Monday, October 31, 2011

Misteri kehilangan zink rumah

Beberapa malam yang lepas, sedang aku duduk berehat-rehat atas sofa depan tv, tiba-tiba Encik Papa meluru masuk dari luar rumah. Tak payah tanya pun, tengok muka je dah tau tak dia tak sabar-sabar nak bercerita.

Encik Papa  : Tiga bijik rumah hilang zink!
Aku             :  Erk.. zink?
Encik Papa  : Rumah sewa sederet yang kosong kat sebelah ni ha. Tiga bijik rumah yang paling hujung sana, bumbungnya dah melopong!
Aku             : Apakah?
Encik Papa  : Kena curi laa.. Siap dengan mesin-mesin basuh sekali dia angkut. 2 bijik pulak tu!
Aku             : Mana tau?
Encik Papa  : Ada orang belakang rumah nampak. Zink tu dia angkut sikit-sikit bawak pergi port dia.
Aku             : Woh. Kuat eh? Sampai 3 rumah dia kasi licin.

Sederet rumah sewa separuh papan dan separuh batu berdekatan dengan rumah aku tu, memang dah agak lama kosong. Yang berpenghuni, ada la dalam 2, 3 buah rumah. Itupun ada yang penghuninya balik kampung. Rumah-rumah yang tuannya balik kampung tu lah yang kena angkut mesin basuh. Fuh, semangat waja betul pencuri tu panjat bumbung rumah dan kopak zink ye? Tiga buah rumah sekali pulak tu. Bumbung zink kan mahal harganya kalau jual di pusat jualan barangan lusuh. Nasib baik rumah aku bumbung asbestos. Pencurinya pun dah tau siapa. Golongan mat pit atau mat gian, atau apa saja korang panggil golongan diorang tu. Kes terdesak lah tu. Dah tu, apa yang misterinya? Entah. Heheh.

p/s: jahat diorang ni. selalu ambil barang aku tanpa izin. kasut, selipar, seluar jeans. mangkuk tandas betul! badan sekeping pun boleh hangkut mesin basuh, zink, etc. nasib baik tak boleh hangkut kereta dengan rumah!

Friday, October 28, 2011

Kereta rosak dan ais krim Magnum

Sejak peristiwa aku terpaksa menapak lebih kurang 500 meter untuk ke tempat kerja setelah kereta aku meragam tak nak hidup enjin sebab kegagalan fungsi bateri kereta, aku dapat sikit pengajaran la. Disebabkan cuma 500 meter je, bukannya sampai 1 kilometer pun, tak adalah journey tu buat aku dapat penyakit lelah, semput ke apa, cuma bila petang tu balik dari kerja dan dijemput oleh adik aku si gigi besi yang dah tak berapa nak besi sebab besi kat gigi dia dah kena cabut, dan dia bertanya sesuatu pada aku berkaitan dengan kes aku terpaksa menapak ke tempat kerja, yang mana tak pernah langsung aku buat selama ni, aku tiba-tiba terfikir sesuatu. Dialog kitorang lebih kurang macam ni:

Aku        : Fuh, berpeluh ketiak aku menapak pergi kerja tadi.
Gigi besi  : Fuh, betul kau menapak eh? Macam tak percaya.
Aku        : Apasal pulak?
Gigi besi : On the way tadi, tak ada orang nampak kau ke? Maksud aku, orang-orang yang kenal dengan  kau?
Aku        : Entah. Aku tak peduli pun.
Gigi besi : Kau tak rasa malu ke?
Aku        : Malu kenapa?
Gigi besi : Yelah, dah biasa naik kereta kalau nak ke mana-mana, tiba-tiba menapak. Orang tak cakap ke, eh, budak ni kenapa tiba-tiba jalan kaki?
Aku        : ...............................
Gigi besi : Kalau aku, serius, ada rasa malu sikit dan tak biasa. Sebab dah biasa sangat naik kereta. 
Aku       : ................................

Pengajaran yang aku dapat, woh, rupanya selama ni aku dah lupa macam mana rasanya berjalan kaki agak jauh, sebab terlampau bergantung pada kereta. Nak ke kedai runcit yang jaraknya tak sampai 100 meter pun, kena hidupkan enjin kereta. Tak sihatnya gaya hidup aku. Cuma, rasa malu macam yang gigi besi cakap tu, taklah berapa aku rasa. Atau mungkin ada, tapi tak mencengkam jiwa sangat. Aku terfikir jugak, manja betul badan aku ye. Orang lain yang tak ada kenderaan dan setiap hari terpaksa berjalan kaki ke sana sini tu badannya lebih sihat dari aku. Pengajaran seterusnya, bila kau penat jalan kaki walaupun baru 100 meter, kena berhenti beli ais krim Magnum dan sebungkus kerepek kentang. Macam yang aku buat. Mahal ye, satu batang RM3.90, kata aku yang kedekut.

Sebelum

Selepas

p/s: kereta tu memang sengaja nak cari pasal dengan aku sebab balik kerja tiba-tiba dia dah boleh hidup tanpa was-was. Hampagas!

Tuesday, October 25, 2011

Kempen '1 bulan 1 buku'- Oktober

Bersempena dengan kempen '1 bulan 1 buku' macam yang aku war-warkan sebelum ni, maka ni adalah buku yang aku pilih untuk bulan Oktober, 'Before I Forget' karya Melissa Hill. Novel terbitan Hodder & Stoughton ni tebalnya 341 ms, baru setengah aku baca. Nak tau sinopsis, boleh ke sini.


Dalam usaha nak hidupkan semula budaya membaca dalam diri aku, aku dah berjanji untuk beli 1 novel sebulan dan dengan itu aku nak menyeru semua blogger untuk ikut serta dalam kempen ni. Alaa, sebulan budget dalam RM20-RM30 taklah seteruk habiskan duit pada baju, make-up atau handbag yang penghujungnya cuma terperuk je dalam gerobok sebab tak suka pakai atau tak sesuai dengan jiwa, kan?
Jom nyanyi lagu iklan mari membaca kat tv yang mat-mat rempit pun buat muka mat belia masuk library baca buku.

Monday, October 24, 2011

Jangan tutup lampu (3)

Memang seram di malam hari.
Masa aku keluar dari rumah kawan aku malam tu, aku memang dah perasan macam ada seseorang yang berdiri kat pintu pagar rumah sebelah yang kosong dan gelap tu. Tak nampak jelas, cuma tengok dengan ekor mata je. Dia berdiri tegak sambil perhatikan kitorang. Berderau jugak darah, tapi masih berlagak cool. Bila aku dan dua orang sepupu aku tu mula langkahkan kaki untuk pergi, 'orang' yang berdiri kat pagar tadi mula keluarkan bunyi yang pelik- macam bunyi orang ketawa mengelekek tapi sekejap-sekejap.

Aku dan dua sepupu aku dah saling memandang. Jangan harap nak toleh belakang. Kami teruskan langkah dengan kecepatan tinggi. Bila suara mengelekek sekejap-sekejap tu dah berubah jadi panjang-panjang bunyinya, lebih tepat lagi bunyi mengilai, dua orang sepupu aku dah lemah longlai. Terpaksa aku tarik diorang sekuat hati untuk terus melangkah. Kaki aku pun sebenarnya dah lembik macam jelly. Macam terpasung kat tanah.

Bila dah agak jauh, aku perasan macam ada sesuatu yang terbang-terbang riang kat belakang kami. Macam orang yang buat show kat sarkas, tapi bezanya tak ada orang peduli dan tak tengok langsung. Kami kuatkan semangat untuk terus berjalan seterusnya berlari tapi macam larian orang yang tak makan 3 hari.

Akhirnya kami sampai depan sekolah rendah yang gelap dan nampak mengerikan di malam hari. Seorang dari sepupu aku berhenti sekejap. Tarik nafas panjang. Aku pun dah tak larat. Macam dah habis tenaga. Benda yang mengganggu kami dari tadi dah hilang dari pandangan. Dia dah boring agaknya.

Secara tiba-tiba, sepupu aku tu mengeras dengan bijik mata yang macam nak tercabut dari kelongsongnya. Matanya terarah ke kawasan taman bunga di dalam kawasan sekolah yang letaknya betul-betul berhadapan dengan tempat kami berdiri waktu tu. Aku tau dia nampak sesuatu kat situ. Aku tak nak tengok sebenarnya, tapi macam ada tarikan magnet untuk aku pandang ke arah tu.

Dengan memandang tajam ke arah kami bertiga, 'kakak cantik' tadi tu berdiri sambil bersandar pada sebatang pokok dengan baju ala jubah mak arab berwarna putih. Cuba korang bayangkan. Bohonglah kalau tak ada rasa nak terkucil kat situ jugak. Serius, kaki aku tak boleh bergerak langsung. Kami bertiga berpeluk sesama sendiri sementara benda tu melonjak naik dengan laju ke awangan dan terbang berlegar-legar di udara sebelum menuju ke arah kami. Aku tutup mata. Pasrah.

Kringggg! Terkejut aku dengan bunyi alarm dari handphone yang aku dah setkan sebelum tidur. Kisah tadi tergantung begitu saja. Huh, aku pun tak ingin nak sambung balik mimpi tu. Seriau!

Friday, October 21, 2011

Dilarang masuk!

Aku bukannya apa. Aku cuma tak boleh terima kalau ada individu atau kumpulan-kumpulan tertentu yang datang pada aku untuk promosikan bisnes jualan langsung atau direct selling atau MLM atau apa jenis pelaburan pun yang aku tak paham dari mana dapat untung berlipat kali ganda tanpa jual barang dan tanpa buat apa-apa pun. Tak apalah kalau diorang dah kaya raya, tayang kereta mewah dan rumah gah gila dalam brochure atau pamplet sebab dah berjaya dalam bisnes mereka jual ubat-ubatan, makanan kesihatan, kosmetik, pelaburan atau apa pun ia, bisnes direct selling dan pelaburan entah apa-apa tu tetap BUKAN dunia aku!

Oklah, memang ada yang kaya betul bila masuk dalam bisnes ni, tapi sejauh pengetahuan aku setakat ni, dalam ramai-ramai yang dah datang ke rumah sejak aku kecik dulu sampai sekarang, dalam usaha untuk tarik mak bapak aku dan jugak aku untuk join bisnes diorang tu, serius, sampai sekarang belum ada sorang pun yang datang semula untuk tunjuk kereta mewah atau ajak kitorang datang ke rumah mewah diorang hasil dari bisnes yang biasanya kena bayar paling kurang RM30 untuk pendaftaran sebelum dapat kit lengkap siap dengan fail-fail kulit bagai tu.

Aku tak boleh join direct selling. Aku tak boleh join mana-mana pelaburan cepat kayap. Aku tak mampu nak tarik minat orang untuk beli barang aku apatahlagi untuk ajak orang join bisnes dan melabur dengan aku. Aku tak mampu dan tak berkebolehan. Maaf kawan-kawan. Aku bukan orang yang kamu cari, ya!

yeah, pokcik kayo!!

Thursday, October 20, 2011

Segala yang pertama

  • Buku pertama yang aku baca selepas tau membaca, tajuknya '1111 Tafsir Mimpi' kepunyaan bapak aku. Belajar membaca dengan bantuan emak aku yang tugasnya pastikan semua sebutan aku tepat. '1111 Tafsir Mimpi'? Gila boring tajuk..
  • Novel pertama yang ada dalam simpanan, Siri Penyiasatan 5 Sekawan oleh Enid Blyton dan Siri Salma oleh Nancy Drew. Dapat hadiah kat sekolah masa hari PIBG sebab dapat nombor 1 dalam kelas.
  • Majalah pertama yang aku baca, majalah kartun Gila-Gila yang tengah top tahun 80an dulu.
  • Hutang pertama yang aku buat dalam hidup, hutang beli majalah Bintang Kecil dengan Cikgu Rosyati dengan bayaran paling sikit 20 sen dan paling banyak RM1 sekali bayar. Bila aku cuma bayar 20 sen sebab duit dah habis buat beli nasi lemak kat kantin sekolah, mesti Cikgu Rosyati buat muka ketat. Agaknya dia kata, kalau tak mampu tak payahlah beli. Tapi Cikgu Rosyati tetap guru kesayangan aku.
  • Panggung wayang pertama aku masuk adalah panggung wayang NIRA di KOMTAR, Johor Bahru tahun 80an pada usia 5 atau 6 tahun, tengok movie dari Indonesia yang aku langsung tak ingat apa tajuknya. Jangankan tajuk, jalan cerita pun aku tak paham. Mak dan bapak aku rajin pergi tengok movie kat panggung wayang masa tu.
  • Surat cinta pertama aku dapat masa umur 8 atau 9 tahun, yang dicampakkan oleh seseorang melalui tingkap bilik mak aku. Aku punyalah jujur sangat masa tu, terus bagi surat tu pada pakcik dan emak aku kat ruang tamu. Terguling-guling diorang gelak baca surat cinta yang ditulis oleh budak darjah 2. Nak ajak aku keluar makan kat Medan Selera, Taman Air Biru, Pasir Gudang. Kehkeh. Sunat pun belum, budak tu.
  • Kereta pertama yang bapak aku beli adalah kereta Proton Saga secondhand warna putih pada tahun 1994. Gila punya bangga sebab masa tu kat tempat aku belum ramai yang ada kereta. Masa tu, kami adik beradik betul punya jakun sampaikan makan, minum, main Brick Game, main pondok-pondok, semua dalam kereta. (-_-")
  • Kaset pertama aku beli dengan duit poket sendiri adalah kaset Ziana Zain yang tajuknya 'Setiaku di Sini'.
  • Kali pertama aku rasa bangga gila, rasa terhormat dan betul-betul disanjung masyarakat adalah pada tahun 1993, di mana aku berjaya dapat 4A dalam UPSR. (Masa tu masih 4A lagi, belum 5A macam sekarang). Semua orang kenal aku masa tu. Fuhh~ Feeling artis habis!
  • Dan kali pertama aku rasa macamana rasanya sebagai seorang ibu adalah selepas melahirkan si kembar, Alyaa Nazura & Alysaa Najwa pada 08 Januari 2005 dalam usia 23 tahun 11 bulan. Saat tu baru aku tau, betapa hebatnya menjadi seorang ibu..

Wednesday, October 19, 2011

Kisah anak jiranku


Umur Hafiz 7 tahun. Serius, dia sangat comel dan ada ciri-ciri nak jadi kacak. Hidungnya mancung dan matanya cantik berbulu mata lentik. Senyumannya manis. Anak pertama dari pasangan suami isteri yang duduk berjiran dengan aku. Ada adik lelaki yang umurnya belum menjangkau setahun.

Dulu Hafiz selalu datang rumah aku. Main-main dengan si kembar. Si kembar ada berbakul-bakul toys. Tu yang buat budak-budak suka datang rumah. Dia tak sama dengan budak-budak lain. Bila dah siap bermain, dia akan kemas balik semua permainan yang bersepah. Tak macam Mail, bila nak balik kena check dulu kocek seluar. Kalau nampak kembung lain macam, ada la tu mainan si kembar yang dia rembat nak bawak balik.

Pantang ada masa lapang, mesti Hafiz berlari datang ke rumah. Lepas beberapa minit nanti, ada lah orang datang menyusul cari dia. Kalau tak emaknya, bapanya. Takpun makciknya. Aku kata, Hafiz budak baik. Tak buat kacau pun. Biarlah dia main kat sini.

Tapi, tu dulu. Sejak Hafiz dah masuk sekolah darjah 1, dia dah jarang datang ke rumah. Kalau ada pun, bila balik dari sekolah dan lalu depan rumah, ada la sesekali dia masuk. Tapi tak masuk dalam rumah. Cuma setakat sampai kat tempat letak kereta sambil tunjuk-tunjuk buku sekolah dia pada si kembar dan Rayyan, kemudian berlari balik ke rumah sambil melambai-lambai tanda selamat tinggal.

Hafiz anak istimewa. Sejak lahir dia ditakdirkan tak boleh mendengar dan bertutur. Untuk berkomunikasi dengan dia, perlu gunakan bahasa isyarat mudah. Setiap kali tengok dia, jiwa aku diruntun sedih dan simpati. Sedih sangat. Semoga emak dan bapanya dapat lebih ganjaran dari Allah atas kurniaan istimewa itu. Dan aku bersyukur sebab diberikan anugerah-anugerah indah yang sempurna dan sihat. Alhamdulillah.

Apapun, Hafiz anak istimewa yang sentiasa istimewa di hati semua orang.

Tuesday, October 18, 2011

Sebab aku seorang mama

Semalam bila tengok berita sadis di Buletin Utama TV3 pasal budak perempuan 2 tahun kat China yang digilis 2 kenderaan lepas tu orang ramai yang lalu lalang tengok je budak tu terbaring kat tengah jalan tanpa buat apa-apa, aku speechless. Perasaan bercampur-baur. Pilu, sedih, hiba, geram, marah. Bercampur-baur. Aku paling pantang tengok atau dengar berita-berita sadis macam ni terutamanya yang melibatkan anak-anak kecil sebab aku seorang mama yang ada 3 orang anak comel yang aku sayang tahap dewa sebab bukan senang nak bawa mereka dalam perut selama 9 bulan dan kemudian bertarung nyawa untuk lahirkan mereka ke dunia tambah-tambah lagi bersalin secara caesarian sebanyak 2 kali lepas tu sanggup buat apa saja untuk besarkan mereka dan aku rasa sanggup mati demi mereka! Fuh~ Emosi.

Kumpulan cerita-cerita sadis yang meruntun dan memilukan jiwa keibuan aku macam tu biasanya akan melekat dalam kepala otak aku sekurang-kurangnya selama 2 hari. 2 hari, okeh. Dan semalam aku harap sangat semoga hari ni tak ada kawan-kawan yang akan post atau share pasal berita tu kat facebook sebab aku tak nak tengok atau ingat lagi tentang tu. Jangan harap. Bukak je facebook pagi-pagi, berita dan video tulah yang keluar dulu. Luluh pilu.

Si kembar Alyaa & Alysaa
Si gorjes Rayyan.
Nyawa dan jantungku.

Monday, October 17, 2011

Paranoid antara punca kredit aku cepat habis

Menurut sumber ini, paranoia didefinisikan sebagai gangguan mental yang ditandai dengan kecurigaan yang tidak rasional/logis.

Aku pernah sentuh tentang ini dalam entri yang sudah lebih kurang setahun yang lepas. Aku ingat sifat paranoid yang wujud dalam diri aku boleh hilang dengan sendirinya secara perlahan-lahan, tapi akhirnya aku kena akui yang benda tu tak boleh hilang dalam diri aku sebab setiap kali aku berjauhan dengan orang-orang yang aku sayang, aku mesti, aku kata, MESTI akan jadi paranoid.

Susah nak terangkan. Bila aku berjauhan dengan Rayyan, tak kiralah sama ada dia ada kat rumah pengasuh ataupun dia ikut seseorang keluar (dengan makcik, datuk atau neneknya), maka secara automatik otak aku ni mulalah mengalami gangguan delusi yang kadang-kadang melampau dan menyimpang dari landasan yang normal, tak rasional dan tak logik, juga dikenali sebagai paranoia.

Contohnya bila Rayyan atau si kembar keluar dengan makciknya, aku akan terseksa kat rumah sebab aku akan fikir benda yang bukan-bukan yang mungkin boleh jadi pada mereka. Macam mana kalau mereka nanti macam ni? Macam mana kalau sekejap lagi mereka macam tu? Korang ingat perasaan macam tu bagi impak yang best ke pada aku? Tidak, ye.

Disebabkan kebolehan otak aku untuk berfikir dengan lebih advance, iaitu pandai-pandai meramal dan memikirkan tentang masa depan dengan agak ekstrem dan luar dari kawasan, maka itu membuat aku menjadi lebih penat. Penat mental dan fizikal. Penat mental sebab otak terpaksa bekerja keras 2 kali ganda dari biasanya dan penat fizikal sebab tak senang duduk dan akan buat panggilan selang 10 minit untuk pastikan semuanya ok.

Ada sesiapa yang masuk dalam kelompok macam aku?

Janganlah.. paranoid aku bukanlah teruk sangat..

Friday, October 14, 2011

Kempen '1 bulan 1 buku' untuk diri sendiri

Serius, dah lama gila tak beli novel macam dulu-dulu. Sejak askar dah bertambah jadi 3 orang, cuma Encik Papa yang kadang-kadang ada belikan 2,3 bijik novel kalau keluar ke negara jiran. Itupun sampai sekarang masih ada beberapa bijik novel yang aku belum baca langsung sebab rasa macam tak ada masa langsung nak baca. Bila mood nak membaca datang pun, sempat baca 3,4 helai lepas tu letak baik-baik sebelah bantal dan tidur. Novel terakhir dalam koleksi aku tajuknya Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2 karya Habiburrahman El Shirazy, yang Encik Papa belikan sewaktu ke Riau dulu.

Dulu masa remaja, sanggup kumpul duit belanja dari parents untuk beli novel. Bila masuk kedai buku, rasa macam tak nak keluar. Aku suka bau buku dan sangat heaven bila dikelilingi buku. Suka beli novel terbitan Creative Enterprise dan novel terbitan Ahadiat Akashah. Kemudian muncul pulak karya-karya terbitan Alaf 21. Disebabkan dah lama tak ambil tau pun pasal dunia novel ni, maka banyaklah nama penulis baru berbakat besar yang aku kurang tau.

Cuma sejak 2,3 hari kebelakangan ni, perasaan nak kembali beli, baca dan kumpul novel macam dulu-dulu dah kembali membuak-buak. Terpaksa google untuk cari info novel dan novelis mana yang tengah hot sekarang. Banyak betul novel kat pasaran sekarang. Sebagai kaki novel yang baru nak kembali aktif sebagai beginner semula setelah beberapa tahun pegun dan statik, lepas tu siap buat kempen peribadi lagi untuk beli 1 novel tiap bulan bermula dari sekarang, maka tolonglah bagi cadangan kat aku, apa tajuk novel dan penulis yang best untuk aku sambar tak kiralah novel Bahasa Melayu atau English, ye?

Jeles tengok ni, okeh. Imej dari sini

Thursday, October 13, 2011

Benda-benda yang buat aku ketar lutut

  • Masa belajar bawak kereta dulu, gila nebes & ketar lutut kalau berhenti kat traffic light dan aku kat mukasurat depan sekali. Betul punya ketar sebab aku takut enjin mati masa nak start jalan. Benci betul dengan pandangan sinis dari pemandu lain bila enjin aku tersengguk-sengguk macam kuda dan kemudian mati kat tengah persimpangan jalan. Kamonlah, dulu korang masa tengah belajar bawak kereta macamlah tak pernah jadi macam tu.
      • Aku bukan manusia biasalah kalau tak menggeletar kepala lutut siap nak terkucil sekali waktu tunggu giliran untuk buat sesuatu yang menggerunkan macam oral test BM dan BI untuk SPM & PMR, ujian memandu dengan pegawai JPJ, temuduga kerja, masuk bilik doktor gigi, beratur untuk dapatkan suntikan BCG atau Rubella dan tunggu giliran untuk dirotan sebab tak bawak buku teks ke sekolah. Chet~
      • Aku tengah layan Facebook atau blogwalking atau main hidden object game atau layan drama Korea dan tiba-tiba boss aku masuk secara membuta tuli tanpa bagi salam (sebab dia Chinese). Fuh~ Ketar satu badan bukan takat lutut. Suka sangat buat surprise sampai nak tercabut jantung aku!
      • Bila doktor bagitau yang aku terpaksa jalani pembedahan caesarean untuk proses kelahiran Rayyan Mikhail. Aku rasa siap dengan katil-katil sekali menggeletar.
      • Sedang memandu dan tiba-tiba kat depan ada road-block dan TIBA_TIBA aku teringat yang lesen memandu aku dah tamat tempoh atau paling sadis tertinggal kat rumah. 
      • Duit yang boss bagi untuk bayar gaji pekerja atau bayar kat supplier barang, yang aku simpan dalam laci tiba-tiba tak dapat dikesan. Jantung sampai hilang sekejap. Walaupun rupanya terselit kat celah-celah barang dalam tu. Ketar~ Ketar~
      • Tengah tengok movie seram sorang-sorang walaupun seram komedi, tapi kalau dah sorang-sorang, babak yang lawak pun takut macam nak mati lepas tu ada bunyi benda jatuh kat dapur ataupun tiba-tiba ada orang sergah dari belakang. Mau terlompat sampai sangkut kat kipas angin siling rasanya
      • Tengah belek-belek cermin dan nampak macam ada 2,3 garis kedutan nak wujud kat muka. Nak kena pakai Safi Rania Gold, kot?
      Okeh, Sekian untuk makluman.

        Wednesday, October 12, 2011

        Kalaulah Bill Gates itu bapak aku..

        Aku tak boleh bohong kalau aku kata tak jeles dengan seseorang yang jalan hidupnya dah ditakdirkan berjalan lancar dan mulus dari kecik sampai ke besar, sampai dah kahwin, beranak pinak dan mungkin sampai ke cucu cicit. Berjalan lancar dan mulus tu mungkin mewakili hidup yang senang dan tak pernah rasa susah sebab ditakdirkan lahir dalam sebuah keluarga kaya raya, dikurniakan pulak wajah yang cantik atau hensem, dan seterusnya meneruskan kehidupan dalam keadaan serba teratur, belajar sampai ke luar negara, kemudian balik Malaysia dan terus kerja kat syarikat milik keluarga, kemudian kahwin pulak dengan orang yang sekufu, sama taraf sama kaya, kemudian dapat baby yang gile comel dan kehidupan yang best bahagia sempurna macam tu berterusan sampai ke tua membawak ke anak cucu cicit. Fuh~

        Atau dalam situasi lain, mungkin juga lahir dalam sebuah keluarga sederhana tapi cukup dimanjakan dalam keluarga, pandai dalam pelajaran, kemudian berpeluang sambung belajar atas saraan biasiswa, habis belajar dengan cemerlang dan bertunang dengan anak orang kaya berpengaruh yang baik hati, dapat kerja yang bagus atas pertolongan keluarga tunang, berkahwin dalam majlis gilang-gemilang, dapat sebijik kereta besar pemberian keluarga mentua, dapat pulak anak yang comel sempurna, dapat lagi sebijik rumah yang mewah, wahwahwah~ Korang tak jeles?

        Antara dua perbandingan kat atas tu, kisah nombor dua tu kedengaran agak realistis sikit la berbanding cerita yang pertama yang macam jalan cerita ikut skrip filem kat tv je. Tapi, kisah macam tu tetap wujud dalam dunia nyata ni. Kita yang hidup biasa-biasa ni, kenalah terima hakikat. Semuanya dah ditentukan Allah. Ada yang ditakdirkan sangat bernasib baik dalam hidup dan ada yang sebaliknya. Bila kadang-kadang rasa kecewa dan hampa dengan kehidupan sendiri, pusingkan kepala dan tengok sekeliling kita. Betapa banyak sebenarnya nikmat lain yang Allah dah bagi pada kita. Kalau kita fikir hidup kita tak seindah mana, fikirkan balik, lebih ramai orang lain yang hidupnya lebih jauh dari takrifan indah tu. Kalau rasa hidup kita ni macam tak ada apa-apa langsung untuk waktu sekarang ni, mungkin Allah akan beri sesuatu yang indah dan nikmat di satu masa yang lain nanti. Setiap kejadian ada hikmahnya. Setiap kesabaran pasti akan ada buahnya.

        ps: aku memang pandai buat ayat untuk sedapkan hati sendiri. tu satu nikmat jugak tu.

        Susah-susah pun, hidup mesti diteruskan..

        Thursday, October 6, 2011

        Bila Rayyan demam lagi


        Koleksi ubat yang berjaya Rayyan Mikhail kumpulkan dari klinik berdekatan. Tahniah, koleksi dalam simpanan bertambah lagi, sayangg.. Baby boy aku ni memanjang asyik demam start dari bulan puasa hari tu. Dah berbakul-bakul dapat ubat dari klinik. Kesiannya bila anak demam. Mama pun ikut berjaga sekali waktu malam, kalau anak tak boleh tidur. Rasanya kalau boleh, biarlah sakit atau demam tu pindah pada kita. Yang dah jadi mama mesti tau perasaan tu macam mana.

        " Gambar saya sebelum demam. Sekarang saya sedang demam,. "

        Wednesday, October 5, 2011

        Mari belajar akhlak


        Bila aku kata aku ni panas baran dan cepat naik angin, janganlah terus bagi perspektif negatif dan nilai aku ni penuh dengan benda-benda yang negatif je. Panas baran dan cepat naik angin adalah antara kekurangan yang Allah telah bagi pada aku untuk mengimbangkannya dengan kelebihan yang aku ada. Aku panas baran tapi tak pendendam. Aku cepat naik angin tapi cepat jugak cool down. Macam kalau seseorang tu penyabar dan cool setiap masa, takkan kau rasa dia tak ada kekurangan lain, kan?

        Macam jugak kalau kita nilai seseorang cuma berdasarkan bentuk fizikal dan ciri luaran ataupun hanya dengan perkenalan singkat, lalu kita pandai-pandai cop yang dia tu macam ni atau macam tu (biasanya benda-benda yang negatif la), kemudian satu hari kita dapat kenal dan tau sifat diri dia yang sebenarnya adalah jauh melencong dari sangkaan awal kita, kan ke kita yang jadi malu sendiri. Huuu~~ Masa tu barulah kita dok sibuk nak puji dia tu baiklah, mulialah, baguslah. Heh, biasalah, siapa yang tak pernah buat, kan?

        Apa yang aku nak cakap kat sini ialah, bila kita dah mula pandang dan nilai seseorang secara negatif sebab ada perangai dia yang terpaksa buat kita nilai dia sedemikian rupa, cuba ingat sejenak antara benda-benda yang positif pada dia. Antara perkara-perkara baik yang pernah dia buat pada kita khasnya dan orang  lain amnya. Mesti rasa benci kita akan sikit berkurang terhadap dia. Tapi kalau tak ada langsung benda yang baik pada diri dia yang boleh kita ingat, tak dapek den nak nolong eh..

         

        Tuesday, October 4, 2011

        "Aku tak kisah kalau laki orang, asalkan kaya!" - Episod 2

        Episod 1 di sini.

        Aku tegakkan kepala dan betulkan posisi duduk. Walaupun tindakan tu tak ada kaitan dengan kuasa pendengaran yang lebih tajam. Si akak tukang gunting rambut bukak bicara.

        " Si Ayu tu dengar-dengarnya dah kahwin dengan suami orang ye?"

        " Ya. Tapi hidupnya dia senang. Tiap bulan dikasi uang RM1,000 lebih, loh. Mana yang dikirim kampung lain lagi. Kerjanya dia cuma goyang kaki aja di rumah. Seneng banget!"

        " Ye lah, senang-senang pun laki orang. Kalau kau nak carik laki nanti, tak payahlah carik laki orang. Susah. Silap-silap kau kena ganyang dengan bini tua!"

        " Ah. Aku tak kisahlah kak. Kalau suami orang pun tapi kaya dan bikin aku senang, aku mau aja loh."

        Cilake! Bisikku dalam hati. Nak aje aku acungkan jari tengah kat depan muka perempuan yang kalau aku rasa nak try ngorat bapak beruang pun mesti tak dapat respond dari menatang tu. Lainlah kalau muka kau macam Mulan Jameela ke, Agnes Monica ke, Luna Maya ke. Tanpa disuruh, perempuan tua tak banyak bunyi yang aku agak mak kepada perempuan banyak mulut tu tiba-tiba bersuara.

        " Kalau dapat suami orang, itu namanya udah jodoh, ya nggak? Mau diapain lagi.."

        Woh, sama je anak beranak. Ni semua jenis perempuan-perempuan yang memang patut kena kerat 13, kalaulah mengerat orang tu bukan kesalahan besar kat sisi agama dan undang-undang. Dan-dan tu jugak aku toleh ke luar untuk pastikan laki aku masih kat situ. Oh, tak apa. Laki aku tak kaya, jadi tak payah bimbang. Aku toleh cermin balik bila akak tu sound suruh aku tegakkan kepala, jangan pusing-pusing.

        Topik perbualan diorang lepas tu dah tak menarik minat aku. Dah masuk bab-bab permit-permit, visa-visa, pemutihan, penghitaman. Tapi bab kebas laki orang tadi masih berbekas kat otak dan telinga aku. Aku toleh sekejap untuk tengok muka perempuan yang kononnya ada kuasa nak rampas laki orang. Ceh, bontot kuali kat rumah aku lagi lawa sikit dari muka dia. Tapi disebabkan ada lelaki yang tak berapa nak kisah sangat dengan first impression, asalkan dia perempuan dan paling penting terhegeh-hegeh, gatai meghela, maka aku sarankan kepada semua isteri-isteri di Malaysia supaya lebih berhati-hati dan tidak memandang rendah terhadap keupayaan serta kebolehan kelompok perempuan-perempuan sedemikian rupa untuk memporak perandakan rumahtangga anda seterusnya mencekup semua duit laki anda yang seharusnya menjadi milik anda, untuk dihantar ke kampung halaman mereka sendiri.

        Ada dapat pengajaran tak kat sini? Disebabkan kita semua adalah manusia biasa, maka sebab tu lah kita perlu BERSEDIA UNTUK SEBARANG KEMUNGKINAN.

        Monday, October 3, 2011

        "Aku tak kisah kalau laki orang, asalkan kaya!" - Episod 1

        Waktu aku sampai kat rumah teres setingkat yang ada khidmat gunting rambut tu (yang canggih-canggih macam rebonding, steam rambut, curl-curl atau perm-perm bagai memang tak ada kat sini. Cuma gunting rambut sahaja), hari memang dah senja. Mungkin dalam 10 atau 15 minit lagi azan maghrib dah nak berkumandang dari corong pembesar suara masjid. Memang tak berapa sopanlah sebab datang nak gunting rambut kat rumah orang waktu-waktu maghrib macam tu. Tapi disebabkan aku rasa tak mampu lagi nak curi masa untuk ke situ lagi lepas ni, maka aku pun teruskan niat untuk potong rambut aku yang dah panjang macam rambut mak lampir ni ke paras bahu.

        Selain bayaran upahnya yang murah, hasilnya pun lebih kurang sama je dengan salon-salon rambut tu. Nak potong rata je kot, tak payahlah nak ke salon-salon bagai. Buat habis duit aku je. Akak tu yang dah bergelar ibu tunggal tapi masih bergetah tu kenalan lama mak aku. Dia buat khidmat gunting rambut kat rumah lepas berhenti kerja dari salon rambut beberapa tahun yang sudah. Jadi, dia ni kiranya tukang gunting rambut profesionallah jugak. Dia ambil sedikit je ruang untuk letakkan sebijik kerusi boleh berpusing-pusing macam kat salon rambut tu dan sekeping cermin kat ruang tamu rumah dia untuk gunting rambut pelanggan dengan sebijik aircond yang aku tengok dah lama tak berfungsi tu. Mungkin untuk mewujudkan suasana macam kat salon lah agaknya.

        Masa aku sampai tu, ada dua orang perempuan yang aku kira mungkin pelanggan akak tu sebab salah sorang dari mereka duduk kat atas kerusi untuk customer gunting rambut. Seorang lagi tu mungkin emak kepada perempuan yang agak muda sikit tu, duduk kat kerusi kayu ala-ala Bali yang agak keras kematu sebab tak ada kusyen, boleh buat punggung bengkak kalau duduk lebih dari 10 minit. Jangan harap aku nak beli set kerusi macam tu. Rancak diorang bertiga berbual, sampai ke luar rumah boleh dengar. Jadi aku taklah rasa bersalah datang situ waktu-waktu maghrib macam ni sebab diorang pun nampak macam tak kisah je dengan suasana maghrib masa tu.

        Bila aku bagi salam dan masuk, perempuan yang duduk atas kerusi berpusing tu bangun dan duduk pula atas set kerusi ala Bali tu untuk bagi ruang kat aku. Lepas terangkan dengan ringkas kat akak tu sampai ke paras mana rambut aku nak pangkas, perempuan yang berpindah tempat tadi tu mula bersuara. Sambung balik berborak dengan partner borak dia tadi. Dari loghat dan bunyi bahasa dia, aku yakin perempuan tu asal dari Kepulauan Jawa sana yang bekerja kat Malaysia. Maka berboraklah mereka macam aku ni tak wujud kat situ, termasuklah dengan akak tukang gunting rambut tu yang cuma sesekali ada jugak tanya pada aku, sama ada paras rambut aku yang dia gunting tu sesuai dengan kehendak aku. Aku ya kan je. Jangan dia botakkan rambut aku sebab terlalu kencang bersembang, sudah.

        Mula-mula topik perbualan diorang tu taklah menarik minat aku. Tapi nak tak nak kenalah jugak aku dengar sebab aku tak bawak Ipod pun kerana memang tak ada satu pun kat rumah. Membazir je beli benda tu, kataku yang kedekut ni. Diorang berborak start dari tanya khabar pasal kawan-kawan lama, cerita pasal kerja dan meleret-leret sampai ke kisah seorang kenalan mereka yang berkahwin dengan lelaki tempatan berstatus suami orang. Bab tu agak menarik minat akulah sebab perempuan seberang ni walaupun tak semua, tapi ramai yang datang ke Malaysia bukan untuk kerja semata-mata, tapi juga untuk carik suami tanpa kira status. Topik diorang semakin hangat nampaknya. Sedikit menyegarkan aku yang dah hampir nak pitam kebosanan.

        Bersambung..

        Bukan macam nilah rumah akak tukang gunting rambut tu.
        Related Posts with Thumbnails