Wednesday, September 29, 2010

Cerita serius

Baru aku perasan. Aku sangat jarang bercerita tentang anak-anak aku dan keluarga aku. Mungkin aku rasa mereka adalah milik aku yang sangat peribadi. 


Contohnya cerita tentang si gorjes Rayyan yang sekarang ini sedang dalam proses pemulihan kakinya yang terseliuh akibat kecuaian aku sendiri. Damn me!! Ataupun cerita tentang si kembar cantik yang sudah pandai membaca sekarang. Bukan bermaksud aku jarang tulis tentang mereka maka aku jarang teringatkan mereka. Mereka sentiasa hidup dalam setiap hembusan nafas aku. Kalau boleh setiap apa yang mereka lakukan aku nak tangkap gambar kemudian postkan dalam blog dan cerita tentang semua aktiviti yang mereka buat. Tapi mungkin itu bukan style aku. Buat masa ini. (Dan mungkin juga sebab aku selalu tertinggal kamera di rumah kalau keluar bersantai dengan mereka. Damn me lagi!)


Yang pasti, mereka itu adalah anugerah terindah yang pernah aku miliki. 
Sampaikan kalau boleh aku nak shrinkkan dia orang dan masukkan dalam kocek aku.
Aku sayang gila dengan makhluk-makhluk kecil tu. Dan papanya juga. 


Serius. 





Tuesday, September 28, 2010

Memori 6


Lokasi: Blok E 04/08, Apartment Lily & Jasmine, Taman Tampoi Indah, Johor Bahru
Tarikh: Sekitar bulan Julai 1999


Memanglah kami freshies. Kami junior sangat waktu tu. Tapi tak sangka pula bebal tahap kambing gurun sampai boleh terjebak dalam kes bertahap babun bontot merah tersebut. Oh ya, sebenarnya aku tak terlibat pada awalnya dalam ini gambar tapi hujung-hujungnya kena terlibat juga sebab dah namanya kawan serumah dan sekelas, kenalah sepakat membawa berkat. (Hampeh! Aku tak salah, tauuuu!!)


Pada hari yang bersejarah tu, aku dan Maizatulakmal Mahmood dan seorang lagi kawan tak ada di rumah. Aku pun tak pasti kami ke mana waktu tu. Yang pasti, mana-mana hakim dan mahkamah dalam dunia ni pun mesti memutuskan yang kami tak bersalah langsung dalam kes ni. Yang aku ingat, waktu aku dan Maizatulamal Mahmood sampai ke rumah petang tu, rumah kami mendung semacam je. Mula-mula malas nak ambil tahu, tapi kena juga ambil tahu sebab kami dipaksa untuk ambil tahu.


Kisahnya begini. Menurut cerita kawan serumah aku, hari tu rumah kami dikunjungi seorang amoi yang sangat petah berkata-kata sehingga mereka terpukau dan melayan beliau dengan begitu baik sekali. Baik budi betul budak-budak serumah aku tu. Agaknya dia orang siap hidang air sekali kot? Kalau kat rumah aku, salesgirl atau salesman memang tak akan mendapat layanan yang sewajarnya. Kalau kat rumah orang lain, Mr. Bulldog kot yang sambut dia orang ni?


Entah benda apa yang rasuk pemikiran dia orang tu sampai sanggup melayan amoi tu dengan sebaik-baik layanan. Bila amoi tu keluarkan kad gores dan menang, aku dapat bayangkan yang dia orang ni ternganga sebab terlampau kagum dan seterusnya melompat-lompat gembira kot? Bila amoi tu bagi kad bodoh tu untuk digores mesti dia orang sambut dengan penuh kesyukuran dan menggoresnya sampai menitik-nitik air mata kegembiraan agaknya. Bila amoi tu cakap yang dia orang cuma menang alat pengurut badan yang super bodoh, alat penapis air murahan gred C cap ayam dan satu lagi alat urut kaki yang sekali pakai je terus tertanggal bebola-bebola plastiknya tu, SERTA mereka diwajibkan membayar RM500.00 tunai, diulang sekali lagi, RM500.00 untuk semua barang-barang bingai yang kalau dibagi free pun makcik sebelah rumah aku tak nak ambil tu, aku yakin dia orang betul-betul dah melompat sampai ke siling rumah sebab terlalu terharu. I love u guys!! 


Kamu bayangkan, RM500.00 untuk selonggok sampah? Bayangkan sekarang!! Kalau aku ingat-ingat balik, rasa macam nak gigit-gigit je telinga budak-budak rumah aku tu. Atau paling kurang pun masukkan segerombolan semut dalam lubang telinga dia orang. Aku tak kisah kalau aku yang tak bersalah langsung ni tak dibabitkan sama menggalas masalah tu. Yang jadi problemonya, aku dan dua orang lagi kawan aku yang tak bersalah dipaksa menjadi mak sanggup untuk sama-sama menanggung hutang tu. Sadis tak sadis cerita aku ni? 


Jadi secara rasminya, aku dan dua orang kawan yang tak bersalah tu, turut dipaksa membayar sebanyak RM50.00 seorang untuk mencukupkan RM500.00. GRRRRRRR!! Alasannya, kami semua kawan dan serumah pula tu. Semua barang-barang yang sangat 'berguna' tu akan diguna bersama-sama, jadi semua mesti sepakat di Kg. Pening Lalat! Kebetulan waktu tu, kami semua tengah kering. Jadi, kami telah meminjam duit dari pelajar lain yang sangat baik hati (sebab mamat tu sedang dalam usaha nak tackle salah seorang dari budak rumah aku!) Kalau tak silap aku, sampai semester 3 kot, baru aku bayar habis hutang tu sebab aku sangat tak ikhlas nak bayar benda yang aku tak sepatutnya bayar. 


Sampai sekarang pun kalau aku nampak amai-amoi atau ati-ati yang sedang berusaha menjebak mangsa dengan kad gores dan menang tu, aku rasa macam nak toreh dan tendang je muka dia orang tu. Sangat memberi impak buruk yang mendalam dalam lipatan memori aku. Jadi, bila aku terbaca dalam akhbar tentang mangsa-mangsa penipuan kad gores dan menang ni, memang aku akan kutuk kaw-kaw betullah kat depa yang menjadi mangsa tu. Masalahnya dah banyak orang terkena pun kenapa tak ambil ikhtibar langsung?


Apapun, ada hikmahnya kejadian bangang tu. Sekurang-kurangnya, selagi hayat dikandung badan aku tak akan terpedaya dengan mana-mana peraduan gores dan menang tu. Dan untuk kawan-kawan serumah aku, aku dah pun maafkan benda tu walaupun aku belum boleh lupakan sebab tu antara benda yang manis untuk dikenang. Baghero betul korang!

Puisi pertama dalam blog aku

Puisi yang pertama kali aku baca terus suka sebab sangat memberi kesan yang mendalam. Puisi pertama dalam blog aku sebab selama ni aku tak pernah terfikir nak kopipes mana-mana puisi yang aku jumpa ke dalam blog aku.  Puisi pertama yang bukan nukilan aku dan mungkin kamu tak akan jumpa pun puisi yang pure nukilan aku sebab aku tak pandai nak berpuisi kecuali waktu zaman bercinta yang mana aku sangat poyo serta jiwang karat dulu. Heh!
This poem was nominated by UN as the best poem of 2006,
Written by an African Kid
When I born, I black
When I grow up, I black
When I go in Sun, I black
When I scared, I black
When I sick, I black
And when I die, I still black
And you white fellow
When you born, you pink
When you grow up, you white
When you go in sun, you red
When you cold, you blue
When you scared, you yellow
When you sick, you green
And when you die, you gray
And you calling me colored?

Tuesday, September 21, 2010

Watsons dan hadiah yang manis

Keluar bersantai ke sebuah shopping complex pada Syawal ke 9 rasanya samalah seperti berjalan di sebuah taman perumahan pada hari raya di mana suasana agak lengang tanpa penghuni yang mungkin pulang berhari raya ke kampung halaman ataupun berkunjung ke rumah sanak saudara bagi yang tidak mempunyai kampung. Jumlah pengunjung boleh dihitung dengan jari dan kebanyakan salesgirl atau salesman sesebuah kedai atau butik boleh berkunjung ke kedai-kedai bersebelahan untuk berborak atau bertanya khabar. Ermm.. pentingkah fakta ni? Tapi, mungkin juga cuma shopping complex tu je yang sedemikian rupa tapi tidak shopping complex yang lain. Okeh, fakta ini mungkin memang tak berapa penting.


Mari terus ke topik utama entri ini.


..........................................................................................


Aku pun tak tau apa yang nak diceritakan di sini sebenarnya.
Okehlah. Aku cuba.


Aku sebenarnya malas nak keluar bersantai ke shopping complex kalau tak ada tujuan. Sebabnya, walaupun tak ada list barang yang nak dibeli tapi mesti mata akan terjatuh hati juga terhadap susunan barang-barang yang sangat indah dan berwarna-warni di raknya. Tapi atas desakan si gigi besi yang sibuk nak mencari earring yang kononnya terkini di pasaran, maka aku pun terjebak untuk masuk ke kancah mengkayakan tokey kedai itu.


Fabric flower earring dambaan si gigi besi.


Contohnya pada hari tersebut, aku terpaksa membeli sebatang lipstick Maybelline dan sebatang liquid eye liner Silky Girl di Watsons kerana terpesona dengan susunan.. oh, alasan yang cukup konyol. Untuk membeli dua produk kecil tu pun aku berfikir 25 kali sebab kadang-kadang aku rasa harganya tak berapa sepadan dengan saiznya yang kecil. Tapi setelah akal dan nafsu aku berperang, maka aku pun mengambil keputusan untuk membelinya memandangkan aku tiba-tiba teringat alat-alat kosmetik aku di rumah sudah habis lunyai dikerjakan oleh 'The Little Rascals' yang aku miliki. Maksud lunyai di situ adalah lunyai habis, dan tak berupa kosmetik lagi termasuk berus-berusnya segala. Aku juga mengambil kira faktor yang aku sudah sangat lama tidak membeli alat kosmetik sebab hanya menumpukan kepada keperluan 'The Little Rascals' dan keperluan-keperluan lain sahaja. Sampai aku lupa kepada keperluan diri sendiri. Hurmm.. apa salahnya sesekali membelikan sesuatu untuk diri sendiri, kan?





Okeh, aku dah dapat topik untuk hari ni. Kadang-kadang kita terlalu taksub melengkapkan keperluan orang-orang yang kita sayangi di sekeliling kita hingga terlupa untuk memberikan sesuatu kepada diri sendiri atas usaha yang telah kita lakukan selama ini. Tak kiralah apa pun jenis usaha, sama ada bekerja dengan gigih tanpa cuti dan rehat, atau pun berusaha untuk membahagiakan orang-orang yang kita sayangi. Itu mungkin sebahagian dari pencapaian terbaik yang telah kita lakukan dalam hidup yang menuntut banyak pengorbanan dalam banyak segi. Jadi, tak ada salahnya kalau sesekali berfikir untuk membahagiakan diri sendiri atau dengan kata lainnya memberi sedikit ganjaran untuk diri sendiri.


Memberi sesuatu untuk diri sendiri kadang-kadang membawa perasaan indah seperti lebih menyayangi dan menghargai diri sendiri. Jadi kepada sesiapa di luar sana yang kadang-kadang terlupa untuk menghargai diri sendiri sebagaimana kita menghargai diri orang-orang yang kita sayangi, bolehlah cuba untuk bertindak sekarang. Tak semestinya melibatkan barang-barang yang mahal, mungkin juga dengan barang yang murah tapi comel bersentimental value atau mungkin juga dengan barang yang telah sekian lama kita idamkan. Pasti kesannya sangat manis! 


Aku rasa macam pakar motivasi hari ni.

Friday, September 17, 2010

Senandung hari raya

8 Syawal 1431 Hijrah.
Masih lagi dalam mood yang sangat hari raya.
Jadi, Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua.
Maaf zahir. Termasuk batin sekali.


Syawal masih hangat. Belum puas rasanya berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai. Ada yang betul-betul setahun sekali baru berjumpa. Bulan Syawal inilah penyambung tali silaturrahim. Indahnya Syawal.


Inilah juga saatnya sibuk membelek-belek album raya kenalan dan taulan dalam Facebook. Hari-hari ada aje gambar dan album baru yang muncul. Kebanyakannya bertajuk 'Aidilfitri 2010' atau 'Raya 2010'. Pening juga kepala sibuk menelek gambar orang lain. Macam-macam warna baju raya yang boleh kita jumpa termasuk rombongan-rombongan  yang berbaju boria atau kumpulan kendarat kenduri kahwin anak Mak Limah.


Semalam kawan baik aku sejak sekolah rendah datang bertandang ke rumah dengan suami dan anak-anaknya. Memang tiap tahun sejak zaman sekolah dulu hingga ke zaman masing-masing dah bergelar mak bapak budak pun kami akan berkumpul beramai-ramai dan kemudian konvoi rumah ke rumah. Sayangnya tahun ni tradisi tu tak dapat diteruskan. Maklumlah, bila dah berkeluarga bukannya boleh senang-senang nak atur masa macam zaman bujang-bujang dulu.


Aku bukan nak bercerita tentang bagaimana kecohnya rumah bila anak masing-masing bertemu. Itu baru dua keluarga, belum bertembung lagi dengan keluarga kawan-kawan yang lain. Mau tercabut agaknya bumbung rumah. Lupakan tentang bumbung rumah tu, aku tiba-tiba terpanggil nak menulis tentang betapa berbezanya butiran perbualan dengan kawan-kawan semasa berjumpa di hari raya, sebelum dan selepas bergelar ibu-bapa. Tiba-tiba rasa macam dah tua pun ada. Oh, tidak! Tapi, hurmm.. terimalah hakikat!


Kita mulakan dengan imbasan atau flashback intipati perbualan antara dua orang sahabat baik yang berumur dalam lingkungan 19 hingga 21 tahun semasa bertemu di hari raya. Muda belianya. Jeles aku!


A: Cantik baju kau. Beli mana?
B: Balak akulah yang belikan. 
A: Eh, kau tau. Ada mamat hensem baru pindah kat depan rumah aku. Hensem gila!
B: Wah, menarik! Jom usha nombor telefon dia. Untung-untung boleh makan KFC free. Takpun tengok wayang free. Kan ada movie baru sekarang.
A: Sudahlah. Mamat yang kau kenal kat pasar malam hari tu pun belum bagi apa-apa keuntungan kat kita.
B: Kau dah beli majalah Remaja yang baru? Cover Hero Remaja. Cute, dowh!
A: Mmm.. lagi best T-shirt comel yang aku beli kat MNG tu.
B: Apa-apalah. Tak sabar nak tengok High School Musical malam ni.
A: Tapi ni lagi hot. Kau tau. Mimi si budak gedik yang perasan cun kat kolej kita tu dah split dengan balak dia. 
B: Padan muka!
A: Dahla. Salam dulu. Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin. Jom keluar round bandar.


Perbualan yang sangat comel dan dipenuhi keseronokan. Macam tak ada masalah dalam hidup. Kamu semua masih ingat zaman tu? Owhh, sangat indah!


Okeh. Ini pula intipati perbualan antara dua orang sahabat baik sejak kecil dan berumur dalam lingkungan akhir 20-an juga semasa bertemu di hari raya. Perkataan akhir di situ menunjukkan betapa mereka sudah agak berumur. T_T


A: Wah, anak kau dah besar! Bila nak tambah?
B: Banyaklah kau! Susu, pampers semua tambah mahal.
A: Kau cuti lama?
B: Lama apa. Cuti 3 hari je. Sengal otak aku.
A: Anak kau tak meragam ye.
B: Kau belum tengok. Dia smack down atuk dia sampai bunyi tulang belakang orang tua tu.
A: Anak aku rendam handphone dalam air kopi.
B: Anak aku tahan buang air besar sampai sembelit. Trauma nak buang air besar. Dikepit-kepitnya tak bagi keluar.
A: Anak aku tak minum air gas. Kalau minum otak meletup katanya.
B: Hahah.. Anak, anak, anak, anak..
A: Hihi.. Anak, anak, anak, anak...


Nah, nampak tak perbezaan yang sangat ketara antara dua situasi itu? Macamana aku tak kata ia sangat berbeza? 


Untuk mereka yang sedang muda belia sekarang, tak perlu risau. Sebab kamu semua akan merasa apa yang senior-senior kamu sedang alami sekarang. Kamu turut akan tua seperti kami. Hahahahahah... (ketawa jahat).


P/S: Dialog-dialog di atas adalah rekaan semata-mata. Mungkin ada 10% je lah yang betul. Untuk sahabat aku Hanimarliza Johari, terima kasih sebab masih menjadi sahabat baik aku hingga sekarang.
Related Posts with Thumbnails