Tuesday, September 25, 2012

Nostalgia gaun biru tua

Macam baru semalam aku sarung pinafore atau gaun biru tua ke sekolah rendah. Sampai sekolah, main rebut tiang, pijak-pijak kasut (permainan paling sadis di hari Isnin), main getah, teng-teng, batu seremban, ceper, sebelum loceng masuk kelas bunyi. Nanti lepas makan masa rehat, kalau masih ada masa tersisa, sempat lagi sambung main. Paling best bila subjek pendidikan seni dan pendidikan jasmani. Sebab dapat lepas dari rutin mengadap buku teks dan buku latihan. Ataupun bila cikgu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ajak masuk perpustakaan. Berebut baca buku-buku cerita yang baru sampai dengan kawan-kawan.

Saat paling menggerunkan, bila van doktor dan misi dari Jabatan Kesihatan masuk kawasan sekolah membawa sekali bau-bauan ubat yang buat bulu hidung meremang. Kalau tak acara check gigi mesti ada upacara suntikan beramai-ramai. Bermulalah edisi gigil-menggigil dengan kawan-kawan. Yang syoknya bila misi bagi berus gigi dan ubat gigi kecik secara free sebelum duduk beratur kat tepi longkang dan berus gigi secara berjemaah. Tapi paling heaven sampai tak jejak tanah adalah bila lori Milo masuk sekolah. Sayangnya nak habiskan air Milo free -paling sedap seantero dunia- tu walaupun tak sabar nak tebuk dasar cawan kertas tu untuk masukkan benang sebelum jadi 'telefon'. Paling kokak pun buat cawan Milo tu jadi bekas untuk buang habuk-habuk pensel yang dikorek.

Kawan-kawan baik aku di sekolah rendah dulu antaranya Salim, Norizan Ahmad,  Muhaini, Mayzatulnalin (Along), Maizatulniza (Angah), Salmiyati, Siti Hajar, dan Salina. Bila dah masuk darjah 4 dan pinafore biru tua pun dah berganti dengan baju kurung putih berkain biru tua, kelas kami dipecahkan ikut prestasi masing-masing. Maka aku pun dapat ramai kawan baik baru dari kelas lain. Antaranya Hanimarliza, Sazaliza, dan Nora Lyana. Geng baru ni kekal sampai darjah 6 sebab kami sama-sama jurujual kedai buku sekolah merangkap pustakawan dan selalu lepak dalam bilik stor sukan dengan Cikgu Mutalib, Cikgu Azman dan Ustaz Mohsin. 

Kalau ada aktiviti kokurikulum hari Sabtu, lepas balik sekolah aku dan geng selalu lepak kat jeti atas laut. Masa tu rasanya tulah port paling best untuk lepak sambil makan nasi lemak atau mihun dalam plastik kecik yang diikat hujungnya dan kemudian digigit bucunya -sepeket 50 sen beli kat kedai makan Rahmat-, makan dengan diiringi tiupan angin laut Selat Johor yang boleh nampak Pulau Ubin, Singapura dengan jelas sekali sebab cuma berjarak lebih kurang 200-300 meter je dari pesisir pantai kampung kami.  Kedai makan tu masih ada sampai sekarang tapi jeti atas laut tu dah lama roboh. Pantai pun dah tak cantik sebab dah ditambak dengan batu dan pasir sampai pantai pun dah hilang. Hilang sekali dengan nostalgia kami waktu kecik-kecik dulu.


Masa sekolah rendah, aku rajin ikut serta dalam persembahan sekolah macam koir, tiup rekorder, dikir barat dan bacaan puisi. Selain tu, aktif jugak ikut kuiz antara sekolah dalam zon Masai & Pasir Gudang. Masa tu geng-geng 'muka kuiz' yang selalu penuhkan kereta cikgu untuk ke sekolah-sekolah lain selain dari aku adalah si Hani, Amirudin, Fairul, Johan, Sazaliza dan Izwan kalau tak silap. Masa tu kami dapat la jumpa dengan best student fofuler dari sekolah lain yang selalu ikut kuiz. Balik-balik muka yang sama je.

Tapi serius, zaman pakai gaun biru tua dan kain biru tua ni memang antara fasa paling menarik dan manis dalam hidup. Fasa di mana kita tak perlu fikir benda yang berat-berat dalam hidup dan lalui semua apa adanya. Memang belum ada dan tak terfikir langsung pun akan wujud gadjet-gadjet canggih macam budak sekarang, tapi nikmat bermain macam-macam permainan di luar rumah dengan kawan-kawan tak ternilai harganya. Waktu di mana segalanya lebih nikmat dan indah untuk dilalui dan dikenang. Dan simpatiku tumpah untuk anak-anak generasi baru..

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails