Rumah adalah tempat tinggal. Macam mengajar budak darjah satu. Okeh, mari lebih serius. Sudah menjadi kelaziman, status seseorang kadangkala dinilai berdasarkan jenis, bentuk, harga atau cantiknya rumah seseorang itu. Dengan kata mudahnya, kamu akan dikelaskan sebagai orang kaya jika tinggal di rumah mewah, orang sederhana jika tinggal di rumah yang bertaraf sederhana dan orang miskin jika duduk di rumah yang serba daif. Ini adalah formula yang digunakan di mana-mana tempat di seluruh pelosok dunia. Jadi, kita tidak boleh menyangkalnya lagi.
Sekarang, aku bukan seorang agen menjual rumah, okeh. Ini cuma sebuah tajuk yang aku rasa agak menarik untuk dibahaskan. Cerita tentang rumah. Mari mulakan. Rumah aku biasa saja. Rumah lama milik keluarga yang dibina atas tanah milik sendiri lebih kurang 20 tahun yang lepas. Belum pernah diubahsuai secara besar-besaran pun. Jadi, jangan mengharap untuk menjumpai sesuatu yang pelik-pelik, yang baru pertama kali kamu lihat atau objek-objek terkini di pasaran. Bentuknya pun belum di tranformasikan kepada bentuk yang lebih moden seperti rumah-rumah sekarang. Apalagi bentuk kluster yang menjadi idaman kebanyakan orang sekarang ini. Ia cuma sebuah rumah batu yang agak luas dengan 4 bilik tidur, 2 bilik air dan beranda yang agak besar termasuk sebuah stor yang luas, yang sudah lama dalam perancangan untuk dijadikan sebuah lagi bilik tidur dan ruang rehat tapi sampai sekarang pun belum terlaksana.
Ya, aku masih tinggal dengan keluarga sebab aku cuma 2 beradik tidak termasuk seorang anak angkat yang kini telah pun menetap di Klang bersama keluarga suaminya. Lagipun, rumah itu masih cukup luas untuk Little Rascals aku berguling-guling dan membuat onar. Si gigi besi pula bakal melanjutkan pelajarannya tak lama lagi meninggalkan rumah kami menjadi lebih sunyi lagi. Bapa aku masih bekerja sebagai seorang sub-kontraktor. Emak aku juga masih aktif dengan perniagaannya. Anak-anak aku adalah cucu pertama mereka. Jadi, perancangan aku untuk berpindah ke rumah sendiri terpaksa diperam dahulu sebab emak dan bapa aku tidak sanggup tinggal bersama kesunyian di rumah. Wah, macam intro orang-orang yang nak menceritakan masalah hidup dalam kolum bersama Dang Wangi di surat khabar.
Rumah aku biasa saja. Perabot-perabotnya pun biasa saja. Sudah terlalu sarat dengan perabot hingga tiada perancangan untuk membeli perabot baru akibat tiada tempat lagi. Jangan tanya apa tema atau konsep, okeh. Untuk mencipta tema atau konsep baru di rumah itu, semua perabot dan kelengkapan rumah terpaksa dibuang terlebih dahulu dan menggantikannya dengan segala yang baru-baru untuk menepati konsep baru. Heh, tapikan itu tak mungkin kami lakukan.
Rumah aku biasanya didiami oleh sekurang-kurangnya 8 orang atau maksimum 10 orang. Hah, ramai tak? Mengikut situasi dan kondisi. 8 orang adalah ahli rasmi keluarga aku dan selebihnya adalah pembantu rumah dan pekerja emak aku. Sejak kecil pun rumah kami memang selalu agak meriah. Jadi, bila sesekali rumah kami lengang dan kosong, kami akan terasa janggal seperti duduk di dalam gua atau hutan.
Aku tak tau kenapa aku cerita tentang rumah aku yang sangat biasa itu. Mungkin kerana sejak dua tahun kebelakangan ini aku terkena sedikit kejutan atau shock. Bertemu dengan beberapa rakan yang sedikit taksub dengan hal-hal yang berkaitan dengan rumah (maaf kawan-kawanku). Kelengkapan dan perhiasan rumah, tema dan konsep rumah, kebersihan dan kekemasan rumah, mahal dan murahnya perabot rumah dan segala macam perkara yang menjurus kepada hal-hal rumah. Minta maaflah, aku tak boleh jadi geng kamu semua dalam hal-hal rumah bagai itu. Rumah aku sangat biasa. Ditambah dengan Little Rascals aktif dan produktif yang aku miliki di rumah, menjadikan ia sebagai sebuah tempat yang tak harus dikunjungi oleh kawan-kawanku itu. Ia cuma bakal menjadi bahan ejekan, umpatan dan kejian kerana tidak setaraf dengan kondisi rumah mereka yang sangat elok, bersih dan mewah. Isk, isk.. sedih kan?
Sekarang, masih adakah yang mahu berkawan dengan aku lagi yang tinggal di sebuah rumah yang sangat biasa ini? Oi, tak sedar diri. Bersyukurlah kau ada rumah sebab banyak lagi orang yang tak berumah di luar sana. Oh ya, baru aku sedar.
Rumah aku memang biasa tapi tidaklah sepelik ini.
No comments:
Post a Comment