Bila dicongak-congak umur aku setelah ditambah, ditolak, didarab dan bahagi, sebenarnya belumlah terlalu tua pun. Itupun jika dibandingkan dengan orang yang lebih tua dari aku. Heh! Kenapa kita takut dengan perkataan tua ya? Kalaulah boleh kembali ke zaman silam.. hah, jangan buang masa dengan mengingat benda yang buat sakit hati sendiri. Ye lah, sakit hati lah bila ingat satu masa dulu kita pernah muda belia dan sekarang semakin tua kerepot tak sedar diri. Tapi, mungkin tak seteruk itu, ya. Mungkin aku perlu minum susu Anlene bermula dari sekarang.
Walaupun aku belum merasa diri terlalu tua, mungkin kerana perasan, tapi ada beberapa perkara yang membuat aku merasa sudah tua dengan tiba-tiba iaitu bila berhadapan dengan perkara-perkara ini:
- Bila melihat remaja-remaja sekarang yang suka buat mulut ikan untuk kelihatan vogue tapi kelihatan seperti makcik Wok bagi aku dan buat muka alalalala..comelnya aku (control cute pada tahap maksimum) bila menangkap gambar sendiri sebelum dimasukkan sebagai gambar profile di dalam Facebook, Myspace atau mana-mana laman web sosial. Mungkin sebab aku cemburu kerana pernah beberapa kali mencuba teknik-teknik tersebut tetapi kelihatan sangat buruk dan sangat menakutkan, hingga diri sendiri mengalami mimpi ngeri pada waktu malam.
- Bila membaca SMS dari remaja atau untuk remaja yang membuatkan aku kelihatan seperti orang buta huruf yang tidak berkesempatan menjejak kaki ke sekolah. Muka berkerut, mata menyepet, mulut terkumat-kamit, kepala terteleng-teleng semata-mata untuk memahami apa maksud SMS tersebut. Contohnya, aq nk g ne, kw ble nk smp kt sn, mn kw ltk bg tw, aq rs ne x lh pki. Ini contoh ayat yang masih boleh difahami lagi. Aku tak mampu mengingat dan mengemukakan beberapa contoh bahasa purba seperti yang tercatat di batu bersurat atau bahasa Sanskrit yang dapat dikuasai dengan baik oleh remaja-remaja sekarang. Yang pasti kita perlu mengerah tenaga untuk membaca SMS tersebut. Sepatutnya mereka diterima bekerja sebagai arkeologi atau pengkaji sejarah.
- Bila berjumpa dengan remaja-remaja perempuan bertudung yang sanggulnya macam tombong kelapa di atas puncak kepala. Baca betul-betul ayat tersebut. Kadang-kadang nampak macam ada ketumbuhan di atas kepala. Juga sesekali kelihatan seperti watak kartun dinosour hijau yang berbonjol di kelapa. Entah apa tajuknya. Mungkin nampak stylo tapi bayangkan di dalam kelas atau dewan kuliah. Malanglah bagi mereka yang duduk di barisan belakang mereka. Belum pernah mencuba untuk teknik ini sebab rambut tak boleh disanggul. Bukan botak ya, cuma kurang rambut. Ohh, tuanya aku bila buat ayat macam tu. Rambut kurang panjang, itu ayat yang betul. Baru rasa lega sikit.
Oh, tidakkkkkk!!!
No comments:
Post a Comment