Wednesday, October 13, 2010

Tips berbelanja dengan cemerlang (untuk poket anda menjelang hujung bulan)


Aku mengaku, dulu-dulu aku sangat kuat berbelanja. Lagi-lagi sewaktu masih bergelar pelajar di IPT. Pantang ada duit sikit mesti gatal kaki nak melawat mana-mana kompleks membeli-belah yang berdekatan dan seterusnya terlibat dengan urusan meng'kayakan' tokey kedai. Ada-ada saja yang aku beli walaupun benda tu sebenarnya tidaklah begitu penting. Sampaikan banyak yang tak terpakai. Tak guna betul!


Aku rasa faktor utama yang mendorong sifat boros berbelanja aku pada waktu itu mungkin sebab aku belum rasa lagi bagaimana jerih-perihnya nak mencari atau menghasilkan duit. Yang aku mahir sangat pada waktu tu mungkin cuma cara-cara bagaimana untuk menghabiskan atau meleburkan duit dalam sekelip mata. Ini bukan trick silap mata okeh. Jadi, ia memang betul-betul tak guna!


Tapi sekarang, bila aku dah rasa bagaimana seksanya nak menunggu genap sebulan untuk terima gaji setelah berhempas-pulas menyiapkan kerja-kerja pejabat yang gila banyak, barulah aku tau menghargai benda yang dipanggil duit tu. Setiap sen duit tu adalah titik peluh aku. Heh, macam iklan beras yang ada Raja Farah masa kecil. Setiap butir beras adalah setitik peluh petani.


Jadi, aku nak turunkan beberapa tips yang aku selalu amalkan sebelum dan sewaktu keluar berbelanja. Suka hati kamulah nak ikut atau tak.




  • Buat senarai barang yang perlu dibeli. Utamakan barang-barang keperluan. Barang-barang yang lebih kepada kehendak jiwa tu, letakkan di senarai paling bawah. Kalau ada duit lebih baru beli. Tapi kalau barang tu kau dah lama impikan sejak 6 bulan lepas hingga terbawa-bawa menjadi mimpi ngeri di malam hari, sila beli segera untuk mengelakkan kerosakan bahagian dalaman otak.


  • Jangan bawa duit dalam jumlah yang banyak. Kalau boleh bawa duit cukup-cukup untuk barang yang dibeli sahaja. Bila kamu tahu dalam bag duit ada banyak duit, perasaan ingin memborong seisi kedai beserta dengan tuan punya kedai sekali akan muncul dengan membuak-buak. Tapi tak apalah kalau bawa duit lebih sedikit, in case untuk kegunaan di waktu yang tak terduga. Contohnya terlenyek kereta control anak orang dan bapanya pula memiliki tubuh yang sasa dan tegap.


  • Jangan fikir semua barang berjenama tu bagus sangat. Banyak juga barang kurang berjenama yang lebih berkualiti berbanding yang berjenama. Aku banyak pengalaman dalam hal ni. Beli barang berjenama ni seumpama membayar untuk jenamanya sekali. Jadi disebabkan itu, aku dah ada senarai sendiri jenama yang betul-betul boleh dipercayai dan betul-betul berkualiti bukan hanya bersandarkan pada jenama semata-mata. Aku takkan sanggup membayar RM99.00 untuk sepasang selipar jepun berjenama G***S yang rupanya saling tak tumpah dengan selipar tandas aku di rumah. Cet!


  • Terus menuju ke kedai yang ingin dituju dan pulang. Amalan ini bagus diamalkan di pertengahan bulan atau hujung-hujung bulan di mana poket semakin kering dan susutnilainya juga bertambah. Kalau kamu gatal juga nak meronda-ronda ke kedai-kedai lain dengan alasan hanya untuk window shopping dan kemudian terbeli pula sebuah bag tangan, jangan salahkan ibu mengandung kalau kamu terpaksa telan nasi dengan garam sahaja sementara menunggu gaji keluar. Window shopping sambil tutup mata dengan sleeping eye patches dibolehkan.


  • Jangan terpedaya dengan helah jualan murah. Kena tengok betul-betul, memang murah ke barang yang dijual tu? Ada kedai yang kononnya buat jualan murah dan bagi potongan harga sekian-sekian, tapi rupanya harga yang ditawarkan adalah harga sebenar barang tu sebelum jualan murah tu lagi. Itu pun nak ajar ke?


  • Elakkan pakai kad kredit. Mentang-mentang tinggal gesek kad je, kau pun belanja tak ingat dunia. Ingat gerek sangat ke pakai kad kredit? Semua orang pun boleh pakailah sekarang ni. Kelebihannya cuma tak perlu bawa duit tunai dalam kuantiti yang banyak. Tapi kekurangannya sangat banyak wehh. Dah nama pun kad hutang. Makin banyak kau gesek kad tu, makin banyaklah kau kena bayar. Lantaklah, bukan pakai duit aku pun kau bayar hutang kan?


  • Kalau boleh tak perlu bawa anak. Tapi aku sendiri pun jarang tak bawa anak kalau keluar berbelanja. Masalahnya kalau bawa anak ni, semua yang dia tengok, semua dia nak beli. Kalau yang mak bapa jenis hati batu, telinga batu dan muka batu iaitu jenis yang tak kisah bila anak dah meraung-raung sambil tolak rak-rak barang di Tesco sampai tumbang sebab tak dapat barang yang dia nak, tak kisahlah. Tapi kalau jenis mak bapa yang sangat lembut hati, penyayang, pemurah dan tak sanggup nak menghampakan anak-anak, tu yang jadi masalah. Aku kalau baru dapat gaji akan masuk kategori kedua. Tapi kalau poket dah kemarau, akan masuk dalam kategori pertama. Fleksibel.


  • Berbelanja di tempat yang menawarkan pengumpulan mata ganjaran atau points. Serius. Points tu kalau dah tukar dengan baucar tunai, sangat menggembirakan hati. Macam tahun ni aku berjaya kumpul 1,200 mata di sebuah pasaraya dan dapat baucar tunai bernilai RM60.00. Okeh la tu kan?
Cukuplah kot? Biasanya ni saja yang aku amalkan setiap kali keluar berbelanja. Tapi tips ni semua tak sesuai untuk golongan berpendapatan tinggi dan hidup mewah sebab mereka banyak gila duit dan tak perlu risau tak cukup duit sampai hujung bulan. Yang penting, amalkanlah budaya menabung setiap bulan walaupun sedikit untuk kesejahteraan masa depan.

2 comments:

  1. Salam...

    Paling menakutkan..bila ada sale. So scary....eeeiiii... tambah tips kat sini yek. Shopping time biasa2 lain tapi bila ada sale...jangan kuar umah langsung. Takut habis duit..hehehe... jangan marah.

    ReplyDelete
  2. seram betul tgk org yg gile shopping .HOHO .slmt ade tips .

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails