Lokasi: Blok L 4/2, Apartment Lily & Jasmine, Taman Tampoi Indah, Johor Bahru
Tarikh dan masa kejadian: 26/06/2001 1:00 AM
Aku tak pasti siapa antara kami yang nampak dulu 'objek' itu. Ia memang jelas kelihatan dari koridor dapur unit apartment kami yang terletak di tingkat 4. 'Objek' yang cukup menarik perhatian kami itu cuma diletakkan di hadapan pondok stor menyimpan barang-barang cleaner di kawasan apartment kami. Tak tahu siapa yang bersikap "sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi" itu. Mungkin juga ada antara cleaner di situ yang berhasrat untuk membawa balik 'objek' itu ke rumah dan sengaja meletakkan di situ supaya senang untuk diangkut balik ke rumah nanti. Apa-apalah. Yang penting, kami betul-betul tertarik dengan 'objek' itu.
Kami bukanlah jahat sangat sampai nak ambil barang milik orang tanpa izin. Kan berdosa tu. Jadi, untuk mengelakkan malaikat di bahu sebelah kiri mempunyai senarai baru untuk di tulis ke dalam buku amalan jahat kami, kami sanggup menunggu selama dua hari untuk memastikan 'objek' itu tidak dimiliki oleh mana-mana individu. Kalau 'objek' itu dimiliki oleh seseorang, bermakna ia akan hilang dari pandangan kami dalam tempoh dua hari itu. Jadi, kami harus menunggu.
Setelah dua hari, ternyata 'objek' itu masih di situ. Kompem! Tak ada orang punya! Jadi, malam itu kami telah membuat rapat umum dan merangka perancangan untuk memiliki 'objek' itu. Perancangan dibuat dengan begitu teliti untuk mengelakkan kami terpaksa menanggung apa-apa risiko yang tidak dijangka. Setelah sebulat suara, kami telah bersepakat untuk menjalankan misi penting itu pada waktu tiada orang keluar rumah iaitu tengah malam nanti. Wah, sangat berdebar-debar rasanya.
Bila tengah malam tiba, kami pun bersiap-siap untuk menjalankan misi itu. Kami melangkah turun tangga diiringi dengan lagu latarbelakang dari kartun Pink Panther yang aku nyanyikan secara perlahan-lahan tapi disambut dengan gelak ketawa meriah dari rombongan misi itu. Siot! Boleh bangun penduduk kampung dengan suara mereka yang tak merdu itu. Ada antara rombongan misi itu yang menutup kepala dengan kain apa entah, untuk mengelakkan identiti dari dikenalpasti. Boleh bayangkan tak, betapa penting dan merbahayanya misi kami itu?
Okeh, bila kami dah sampai ke tingkat bawah, tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kaki dan suara-suara yang agak sayup-sayup di kejauhan beserta dengan suluhan lampu suluh. Bila dijenguk di balik dinding, rupanya itu adalah beberapa orang ahli kumpulan perwakilan pelajar yang bertugas untuk berkawal malam bagi memantau aktiviti-aktiviti tidak bermoral oleh pelajar-pelajar di kawasan apartment itu. Kami tak sanggup ditangkap dalam keadaan yang mencurigakan seperti itu. Jadi kami telah melarikan diri secara lintang-pukang beberapa tingkat ke atas semula. Fuhh, mencabar betul!
Bila keadaan telah kembali terkawal, kami pun meneruskan pelan perancangan kami tadi. Seram seh. Macam nak buat jenayah besar. Bila kami yang seramai 6 orang itu semakin hampir ke arah 'objek' sasaran itu, keadaan semakin mendebarkan. (Sila bayangkan ada lagu Ghost oleh Michael Jackson sebagai latarbelakang cerita ini).
DEM!! Aku tak boleh tahan gelak. Serious! Lawak gila!
Gelak aku terhambur tanpa ada kawalan lagi bila melihat objek itu dari dekat. Aku kalau dah gelak, sangat buruk bunyinya. Sampai terduduk ke tanah. Aku betul-betul tak boleh bergerak dari posisi aku pada waktu itu. Perut aku mengejung dan mengeras pada tahap maksima. Yang aku hairan, ahli rombongan yang lain tak bergelak sakan pun macam aku. Masing-masing dengan muka ketat. Mungkin aku dilahirkan dengan urat gelak yang sedikit tergeliat.
Maizatulakmal bt Mahmood dan Nurul Afiza bt Kamarudin adalah dua individu yang bertugas mengangkat dan melarikan 'objek' itu dengan penuh semangat kesukanan. Mereka dengan gagah mengangkat 'objek' itu dan melarikannya dengan kelajuan maksimum tanpa memandang kiri-kanan. Aku betul-betul sudah mengeras dengan kejung akibat ketawa yang melampau. Bila ahli rombongan yang lain dah agak jauh meninggalkan aku, baru aku boleh bergerak dan bangun perlahan-lahan sebelum berlari menyaingi mereka semua untuk naik ke tingkat atas. Dan sepanjang itu juga gelak aku masih berbaki.
Akhirnya, rak pinggan berkarat (yang kelihatan begitu sempurna bila dilihat dari jauh) dan dibuang oleh siapa entah itu, telah selamat mendarat di lantai dapur kami.
Ya, akhirnya kami telah memiliki sebuah rak pinggan di dapur kami.
Satu kebanggan buat kami yang sengkek dan tak mampu membeli rak pinggan.
Dedikasi indah buat ahli rombongan misi: Maizatulakmal bt Mahmood, Nur Hasnita bt Jalalludin, Nur Hanani bt Abd Hamid dan Nurul Afiza bt Kamarudin.
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete