Thursday, June 10, 2010

Kalau bukan konservatif, apa ya?

Masih ingatkah pada makcik bermulut longkang yang aku ceriterakan kisahnya dalam entri bertajuk konservatifnya minda? Okeh, sebetulnya aku malas nak mengingat atau menyimpan apa-apa data atau memori tentang makcik yang sesuai bekerja dalam bidang kontraktor longkang tersebut. Tetapi, kedatangannya ke rumah aku untuk sekali lagi berjumpa dengan emak aku beberapa malam yang lepas telah menyumbang kepada terpublishnya entri ini. Bagus juga. Kebetulan aku turut ketandusan idea untuk menulis ditambah lagi dengan kesibukan maha dahsyat dengan kerja-kerja di pejabat. Serious. Sangat sibuk.

Kali ini aku terpaksa duduk berdepan dengan makcik ini berikutan pada waktu dia datang menerjah rumah aku pada malam itu, aku sedang bersantai ria di depan televisyen dengan si gorjes Rayyan dan si kembar cantikku. Kebetulan (aku benci kebetulan), emak aku masih berada di dalam bilik air. Tak manis pula kalau aku melarikan diri meninggalkan dia terpinga-pinga kehairanan di ruang tamu. Padahal itulah yang nak sangat aku lakukan. Tanpa membuang masa, makcik itupun memulakan ucapan pembukaan majlis. Betapa aku berharap pada waktu itu telinga aku gagal berfungsi seperti biasanya. Pada waktu itu sahaja.

Makcik: "Kau kerja tadi?"

Aku: "A'ah."

Makcik: "Haii, buat apalah kau kerja. Duduk rumah ajelah."

*Ketap gigi*

Aku: "Makcik, kalau saya duduk rumah, tak dapat duit. Kalau saya kerja, boleh dapat duit."

Aku rasa ayat itu sudah cukup senang untuk difahami. Ringkas dan padat.

Makcik: "Suami kau kan ada. Habis, dia buat apa aje?"

Memang sah makcik ni jenis tak faham bahasa. Aku tak sedar kepala aku dah sedikit menggigil dan terasa sedikit membesar. Kaki pun rasanya dah tak berapa jejak di lantai. Kamu pun tahu kan aku ini sangat berbahang orangnya. Ah, terlalu sopan istilah 'berbahang' itu buat aku.

Aku: "Tak salah cari duit lebih, makcik."

Masih dalam nada yang sangat sopan. Emak aku ajar, kita mesti santun dalam berbicara dengan orang tua. Tapi, orang tua yang seperti ini? Terasa kebas kulit muka aku menahan geram di dada.

Makcik: "Kesiannn.. dah tak terurus budak-budak ni mak dia kerja."

Aku pandang rambut si kembar cantik yang belum bersikat. Dia tak tau aku tak suka suka sikat rambut mereka bila masih basah. Selain merosakkan struktur rambut, sikat boleh patah sebab rambut mereka sangat kusut ketika basah. Dan aku akan membebel berbakul-bakul bila situasi itu terjadi. Aku panggil rambut mereka sebagai tali jerami atau tali kapal bila disikat dalam keadaan basah. Dia tak tau semua tu.Dia tak tauuuuu!!

Aku: "Baru lepas mandi, makcik."

Kemudian emak aku datang menyelamatkan keadaan. Oh, aku sayang mak aku lebih pada malam itu. Emak aku tau aku sangat bengkeeeek dengan makcik itu. Jadi, soalan-soalan yang dilontarkan oleh emak aku adalah untuk menyedarkan diri makcik yang tak sedar akan dirinya sendiri. Dia bukan pitam atau pengsan, ya.

Emak: "Anak akak kerja mana?"

Sedikit info, anak perempuan makcik ini sudah berkahwin, okeh.

Makcik: "Dulu kerja *Jesco. Sekarang dah nak pindah kilang minyak kelapa sawit."

*Jesco - aku rasa dia maksudkan Jusco di situ. Muahahahahahhhh!!

Uhhh.. anak dia kerja tak kecoh pula! Aku rasa makcik ini sudah kehilangan semua deria penting pada tubuh badannya.

Emak: "Dah makin tua ni, penat betul bila buat kerja ya, kak."

Makcik: "A'ah. Kau tau aku dah tiga bulan kerja?"

Aku dan si gigi besi berpandangan. Penuh sinis.

Emak: "Hah, kerja mana kak?"

Makcik: "Kat sekolah menengah tu."

Hah, jadi cikgu ke makcik ni? Atau pengetua sekolah?

Makcik: "Penatlah aku. Balik rumah nak buat kerja rumah lagi. Tak larat betul rasanya."

Aku dan gigi besi berlari masuk ke bilik sambil memegang perut, menahan gelak. Dari dalam bilik, suara emak dan makcik itu berbual masih kedengaran.

Emak: "Akak kerja apa kat sekolah tu?"

Makcik: "Cleaner. Penat sangat. Kadang balik rumah tak larat nak buat kerja lain lagi. Tapi terpaksa juga buat. Masak, basuh baju lagi. Tapi kalau aku tak kerja, duduk rumah je, aku tak dapat duit.."

Aku rasa, pada waktu itu kami hampir pengsan bergelak ketawa secara besar-besaran di dalam bilik. Sekuat-kuat hati.

Secara spontan aku 'terkata': "Bodooohhhhh!!"

Untuk siapa bodoh itu aku tak pasti. Tapi, itulah lawak paling bodoh pernah aku dengar. Kisah lawak tentang makcik cleaner yang tak berapa nak sedar diri. Tak patut dia nak kasihan kat aku sebab dia yang sepatutnya dikasihani. Maafkan aku, tuhan. Maafkan aku, makcik.

Dalam gelak ketawa tak ingat dunia itu, aku sempat terbayang makcik itu berkata: "Mengata dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih."

Hahahahahaha....

p/s: sampai sekarang aku masih tak faham, kenapa agaknya makcik itu sangat tak berpuas hati bila aku bekerja ya?

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails