Tuesday, July 20, 2010

Beberapa peristiwa kehilangan yang tak boleh aku lupakan

Hilang. Lenyap dari pandangan. Tak boleh disentuh dan dipegang lagi. Sangat menyakitkan hati.


Ada beberapa peristiwa kehilangan yang pernah terjadi dalam hidup aku, sejak baru pandai bercakap hinggalah dewasa, yang tak boleh aku lupakan hingga kini atau sekurang-kurangnya sehingga aku belum nyanyuk atau hilang ingatan dan aku sangat berharap aku tidak akan melalui dua situasi itu.


#1 - Ketika berusia 5 tahun, bapa aku membelikan aku sebuah kereta mainan kecil berwarna merah yang sangat comel dan hebat pada pandangan mata aku. Kereta kecil itu diperbuat dari besi dan pintunya boleh dibuka dan ditutup. Kalau tak silap dibeli di deretan kedai-kedai yang ketika itu terletak di tapak bangunan kompleks membeli-belah City Square, Johor Bahru sekarang ini. Waktu itu aku tinggal di rumah panggung. Jadi ada kolong rumah. Kereta itu bukan kereta control, jadi tak bolehlah digerakkan ke sana ke mari dengan remote control. Maka, aku telah mengikat kereta itu dengan tali rafia dan menariknya ke sana sini sehinggalah kereta kebanggaan aku itu terjatuh ke kolong bawah rumah melalui celah papan yang berlubang. Sebaik sahaja ia terjatuh, aku terus bergegas ke kolong bawah untuk mengambilnya. Tapi yang peliknya, bila sampai di bawah, kereta itu tak ada. Bayangkan, barang yang kita sangat sayang tiba-tiba hilang sekelip mata! Waktu itu aku terfikir ada hantu yang menyorokkan kereta itu. Aku menangis bagai nak gila. Tup-tup, dua tiga hari selepas itu aku ternampak seorang kawan lelaki aku memegang kereta merah aku. Bila aku tanya mana dia beli, dia terus melarikan diri. Sialan!


#2 - Oleh kerana mendapat tempat pertama dalam peperiksaan akhir tahun di sekolah, maka bapa telah menghadiahkan aku sebuah basikal baru berwarna biru. Ketika itu, aku berumur 10 tahun kalau tak silap. Basikal itulah yang aku gunakan untuk ke sekolah kalau bapa tak sempat nak hantar dengan motornya. Basikal itu juga yang aku pakai untuk pergi ke kedai-kedai runcit berdekatan kalau emak suruh beli barang-barang runcit. Suatu malam, selepas maghrib, aku dapati harta paling berharga yang aku miliki ketika itu telah tiada di tempatnya padahal aku baru saja meletakkannya di situ. Aku punya sedih sampai rasa macam nak korek tanah dan masuk ke dalamnya. Bengkak hati aku! Rupanya, basikal aku telah diangkut oleh seorang mat gian terkutuk sebelum menjualnya kepada bapa seorang budak di sekolah aku. Kalau aku buat laporan polis pun, bukannya aku boleh dapat semula basikal aku. Hampas!


#3 - Waktu berkelah dan mandi-manda di Pantai Desaru lebih kurang 18 tahun yang lalu di mana aku berusia 11 tahun pada ketika itu, emak telah menyuruh aku membuka rantai emas dan loket yang aku pakai sebelum berendam dalam laut. Untuk keselamatan katanya. Kalau hilang dalam laut kan susah. Emas bukan murah. Jadi, ketika kami bersiap-siap di atas sebuah jeti kayu berbumbung di mana di bawahnya mengalir sebatang sungai kecil, aku telah membuka rantai emas aku sebelum menyerahkannya kepada emak aku. Sebelum sempat rantai dan loket itu sampai ke atas tapak tangan emak aku, tiba-tiba loket emas aku terjatuh dengan penuh dramatik ke dalam sungai di bawah kaki kami. Aku betul-betul terkedu dan rasa bersalah sampai rasa nak bunuh diri pun ada. Bapa aku dengan nekad telah turun meredah sungai yang agak hitam berkeladak itu untuk mencari loket itu, tapi hampa. Menurut emak aku, loket itu berharga lebih kurang RM500 pada waktu itu. Sampai sekarang pun kalau aku ingat, rasa macam nak hantuk kepala kat tembok menara KLCC je.


#4 - Aku kehilangan sekotak permainan yang dengan sengaja telah dibakar dengan sadisnya oleh pakcik aku ketika aku berumur 10 tahun sebab katanya aku kalau main tak tau nak kemas balik. Kamu tahu tak macamana perasaan aku waktu itu? Lagi-lagi bila pulang dari sekolah dan mendapati sekotak permainan aku telah hangus menjadi abu! Kalau aku ada pistol waktu itu, memang dah arwahlah pakcik aku tu.


#5 - Pemergian arwah atuk aku sangat membekas dalam diri aku sebab waktu kecil aku amat rapat dengan arwah. Atuk meninggal ketika aku berumur 15 tahun. Pertama kali mendapat berita pemergian arwah, aku belum menangis lagi. Selepas dua tiga hari arwah meninggal, baru aku menangis bagai nak rak. Aku tak sanggup kehilangan lagi. Kalau boleh, biarlah aku yang meninggalkan dari ditinggalkan. Sob..sob..


#6 - Tayar kereta aku hilang sebanyak 3 biji ketika kereta diparkir di belakang rumah. Yang dicuri semuanya yang lengkap dengan rim. Yang tak ada rim tak pulak diangkutnya. Kepala hangguk punya penyamun!


Sebenarnya banyak lagi peristiwa kehilangan yang sangat melarakan hati di dalam senarai. Tapi aku tak sanggup nak menaip lagi. Semua orang pun ada senarai kehilangan masing-masing malah tentu banyak yang lebih tragis dari peristiwa kehilangan yang pernah aku alami. Tapi yang paling menyebalkan adalah kehilangan ini. Mangkuk tingkat betul!

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails