Wednesday, August 18, 2010

Kisah nakhoda dan bahteranya



Pagi tadi dikejutkan dengan berita perceraian talak satu seorang kawan lama yang juga merangkap saudara-mara keluarga belah emak aku. Taklah terkejut sangat sebab selama ni pun aku memang tau dia ada sedikit masalah rumahtangga. Ana (bukan nama sebenar) aku kenali sejak kecil lagi. Walaupun tak begitu rapat tapi hubungan kami baik jugalah. Ana berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya beberapa tahun lebih awal dari perkahwinan aku. Mereka dikurniakan empat orang anak berusia 10 tahun hingga 3 tahun.


Punca perceraian mereka tak perlulah aku nyatakan di sini. Cukup sekadar mereka tak bahagia lagi hidup bersama. Atau alasan biasa bagi pasangan yang bercerai, kami dah tak sefahaman lagi. Kalau bab-bab nikah kahwin atau Munakahat ni, aku taklah begitu pandai sangat. Cuma yang aku ingat, waktu belajar di sekolah agama dulu, subjek ni memang antara subjek kegemaran pelajar terutamanya pelajar lelaki. Apatahlagi kalau ustaz atau ustazah yang mengajar selalu menyelitkan lawak berunsur sedikit porno semasa mengajar. Biasanya kalau situasi begitu terjadi, pelajar perempuan cuma tersenyum malu sampai merah-merah pipi. Yang lelaki jangan cakaplah, macam nak retak lantai simen dan dinding dengan gegak gempita yang mereka buat. Tapi kalau tiba subjek lain, mereka ni macam ayam berak kapur. Belajar pun nak tak nak, memekak je yang lebih. Haha. Jangan marah ye lelaki. Dah memang dasar kau orang macam tu. Buwek!


Berbalik pada kisah perceraian tadi. Siapa yang salah dan siapa yang betul, cuma mereka saja yang tau. Bagi aku hal-hal rumahtangga ni sangat peribadi. Sebolehnya walaupun sudah bercerai, tak perlulah mengaibkan bekas pasangan hidup kita dengan kisah-kisah peribadi yang selalunya memang menarik minat orang lain untuk ambil tahu. Baik buruk pasangan kita biarlah menjadi rahsia kita sahaja. Cuma yang menarik minat aku adalah persoalan ini, bila kita sudah tak merasa kebahagiaan lagi dalam rumahtangga kita, haruskah kita memilih jalan perceraian sebagai penyelesai masalah? Mungkin ya.


Aku rasa cuma perempuan bodoh sahaja yang sanggup bertahan dengan suasana rumahtangga yang tak lagi harmonis atau manis lagi. Tiada lagi perasaan sayang dan cinta. Tiada lagi perasaan saling percaya dan saling menghormati. Tiada lagi rasa menghargai atau dihargai. Apalagi? Cerailah. Titik.


Apa gunanya bertahan kalau hanya ditimbuni perasaan sedih, sakit hati, merana, lara, pilu, terabai dan marah? Tak ada unsur positif walau dari perspektif mana pun ia dipandang. Berada dalam situasi sebegitu cuma membuat kualiti hidup kita di tahap yang sangat rendah dan buruk. Kalaupun ada yang bertahan atas alasan demi anak-anak, fikirlah dahulu. Sihatkah persekitaran sedemikian untuk tumbesaran dan emosi anak-anak? Emosi sungguh aku di sini. Tarik nafas dulu.


Aku bukanlah menggalakkan perceraian di sini. Allah sendiri membenci perceraian walaupun perceraian itu dihalalkan. Tapi, perkahwinan itu sendiri untuk apa sebenarnya, kan? Bagi aku perceraian adalah jalan terakhir jika semua usaha untuk menghalangnya dari terjadi telah dilakukan oleh pasangan itu. Mungkin nampak senang untuk dibahaskan tapi yang merasanya tentu lebih tahu persis apa yang dirasanya itu.


Kesimpulannya, aku sangat membenci kekerasan dan penindasan terhadap kaum wanita. Untuk para suami di luar sana, hargailah dan sayangilah isteri anda sebab apa yang anda miliki sekarang mungkin adalah anugerah terbaik dan terindah yang Allah kurniakan dalam hidup anda. Tak semestinya selepas ini anda bakal mendapat pengganti yang lebih baik, mungkin seribu kali lebih buruk dari sekarang. Hambek kau! 


Jika sedang duduk berdiam diri, cuba sesekali imbas kembali kenangan-kenangan manis yang pernah tercipta dengan isteri. Bagaimana susah payah yang pernah diharungi semata-mata untuk mendapatkan isteri. Renungkan apa pengorbanan dan jasa yang telah dilakukan oleh isteri dalam hidup anda. Bayangkan apa yang akan terjadi jika tiada lagi si isteri di sisi anda. Bolehkah ada wanita lain yang setabah dan sesabar isteri dalam melayan kerenah anda dan anak-anak, mengharungi susah senang bersama anda selama ini?


Kalau isteri anda sanggup berkorban dan membantu anda mencari nafkah bersama-sama untuk keluarga, mengerah tenaga dan keringat untuk menguruskan keluarga dan rumahtangga, apa salahnya anda turut membantu isteri di rumah sebagaimana dia turut membantu anda mencari nafkah. Kasihani dan hargailah isteri anda. Janganlah cuma nak ikut sunnah nabi dalam hal beristeri empat sahaja, tapi bab sunnah nabi selalu tolong isteri buat kerja rumah pula buat-buat tak tahu.


Tolonglah wahai suami dan lelaki. Jadilah seorang nakhoda yang cekap dan hebat mengemudi kapalnya. Tolong, okeh!

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails