupun secara dasarnya sudah mencukupi, tetapi adakalanya kita perlu berusaha untuk sesuatu yang lebih baik dan sempurna. Walaupun adakalanya perubahan itu agak sukar untuk diterima, tapi sekurang-kurangnya kita berani mencuba demi kesenangan kita di masa hadapan. Biarlah apa pun tentangan dan pandangan negatif yang terpaksa diterima dari orang sekeliling, biarkan. Sebab cuma kita yang merasa apa yang kita lalui dan cuma kita yang akan melalui apa yang bakal kita lalui. Cuma kita berdua sahaja yang akan melalui segalanya. Titik. Aku rasa macam penceramah motivasi sekarang.

Aku jarang bercerita tentang suami dalam blog ini. Mungkin aku rasa, segala hal-hal yang berkaitan dengan suami adalah hal peribadi untuk aku sahaja. Jadi, aku tak akan bercerita tentang suami dalam ini. Cuma, aku ingin berkongsi tentang sebuah istilah yang dipanggil anjakan paradigma. Anjakan paradigma yang dicetuskan dari minda suami. Misi dan visinya adalah untuk masa depan kami sekeluarga. Dan aku sangat berharap dia betul-betul teguh dengan apa yang dirancangkannya.

Beberapa moral yang aku dapat dari hal-hal yang kebelakangan ini terjadi dalam hidup aku antaranya; kita tak akan tahu sesuatu itu boleh berhasil atau tidak jika kita tidak mencubanya terlebih dahulu. Dan untuk melakukan percubaan atau perubahan itu perlu satu tindakan yang nekad dan berani. Kita tak tahu selagi kita tak mencuba. Semakin lambat kita memulakannya, semakin lambatlah kita mendapat hasilnya dan sebaliknya. Vice versa.

Sebuah doa dan harapan aku iringkan bersama dengan matlamat dan impian kami bersama itu.

Related Posts with Thumbnails