Saturday, May 8, 2010

Paranoid

Ada satu hal yang akan membuatkan aku berubah menjadi seorang manusia yang sangat paranoid dan ini sangat menyusahkan diri, perasaan dan otak aku sendiri. Nak tau apa dia? Iaitu bila melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan anak-anak aku. Aku akan berubah, bukan berubah menjadi Power Rangers, Satria Baja Hitam atau Bumble Bee dalam Transformer ya. Kalaupun aku boleh berubah menjadi sebuah kereta, aku memilih untuk menjadi sebuah Rexton barangkali iaitu kereta idaman aku yang sangat eh, apa tajuk entri ni?

Aku tak dapat terangkan macam mana perasaan itu sebenarnya. Cuma rasanya macam bila kita dah memandu sejauh beberapa puluh kilometer dari rumah menuju ke satu destinasi, dengan tiba-tiba kita teringat yang kita terlupa mengunci pintu rumah dan pada masa yang sama komputer riba HP Pavilion dv6000, kamera digital Sony W380, tv LCD Panasonic 42 ini, telefon bimbit Nokia E90 dan kasut Crocs tiruan berharga RM50 bagi dua pasang tersusun rapi di atas meja ruang tamu. Bayangkan.. Untuk lebih menghuru-harakan keadaan, peti besi juga terlupa di tutup dengan sejumlah wang yang nilainya adalah hasil kerja selama 12 bulan. Denyutan jantung dan nadi terhenti, paru-paru berhenti berfungsi, esofagus tergendala dan seluruh isi perut seperti membeku keras. Izrail pun datang eh, belum sampai tahap tu. Belum cukup amal. Hah, begitulah lebih kurang rasanya bila paranoid itu menyerang.

Bila ada antara gorjes atau cantikku itu jauh dari aku, perasaan pelik di atas akan menjelma. Mulalah dalam otak akan berfikir benda yang buruk-buruk dan negatif belaka. Macam-macam andaian, formula, rumus, dan skrip filem akan muncul dalam benak dan otak. Aku tak suruh pun, datang sendiri dan rasa itu bukanlah best macam makan durian D24 di waktu bukan musim durian pun. Okeh, senarai contoh ayat yang menguatkan lagi tajuk di atas adalah:

  1. Takutnya kalau-kalau mereka membuka pintu kereta yang sedang bergerak. Ataupun terjadi apa-apa dalam perjalanan (sangat-sangat minta dijauhkan). Ini sekiranya mereka menaiki kereta yang bukan dipandu oleh mama dan papa.
  2. Seramnya kalau si gorjes Rayyan terjatuh dari buaian, walker atau dari mana-mana sekalipun. Ataupun masuk ke dalam bilik air yang ada air bertakung dalam baldi atau besen. Ataupun dia dicubit, dipukul. Ataupun tersimbah air panas. Ataupun.. ah, banyaknya! Ini sekiranya dia dijaga oleh orang selain dari orang yang boleh dipercayai seperti maid mak aku.
  3. Matilah aku kalau mereka bermain di luar rumah dan ada orang jahat memerhati dari jauh di dalam van berwarna putih dengan muka cap 'wanted' yang ditampal di balai-balai polis.
  4. Tiadalah aku lagi di bumi ini sekiranya tiada orang mengawasi mereka ketika melintas jalan untuk ke mana-mana terutamanya ke kedai runcit berdekatan untuk membeli pop ice berharga RM0.10 sebatang dan pada masa yang sama banyak kenderaan memecut dengan lajunya di jalan raya.
Kegusaran-kegusaran ini akan sentiasa ada dalam hati seorang ibu yang menyayangi anak-anak lebih dari diri sendiri. Hidup untuk mereka, berkorban segalanya untuk mereka dan tersenyum di kala menangis hanya untuk mereka. Seperti aku, kamu yang sudah bergelar ibu dan semua ibu di seluruh dunia kecuali ibu ayam dan ibu hampeh yang sanggup membuang anak di tong sampah. Jadi, paranoid tidak salah kan? Sebab dengan paranoid kita akan jadi lebih hati-hati dan prihatin dengan persekitaran anak-anak.

Selamat Hari Ibu untuk semua ibu yang selalu paranoid tentang anak-anaknya.


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails