Tuesday, August 17, 2010

Wow, ada bunga api!

Biasanya di mana-mana karnival, festival, pesta, sambutan hari kemerdekaan atau tahun baru, mesti ada pertunjukan bunga api. Dan biasanya lagi, acara pertunjukan bunga api tu diletakkan di hujung-hujung acara. Mungkin sebab tak bagi orang balik awal ataupun mungkin sebab bunga api tu mahal, jadi ia dianggap sebagai kemuncak acara. Selalunya bermula dari dentuman pertama diikuti dengan indahnya bunga api meletup di ruang angkasa sehinggalah dentuman yang terakhir, pasti diiringi dengan suara-suara kagum dan jakun penonton yang terpesona dengan keindahannya. Memang cantik! Tapi, aku tak hairan langsung apatahlagi jakun. Aku berlagak? Taklah.


Tak berapa jauh dari rumah aku, tinggallah seorang usahawan berjaya (macam nak cakap seekor gergasi yang besar) yang menjalankan perniagaan membeli barang-barang lusuh dan besi-besi buruk di samping perniagaan tambahannya iaitu sebuah restoran berkaraoke yang selalu membingitkan telinga penduduk di sekitarnya termasuklah keluarga aku sebab restorannya beroperasi hingga dini hari. Okeh, dapat tangkap tak cerita aku?


Aku bukan nak bercerita tentang salasilah keluarga usahawan tersebut sebab aku pun bukannya kenal baik dengan dia. Cuma aku nak membongkar rahsia, kenapa aku dan mungkin kebanyakan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan rumah aku tak begitu kagum, jakun atau teruja dengan mana-mana acara yang menyenaraikan acara pertunjukan bunga api di dalam aturcara majlisnya sebagai daya penarik.


Aku tak berapa ingat sejak bila, tapi yang pasti tiap kali kita bakal bercuti umum pada esok hari kerana ada hari-hari penting, sambutan atau apa-apa jua perayaan, pengusaha tersebut PASTI akan mengadakan acara pertunjukan bunga api di premis perniagaannya sehingga boleh dilihat oleh hampir kesemua penduduk kampung. Tak kira apa juga perayaan atau sambutan hari-hari penting, okeh. Bukan setakat pertunjukan bunga api biasa-biasa macam di majlis orang kahwin, tapi setaraf dengan pertunjukan yang selalu kita lihat di mana-mana acara penting seperti majlis penutup Pengisytiharan Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Festival Layang-layang, hari kemerdekaan atau sambutan Tahun Baru. Serius!


Sampaikan kadang-kadang kalau kita terlupa yang besok adalah sebuah hari yang penting, bila nampak saja acara bunga api dah bermula, baru kita tertanya-tanya dan meneka-neka sendiri, hari apa besok gamaknya ya? Yang aku pelik, tak ada hari yang penting pun acara bunga api tetap dilangsungkan. Oh, mungkin sambutan hari jadi kucing atau burung peliharaannya. Siapa tau, kan? Kalau dah blur pertunjukan bunga api tu untuk sambutan apa, maka biasanya aku dan si gigi besi akan membuat andaian dan kesimpulan yang pertunjukan bunga api itu adalah untuk menyambut hari Rabu pada esok hari. Kalau besok hari Rabulah. Kalau besok hari Isnin, ye untuk menyambut kedatangan hari Isnin. 


..........................


Kalau tak faham, anggap je lah diri kamu belum mumayiz.


Macam baru-baru ni, malam sebelum besoknya kita menyambut hari pertama Ramadan, pertunjukan bunga api berlangsung lagi. Yang ni aku pastilah, tujuannya adalah untuk sambutan 1 Ramadan. Tapi, pentingkah acara pertunjukan bunga api tu ya? Hemphh.. Lantak dialah. Yang dia bakar pakai duit dia, bukan duit aku dan keluarga aku.







Antara percikan bunga api yang berjaya aku tangkap gambarnya pada malam sebelum 1 Ramadan.
Gambar-gambar ini berjaya menunjukkan tahap ke'tidakprofesionalan' aku dalam hal-hal fotografi.
Kesian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails