Tuesday, May 3, 2011

Menjadi manusia kecil itu terlalu indah

Macam baru berapa tahun lepas je kami masih boleh bergasak-gasak depan tv macam dalam WWE. Menonton semua rancangan kartun di televisyen pada hari cuti dari pagi membawa ke petang. Berebut-rebut makanan atau minuman macam dah berminggu-minggu tak jumpa makanan. Menggagau cari duit syiling bila dengar bunyi loceng penjual aiskrim semakin dekat dan dekat. Berjengket-jengket keluar dari bilik selepas jam 10 malam untuk menonton televisyen secara curi-curi sebab pukul 10 malam adalah waktu wajib tidur menurut undang-undang encik bapak. Main simbah-simbah air dalam bilik air waktu mandi sampai pedih-pedih mata dan tersumbat-sumbat telinga dan hidung sebab masuk banyak air. Bangun lewat bila cuti hujung minggu sampai hampir-hampir disimbah dengan sebaldi air oleh encik bapak. Bermain dengan kawan-kawan di luar rumah sampai lupa nak balik makan dan cuma akan ingat rumah bila terdengar bunyi enjin motor encik bapak balik dari tempat kerja (1 kilometer pun dah dapat cam bunyi enjin motor tu). Mengaji dengan nenek bersama jiwa yang dipenuhi keterpaksaan sebab sibuk nak tengok kartun waktu maghrib di televisyen. Bersengkang mata menyiapkan kerja sekolah bila sekolah akan mula dibuka keesokan harinya setelah bercuti panjang berminggu-minggu lamanya. Dan berkongsi cerita sedih atas katil dalam bilik yang dikongsi bersama.

Oh, rindunya dengan semua tu. Memori yang dicipta sepanjang masih bergelar manusia kecil memang terlalu indah untuk dilupakan. Untuk adik-adikku, Sahara Jaafar dan Fitriani Jaafar yang sedang menjalani kehidupan masing-masing, tolong jangan lupa pada semua kenangan-kenangan indah itu. Untuk semua manusia kecil kami yang sedang dan bakal melalui semua yang telah kami lalui, nikmatilah ia dengan kegembiraan sebab ia akan menjadi sesuatu yang terlalu indah satu masa nanti.

Gambar nostalgik tahun 80an.

3 comments:

  1. hurm..terkenang ke masa lalu...

    ReplyDelete
  2. asalamualaikum..
    time raya lgi best..
    main bunga api sampai x ingat apa..hehehe
    pastu raya keliling kg kutip duit..
    mmng best..
    like~

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails