Wednesday, June 23, 2010

Aku kecil vs aku dewasa

Waktu kecil-kecil dulu, aku nak sangat jadi orang dewasa sebab macam best. Boleh buat apa saja yang kita nak tanpa ada orang yang marah atau melarang. Jadi budak kecil tak best sebab selalu ada orang dewasa yang marah atau halang bila kita nak buat sesuatu. Contohnya bila kita masuk dalam gerobok baju mereka dalam usaha menyembunyikan diri semasa bermain sembunyi ibu, mesti kena marah macam apa. Selain itu, beberapa hal yang aku rasakan sangat hebat bila menjadi orang dewasa adalah:
  • orang dewasa boleh naik kereta pergi kerja.
  • orang dewasa boleh kerja dan dapat gaji.
  • orang dewasa boleh beli apa yang mereka nak.
  • orang dewasa boleh suruh-suruh atau perintah budak-budak kecil untuk beli barang-barang di kedai runcit seperti rokok (waktu tu larangan menjual rokok bagi kanak-kanak belum berkuatkuasa), mancis, ubat nyamuk, biskut jem nenas setengah kilo dan air cap badak (kalau bukan aku yang demam).
  • orang dewasa boleh menonton tv sampai larut malam.
  • orang dewasa kalau masuk kedai pilih-pilih barang, tokey kedai tu tak marah pun. Tapi kalau aku yang pegang-pegang barang, mesti dia jegil biji mata. Diskriminasi!
  • orang dewasa boleh pergi ke mana saja yang mereka nak.
  • orang dewasa tak perlu ke sekolah.

Yang best waktu kecil dulu, masa hari raya dan hari-hari terakhir sebelum raya. Boleh test baju dan kasut raya hari-hari depan cermin. Waktu hari raya, boleh jalan jauh-jauh keliling kampung dan mak tak jerit-jerit pun suruh balik macam hari-hari biasa dan yang paling best, boleh dapat duit raya untuk disimpan dalam tabung ayam. Cuti sekolah pun best juga. Boleh main hari-hari dan tak perlu fikir tentang sekolah langsung. Yang tak best kalau kena cuci kasut sekolah atau kerja sekolah belum siap padahal besok sekolah dah nak buka. Lagi satu bila cikgu matematik yang garang suruh hafal sifir 2 sampai 9, tapi tak boleh hafal-hafal pun sedangkan besok cikgu dah nak soal sorang-sorang di depan kelas. Rasanya baik aku mati!!

Tapi bila dah dewasa, dah bekerja, dah kahwin, dah ada anak, anak dan anak, dah ada komitmen yang sangat besar, dah kena fikir semua benda dalam dunia, dah kena bayar itu dan ini, dah kena sediakan baju raya, kasut raya, bag tangan raya untuk anak-anak, dah kena sediakan selepuk duit untuk yuran sekolah tadika anak dan kelengkapan untuk sekolah anak, dah kena jalankan tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan anak pada masa yang sama, dah kena larang dan marah anak-anak bila mereka buat salah, contohnya masuk dalam gerobok baju aku untuk main sembunyi ibu (owwhh, hukum karma memang wujud!), dah kena berpenat-penatan buat kerja-kerja rumah di hari cuti dan dah kena buat SEMUANYA yang orang dewasa kena buat, aku tiba-tiba terfikir untuk jadi budak kecil semula. Bestnya jadi budak kecil sebab:
  • budak kecil tak perlu naik kereta pagi-pagi untuk pergi kerja.
  • budak kecil tak perlu fikir pasal kerja dan tak perlu bengang bila lambat dapat gaji.
  • budak kecil tak perlu pening-pening kepala nak beli macam-macam barang keperluan.
  • budak kecil kalau disuruh pergi beli barang di kedai boleh dapat upah beli jajan mana yang dia suka.
  • budak kecil boleh tidur awal.
  • budak kecil tak perlu susah-susah nak survey kedai mana yang jual barang dengan harga murah, tak perlu bertegang-tegang urat minta kurang harga dengan tokey kedai.
  • budak kecil boleh ikut ke mana saja orang dewasa pergi tanpa fikir hal-hal lain seperti duit minyak, duit makan, duit belanja, duit bla..bla..bla..
  • budak kecil boleh pergi sekolah!!
Aku rasa macam nak kembali ke zaman aku kecil-kecil dulu dan jumpa dengan 'aku' kecil, seterusnya menasihati dia supaya nikmati zaman itu sepuas-puasnya sebab jadi orang dewasa tak BEST langsung!! Haihh..kalaulah boleh..

zaman kalau gaduh dengan kawan main jeling-jeling mata
dan cakap "aku tak nak tegur kau!." Hahah!

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails