Diskriminasi menjatuhkan aku
Reputasi kini menjadi bisu
Dan aku layu di situ
Tengok pada tajuk, nampaknya entri ini agak serius bunyinya. Dan mungkin juga membosankan. Aku tak pasti dari mana pula datangnya inspirasi untuk menulis tajuk ini. Datang secara tiba-tiba, sama seperti orang-orang seni yang mendapat ilham secara tiba-tiba untuk menghasilkan karya agung mereka. Ehemm!
Menurut Kamus Pelajar (DBP), diskriminasi bermaksud perlakuan membeza-bezakan sesuatu hal. Diskriminasi boleh dibahagikan kepada beberapa cabang iaitu diskriminasi kaum, diskriminasi sosial dan diskriminasi harga. Tajuk yang akan kita bincangkan pada hari ini adalah..wahh, terasa macam panel penceramah dalam rancangan diskusi di kaca televisyen. Bosan kan rancangan sedemikian rupa. Huwarrgghhh... (sangap secara ayu dengan diameter dan kelebaran mulut yang boleh telan dua biji bingka ubi sekaligus).
Perlakuan membeza-bezakan ini telah wujud sejak azali dalam sejarah peradaban manusia. Faktor yang selalu menyumbang ke arah gejala ini di antaranya adalah warna kulit, keturunan, jantina, saiz badan dan kedudukan atau pangkat dalam masyarakat. Ayat pensyarah sudah keluar nampaknya. Aku sangat tidak berpuas hati dengan keadaan ini sebenarnya. Kenapa kita harus membeza-bezakan manusia yang sebenarnya tiada beza di sisi Allah? Apa kelebihan kita berbanding orang lain yang kita anggap bertaraf rendah dan hina di bumi ini?
Contoh diskriminasi yang sangat menjengkelkan aku adalah diskriminasi kaum. Bagaimana mungkin wujud layanan yg berbeza-beza terhadap kaum yang berlainan kerana beranggapan bahawa terdapat keadaan tidak seimbang dari segi kemahiran, kebolehan, keistimewaan hak dan sebagainya? Apa hak kita sebagai mahkluk Allah yang sama hinanya dengan mahkluk Allah yang lain itu untuk merasa bahawa diri kita lebih mulia dan lebih tinggi darjatnya berbanding kaum lain?
Tak kira kaum atau keturunan, negara asal atau negara kelahiran, kita semua tetap sama. Tak perlu terlalu bangga mendabik dada ditakdirkan terlahir di sebuah negara makmur merdeka, moden dan maju terbilang hingga memandang rendah pada orang lain yang terlahir di negara mundur, miskin, kucar-kacir dan penuh konflik. Allah telah mengatur takdir hidup hambaNya dengan saksama. Di penghujung jalan kelak, kita tetap bertemu di titik akhir yang sama dan dinisab mengikut amalan kita. Bukan pada warna kulit, jantina, keturunan, kebangsaan atau kedudukan.
Ah, insafnya..
Bumi yang kita kongsi bersama tanpa diskriminasi seharusnya.
No comments:
Post a Comment