Thursday, October 21, 2010

Mari jujur


Aku rasa nilai terpenting yang patut wujud dalam diri manusia adalah kejujuran. Aku taklah rasa yang aku ni jujur sangat, sebab mana ada manusia yang sempurna. Tapi rasanya sejak kecil aku tak pernahlah buat perkara-perkara jahat dan sangat tak jujur. Kalau setakat perkara-perkara nakal, siapa yang tak pernah buat kan?


Contohnya dalam konteks pekerjaan. Aku taklah kata yang aku ni pekerja terbaik atau pekerja contoh, sebab company tempat aku bekerja sekarang ni bukannya ada pun buat anugerah-anugerah macam tu. Tapi sekurang-kurangnya aku rasa aku jujur dan bertanggungjawab dalam melakukan semua kerja yang diamanahkan pada aku. Walaupun, heh, selalu masuk lambat, (shhhh!!) tapi semua kerja dan tugas aku, sedaya upaya akan aku siapkan dalam tempoh yang ditetapkan.


Seriously, kerja aku memang banyak dan tak ada habisnya. Tapi aku tetap buat dengan penuh rasa tanggungjawab sebab aku dibayar untuk buat semua tu. Sesekali ada juga mengular masuk ke Facebook atau update blog, sebab kau tahan ke kalau mengadap kerja je 8 jam tanpa henti? Otak kita pun sesekali kena berehat juga. Kalau stress, boss juga yang susah. Mana nak cari pekerja macam aku yang sangat berdedikasi dan bertanggungjawab ni? Fuh, tak sedar diri!


Kalau bab-bab duit, lagilah aku takut nak menyeleweng. Waktu umur 11 tahun, aku dan geng aku terjumpa duit RM5 di tengah jalan. Memanglah seronok jumpa duit. Tapi masa nak bagi-bagi duit tu untuk 3 orang, aku terus terfikir, tak salah ke kalau aku ambil duit tu? Macam berdosa besar je. Lagipun kata orang, kalau kita jumpa dan kutip duit tengah jalan, nanti mesti ada barang kita yang akan hilang. Akhirnya, serius, aku tak ingat sama ada kami letak balik duit tu di tempat kami jumpa ataupun kami gunakan duit tu untuk tambang bas balik ke rumah.


Teringat waktu kecil, bila dengar bunyi loceng orang jual aiskrim calong semakin dekat, aku akan menggelepar dan menggelabah macam kera kena belacan kalau mak bapa aku tak ada berdekatan dengan aku sebab aku tak boleh nak minta duit 20 sen. Jadi aku akan berlari menuju ke arah seluar panjang bapa aku yang dia sangkutkan di dinding dan seterusnya menyeluk poketnya untuk mendapatkan 20 sen. Itupun kira tak jujur juga kan sebab selepas habis aiskrim tu aku makan dengan calong-calongnya sekali, baru perasaan takut dan bersalah tu muncul. Aku rasa macam dan-dan tu juga tuhan akan masukkan aku ke dalam neraka.


Kesimpulannya, kejujuran sangat penting. Semua orang yang tak jujur adalah orang jahat. Contohnya pencuri, perompak, penipu, pembohong, pemecah amanah, pembunuh, perogol. Semuanya tak jujur dalam hidup. Walaupun orang lain tak nampak ketidakjujuran yang kita buat, tapi Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui.


Aku harap sangat tidak ada sedikitpun dari norma-norma ketidakjujuran itu wujud walaupun setitik dalam jiwa aku dan pewaris-pewaris aku. Walaupun kadang-kadang terasa apa yang kita dapat tak setimpal dengan apa yang kita buat ataupun adakalanya terasa kita dipergunakan untuk kepentingan orang lain, tapi sekurang-kurangnya perasaan ikhlas dan jujur dalam melakukan tanggungjawab kita boleh membersihkan jiwa kita dari perkara-perkara yang boleh menghitamkan hati.


Allah lebih tahu menilai setiap titik kejujuran yang ada dalam diri kita.


Mari insaf bersama-sama.

2 comments:

Related Posts with Thumbnails