Thursday, August 12, 2010

Sinar Ramadan datang lagi



Ramadan menjelma, maksudnya Syawal semakin hampir! Yeay! Hehe.. itu fahaman aku sewaktu kecil dululah!


Ramadan tetap sebuah bulan yang sangat istimewa. Cuma kita orang Muslim saja yang tau. Sangat istimewa. Kemudian semua penat lelah kita menahan segala nafsu dan menginsafkan diri itu dibayar pula dengan Syawal yang sangat indah. Terlalu indah, lagi-lagi untuk budak-budak kecil. Macam kita dulu-dulu. Syok kan?


Banyak benda yang kita tak boleh jumpa di bulan lain selain dari Ramadan. Contohnya bazar Ramadan, solat Tarawih (dan morehnya), bersahur, berbuka puasa, malam Lailatul Qadar, bunga api dan mercun (ops, sekarang dah diharamkan!), mencuba baju baru dan kasut baru setiap hari menjelang raya, ceh, itupun aktiviti aku masa kecik-kecil dulu! Ngee..


Ramadan mungkin adalah satu bulan yang cukup menyeksakan bagi budak-budak kecil. Kalau tidak, kenapa waktu aku darjah 2 atau 3 dulu, aku selalu masuk ke tandas selepas habis waktu sekolah semata-mata untuk meneguk air paip? Kalau kebetulan ada kawan yang ikut atau ada murid lain dalam tandas, aku akan berpura-pura mencuci muka dan bila waktunya sudah sesuai, aku akan telan beberapa liter air paip. Air paip okeh. Bukan air sirap atau pepsi sejuk yang berais batu. Cess, meleleh air liur aku sekarang!


Alah, aku kecil lagilah masa tu. Belum akil baligh pun. Mungkin tuhan boleh maafkan. Amin.


Ramadan mungkin best bagi budak-budak kecil sebab kata ustaz, jin dan syaitan semuanya dirantai pada bulan ini. Jadi, lebih berani bila ke tandas seorang diri di malam hari. Ataupun, taklah lari berkejaran macam dikejar anjing bila pulang dari kelas tuisyen anjuran cikgu-cikgu bujang di malam hari.


Ramadan adalah bulan mulia di mana kita berpeluang melipatgandakan pahala dengan amalan-amalan ibadah. Ramadan juga adalah bulan di mana bibir menjadi kering, badan menjadi sangat lemah terutamanya menjelang waktu berbuka, bulan di mana banyak makanan terbuang sebab terlalu mengikut hawa nafsu pelahap dan gelojoh sewaktu melihat juadah berbuka di bazar Ramadan dan bulan menghabiskan duit dengan berbelanja raya dalam edisi tak ingat dunia. Aku harap aku tak termasuk dalam mana-mana kategori di atas. Kecuali yang bibir kering, tu memang tak boleh tolaklah. Kalau bibir merah merekah, segar ranum je, tentu orang fikir lain.


Pendekata, Ramadan adalah sebuah bulan yang sangat istimewa. Dan keistimewaan itu tentunya berganda-ganda dirasakan bila Ramadan dijalani dengan orang-orang yang kita sayangi di sekeliling kita. Walaupun kegembiraan menyambut Syawal tak lagi sehebat perasaan kita sewaktu budak-budak dulu, sekurang-kurangnya kita masih diberi peluang untuk menikmatinya di atas muka bumi Allah ini. Alhamdulillah.


Selamat menjalani ibadah puasa dengan penuh taqwa dan keinsafan.


Salam Ramadan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails