Thursday, August 5, 2010

Terjadinya SESUATU adalah kerana SESUATU

Dalam kitab Tauhid tahun 1 di sekolah agama dulu, aku belajar tentang semua benda hidup dan benda tak hidup di muka bumi ini ada penciptanya. Kerusi dan meja dicipta oleh tukang kayu, ubat-ubatan dicipta oleh saintis dan doktor, barang kemas dicipta oleh tukang emas dan semua makhluk bernyawa serta seluruh isi alam adalah ciptaan Allah yang Maha Esa.


Waktu itu cuma belajar perkara-perkara asas dalam ilmu Tauhid. Tapi yang asas itulah biasanya yang menjadi pegangan dan pedoman untuk kita.


Aku bukan nak mengajar ilmu Tauhid hari ini. Aku belum dan tak cukup hebat untuk membahas tentang ilmu mentauhidkan Allah itu.


Cuma, berdasarkan asas itulah maka aku tersedar. Segala yang terjadi di sekeliling mahupun dalam hidup kita sendiri ada penyebabnya. Bagaimana Allah menciptakan setiap ciptaanNya dengan fungsi masing-masing yang tersendiri, hatta seekor kuman sekalipun, begitu jugalah dengan setiap sesuatu yang terjadi pasti ada penyebab dan hikmah di sebaliknya.


Peristiwa menyedihkan dan menyakitkan hati yang terjadi pada aku kebelakangan ini, yang pada mulanya tak boleh aku terima serta sangat aku sesali, akhirnya aku pandang dan nilai dari perspektif aku yang positif. Segala cas-cas, neuron-neuron serta aura-aura negatif yang terdapat dalam peristiwa menyakitkan hati itu cuba aku tukarkan kepada yang positif-positif sahaja. Kamu ingat itu senang?


Persoalan seperti "kenapa ini boleh terjadi" dan "apa salah aku sehingga ia terjadi", cuba aku temukan jawapannya. Walaupun kadangkala rasanya macam aku memaksa diri supaya aku boleh menerima jawapan itu dengan hati ikhlas dan terbuka.


Belajar memaafkan dan melupakan sedang aku usahakan sekarang walaupun sangat sukar untuk diimplementasikan dan diserapkan dalam jiwa aku yang baran.


Mungkin peristiwa  itu terjadi sedikit sebanyak adalah kerana kesalahan serta kelalaian aku sendiri yang selama ini tak aku sedari serta sekadar kupandang sambil lewa. Kadangkala hal yang kecil itulah yang mencetuskan hal yang lebih besar. Haihhh..


Rasanya aku harus buat sedikit perubahan dalam hidup. Dari sudut positifnya, peristiwa itu telah menyedarkan aku tentang beberapa hal yang selama ini tak aku sedari dan tak aku tanggapi secara serius. Setakat ini, cuma itulah kesan positif yang dapat aku paksakan masuk ke minda warasku. Sangat aku paksakan.


Moralnya, walaupun kau berkepala angin dan panas baran sekalipun, sesekali bila terjadi bencana atau bala yang membuat belasungkawa dalam jiwa, cubalah untuk memandang dari sudut positif apa sebenarnya yang membuat peristiwa itu boleh terjadi dan apa hikmah di sebaliknya.


Cubalah walaupun sangat sukar sekali.


Terutamanya untuk orang baran seperti aku.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails