Kamu ada matlamat hidup tak? Ah, semua orang ada matlamat hidup. Cuma bergantung kepada kesungguhan kita untuk mencapainya atau cuma sekadar bermatlamat tapi tiada daya usaha untuk merealisasikan matlamat itu menjadi sebuah realiti.
Aku ada matlamat hidup sendiri. Dan aku biasanya menentukan masa atau tempoh untuk aku mencapai matlamat itu. Walaupun biasanya dah cukup masa yang ditentukan pun, matlamat aku belum juga menjadi kenyataan, aku akan melanjut dan memperpanjangkan lagi masa atau tempoh tersebut untuk memastikan aku betul-betul boleh mencapai matlamat yang aku tentukan itu. Susah. Agak susah untuk betul-betul menjadikan matlamat itu sebuah kenyataan sebab kadang-kadang dalam masa yang ditentukan itu, banyak hal tak terduga yang boleh terjadi. Itu adalah antara cabaran besar yang selalu aku hadapi.
Waktu masih baru berkahwin dulu, aku dan suami ada membuat senarai matlamat yang perlu kami capai dalam tempoh 10 tahun perkahwinan kami. Senarai matlamat dan impian hidup itu kami tuliskan di dalam sehelai kertas kecil dan panjang yang kemudian kami lipat hingga menjadi bintang-bintang kecil. Bintang-bintang kecil itu kami simpan di dalam sebuah balang kaca kecil berbentuk bintang bersama puluhan bintang-bintang kecil lain. Kami berjanji untuk membuka semula botol kaca tersebut 10 tahun dari tarikh kami memulakannya. Sekarang usia perkahwinan kami sudah memasuki 6 tahun. 4 tahun lagi botol kaca itu akan dibuka dan lihat sama ada matlamat atau impian kami sudah menjadi kenyataan atau tidak. Jadi, pada tahun 2014 kalau masih berumur panjang dan Allah masih menginginkan kami bernafas di muka bumi ini, botol itu akan dibuka. Dalam tempoh 10 tahun itu, kami boleh menambah lagi senarai impian dan memasukkannya ke dalam botol itu. Macam budak-budakkah? Taklah. Sekurang-kurangnya ini menjadi pendorong dan pemangkin kepada kami untuk berusaha mencapai matlamat atau impian kami.
Untuk berubah dalam apa jua hal, kita perlu anjakan paradigma. Hal ini suami yang banyak tekankan dalam hidup aku. Maksudnya, untuk lebih berjaya dalam hidup dan tidak tersekat di takuk yang sama tanpa apa-apa perubahan yang lebih mantap, kami perlu berani membuat perubahan dan menukar cara pemikiran kami. Apa yang kami ada sekarang walaupun secara dasarnya sudah mencukupi, tetapi adakalanya kita perlu berusaha untuk sesuatu yang lebih baik dan sempurna. Walaupun adakalanya perubahan itu agak sukar untuk diterima, tapi sekurang-kurangnya kita berani mencuba demi kesenangan kita di masa hadapan. Biarlah apa pun tentangan dan pandangan negatif yang terpaksa diterima dari orang sekeliling, biarkan. Sebab cuma kita yang merasa apa yang kita lalui dan cuma kita yang akan melalui apa yang bakal kita lalui. Cuma kita berdua sahaja yang akan melalui segalanya. Titik. Aku rasa macam penceramah motivasi sekarang.
Aku jarang bercerita tentang suami dalam blog ini. Mungkin aku rasa, segala hal-hal yang berkaitan dengan suami adalah hal peribadi untuk aku sahaja. Jadi, aku tak akan bercerita tentang suami dalam ini. Cuma, aku ingin berkongsi tentang sebuah istilah yang dipanggil anjakan paradigma. Anjakan paradigma yang dicetuskan dari minda suami. Misi dan visinya adalah untuk masa depan kami sekeluarga. Dan aku sangat berharap dia betul-betul teguh dengan apa yang dirancangkannya.
Beberapa moral yang aku dapat dari hal-hal yang kebelakangan ini terjadi dalam hidup aku antaranya; kita tak akan tahu sesuatu itu boleh berhasil atau tidak jika kita tidak mencubanya terlebih dahulu. Dan untuk melakukan percubaan atau perubahan itu perlu satu tindakan yang nekad dan berani. Kita tak tahu selagi kita tak mencuba. Semakin lambat kita memulakannya, semakin lambatlah kita mendapat hasilnya dan sebaliknya. Vice versa.
Sebuah doa dan harapan aku iringkan bersama dengan matlamat dan impian kami bersama itu.
No comments:
Post a Comment