Beberapa hari yang lalu, rumah aku dikunjungi oleh dua orang tetamu anak beranak yang ingin berjumpa dengan emak aku. Aku kenal dengan mereka sebab rumah kami tidaklah berapa jauh sangat. Tak perlulah aku beritahu siapa nama mereka atau sedikit biodata tentang mereka, cuma yang penting suami makcik tersebut adalah seorang yang memegang jawatan yang agak penting dalam komuniti kami. Sedikit info tambahan, makcik ini mempunyai mulut yang bukan mungil atau seksi tetapi boleh dikelaskan dalam kategori mulut tak berinsurans atau dengan bahasa kasarnya, mulut longkang.
Sebolehnya aku malas nak bertentang mata atau bertembung dengan mereka, tapi apakan daya, itulah yang terpaksa aku lakukan jika tak mahu mati terdehidrasi secara sadis di luar rumah dengan cuaca panas terik yang melampau-lampau. Bukannya apa, makcik tersebut orangnya terlampau prihatin dengan apa juga perkara hinggakan kalau boleh jenama pencuci mangkuk tandas yang kita pakai pun dia sibuk nak ambil tahu dan kemudian menawarkan diri untuk menjadi juri profesional dengan komen-komen sadis ala-ala Adlin Aman Ramli tanpa diminta. Dan itu sudah cukup membuat aku terfikir untuk menyumbat mulutnya dengan tauhu bakar yang panas berasap. Sekurang-kurangnya bukan cuka getah. * Senyum jahat *.
Okeh, sewaktu melintas di depan makcik tersebut dengan penuh sopan-santun, aku SANGAT berharap makcik tersebut tidak membuka mulutnya walaupun untuk batuk sekalipun. Tetapi, itu semua cuma dalam mimpi sahaja apabila mulutnya tetap juga terbuka dan mengeluarkan suara. Chess! Dialognya tak panjang, cuma beberapa patah perkataan tetapi memberi bekas yang sangat dalam seperti kawah gunung berapi. Bukan kawah jerawat pada pipi okeh.
Makcik: "Kau kerja lagi ke?"
Aku: "Kerja. Ni baru je balik kerja."
Di saat ini, aku amat berharap tiada soalan susulan dari mulut itu.
Makcik: "Haaaiii... dah kahwin pun kerja lagi.."
Aku: ????
Apa maksud makcik bermulut longkang itu?
A. Menghina suami aku bukan seorang jutawan sehingga aku terpaksa bekerja walaupun telah berkahwin? Masalahnya, menantu dia cuma seorang peniaga pakaian bundle dan barang-barang terpakai sahaja dan suami makcik ini pun cuma mendapat imbuhan kecil atas khidmatnya.
B. Menganggap perempuan cuma perlu duduk di rumah dan melakukan kerja-kerja rumah sebab itu sahaja kerja perempuan dan tak layak untuk setanding dengan lelaki? Masalahnya, anak perempuan dia pun bekerja sebagai operator kilang dan makcik ini pun selalu mengambil upah membuat dodol secara sambilan di rumah. Bukankah itu bekerja juga namanya?
C. Menganggap perempuan tak perlu belajar tinggi, tak perlu berkerjaya, tak perlu berusaha memajukan diri dan keluarga, tak perlu bercita-cita, kemudian kalau dah belajar tinggi-tinggi pun cuma perlu simpan atau bingkaikan sahaja sijil kita dan duduk diam-diam di rumah. Maksudnya tempat perempuan cuma di dapur sahaja? Hello, kita sekarang berada di zaman di mana budak kecil pun dah pandai berlaptop, bukan di zaman batu, okeh.
D. Memandang rendah pada perempuan-perempuan yang bekerja walaupun bekerja dalam sektor profesional seperti doktor, peguam, arkitek, pegawai-pegawai kerajaan dan pekerja-pekerja kolar putih. Hinakah perempuan yang bekerja pada pandangan makcik tersebut?
Yang mana agaknya jawapan yang betul untuk soalan aku di atas tadi ya? Yang pasti makcik tersebut bukan sekadar terkelas dalam kategori bermulut longkang sahaja tetapi turut layak menggondol trofi dalam kategori orang yang berminda konservatif. Orang yang masih berfikiran kolot dan jumud yang menganggap perempuan adalah golongan yang lemah serta tak mampu berdiri apalagi berlari setanding dengan lelaki. Wah, emosinya aku!
Tiba-tiba aku berasa sangat bertuah sebab keluarga dan sanak-saudara aku bukan tergolong dalam golongan makcik tersebut. Keluarga kami sangat mementingkan pelajaran dan pendidikan. Sepupu-sepupu, makcik, pakcik dan kaum kerabat aku akan disekolahkan setinggi yang mungkin walaupun ada yang terpaksa bergolok-gadai demi pendidikan anak-anak. Dan alhamdulillah mereka semua telah berjaya dalam kerjaya masing-masing sebagai pensyarah, pendidik dan pegawai-pegawai kerajaan. Dan aku sendiri masih berhasrat untuk menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Insya-allah. * Buat muka baik *.
Kesimpulannya, jangan ikut resmi makcik tersebut tetapi ikutlah resmi orang yang berpendidikan dan berkerjaya namun masih tetap dengan norma hidup dan landasan agama yang betul. Maksudnya, buanglah minda konservatif tu, ya, makcik. Aku doakan semoga dia berubah. Amin.
No comments:
Post a Comment