Wednesday, December 26, 2012

Cara mudah membersih henpon

Kalau nak dikumpul spesis yang pemalas ya hamat nak update blog tapi rajin check earning kat Nuffnang, aku boleh duduk kat barisan pertahanan paling depan kot? Kau kemain tampal iklan bersepah dalam blog tapi kemain malas nak taip bahan bacaan berguna untuk peminat tegar blog kau kat luar sana. (Jap. Aku nak gi rodok mulut pakai sudip kayu nak kasi keluar muntah ijo crepe durian.). Eh. Ada lagi kot yang duduk lagi depan dari aku. Contohnya, dia ni: BudakGigi Besi. Peh. Dia punya blog last sekali aku baca masa tu Rayyan masih pakai diapers, belum pandai kencing berak sendiri dalam toilet. La ni dia dah pandai masuk sendiri dalam toilet dan untuk qada' hajat sambil main air habis 25 liter.

Aku takde tajuk spesifik nak borak hari ni.
.
.
.
.
.
Oh. Ada.

Semalam masa mak aku basuh cadar pakai mesin basuh, tiba-tiba ada dengar bunyi gedebak-gedebuk dalam tu. Penuh penghayatan Puan Haji tu dengar betul-betul bunyi tu sambil tanya kat aku. "Pebenda bunyi-bunyi dalam tu, kak?". Aku tak payah jawab pun dia mesti dah tau dalam tu konfem ada something yang keras, yang tak sepatutnya termasuk dalam tu. Dia belum bertindak lagi masa tu. Bila dah agak-agak 2,3 minit baru dia ambik tindakan stopkan mesin dan celup tangan dalam tu, nak cari punca pebenda yang berkelentung-kelentang dalam tu.

Dan hasilnyaa..
Puan Haji berjaya mengeluarkan sebijik henpon Nokia 1280 miliknya (ye, memang agak klasik) yang dah penuh dengan air sabun akibat dibasuh sekali dengan 2 helai cadar saiz queen.   

Menjerit 'manja' mak aku. Siap dengan keluh kesah rindu dendam.

Takpelah mak. Nak dapat henpon baru le tu.

Monday, December 17, 2012

Suwa suwe kemuning

Suwey.
Ada tak yang tak tau suwey tu apa?
Kalau nak suruh aku terangkan definisi suwey tanpa gunakan ayat Dewan Bahasa dan Pustaka, meh aku terangkan maksud suwey pakai kaedah penceritaan.
Lagi senang nak paham.

Hari Sabtu, 15 Dis 2012
Suwey adalah bila kau jenis umat yang basuh baju seminggu 2 kali dengan sekali basuh, output yang berjaya disiapkan memerlukan masa paling kurang 45 minit untuk siap dijemur dan fuhh lega bila dah siap. Lepas tu dah elok-elok dijemur kat laman rumah, tiba-tiba hujan turun. Okeylah, menggelepar lari angkut 2 besi penyidai kain yang penuh dengan baju dan 2 umbrella hanger untuk baju budak-budak tu. Lepas tu hujan dah berenti, menggagau lagi angkut besi penyidai baju keluar rumah then tak sedar besi penyidai kain tu tersangkut kat umbrella hanger yang digantung kat laluan nak keluar. Debub! Umbrella hanger yang penuh dengan baju-baju budak kecik tu pun jatuh dengan penuh dramatik atas lantai simen yang basah becak dengan air hujan.
CILAKE! (+15 bakul sumpah seranah tak tau untuk siapa).

Dah petang sikit, baju yang sidai kat besi penyidai kain tadi dah hampir nak kering. Terniat nak angkat bawak masuk tapi tunda dulu sebab nak suruh betul-betul kering. Guruh dah start bunyi tapi belum bergerak nak pi angkat kain sebab sibuk buat benda lain dulu. Angin dah bertiup kencang. Tiba-tiba dengar bunyi something jatuh bedebub atas tanah kat luar rumah. Pergi jenguk dan nampak besi penyidai baju-yang-penuh-dengan-baju dah terdampar atas tanah yang berlopak dan berlecak.
CILAKESTTT! (+43 tong sumpah seranah bonus tumbuk dinding 8 kali).

Itu adalah maksud suwey ye, penduduk kampung.

Maka, minggu ni baju-bajan penduduk kat rumah ni adelah dibasuh dengan 2 kali pemeringkatan.
Reput tulang belikat aku.


Tuesday, December 11, 2012

Bukan 'orang dapur' biasa

Baiklah. Memang dah lama aku hilang. Tapi, aku dah kembali. Maka, bergegak-gempitalah kita berpesta sempena kepulangan aku kembali ye. Puihhhh! Tersembur gigi palsu Mak Temah baca statement aku.

Aku hilang sekejap sebab pergi regangkan otak dan seluruh otot badan kat satu tempat. Tak lama. 2 minggu je. Nu kat Kepulauan Riau. Nanti-nanti ada masa aku merebel kat sini ye. Pastu selit-selit 4,5,6,7,8 keping gambar yang senonoh la untuk tontonan umum.

Untuk hari ni, aku nak bebel pasal satu topik yang sejak 2,3 menjak ni selalu lepak-lepak dalam serebrum otak aku. Mentelah pulak aku tengah baca novel Mrs. Perfect karya Jane Porter. Pasal sorang perempuan dan isteri yang hidup dalam serba-serbi hidup yang sempurna. Suami yang hensem, penyayang, kerja best gaji besar, anak-anak yang cantik-cantik, ada rumah yang jadi idaman semua orang, kawan-kawan yang berstatus dan glamor, kehidupan sosial yang serba sempurnalah kononnya. Semuanya perfect sampailah 1 masa, dia dapat 1 berita yang terus ubah hidup dia secara drastik 180 darjah. Aku belum habis baca. Tak payah nak ngarap aku bagitau ending dia apa.

Isi tersirat yang aku dok pikir dalam otak, apa akan jadi pada kehidupan seorang isteri yang selama ni sejak berumahtangga hanya bergantung harap pada suami 100%. Maksud aku, jenis wanita yang jadi suri rumahtangga sepenuh masa, yang tugasnya hanya menguruskan rumahtangga, suami dan anak-anak, tanpa ambil tahu hal-hal lain di luar dari lingkungan tugasnya sebagai isteri, tiba-tiba satu hari kehilangan suami sama ada akibat kematian suami atau bercerai dengan suami? Katakanlah selama ni isteri hanya duduk kat rumah, dan hampir semua urusan selain dari urusan rumahtangga adalah tanggungjawab suami sepenuhnya. Start dari cari rezeki untuk keluarga, bayar apa-apa bil, urusan sekolah anak, semuanya suami yang handle. Yang lagi parah kalau isteri jenis yang boros berbelanja. Kebetulan pulak suami bergaji besar. Dapat nafkah duit belanja dari suami terus tuju shopping complex. Apa akan jadi pada hidup si isteri bila 1 hari suami yang jadi tunggak utama dalam keluarga dah tak ada? Suami pulak tak tinggalkan apa-apa sebagai jaminan untuk masa depan. Tak ada duit simpanan dalam bank. Bayangkan..

Aku bukan nak rendahkan profesi sebagai suri rumah sepenuh masa ni. Gila kau! Tu la kerja paling mulia (dan paling memenatkan) dalam dunia ni. Cuma sebagai seorang perempuan dan isteri, kita kena selalu pandang ke depan. Bukan selamanya hidup kita indah. Ada masa, Allah akan turunkan ujian dan cabaran untuk menguji kekuatan iman kita. Jadi kita kena bersiap sedia. Jangan terlalu bergantung harap pada sesiapa pun. Nanti kita jadi lemah dan manja. Kita tak tau macam mana nak hidup kalau dicampak ke pulau tengah laut. At least sebagai isteri, kita kena tau apa nak buat bila kita ada dalam apa situasi sekalipun. Kita kena sekurang-kurangnya tahu memandu kereta atau motor, tahu macamana nak berurusan kat bank atau pejabat-pejabat kerajaan, tahu surf internet untuk macam-macam info dan fakta, dan yang paling penting tahu menyimpan duit. Jangan cuma tau duduk kat rumah, malas nak ambil tau keadaan sekeliling, sampai nak ke mana-mana pun kalau takde suami memang tak keluarlah dari rumah. Nanti suami ada affair kat luar pun kita tak tau langsung. Be independent. Janganlah tunjukkan sangat wanita ni terlalu lemah dan cuma bergantung harap pada lelaki je. Manalah tau tiba-tiba 1 hari suami kena kebas (mintak dijauhkan tapi ni banyak terjadi kan? kita tak pernah tau apa akan jadi di masa depan), sekurang-kurangnya kita tak terus tersungkur dan tak boleh bangun-bangun lagi sebab macamanapun kita tetap kena bangun demi anak-anak.

Fuh. Rasa macam pejuang kebangkitan reformasi wanita.

BE STRONG, WOMEN!!

p/s: pelik. kenapa ada orang yang pandang rendah dan simpati pada isteri yang bekerja? salah ke kalau isteri kerja? selain dapat kurangkan beban suami, kan dapat buat simpanan untuk masa depan? macam sorang makcik ni, bila dia tau aku kerja, dia cakap, "kau kerja? kesiannnnn...." . ape MOTIP ko makcik? yang kelakarnya, anak-anak perempuan dia semua pun kerja jugak walaupun dah kawen. yang paling kelakarnya lagi, makcik ni sendiri pun kerja cleaner kat sekolah. siapa yang kesiannn sebenarnya nihh?


Monday, November 12, 2012

Cuti sekolah dah start oi!

Cuti sekolah dah start weh. Budak-budak sekolah seronok la..
Ingat aku seronok sangat nak nyambut cuti sekolah?
Makin aku doa cuti sekolah cepat habis ada la.
Mana taknya, cuti sekolah baru 2 hari, rumah dah macam tempat pelupusan sampah.
Tiap 5 minit, ada je sampah baru tercipta.
Kalau tak cipta sampah, diorang reka prototaip objek-objek aneh dan pelik.
Macam senduk nasi terpacak atas kepala lori mainan. Pernah jumpa?

Yang seronoknya, masa-masa macam nilah boleh asah bakat mencari barang tersembunyi.
Contohnya acara mencari remote control TV selama 2 hari 2 malam tak jumpa-jumpa, rupanya terselit dalam bag serbaguna diorang.
Bag serbaguna ni bagus sebab kalau sesiapa ada hilang barang penting contohnya deodorant ketiak atau penyepit janggut tu, sila selongkar bag dan menjerit kegembiraan.

Tapi yang paling happening sekali adalah, dapat hiburan percuma. Satu bonus kepada jiran-jiran terdekat.
Rumah adalah teater pementasan drama-drama terhebat sepanjang hari. Complete!
Ada babak gaduh-gaduh tendang-tendang musuh.
Ada babak sedih-sedih melalak kuat-kuat berebut barang.
Ada babak mengadu-ngadu domba. "Mama, tengok si polan bin si polan telah mensabotaj lingkungan privasi saya" --> contoh dialog.
Ada babak nyanyi-nyanyi lagu-lagu terkini di carta radio. Tak payah bukak radio. Jimat karen 0.5%.
Ada babak menunjukkan kreativiti melukis mural kat dinding ruang tamu.
Ada acara tambahan susun cawan atau gelas banyak-banyak atas meja makan nak suruh aku basuh pinggan sambil baca skrip mak tiri mengamuk.
Dan sebagai kemuncak dan penutup acara adalah babak tarzan jerit-jerit atau naga mengamuk-ngamuk keluar api kat molot dan hidung. (-_-")

Rumah adalah one stop centre segalanya di sini di musim cuti sekolah. Yeayyy!
Bakpelah buat cuti sekolah panjang-panjang wehhh?

Meh aku hiburkan korang dengan gambar-gambar anak mat saleh yang cumilss-cumilss. Ehsan gugel & theBERRY.com.








Thursday, November 8, 2012

TAK SEMESTINYA..

Mood malas nak menaip dah datang.
Pedulik hape haku ko nak menaip ke tak khann? Kata rakyat jelata sekalian. Sobs. Sobs.
Mentang-mentanglah aku langsung tak sepemes dan sejelita Hanis Zalikha.

Dah nak habis opis hour ni sebenarnya. Tapi kenapa ntah tentiba je datang pule segerombolan buah pikiran yang ntah mana datangnya saling berdesak-desakan nak keluar dari ruang lingkup kepala hotakku. Maka terpaksa aku perahkan sedikit jus otakku ke dalam wadah yang telah sedia ada ini. Haktuih!

Aku tetiba terfikir, kalau seseorang tu gila punya pandai dan genius masa sekolah, manjang asyik nama dia kena sebut as best student la, dapat markah tertinggi la, ranking no 1 dalam aliran la, anak murid kesayangan cikgu la, TAK SEMESTINYA bila dah dewasa nanti dia boleh dapat kerja yang betul-betul best. TAK SEMESTINYA dia boleh betul-betul berjaya dalam hidup dan dapat apa yang dia nak, macam yang kita bayangkan masa zaman sekolah-sekolah dulu. Kan?

Kadang-kadang budak yang kat sekolah dulu selekeh je dan duduk dalam kelas yang corot-corot, pastu semua orang dah siap-siap tentukan dia ni dah besar mesti jadi penyangak atau sampah masyarakat tu lah yang tiba-tiba 20 tahun lepas tu kau terserempak dengan dia pakai kot mahal dan berkereta mewah. Gaji pun dah main cecah-cecah 5 angka. Dah ada bisnes sendiri. Atau paling kokak pun dah jadi manager atau pegawai-pegawai jabatan tinggi yang dulu sikit pun kita tak pernah terfikir akan jadi pada dia.

Semuanya bergantung pada nasib. Jugak usaha. Kadang-kadang sekolah pun tak habis, tapi tup-tup jumpa 10 tahun lepas tu dah duduk kat kawasan perumahan elit. Berbaris kereta mewah 2,3 bijik kat depan rumah.

Jadi, bila tengok anak-anak tak berapa nak bijak atau genius kat sekolah, tak payahlah risau sangat. TAK SEMESTINYA dia tak berjaya dalam hidup nanti. Atau kalau anak kau bijak dan cemerlang kat sekolah, tak payahlah nak berlagak sangat sebab TAK SEMESTINYA dia boleh lebih berjaya banding dengan anak orang lain satu masa nanti.

Hurmm. Tu jelah aku nak cakap pun.

Tuesday, November 6, 2012

Rayyan penggila gadjet

Pertama kali aku pegang komputer masa umur 14 tahun. Masa sekolah menengah. Tu pun sebab masuk Kelab Komputer. Dah canggih habis rasa masa tu walaupun monitor dan CPU besar gedabak nak pikul pun kena pakai kereta tolak.--> melampau na pembohongan. Masa tu aku belajar program Lotus 123, Word Pro kalau tak silap. Ada 2,3 lagi program yang aku tak ingat langsung.

Handphone pulak 1st time aku pakai tahun 1999. Masa tu baru masuk IPT sambung diploma. Tu pun handphone jenama Siemens yang kemain lebar dan panjang walaupun nipis. Tak ramai yang ada handphone masa tu. Kalau ada pun, jenis yang baling anjing pun dia boleh pitam 2,3 minit. Ingat lagi, masa tu housemate aku dapat hadiah besday dari balak dia, Nokia 3310. Masa tu, Nokia 3310 adelah paling canggih di pasaran. Jelesnya kitorang separuh mati. Semua berangan nak dapat handphone macam tu. Kiranya siapa yang ada handphone ni adelah mencapai taraf golongan elitlah kengkononnya. Tak boleh lupa game ular  dalam tu yang buat kitorang addicted.

Budak-budak kecik era ni, umur belum setahun dah pandai godeh gadjet. Membawak dari handphone, tablet, laptop, ipod,semua diorang kenal. Cuba kira berapa tahun gap dengan umur aku baru masa  1st time pegang komputer. Tu pun takut-takut nak tekan keyboad, takut dia meletup ke apa.

Macam hero kecik aku, si Rayyan.  Lebih separuh dari jangka hayat dia dalam sehari adalah bersama gadjet. Bangun tidur terus carik tablet. Dah boring dengan tablet dia melekat depan laptop. Sampai neneknya nak mandikan pun macam nak berperang dengan tentera pemberontak Syiah. Dah berbinar ngadap laptop, dia pergi godeh handphone mana-nama makhluk hidup kat rumah tu. Sampaikan semua orang kena cekap bertindak sembunyikan handphone sebab kalau dah sampai kat tangan dia, kemungkinan untuk kredit licin adalah sangat tinggi sebab Rayyan suka buat panggilan rambang selain mendelete gambar atau sms atau game dalam tu.

TV adalah diperlukan bila semua gadjet-gadjet tu baterinya dah kong. Nak buat macamana, dah itu je kawan dia kat rumah sebab pagi-pagi lagi mama, papa dan kakak kembarnya dah keluar pergi kerja dan sekolah. Macam aku masa kecik-kecik dulu, kalau tak main pondok-pondok atau kawin-kawin kat luar rumah, main dalam rumah je lah. Susun-susun kusyen, main rumah-rumah. Ataupun main solek-solek pakai make up mak aku. Hidup riang ria gembira walaupun takde gadjet-gadjet canggih macam sekarang ni.

Dulu kitorang kalau keluar berjalan dengan mak bapak, mata mesti tak lekang tengok mainan. Si Rayyan pulak, matanya sibuk melilau tengok gadjet-gadjet yang peniaga display dalam kaca. Umur baru 3 tahun ye. Setakat toys memang dia tak heran. Handphone touchscreen tu pada dia macam main yoyo je. Ni lah dia bila teknologi dah kuasai hidup kita. 

Bersyukurnya aku sebab lahir tahun 80an  membesar tahun 90an.

baru pandai merangkak, dah pegang laptop.

dengan nokia E90 buruk aku yang rosak dah sekarang..

sampai muncung molot main game dalam henpon.

kalau angkut dia pergi opis, kena bawakkan sekali laptop untuk dia,
tak karang, tak boleh buat kerja aku. dia je nak conquer pc aku.


Monday, November 5, 2012

Confessions of a non-shopaholic

(Tajuk kemain berprofil tinggi, ko!)

Cuti hujung minggu dihabiskan dengan aktiviti membocorkan dan menipiskan poket. Statement macamlah jutawan-syarikat-direct-selling-posing-depan-kereta-mewah.
Aku jarang belanja untuk diri sendiri. Tapi disebabkan bulan ni cuti sekolah dah nak start dan aku sefamily ada planning nak ke somewhere, maka aku kena buat anjakan paradigma dengan mengupgrade beberapa barang peribadi yang bergred rendah ke gred yang up sikit. Gred rendah bagi aku adalah kondisi barang yang memang dah nak kena campak dalam tong sampah, ye tuan-puan.

Disebabkan aku ni bukanlah jenis yang pentingkan sangat jenama, maka aku kurang koleksi barang-barang berjenama yang harganya boleh buat mulut berbuih seterusnya menggelupur atas lantai tatkala nak bayar di kaunter. Bagi aku, jenama tak penting, yang penting berkualiti dan cantik dipandang. -->Ini dipanggil statement orang kedekut taik idung masin.

Nasib baik aku takde kawan dari golongan-golongan elit yang kerjanya suka mencebik bibir 4 1/2 inci kalau tengok jenama handbag kau bukan dari butik-butik femes yang nak masuk pun segan sebab mesti tak kena layan dengan sales assistant dia yang kerek semacam. Mentang-mentanglah barang-barang aku semua made in Malaysia je, kau pandang aku tak pakai mata ye, cuma pakai telinga je. Barang-barang made in Malaysia pun ok apa. Macam Summit, Padini, Bonia, Fabiano Ricco. Kualiti ok, harga pun affordable. Bukannya orang nak belek pun tag baju or bag yang kau pakai. Apatah lagi nak tanya harga, kan? 

Alangkan barang pasar malam pun aku layan, inikan pulak barang-barang tak berjenama yang jual kat kedai-kedai biasa. Tak pernah pulak aku dengar orang mati ke, bersopak atau berkudis buta sebab pakai barang-barang tak berjenama international ni. Aku rasa orang yang gila jenama ni lagi-lagi kalau bukan dari golongan yang memang dah sedia mewah sampai dah tak tau nak buang duit ke mana atau stok-stok yang sanggup ikat perut semata-mata nak beli barang-barang mewah ni, sampai takde simpanan langsung sebab nak bergaya high class, memang bangang tahap cipan hutan simpan lah. Woh, dah duit dia, suka hati dialah nak buat apa pun. Ha'ah ek? Lainlah kalau dia pinjam duit aku pastu nak bayar pun pakai skim flexi credit 48 bulan tanpa bayaran untuk 3 bulan pertama.

Bershopping tanpa menetapkan misi, tak macam si Hanis Zalikha dalam Mad Markets TV9 tu, bukan setakat buat wallet je cepat menipis tanpa kawalan hadlaju, malah rambut pun cepat tertanggal dari paksinya. Sebabnya, bila tak plan nak beli apa, apa je yang kau nampak cantik, menarik dan tertarik da bomb tebaboo sepanjang perjalanan, laju je tangan nak capai. Lepastu bila dah hujung-hujung bulan, habis tertanggal-tanggal rambut sebab tengok budget dah lari banyak pada benda-benda yang tak penting. Sebab tu kalau aku keluar beli barang dapur, biasanya kat Tesco atau kedai runcit Pak Din dekat-dekat rumah tu, seboleh-bolehnya aku akan tulis kat kertas barang-barang yang aku nak beli. Jadinya, dah sampai destinasi, otak akan tertumpu pada benda-benda yang tertulis SAHAJA. Lain dari tu jangan pandang. Tapi kadang-kadangnya punn, tergagal dan terbabas jugak misinya. T_T

Mad Markets, Hanis Zalikha dan misi-misinya banyak membantu bila keluar bershopping ke mana-mana sekarang ni. Selain kau boleh bayangkan diri kau cun dan hot macam Hanis Zalikha, duit pun boleh save banyak. Macam aku dengan si gigi besi, kitorang dah setkan apa nak cari dan beli sejak dari rumah lagi. Bila dah sampai destinasi, terus tuju kat tempat tu. Jadi hujung minggu yang baru lepas ni dapatlah beli kasut bertutup Fabiano Ricco warna merah di Tesco, bag sandang belakang warna pink, bra dan pentis brand Scarlet di Jusco, dan sehelai tudung tak berjenama di Kip Mart. Semuanya dalam budget yang tak sampai pun RM200. 

Sekian saja rancangan Pasar Gila bersama saya Hanis Zalikha kali ini, jumpa lagi dalam rancangan akan datang!! Bluwekk! Penduduk kampung pun muntah secara berjemaah.

Mission accomplished!

Friday, November 2, 2012

Dari mama kepada mama

Bila dah dapat tittle emak, secara automatiknya separuh daripada masa yang biasanya kita peruntukkan untuk diri kita sebelum kahwin atau sebelum ada anak, adalah: terpaksa dikorbankan.
Contohnya sebelum ada anak, kalau mandi paling kurang pun ambik masa dalam 15 minit. Tu baru buat benda-benda yang basic je dalam tu. Belum lagi mandi lulur, pakai conditioner rambut, sental itu, sental ini, shave itu, shave ini. Ataupun lepas mandi, minimum masa yang kita pakai untuk bersiap pun mesti dalam 10-15 minit. Tu belum lagi kalau bersiap nak keluar ke mana-mana. Dah tentu-tentu setengah jam tu paling cepatlah kalau bersiap.

Tapi once kau dah dapat anak, lagi-lagi kalau anak masih baby, semua akan berubah secara total dan drastik. Mandi 5 minit pun dah boleh siap. Dah siap mandi, sarung semua benda tepek bedak sikat lebih kurang, kejap je dah tercegat siap nak teruskan aktiviti lain. Tapi kalau bab bersiap nak keluar rumah akan ambik masa yang lebih lama banding dengan sebelum ada anak dulu. Sebabnya, lepas kelentung-kelentang siapkan diri sendiri sampai pakai eyeliner (kalau sempatlah) pun senget sebelah, kau terpaksa siapkan anak pulak. Dengan persediaan diapersnya, susunya, baju sparenya, puting, stokin, topinya, tu semua nak kena sumbat dalam bag yang saiznya boleh masuk setandan pisang. Dulu-dulu kau ada terfikir nak bawak bag besar gedabak macam tu ke hulu ke hilir?

Dulu masa belum banyak pengalaman jadi mak, aku selalu lambat makan sebab utamakan nak suap anak makan dulu. Tapi arwah nenek aku bising. Dia kata, jaga makan minum kita dulu, jaga kesihatan diri kita dulu. Sebab kalau kita dah sakit, siapa yang nak jaga anak-anak kita? Dulu aku all out untuk anak, sampai diri tak terjaga macam mak orang beranak 8. Aku rasa kalau dalam sehari tu ada 25 jam pun tak cukup untuk uruskan semua benda lagi-lagi untuk anak. Tapi akhirnya baru aku sedar, semua benda kat rumah tu bertonggakkan pada kita- sebagai mak. Kalau maknya sakit, tak sihat, tak mampu nak uruskan semua benda, secara automatik semuanya jadi tunggang langgang. Pastu kalau maknya manjang selekeh macam mak lampir sakit gigi, dengan baju gedobos rambut kepam, kompom laki kau pergi carik bakal mak tiri untuk anak-anak kau.

Moral ceramah aku pada hari Jemaat nan mulia ni, walau sesibuk mana pun kita sebagai mak (tak kiralah suri rumah sepenuh masa atau mak berkerjaya), mesti ada masa yang kita sparekan untuk diri sendiri. Sebab kita terlalu sayangkan anak-anak, jagalah dulu diri kita dan kesihatan kita sebaiknya sebab diorang bergantung  pada kita. Sesekali belilah apa yang kita nak untuk diri kita sendiri. Bergaya! Jangan selekeh macam mak cencurut kena demam kepialu. Jangan takut untuk pakai apa yang tengah in selagi tak melampau dan masih sesuai dengan status dan umur kita. Jangan umur baru akhir 20-an atau awal 30-an, kau dah nampak macam makcik 50-an yang dah dekat monopos.  

Be alert, mommies!


Thursday, November 1, 2012

Evolusi ugly duckling

Kondisi kulit muka aku di tika dan saat ini adalah sangat buruks, selekeh, berminyak dan aku rasa sangat lack of confidence okeh. Hal ini adalah disebabkan (puiii) aku stop pakai satu produk tu (tak payahlah sebut nama, karang aku kena saman pulak) sebab aku rasa bahan kimianya kuat sangat bila dah lekat kat muka. Bila lupa pakai je, mulalah muka naik jerawat la, merah-merah lah. Jadiknya, daripada aku kena terus bergantung je pada benda tu tapi bila once dah stop muka aku terus jadi hancur bancai maka aku buat keputusan untuk stop je.

Produk tu memang menjadik la kalau setakat nak muka putih melepak macam penyanyi opera cina. Tapi masaelahnya, aku taknak kulit putih melepak. Aku nak kulit yang bersih dari cela, dah cukup. Ingat senang ke nak jaga kulit yang putih melepak? Ada cela sikit je 8 batu jauh kau dah nampak. Dulu aku pakai pun just nak hilangkan jeragat-jeragat ringan yang ada kat pipi. Jeragat ringanlah aku panggil, macam freckles mat saleh tu, sebab taklah penuh satu muka atau dah sampai masuk tahap jeragat kronik yang hitam penuh pipi  macam makcik-makcik goreng pisang tu. Memang menjadik jugak, jeragat makin pudar dan kulit jadi putih walaupun tak sampai tahap flawless macam kulit baby la. Mungkin sebab aku baru pakai 2 set kot? Agaknya kena pakai makan tahun baru boleh flawless gamaknya ye? Tapi tak sangguplah aku nak ambik risiko.

Dekat sebulan aku stop pakai produk tu, makin lama makin banyak jerawat timbul. Padahal sebelum ni kulit aku bukanlah jenis berjerawat sangat. Setakat seketul dua tu biasalah. Ni dah sampai tahap dahi aku yang licin (lahh sangat!) dan jarang tumbuh jerawat pun dah menggerutu macam badan katak puru. Dah tu kat pipi pun dah start keluar jenis jerawat yang besar-besar kaler merah tu. Tu yang buat aku ketar lutut.  Aku try lah survey set yang elok untuk kulit. Lastly, aku ambik keputusan untuk try produk Aura Maya sebab tengok ramai kawan-kawan pakai dan muka diorang licin-licin belaka. Ke memang dah keturunan cantik putih mulus maka pakai apapun tetap nampak cantik? Ahh. Lantaklah. Yang penting siapa nak jadi buruk kan?

Aku baru start pakai semalam. Pantang larang produk ni, tak boleh pakai kosmetik, compact powder ke, bedak tabur ke, toner, semua-semua tulah selama lebih kurang 14 hari. Aduss. Muka aku kalau jenis putih bersih je dan tak nampak macam makcik-cleaner-tengah-berpeluh-peluh-lepas-cuci-toilet kalau tak pakai bedak takpe jugak. Tapi nak cantik punya pasal maka aku pun akur lah. Punyalah selekeh pergi opis dengan muka berminyak macam apa, dipadankan pulak dengan baju kurung oversize zaman tok kaduk punya, dah sah-sah kalau geng badut sarkas ternampak aku, mesti diorang tarik aku join group diorang. Bukan nak join dorang melawak tapi nak jadik tukang jaga wardrobe dorang merangkap tukang bancuh air. T_T

Takpelah. Aku ugly duckling je hari ni. Nanti besok-besok aku dah jadik Demi Lavato paling kokak pun Lisa Surihani, haa time tulah baru aku nak membongkak. Huahuahua..

Puiii lah. Kata korang, kan?

erkk?

Wednesday, October 31, 2012

Misteri kedai no 6

Korang percaya tak dengan perkara-perkara yang melibatkan sihir, guna-guna, ilmu hitam dan apa jugaklah yang sewaktu dengannya? Kalau nak difikirkan atas dasar logik atau pendekatan saintifik, memang susah nak percaya. Tapi benda-benda ni sememangnya wujud sebab dalam kitab suci Al-quran pun memang ada sebut tentang ni. Bangsa dari negara lain dan yang menganut agama lain pun memang ada amalkan ilmu-ilmu salah macam ni. Voodoo contohnya. 

Biasanya ilmu-ilmu macam ni digunakan untuk menjatuhkan orang atas sebab dengki yang melampau, nak balas dendam, nak rosakkan hubungan suami isteri atau yang lebih teruk sampai tahap membunuh. Aku tak berapa arif nak cerita panjang tentang ni. Tapi aku ada sikit pengalaman berkaitan dengan ilmu sihir dan guna-guna ni. Tak seram sangat, jadi sesiapa yang dah rancang nak serkup kepala dengan badan pakai guni bawang tu, lupakan je hasrat tu.

Dulu, lebih kurang 15 tahun lepas, family aku bukak perniagaan kedai runcit kat bangunan rumah kedai 2 tingkat ni. Sambil berniaga kedai runcit, mak aku bukak kedai jahit sekali. Masa tu bisnes memang bagus. Kedai runcit laku, tempahan mak aku pun banyak. Ada la dalam 6,7 tahun bisnes family aku berjalan lancar, sampai mak aku bukak sepintu lagi kedai. Jadi ada 2 pintu kedai. 

Bila kita senang sikit macam tu, mulalah banyak orang dengki, betul tak? Aku pun tak pasti sejak bila, tapi yang pastinya makin lama perniagaan atas nama mak aku tu mula merosot sikit. Mula-mula tak ketara sangat tapi memang rasalah pendapatan makin kurang. Sampai satu hari tu, pekerja yang jaga kedai tu jumpa something yang diselitkan kat celah-celah barang dalam kedai. Seingat aku, benda tu macam sesuatu yang dibungkus dengan kain putih lepas tu diikat dengan benang 7 warna. Aku tak berapa ingat apa benda yang dibungkus tu sebab dah lama sangat. 

Lepas kejadian tu, kitorang memang dah suspect ada somebody yang dengki dan buat benda tu. Tapi ingatkan dah takde lagi. Rupanya tak lama lepas tu, kitorang jumpa kain kuning pulak yang diikat dan digantung kat belakang peti sejuk besar kat kedai.  Seterusnya yang agak seram sikit, ada kain pembalut batu nisan yang diikat pada pintu grill kedai. Kitorang pasti tu pembalut batu nisan sebab kat kain tu masih berbekas bentuk batu nisan yang dah berlumut-lumut. Yang agak selebet adalah taik kering yang diletak kat belakang pintu masuk kedai. Euwww tak? Bukan tu je, ada jugak tanah yang ditabur-taburkan kat kaki lima depan kedai. Biasanya, sebelum tutup kedai, pekerja kedai akan sapu dulu lantai dari dalam kedai sampailah ke kaki lima. Dan yang peliknya, cuma kawasan kaki lima kedai kitorang je yang penuh tanah. Kaki lima kedai sebelah-sebelah semua bersih.

Mak aku pun pergilah jumpa orang yang pandai dalam benda-benda macam ni. Dia kata, memang ada orang yang dengki kat kitorang dan tanah bercampur lumpur dengan tu adalah tanah dari kubur yang dah dijampi serapah ke hape ntah. Tujuannya nak menjatuhkan perniagaan dan buat orang ramai  macam tak nampak kedai tu wujud. Ada juga usaha kitorang nak buang benda-benda tak elok yang orang dah letak kat kedai tu. Tapi nampaknya macam tak berhasil. 

Perniagaan makin merosot dan dari 2 pintu cuma tinggal 1 pintu kedai je. Tu pun macam hidup segan mati tak mau. Pelanggan yang masuk kedai dalam sehari boleh dikira dengan jari. Akhirnya sebab dah tak mampu nak survive mak aku ambil keputusan untuk tutup kedai tu. Sebelah kedai tu sekarang dah jadi kedai Cina dan sepintu lagi dah disewa peniaga  Aceh yang besarkan kedainya jadi 2 pintu. Tapi peniaga Aceh tu selalu mengadu kat kitorang, sejak dia ambil alih bekas kedai mak aku tu, bisnes dia makin merosot. Kitorang sendiri nampak perubahan tu. Pelanggan dia memang berkurang dan kedainya pun macam nampak kelam dan gelap kalau tengok dari luar. 

Aku rasa, 'benda' tak elok tu masih ada dalam tu sebab orang Aceh tu pun ada jugak panggil orang yang pandai untuk tengok-tengokkan kedai tu dan kata orang tu memang ada 'something' yang kuat dan degil dah menetap dalam kedai tu. Dan yang mistiknya, pekerja-pekerja dia yang tidur kat tingkat 2 kedai tu selalu kena kacau waktu tidur malam. Sorang pekerja dia cerita, satu malam tu dia terjaga dari tidur dan masa dia pandang sebelah dia, tiba-tiba macam ada mayat yang dah ditutup dengan kain putin baring sebelah dia. Kitorang tak terkejut sebab masa tinggal kat tingkat 2 dulu pun memang banyak gangguan. Tak payahlah aku cerita kat sini. Bukan semua orang percaya dengan benda-benda macam ni, kan?

Masa aku tulis cerita ni pun, orang Aceh pemilik kedai tu pun dah meninggal 2,3 bulan lepas kat Aceh sana Khabarnya sebab terkena ilmu guna-guna atau sihir. Dah puas berubat kat sini dan hospital pun tak dapat kesan apa penyakitnya, akhirnya arwah balik ke Aceh dan meninggal kat sana. Aku tak katalah dia meninggal sebab benda yang ada dalam kedai tu, sebab dia pun pernah cerita yang memang ada orang dendam dengan dia bersangkut-paut dengan bisnes dia jugak. Dan dia pun tau siapa yang buat. Tapi tu semua kehendak dan kekuasaan Allah. 

Cuma yang nak aku simpulkan, betapa bahayanya sihir dan ilmu hitam yang sangat berat dosanya bagi yang mengamalkan. Sebab pengamal sihir ni bersubahat dengan syaitan dan jin untuk penuhi keinginan diorang. Kita pun janganlah takbur atau cakap besar yang benda-benda ghaib macam ni tak wujud. Susah nak percaya tapi once dah kena kat kita, baru kita tau tak ada yang mustahil kalau Allah yang berkehendak. Wallahualam..

cantiknye tangan pompuan tu..

Tuesday, October 30, 2012

Miss kutu

Dua tiga minggu lepas, masa aku tengah sikatkan rambut Alysaa sebelum ke sekolah, aku terperasan ada sekor makhluk parasit kecik tengah lepak-lepak kat celah rambut dia. Terjerit macam bapak lembu aku!
Pengumuman untuk penduduk kampung! Alysaa ada kutu okeh. K.U.T.U!
Menggelepar aku kelebek celah-celah rambut dia tengok-tengok sejauh mana perkembangan pembiakan parasit huduh tu atas kepala si Alysaa. Sekali tengok, ada la dalam 7,8 bijik telur kutu aku jumpa yang kebanyakannya belum menetas lagi. Meremang bulu kaki aku.
Disebabkan tak cukup masa nak menjelajah lagi sebab waktu sekolah dah nak start, maka aku tangguhkan dulu sesi ekspedisi mencari kutu. Sempat jugak check kepala kembar dia, si Alyaa. Nasib baik tak ada.

Sepanjang hari kat opis aku tak senang duduk. Asyik teringat kepala si Alysaa.
Malam karang memang aku dah plan nak banteras habis-habisan menatang buruk tu.
Petang tu bila Alysaa balik je dari sekolah, terus aku kerjakan kepala Alysaa dengan rakus. Dah takde jumpa kutu, tapi banyak telur kutu. Ada yang belum menetas dan ada yang dah kosong.
Oh myyy! Dah berapa ekor kutu buat penempatan berselerak atas kepala budak ni? Habis je sesi membasmi telur kutu, aku shampookan kepala dia 2,3 kali. Lepas makan malam, aku sambung balik misi memburu. Sambil tu tanya-tanya kat dia.

"Kawan Lysaa kat sekolah ada kutu ke?"
"Ada. Nama dia Maizatul. Dia baanyak sangat kutu. Kawan-kawan panggil dia kutu."
"Kenapa dekat-dekat dengan dia? Kutu boleh jangkit tau."
"Dia kawan baik Lysaa. Habis tu ma, lepas ni tak boleh kawan dengan dia lagi ke?"

Aku diam kejap.

"Kawan tu boleh. Tapi jangan dekat-dekatkan kepala dengan dia. Nanti kutu pindah kepala Lysaa."

Hoh. Relevan ke jawapan aku? Dekat-dekatkan kepala? Apakah?
Masalahnya, si Alysaa dan Alyaa memang tak bertudung ke sekolah. Budak yang jadi vektor jangkitan kutu tu pun tak bertudung. Mak budak tu pun, tak perasan ke anak dia banyak kutu? Takkan biar je takde buat tindakan susulan?

Jangkitan kutu ni biasa kot kalau kat sekolah dan nurseri. Lagi-lagi kalau budak perempuan berambut panjang. Masa aku kecik-kecik dulu pun pernah jadi gudang kutu. Jangkit dari kawan jugak.
Tapi mak aku rajin carikan kutu dan telur kutu kat kepala aku.
Kadang-kadang sehari suntuk aku baring atas paha mak aku sampai tertidur-tidur. Syok jugak kalau orang carikan kutu kat kepala.

Dulu doktor dan misi selalu buat lawatan ke sekolah, tanya budak-budak yang ada kutu. Siapa ada kutu, dapat ubat air yang kena lumur kat kepala tu. Pernah jugak aku dapat.
Tapi takkan aku nak biar anak aku berkutu jugakkan? Nanti orang kata mak dia pengotor, tak tau jaga kepala anak sampai berkutu. Padahal punya aku jaga rambut diorang. Bersih berkilat halus lembut tinggal tak kena panggil buat iklan shampoo je lagi. Walhal, siapa je pun boleh terjangkit kutu ni. Cuma rambut kotor adalah bonus untuk kutu beranak-pinak dengan lebih gigih lagi atas kepala kau. Kalau kepala bersih, kutu pun tak senang nak duduk lama-lama.

Sebab tu aku risau dan tak senang duduk bila kepala Alysaa berkutu.
Jadinya, setiap hari aku check kepala dia, nak pastikan yang kutu dan telur kutu dia betul-betul dah takde lagi. Dengan rambut-rambut si Rayyan sekali aku kirai-kiraikan takut ada jugak kutu menetap kat situ. Nasib baik rambut dia kontot. Kesian Alysaa sebab kembar dia Alyaa selalu tak nak duduk atau baring dekat-dekat dengan dia, takut terjangkit kutu.

Dah. Takyah bising-bising. Rambut Alysaa dah suci bersih dari kutu. Taktaulah bila lagi nak kena balik jangkitan kutu. Tunggu je lah. Risiko tetap ada selagi korang masih budak sekolah.


Update: Eh, sekali aku google dapat tau satu fakta baru: Kutu rambut sebenarnya lebih suka hidup di kulit kepala yang bersih daripada yang kotor. Ye ke?

kitar hidup kutu. terus kepala aku gatal.


Monday, October 29, 2012

Anda buat, anda dapat!

Aku jarang mencarut. Atau memaki.
Ada jugak, bila dah terlampau marah.
Atau kadang-kadang bila termelatah tanpa sengaja.

Tapi kalau nak dengar aku memaki hamun dan mencarut-carut  tanpa kawalan dan hadlaju, adalah bila aku tengah memandu seorang diri.
Siapa nak tersenyum manis dengan muka penuh keimanan kalau tetiba ada kereta atau motor muncul dari simpang dengan had kelajuan highway?
Atau tiba-tiba membelok masuk simpang tak bagi signal?
Atau ikut bontot kereta aku gila bapak punya dekat, sambil bagi high beam suruh aku ketepi mungkin sebab dia tak tahan nak berak, tapi time tu kat lane belah kiri aku ada lori balak atau treler 20 tayar.
Memang berbakul-bakullah kau dapat sumpah seranah aku. Percuma tanpa downpayment.

Kalau dalam sehari aku jumpa 10 kes macam tu, memang kompom tak cukup buku amal jahat aku nak diisi.
Tak kisahlah walaupun time tu aku tengah berbaju kurung atau berpurdah sekalipun.
Kau tetap dapat jugak bahagian kau.
Sayangnya, aku jugak yang jadi wakil kau untuk dengar carutan, makian dan kejian tu.
Keluar dari mulut sendiri, masuk ke telinga sendiri.
Hahaha. Bangang.

Ahh. Yang penting aku puas hati.

Wednesday, October 24, 2012

Alyaa & Alysaa the magician

Aku cukup yakin yang aku masukkan si kembar Alyaa dan Alysaa tu ke sekolah agama kerajaan sebelah paginya dan sekolah harian biasa belah petangnya. Bukannya sekolah sihir Hogwarts macam dalam filem Harry Potter tu.
Tapi apasal pulak diorang boleh pandai buat magic-magic eh?
Musykil betul aku.

Mana diorang dapat kemahiran buat magic-magic ni pun aku belum dapat kepastian yang sahih lagi.
Korang bayangkan eh, pagi-pagi pergi sekolah lengkap pakai tudung baju kain semua. Nanti balik sekolah, tiba-tiba anak tudung dah hilang. Ataupun sebelah stokin ghaib. Paling kronik tudung sekolah tiba-tiba bertukar bentuk dan saiz.
Penjelasan yang aku dapat, anak tudung adalah hilang secara tiba-tiba di atas kepala. Apakah?
Stokin pulak menghaibkan diri tanpa dapat dikesan lagi.
Tudung sekolah bertukar bentuk dan saiz tanpa sebarang penjelasan yang konkrit. 
Ni kes tertukar tudung sekolah dengan kawan la ni masa ambil wudhuk kat surau sekolah.
Kalau tudungnya elok lagi tak apa. Ni dahlah warna dah berubah kaler indigo ke apa ntah, sebab maknya terlebih letak nila, jahitan tudung pun siap dah tetas-tetas sana sini.
Stress haku dibuatnya.

Kadang-kadang ada buku tulis budak darjah 4,5 dalam bag sekolah si Alyaa. Bila aku tanya dari mana, dia jawab buku tu masuk sendiri dalam bag.
Kau rasa nak bagi pelukan hangat ke penampar Jepun kat budak kecik tu?
Kalau kes pensel, pemadam, pembaris hilang berdozen-dozen dalam tempoh sebulan tu jangan cakaplah. Aku rasa dah lekuk lantai kedai jual alatulis tu sebab aku asyik ulang-alik belikan stok alatulis baru kat diorang. Ataupun tiba-tiba ada alatulis pesen baru yang aku tak pernah nampak dan rasa macam tak pernah belikan dalam pencil case diorang. Haa, tu memang aku mengamuk. Memang aku ugut nak potong tangan diorang kalau besok-besok aku nampak lagi benda-benda lain macam dalam bag atau pencil case diorang.
Tapi alasan diorang, si Syahirah bagi la. Si Hajar belikan lah.
Cuma sejak aku mengamuk besar-besaran hari tu, siap pukul tapak tangan diorang sampai merah (tu je la pun yang aku sanggup), aku dah tak nampaklah apa-apa benda pelik selain barang diorang sendiri yang makin hari makin kurang dalam pencil case memasing. Hari-hari ada je yang hilang.
Korang ingat aku dengan papa korang kerja cop duit? Belanja kat kedai cuma bayar dengan cabut bulu ketiak je?

Aku tak dapat bayang kalau tiba-tiba balik sekolah, kasut sekolah pun hilang.
Ataupun bag sekolah ghaib dengan isi-isinya sekali.
Harus aku pasang sistem penggera kecurian kat semua barang sekolah diorang dari pensel sampai ke kasut nanti.
Adoii!

Tu si kembar dengan botol air besar, berat je dah cecah sekilo.


Tuesday, October 23, 2012

Kisah ibu naga dan anak-anaknya

Mak aku kata, aku ni garang sangat mendidik anak. Tapi bagi aku, tu bukan garang. Cuma tegas.
Bukanlah tiap masa aku tegas pun. Tengok pada situasi jugak.
Untuk seorang yang kepala angin dan panas baran macam aku ni, tindakan kau memegunkan diri macam Statue of Liberty waktu aku dengan lemah lembut suruh jemur towel basah yang berlonggok atas tilam adalah umpama menempah maut.
Suara aku kalau dah transform jadi naga memang buat taik telinga kau bergegar.
Langkau 2,3 rumah pun boleh dengar.
Kalau setakat 2,3 kali aku suruh kau masih tak bergerak, suara aku masih boleh dikawal la pitchingnya walaupun ada sikit-sikit gegar kat mana-mana note.
Dah masuk kali ke 4 masih takde tindak balak refleks, jawabnya dengan towel-towel kau sekali boleh melayang.

Lagi satu, aku dah sedar diri kenapa aku tak ditakdirkan jadi cikgu, ngajar budak-budak.
Aku ngajar anak buat kerja sekolah je dah macam orang kurang siuman. Macam mak naga kena sawan lepas beranak. Siap keluar-keluar api dari lubang hidung dengan telinga.
Entah apa yang aku emo sangat entah. Macamlah aku dulu naik-naik sekolah terus pandai tak payah diajar.
Mak aku cakap, "mak dulu tak pernah tengking-tengking korang kalau mengajar buat kerja sekolah. Takkanlah kau nak harap budak tu terus pandai macam kau sekarang".
Betullah ek. Nak bandingkan tahap pemikiran budak darjah 1 dengan pemikiran diri sendiri. Umpama manusia berotak udang betul aku ni.

Tapi ada baiknya juga sistem sawan mak naga aku tu.
Sebab si kembar tu jenis yang naik lemak kalau kita ni baik dan berlembut sangat.
Ada jugaklah sesekali aku nak try ubah sikit sistem pemerintahan diktator berkuku besi tu dengan berubah jadi stok-stok ustazah yang cakap lembut-lembut macam jeli.
Puihhh. Makin diorang berlengkar-lengkar terbaring atas sofa sambil buat homework dalam gaya kuak lentang acara bebas. Siap order-order air Milo dengan sirap sejuk lagi. Hape lagi. Aku pun tekan punat jam tangan dan berubah jadik Power Rangers kaler hitam.
Kemain naik lemak, babat-babat bagai kan.
Yang tak menahannya tu, kalau diorang tengah buat kerja sekolah kemain mengantuk mintak ampun.
Sangap selang 5 saat. Masa tulah mulut bising, merengek-rengek nak tidurlah, nak sambung buat besoklah. Tapi bila dah tutup buku, segar bugar terbuntang mata melekat kat tv.

Satu kelebihan aku selain dari jadi manusia mutant macam kat atas tu, aku ni jenis yang tak sampai hati nak pukul anak. Paling kuat aku pukul pun, tepuk bontot dia pakai tapak tangan.
Aku takde rotan untuk buat pukul anak kat rumah. Ataupun capai hanger bila marah berapi-api kepala.
Takde okeh. Kalaupun diorang buat pe'el-pe'el mintak terajang, paling sadis aku buat pun cuma cubit peha atau lengan sampai merah. Itu je. Oh, ada la sekali aku tertunjal kepala si Alysaa. Ya Allah, menyesalnya aku macam nak bunuh diri. Terus aku peluk,cium dia kuat-kuat dan janji takkan buat lagi lepas ni.

Sebab aku dah rasa macam mana seksa dan sakitnya dari pukul 2 pagi sampai 8 malam besoknya nak beranakkan diorang. Separuh nyawa aku meneran sampai dah takde daya langsung, lepas tu boleh pulak si kembar tu tersangkut tak boleh keluar, dan-dan tu jugak aku kena tolak masuk operation theatre untuk caesarean dan bius satu badan tak sedar hapa sebelum bangun besok paginya dengan sakit yang teramat sangat. Pehhhhhh! Ngilu kalau ingat balik weh.

Tu baru si kembar. Belum si Rayyan yang dah lemas dalam perut sebab air ketuban aku dah kering, dan doc cakap aku terpaksa caesar sekali lagi sebab tak nak ambil risiko keluarkan bayi tak bernyawa dari perut aku. Dah dekat-dekat nak bersalin aku boleh pulak kena darah tinggi, membawak sampai ke lepas bersalin dengan kaki bengkak dan luka bekas potong kat perut tu membengkak sebab infection. Hawauuu tak?

Dua kali aku caesar nak keluarkan anak.
Dua kali aku menderita macam apa lepas bersalin dengan kulit perut kena gunting jahit semua.
Dua kali aku bergadai nyawa nak pastikan diorang selamat keluar dari perut aku.
Dan sebab tu jugak aku tak sanggup nak tinggalkan bekas birat rotan dan bekas hanger kat badan anak-anak aku.
Walaupun aku selalu membebel dan marah-marah bila diorang dah start buat perangai, aku tetap tak rela kalau ada orang lain nak marah anak aku lagi kaw-kaw dari aku apa lagi nak pukul jentik anak aku walhal aku sendiri tak sanggup nak buat walaupun bapak diorang sendiri sekalipun!

Sayangnya aku pada anak-anak tak boleh aku nilaikan dengan nombor dan aksara.
Terlalu besar sampai sanggup tukar nyawa sekalipun kalau terpaksa.

Aku harap dah besar dan dah berjaya nanti, dan umur aku masih panjang, diorang takkan letak aku kat mana-mana pusat jagaan orang tua. Amin.

gambar lama waktu Rayyan masih baby.



gambar raya 2010.


si kembar raya 2011.

rayyan raya 2011.

raya 2012.

rayyan dan mama.

Monday, October 22, 2012

Kisah 2 dalam 1

Kisah 1
Dah 2 minggu laptop HP aku rosak. Skrinnya penuh ngan line putih bergaris-garis.
Disebabkan sistem UBS Payroll untuk kira gaji pekerja kompeni tempat aku kerja ada dalam tu, maka terpaksalah aku tangguhkan dulu hantar ke kedai untuk repair.
Kebetulan pulak waktu skrin rosak tu betul-betul time nak kira gaji orang. Terpaksalah terjegil-jegil, tersepet-sepet mata, terteleng-teleng kepala ngadap skrin bangang tu. Masih boleh nampak la walaupun blur macam pandangan mata orang rabun kronik.
Rancang dah siap kira gaji orang baru nak hantar repair.

Maka, semalam aku dan Encik Papa pun berkelanalah ke kedai-kedai repair komputer.
Kedai pertama yang aku pergi, kedai Melayu, bagitau yang skrinnya rosak. Aku ingat pasal kena virus. Kos untuk repair adalah RM550. Terbegik aku dengar. Alasan sebab skrin aku besar. 15.6 ".
Untuk seorang yang kedekut taik idung masin macam aku, ingat senang-senang ke nak serah RM550 kat orang macam tu?
Kalau nak suruh aku tawaf satu JB untuk carik kedai paling murah pun aku sanggup tau. Harga macam tak tercapai akalku, okeh?

Then, ke Tesco pulak. Kedai cina. Tanya itu ini, dia kata harga RM380. Nampak, jauh kan beza? Hmm, boleh lah. Daripada yang tadi kan? Beza seratus lebih, boleh buat makan KFC berkali-kali. Ceh!
Pengajaran: silalah rajinkan kaki untuk berjalan survey harga. Untuk golongan yang tiap bulan main cop-cop duit je dan jenis tak kisah nak keluar-keluar duit walaupun pada harga yang tak masuk akal, tak payahlah nak join stok-stok kedekut dan berkira macam aku ni, okeh.

Kisah 2
Hero kecik aku si Rayyan tu asal celik mata je, tanya laptop. Kalau dah ngadap laptop main game, memang tak banyak bunyi la.
Eh. Sejak bila pulak dia ada share dengan aku nak pakai laptop ni kan? Kadang-kadang dia je yang conquer sampai ke malam. Orang lain tak boleh sentuh. Tak boleh jadi nih!

Cuma sejak laptop aku berproblem hari tu, baru dia bersara sekejap dalam bidang ni. Tu pun sebab aku sungguh-sungguh bagitau yang laptop tu rosak. Tak boleh on. Kalau on nanti tebaboo! Meletup.
Tapi disebabkan dia ikut kecerdasan dan kepintaran otak belah aku, maka dia bukan senang-senang nak ditipu ok. Lainlah kalau dia ikut belah-belah bapak dia. Kehkeh.

Jadi kitorang terpaksalah cari solusi lain. Kebetulan Tesco ada buat promosi tablet pc murah. Brand AndroPad. Harga RM299. Pakai OS Android 4.0. Skrin 7". Harga yang sangat-sangat relevan untuk orang yang pergi mana-mana pun mesti bawak kalkulator.

Setakat untuk si Rayyan buat main game Angry Bird, Fruit Ninja, Plant vs Zombies, boleh download-download game, boleh wi-fi, boleh bagi makpaknya celah-celah bukak Facebook, Twitter, boleh buat rebut-rebut dengan si kembar, boleh baling-baling, hempas bila dah boring, ketuk-ketuk kepala bila bergaduh adik-beradik, boleh sangatlah tu kan? Murah pun murah. Function pun ok.
Apa ingat aku sanggup nak keluar duit banyak-banyak untuk yang mahal-mahal setakat untuk tengok diorang hempas-hempas benda tu atas lantai bila dah boring?
Karang aku pulak yang hempas kepala kat dinding secara sukarela.

Maka secara rasminya, si Rayyan pun memiliki tablet pc peribadinya sekarang.
Semalam aku trylah nak carikan cover untuk Rayyanpad (nak panggil ipad/i-tab takut kena saman), kengkononlah boleh budget-budget ala-ala Samsung Galaxy Tab kan kalau ada cover.
Kedai pertama yang aku pergi takde masalah. Ati Cina tu siap try pasangkan Rayyanpad tu dalam cover untuk i-tab Samsung Galaxy punya. Boleh. Ngam-ngam masuk.
Tapi aku ingat nak carik harga yang lagi murah. Maklumlah, al kedekut ibni al bakhil. Jadinya, tak jadi ambik. Try carik kedai lain.
Sekali pergi kedai lain, bila aku tunjuk je Rayyanpad, terus diorang macam taknak layan. Mentang-mentanglah bukan yang mahal kan? Cilakak.
Diorang kata, "Ooh, ini bukan Samsung punya maa. Samsung punya cover tak boleh masuk brand biasa macam ini" . Encik Papa cakaplah, "boleh masuklah. Cuba you try dulu". Tapi dia taknak jugak.
Macamlah Rayyanpad tu bawak virus sopak ke, tibi ke. Takut sangat. Aku bukan nak free, nak bagi kau duit, budusss!
Dahlah harga kemain mahal. Pergi 2,3 kedai lain pun sama.Harga berganda-ganda mahal dari kedai yang first tadi. Pastu bila tau je bukan Samsung Galaxy, semua buat muka ala-ala Bill Gates.
Apa, kau ingat aku tak mampu nak beli Samsung Galaxy Tab? Silap-silap dengan nenek-nenek kau sekali aku sedekahkan nanti.

Ciskek betul!

Friday, October 19, 2012

Overprotected

Aku tengah ingat-ingat ni, masa aku kecik-kecik dulu sampai menginjak alam remaja, ada tak mak bapak aku overprotected sangat kat aku ek?
Seingat-ingat aku, diorang overprotected dalam sesetengah hal. Tak semualah. Taklah dikongkong sangat.
Masih boleh keluar dengan kawan-kawan kalau hujung minggu dengan syarat tak balik lewat.
Benda yang buatkan diorang jadi overprotected kalau dah masuk bab -sekolah pun belum habis tapi dah merenyam nak berpakwe-.
Memang kena sekeh la kepala masing-masing kalau terkantoi ada balak.

Bapak aku memang kejam kalau masuk bab-bab macam tu. Mungkin sebab anak-anak dia semua perempuan. Bukan senang nak jaga anak perempuan, kan?
Aku ingat lagi, Ira, adik aku yang nombor dua kena seret dari depan rumah sampai langkau rumah jiran sebelah sebab terkantoi keluar berendut dengan budak Sabah kalau tak silap. Adik aku baru darjah 5 ke 6 masa tu, hokeh?
Apa kebiol kau belum habis sekolah rendah pun dah menggeletis keluar dengan jantan? Budus betul adik aku masa tu. Dahlah tak pandai nak kaber line. Hambekk ko.

Tapi dalam pada over2protected  tu, sempat jugak kitorang menggatal berpakwe-pakwe bagai. Cuma kaedahnya secara konvensional dan tradisional la. Komunikasi pakai surat-surat hape. Kalau jumpa pun takde buat apa. Duduk bercakap jauh-jauh dan mesti ada teman. Baik gila kan?
Yelah, masa tu mana ada handphone la, facebook la. Tak sempat pun terfikir nak lari dari rumah. Gila kau. Agaknya baru terlintas dalam kepala, ada batu blok pulak singgah kat tengkuk karang. Nak lari pun, nak ke mana? Siapa nak bagi makan nanti? Lainlah sekarang, gadjet canggih-canggih. Siap pasang GPS kalau nak lari ke Lombok sekalipun.

Bila aku dah dapat kembar perempuan aku tu, aku tak tau nak overprotected ke tak dengan diorang.
Kemungkinan besar aku akan turut mewarisi ciri-ciri overprotected mak bapak aku dulu.
Cabaran menjaga, mendidik dan membesarkan anak perempuan lebih tinggi zaman sekarang berbanding era kanak-kanak dan remaja aku dulu.
Diorang lebih banyak terdedah pada anasir-anasir luar yang lebih ganas. Teknologi yang makin canggih buat kepala otak diorang lebih kreatif nak buat benda tak elok. (Fuh, ayat dewan parlimen)
Aku takut wehh. Lantaklah orang nak kata aku kuno ke, jahiliah ke, manusia zaman batu ke. Yang penting, aku nak protect anak-anak aku sebaik yang boleh.

Cuma yang kesiannya, diorang tak bebas nak buat apa yang kita pernah buat dulu-dulu masa kecik.
Contohnya aku sangat ragu, boleh ke diorang pergi dan balik sekolah naik basikal macam aku dulu-dulu?
Atau boleh ke lepaskan diorang berjalan keliling sana-sini masa raya? Atau boleh ke diorang pergi dan balik ke rumah dengan selamat bila disuruh pergi beli telur dan maggi kat kedai runcit berdekatan?
Mungkin tidak ye. Dunia dah makin bahaya untuk budak-budak. Tak macam dulu-dulu.
Dulu-dulu tak banyak sangat kenderaan dan penculik tak berkeliaran.
Jadi tak salah kan kalau aku jadi overprotected?

Dah ada anak baru tau apa yang mak bapak kita rasa dulu-dulu.
Tapi cabarannya lebih besarrrr kali ni. T_T
Nak tak nak terpaksalah anak-anak berteman dengan tv, komputer, ps, ipad dan handphone kat rumah.


Thursday, October 18, 2012

Anak emak

Entah semangat apa merasuk, spirit nak menulis kemain menggebu-gebu.
Hari ni aku nak membebel pasal anak emak. Anak emak ni biasa kita kaitkan dengan lelaki kan?
Dulu aku dah buat tekad lah kununnya, kalau dapat anak lelaki memang tak nak manjakan sangat. Sebab tak nak dia jadi anak emak.
Susah kalau dah jadi anak emak ni. Nanti dah besar tak pandai nak berdikari. Nak buat apa-apa, semua nak harap emak. Sebab dah biasa dari kecik semua mak yang uruskan, kan?
Yang paling kesian nanti, bini dialah. Kalau dah laki tak pandai nak buat apa-apa, dah tentu-tentulah si bini yang kena struggle handle semua benda. Kalau bini bekerja, lagilah double trouble. Penat berganda-ganda.
Habis waktu kerja, rush balik rumah, nak handle rumahtangga pulak. Dah kalau lakinya anak emak, jangan haraplah nak ringan tangan nak tolong apa-apa yang patut. Sebab mindsetnya yang dah disetkan sejak kecik, kerja-kerja rumah adalah kerja perempuan. Lelaki adalah tak macho kalau buat kerja rumah, hatta angkat piring sebijik ke singki sekalipun!

Kalau dah jadi cenggitu, siapa nak disalahkan weh? Adakah mak bapaknya? Of courselah kan?
Cara hidup kita bila dah dewasa ni banyak dipengaruhi oleh cara bagaimana kita dididik kat rumah oleh mak bapak kita. Kalau dari kecik kita dah ajar anak supaya pandai buat kerja rumah, jangan terlalu mengharap pada orang lain, berdisiplin, maka sampai ke besar dia akan bawa idealogi tu.
Kalau dah dari kecik kita manjakan sangat, sampaikan dah masuk sekolah pun masih nak cebokkan waktu berak, masih nak dimandikan lagi, masih nak dipakaikan baju lepas mandi, siapa yang susah nanti?
Adakah jiran sebelah anda? Tidak ye. Anak tu sendiri yang akan susah nanti.
Bayangkan nak berak kat sekolah, ada karang dia tak cebok lepas qada hajat. Alasan, sebab mama atau papa takde nak cebokkan.

Tanpa berselindung, meh aku nak ngaku. Laki aku adalah anak emak, hokeh.
Mula-mula dulu memang susah nak ubah mindset dia.
Dulu masa baru-baru kawin, ayat-ayat yang keluar dari mulut aku masih berlapik-lapiklah kalau nak menegur dia pasal apa-apa pun. Tapi bila dah masuk 2,3 tahun, disebabkan aku ni memang dah dianugerahkan dengan mulut longkang, maka berdengung-dengung jugaklah telinga dia dengar kata-kata hikmat aku.
Hasilnya, dia dah serabut kalau nampak rumah atau bilik bersepah. Atau kain baju tak berlipat, berlonggok-longgok atas sofa. Dah boleh jugak masak sendiri kalau nampak aku sibuk sangat dengan kerja rumah atau dah terbongkang kepenatan depan tv.
Susah tau nak serapkan idealogi baru dalam kepala otak dia.
Yang aku selalu tekankan bila berceramah dengan dia, laki bini sama-sama kerja cari rezeki. Maka, kerja rumah pun mesti direwangkan bersama-sama. Baru adil dan saksama.
Kalau ko tak mampu nak tolong aku buat kerja-kerja rumah walau sikit pun, sila carikan aku pembantu rumah.
Tau punnnn tak mampu.

Ni yang aku pening ni, si Rayyan. Hero aku yang umur 3 tahun lebih. Manjanya bukan main.
Tak boleh nak lekang dari aku.
Kata laki dan mak aku, aku yang manjakan dia sangat. Memang pun. Tapi dia baru 3 tahun kott?
Takkan aku nak suruh dia panjat singki basuh pinggan sendiri? Haruslah aku sedut-sedut pipi dan seluruh badan dia 24 jam sehari. Sebelum sampai masanya nanti dia dah tak nak aku cium pipi dia lagi sebab dia cakap dia dah besar, kan? Ataupun bila misai, bulu kaki dan ketiak dah tumbuh, takkan aku nak timang-timang dan sedut-sedut lagi macam sekarang kan?

Maka, tolonglah. Bagilah aku peluang nak kepit dia puas-puas dulu celah ketiak aku, ye bang!

Kau jangan nak sayang bini lagi banyak dari mama nanti, ye nak!

Wednesday, October 17, 2012

Buang tebiat

Dulu kemain semangat buat kempen 1 bulan 1 buku. Rasanya dalam 5,6 bulan lah kempen tu jalan, last-last kempen bertukar jadi "1 buku berbulan-bulan". Atau lebih tepat lagi, "1 buku berbulan-bulan pun tak habis". Kehkeh. Hangat-hangat taik anjing. Ada 2,3 novel kat rak buku aku yang belum bersentuh langsung. Spirit nak membaca menyimpang ke mana ntah.

Tapi 2,3 malam lepas, entah buang tebiat ke apa, aku pergi kelebek-kelebek novel kat rak buku, kengkononnya spirit nak membaca tu dah datang balik. Pilih punya pilih, last-last aku ambik satu daripada koleksi novel zaman kanak-kanak aku, Cabut Lari karya Enid Blyton dari siri 5 Sekawan (Famous Five),  edisi Bahasa Melayu la. Apakah? Adakah aku dah diberi petunjuk supaya bertaubat nasuha atas segala dosa-dosa sepanjang hidup?

Novel tu masih dalam keadaan baik. Sebab aku ni jenis yang cermat dan jaga barang baik-baik. Tak silap aku, tu novel pertama yang aku dapat dari sekolah tahun 1989 untuk hadiah tempat pertama dalam kelas masa darjah 2. Cuba kira, dah berapa umur novel tu? Siri 5 Sekawan  selain dari siri Nancy Drew dan Hardy Boys ni memang novel feveret aku zaman budak-budak dulu. Hampir semua novel dalam siri ni ada dalam simpanan aku.

Dah ambik novel tu, aku pergi cari port baik untuk lepak. Bentang toto atas lantai dalam bilik dan baca. Feeling dia memang best. Ayat pertama yang aku baca buat aku terbayangkan diri aku sebagai aku kanak-kanak. Tu untuk 5 minit yang pertama la. Minit-minit yang seterusnya menyaksikan aku sebagai aku yang sekarang, dah terbongkang tidur sebab kepenatan dengan liku-liku hidup sepanjang hari. 

Ceh. Memang tak boleh comel balik macam zaman budak-budak.

Rembat kat gugel. Koleksi aku cover lagi canggih sikit dari ni.

 p/s: dulu masa budak-budak, aku ingatkan Enid Blyton ni lelaki. Ghope-ghopenya perempuan weh. Limited edition betul pengetahuan am aku dulu.



Wednesday, October 3, 2012

Kenangan dengan Britney Spears

Puihhh. Tajuk tak boleh pergi. Macam pernah tidur sebantal, makan sepinggan dengan Britney Spears.

Dulu aku gila punya minat dengan Britney Spears. Siapa je kot yang tak minat dengan dia masa tu? Start hit dengan lagu Hit Me Baby One More Time tahun 1999, masa tu aku baru 18 tahun (amboihh, mudanya aku), memang meletup gila lagu tu. Dengan video klip yang sangat cumel dan cute, menari-nari dengan rambut toncet 2, memang menakluk dunia habis. Masa tu dia innocent habis, belum pandai buat benda-benda pelik macam artis senior lain.

Bila dia dah advance sikit, dah buang ke'innocent'an dia, aku masih tetap minat kat dia. Habis nak target aku minat kat siapa? M. Daud Kilau? Dah dia je superstar pompuan yang meletup masa tu. -Eh, aku minat dengan Backstreet Boys jugak masa tu. Tapi aku sekarang cerita pasal Britney Spears ok- Lagu-lagu yang dia bawak semua meletup-letup macam popcorn dalam kuali Happycall tu. Walaupun makin lama kain untuk buat baju dia makin kurang, sebagai rumaja yang mesti ada senarai artis international untuk dipuja, aku masih tetap beli semua album dia, walaupun masa tu pesaing terdekat dia si Christina Aguilera berusaha gigih nak bersaing dengan dia.

Membawak sampai ke kolej, kebetulan pulak Britney masa tu muncul dengan album baru, Oops! I did it again, minat tu masih membara. Sampai hafal lirik-lirik lagu dia walaupun kemain susah nak hafal formula matematik yang cikgu ajar kat sekolah. Berbelit-belit lah lidah kawan ni nak tunjuk cool boleh hafal lagu mat saleh. Takdelah rasa ketinggalan jaman sangat kalau kumpul-kumpul dengan members kan. Rumaja up to date la katakan.

Video klip Britney yang tajuk Oops! I did it again tu, yang dia pakai baju kulit  kaler merah lekat kat badan tu sampai buat sorang kawan lelaki aku tersedak tulang ayam tau. Entah apa-apa. Aku rasa seantero dunia ni, tu lah satu-satunya kes yang pernah dilaporkan. Nasib baik tak kiok. Kalau tak, sia-sia mati sebab video klip orang kafir.

Ada la dalam 3 ke 4 album Britney yang aku beli. Dulu beli kaset je, belum mampu nak beli CD. Tu pun kumpul duit belanja sekolah yang bapak aku bagi. Lepas tu dah takde beli-beli lagi album minah tu. Entah, aku yang makin rasa dah tua ataupun lagu-lagu dia yang dah tak berapa nak best sangat sebagai halwa telinga aku. Nak kata aku dah tua, minah ni sebaya je pun dengan aku. Heh. Seboleh-boleh tak nak ngaku tua.

Sekarang ni pun, kadang-kadang kalau rasa boring ada jugak aku mengular masuk youtube, tengok balik video-video klip lama dia. Bukan Britney punya je, Backstreetboys, Westlife, Christina Aguilera, N'sync. Imbas balik zaman muda-muda. Kalau umur masih panjang, masa aku umur-umur 50,60an dan masih tengok balik video-video klip tu nanti, apalah kata anak cucu aku ek? Eh, masa tu diorang dah jadi artis lagend dah. Sesuai lah kot dengan ke'lagend'an aku masa tu.

Baru-baru ni, Britney terpilih jadi juri tetap dalam rancangan The X-Factor. Wah, bila tengok Britney dalam tu start la teringat zaman dolu-dolu. Zaman aku tampal poster besar gedabak dia dalam bilik, zaman berbuih-buih mulut gigih nak ngafal lagu dia depan radio sampai dah naik berbelit-belit pita kaset tu aku dok rewind forwardkan, zaman nyanyi-nyanyi lagu Britney sama-sama dengan roommate aku si Mai. Beristighfar ustaz-ustazah baca statement aku. Baiklah ko gi ngaji dari buat benda-benda tak berpekdah, kata diorang.

Britney nampak agak tua sikitlah dalam rancangan tu, tapi masih tetap cantik. Budget diri muda belia je kan. Tapi aku masih suka tengok dia. Dan rasanya minat kat dia masih ada berbaki jugaklah. Sebab tu tak boleh missed tengok rancangan tu kat TCS5 tiap Khamis dan Jumaat. Eh, rancangan Tanyalah Ustaz pun aku tak missed jugak tiap pagi sebab mak aku punya feveret tu.

Bagi aku tak salahlah kalau zaman-zaman rumaja kita ada artis feveret kan. Ye lah, setakat minat je bukannya puja sampai menyimpang dari ajaran Islam pun. Dah nama pun rumaja. Cuba tanya mak bapak kita, dulu masing-masing pun ada artis pujaan dorang punya.

Sekianlah kenangan aku dengan Britney Spears yang macamlah pernah duduk serumah. Jangankan serumah, bergambar sama pun tak pernah. Jangankan bergambar sama, bersua muka pun tak pernah. Cuma dia pernah adalah dalam diary hidup aku satu masa dulu. Takkanlah korang tak pernah kannnn?

Britney Spears dalam The X-Factor.

Tuesday, October 2, 2012

Entri pertama di bulan Oktober

Bila baca blog orang yang pemes-pemes dengan entri yang best-best, gila lawak sampai perut menggigil-gigil tahan gelak takut opismate aku mati terkujat dengar suara gelak aku yang gila bapak buruk nak mampos, maka secara automatiknya akan rasa, betapa cikainya dan huduhnya blog aku ni. Blog ke apa ni? Mana dorang dapat idea best-best nak buat ayat haa? Ada menatang ajaib ke dok tepi telinga bagi bisikan ayat-ayat best nak tulis dalam blog? Ciss. Jeles haku.

Ooh. Ko kena ingat, bakat menulis bukan ada pada semua orang. Dah tau bakat tak seberapa,nak jugak buat blog. Puihhh. Dasarr tak sedar diri. Gi junam kepala kat dinding kaca bilik bos ko sambil memakai baju kurung dan tudung pink. *Tibatiba*

Hape ko merepek ni, setannnn?


Tuesday, September 25, 2012

Nostalgia gaun biru tua

Macam baru semalam aku sarung pinafore atau gaun biru tua ke sekolah rendah. Sampai sekolah, main rebut tiang, pijak-pijak kasut (permainan paling sadis di hari Isnin), main getah, teng-teng, batu seremban, ceper, sebelum loceng masuk kelas bunyi. Nanti lepas makan masa rehat, kalau masih ada masa tersisa, sempat lagi sambung main. Paling best bila subjek pendidikan seni dan pendidikan jasmani. Sebab dapat lepas dari rutin mengadap buku teks dan buku latihan. Ataupun bila cikgu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ajak masuk perpustakaan. Berebut baca buku-buku cerita yang baru sampai dengan kawan-kawan.

Saat paling menggerunkan, bila van doktor dan misi dari Jabatan Kesihatan masuk kawasan sekolah membawa sekali bau-bauan ubat yang buat bulu hidung meremang. Kalau tak acara check gigi mesti ada upacara suntikan beramai-ramai. Bermulalah edisi gigil-menggigil dengan kawan-kawan. Yang syoknya bila misi bagi berus gigi dan ubat gigi kecik secara free sebelum duduk beratur kat tepi longkang dan berus gigi secara berjemaah. Tapi paling heaven sampai tak jejak tanah adalah bila lori Milo masuk sekolah. Sayangnya nak habiskan air Milo free -paling sedap seantero dunia- tu walaupun tak sabar nak tebuk dasar cawan kertas tu untuk masukkan benang sebelum jadi 'telefon'. Paling kokak pun buat cawan Milo tu jadi bekas untuk buang habuk-habuk pensel yang dikorek.

Kawan-kawan baik aku di sekolah rendah dulu antaranya Salim, Norizan Ahmad,  Muhaini, Mayzatulnalin (Along), Maizatulniza (Angah), Salmiyati, Siti Hajar, dan Salina. Bila dah masuk darjah 4 dan pinafore biru tua pun dah berganti dengan baju kurung putih berkain biru tua, kelas kami dipecahkan ikut prestasi masing-masing. Maka aku pun dapat ramai kawan baik baru dari kelas lain. Antaranya Hanimarliza, Sazaliza, dan Nora Lyana. Geng baru ni kekal sampai darjah 6 sebab kami sama-sama jurujual kedai buku sekolah merangkap pustakawan dan selalu lepak dalam bilik stor sukan dengan Cikgu Mutalib, Cikgu Azman dan Ustaz Mohsin. 

Kalau ada aktiviti kokurikulum hari Sabtu, lepas balik sekolah aku dan geng selalu lepak kat jeti atas laut. Masa tu rasanya tulah port paling best untuk lepak sambil makan nasi lemak atau mihun dalam plastik kecik yang diikat hujungnya dan kemudian digigit bucunya -sepeket 50 sen beli kat kedai makan Rahmat-, makan dengan diiringi tiupan angin laut Selat Johor yang boleh nampak Pulau Ubin, Singapura dengan jelas sekali sebab cuma berjarak lebih kurang 200-300 meter je dari pesisir pantai kampung kami.  Kedai makan tu masih ada sampai sekarang tapi jeti atas laut tu dah lama roboh. Pantai pun dah tak cantik sebab dah ditambak dengan batu dan pasir sampai pantai pun dah hilang. Hilang sekali dengan nostalgia kami waktu kecik-kecik dulu.


Masa sekolah rendah, aku rajin ikut serta dalam persembahan sekolah macam koir, tiup rekorder, dikir barat dan bacaan puisi. Selain tu, aktif jugak ikut kuiz antara sekolah dalam zon Masai & Pasir Gudang. Masa tu geng-geng 'muka kuiz' yang selalu penuhkan kereta cikgu untuk ke sekolah-sekolah lain selain dari aku adalah si Hani, Amirudin, Fairul, Johan, Sazaliza dan Izwan kalau tak silap. Masa tu kami dapat la jumpa dengan best student fofuler dari sekolah lain yang selalu ikut kuiz. Balik-balik muka yang sama je.

Tapi serius, zaman pakai gaun biru tua dan kain biru tua ni memang antara fasa paling menarik dan manis dalam hidup. Fasa di mana kita tak perlu fikir benda yang berat-berat dalam hidup dan lalui semua apa adanya. Memang belum ada dan tak terfikir langsung pun akan wujud gadjet-gadjet canggih macam budak sekarang, tapi nikmat bermain macam-macam permainan di luar rumah dengan kawan-kawan tak ternilai harganya. Waktu di mana segalanya lebih nikmat dan indah untuk dilalui dan dikenang. Dan simpatiku tumpah untuk anak-anak generasi baru..

Friday, September 21, 2012

Peperangan ketam bangkang

Gila lama tak update entry. Ada aku kesah? Kata kalian, kan?
Aku ketandusan idea sebenarnya. Padahal ramai di luar sana ternanti-nanti entry terbaru dari aku. Haktuihhh!

Bila tiba masa nak update blog, selalu rasa entri yang aku tulis entahapahapa tak bermotip langsung. Tapi bila baca blog orang lain, semua cerita macam best dan bermotip walaupun cuma cerita berapa kali dia masuk toilet sebab sakit perut terlebih makan pelam muda cicah kicap.

Atas kesedaran itu, -iaitu ceritalah apa-apa pun asalkan blog kau ber'update', maka aku putuskan untuk cerita pasal ketam. Ye, ketam. Mari.

2 hari lepas, dua pupu aku hantar sekotak ketam bangkang ke rumah. Sayanglah, aku tak sempat tangkap gambar ketam yang masih hidup tu sebab lepas tu sibuk berperang dengan ketam untuk masak makan malam. Ingat nak masak lemak je, tapi bahan nak masak tak cukup sifat, maka masak sambal black pepper saja. Tu pun tak berapa nak black pepper sangat la. Sebab cuma pakai apa yang ada kat rumah je.

Kronologi kejadian bermula dengan edisi berperang dengan ketam oleh Encik Papa dalam usaha nak bersihkan badan ketam tu. Aku tak ambik pulak rakaman saat-saat genting tu. Kitorang bukannya pandai nak handle ketam-ketam yang serius, sangat ganas tu. Sampai ada satu masa tu, aku duduk cangkung nak tengok ketam-ketam tu secara close up, boleh pulak ketam tu melompat dengan sepit ternganga nak sepit muka aku! Fuh! Berlubang jantung aku sekejap. Aku tak tau pulak ketam tu boleh lompat macam tu sekali. Mesti dia dah aim nak sepit batang hidung aku. Sumpah taknak duduk dekat kurang dari 30 cm dari ketam tu lagi.

Antara peralatan perang yang Encik Papa pakai dalam sesi perang ketam tu adalah 2,3 batang sudip dan senduk besi, penyepit kuih dan pisau pemotong buah yang panjangnya dekat sedepa. Punyalah lama nak tamatkan riwayat sekor ketam. Dengan bisingnya lagi. Terjerit-jerit macam orang bergaduh, lepas tu tergelak-gelak  mengekek-ngekek. Kalau orang dari luar dengar, entahapa yang dorang fikir. Lastly, cabut semua sepit-sepit ketam tu baru lah depa tak mengganas sangat. Aku yakin sangat, kalau dapat kena sepit dengan ketam tu, mau 2,3 jam jugaklah dia bergantung kat tangan taknak lepas. Ngeri weh.

Ketam bangkang ni warna hitam. Kalau kat pasar, harga sangat mahal okeh. Ada yang sampai RM50++ sekilo. Yang 2 pupu aku bagi ni, saiz boleh tahan besar.  Ada la dalam 10 ekor. Sepit dia je nak sama besar dengan lengan si Rayyan. Ganas weh. Sepit dah tercabut pun masih mengganas macam apa. Aku siap berus badan ketam tu dengan berus sabut nak buang daki-daki apa semua. 

Macam nilah lebih kurang rupa ketam tu. -Foto dari gugel.



Ha, yang ni rupa ketam bila aku dah siap belah 2 badan dia.

Masak sambal black pepper edisi  resepi sendiri. 

Makan ketam ni yang tak syoknya, kena concentrate nak kopek kulit ketam sampai kadang nasi tak tersentuh pun. Dahlah kena kopekkan untuk budak-budak kecik ni. Lastly, semua dah kenyang makan baru aku ambik turn makan bahagian aku tanpa gangguan. Rasa dia sangat heaven. Manis, segar and juicy. Lagu-lagi tang sepit dia tu. Lantaklah resepi tak berapa nak black pepper pun. Yang penting boleh dimakan dan kenyang. Burp! Separuh dari ketam tu mak aku masak lemak. Tak tau la berapa cm terangkat dari kusi masa makan tu. Kepada 2 pupu aku tu, kalau rasa-rasa nak beramal jariah lagi, sila-silalah hantar lagi 2,3 kotak ke rumah lagi lepas ni ye. Rajin beno dia berkubang dalam paya nak cari ketam ni.
 
Related Posts with Thumbnails