Showing posts with label Cerita rawak. Show all posts
Showing posts with label Cerita rawak. Show all posts

Tuesday, October 8, 2013

Kejutan indah. (Puiiii!)

Bismillahirrahmanirrahim...

Masya allahhhh. Dah berapa dekad aku tak jenguk blog berlumut ni. Ada blog rupanya aku.
Sementara nur keinsafan masih membuak-buak dalam jiwa ni, aku pun tak lepas peluang untuk bagi sentuhan sikit kat blog terbiar ni. Biar semua tau, aku masih HIDUP ye.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, April 24, 2013

Niyang rapik merepek


Gila lama tak update entri. Walaupun daku sedar takde yang peduli, tapi aku rasa bersalah pulak bila check akaun Nuffnang dan masih ada jugak iklan-iklan yang masih sudi bergentayangan kat blog tinggal ni.

Aku dah lama beno tak mengumpat orang dalam ni. Kalau dulu kemain, ada rasa tak puas hati sikit  mesti nak merempan dalam ni. Maka, orang yang makan cili pun buat-buat muka kelat je masa tu. Lepas tu tak cukup dalam blog, aku sambung buat status pedas kat fesbuk. Macam shilake je masa tu. Tapi dah lama aku insaf. Tu cerita zaman jahiliah, janganlah diungkit lagi, Tipah.  Fesbuk pun dah jarang-jarang bukak. Dah taktau nak buat apa dalam tu.  Kalau masuk pun setakat cecah kaki 4,5 minit lepas tu habiskan masa tengok-tengok novel-novel best dalam kedai buku online feveret aku dalam tu. Dah beli 2,3 novel yang berkenan untuk stok sebulan dua, maka aku pun log out dari fesbuk. Tu je la pun fungsi fesbuk yang  masih relevan untuk aku sekarang.

Aku mula-mula kenal fesbuk taun 2008. Masa tu belum ramai sangat yang ada akaun fesbuk ni. Memula aku join pun atas ajakan kawan lama. Masa tu sibuk dengan Friendster. Adik-adik yang besar-besar je terus kenal fesbuk, mungkin ramai tak tau wujudnya laman social Friendster ni. Friendster macam best masa tu sebab boleh tukar-tukar skin. So, macam-macam background gambo boleh tengok kat akaun member-member. Ikut kreativiti memasing la. Selain tu, ada jugak Myspace. Serius, yang ni not my type. Ni jugaklah satu-satunya laman social yang aku takde akaun. Pesal entah. Aku rasa macam myspace ni macam urban sangat. Tak sesuai dengan jiwa aku. Lepastu ada jugak Hi-5, Tagged dan 2,3 lagi laman social yang tak berapa nak in sangat.  Bila dah melekat dengan fesbuk sebab dapat jumpa ramai kawan-kawan lama aku, maka aku pun tutup akaun Friendster dan semua-semua akaun laman social yang aku ada. La ni, aku dah mula boring pulak dengan fesbuk. Tapi tak berapa nak gemar pulak dengan Twitter. Ada rasa nak bagi aku penampo 5,6 das tak?

Entri ni berkisar pasal apa sebenarnya ni?  Nampak sangat tahap pembekuan otak aku masih di tahap yang agak tinggi.

Monday, March 25, 2013

The exorcism of Emily Rose buat aku tak boleh tidur

Malam minggu yang lepas ni, aku tertengok muvi 'The exorcism of Emily Rose' kat channel Trans TV. Channel ni Indonesia punya, tapi biasalah, dah memang Johor Bahru ni best kan, boleh dapat channels dari negara-negara jiran. Masa tu dah pukul 12 tengah malam rasanya. Dan aku cuma dengan si Rayyan je dalam bilik. Encik Papa keluar dengan kegilaan terbaru dia, mancing ikan. Bukan mancing awek ye. Beranilah, ada yang jadi korban mutilation karang. Sedang mancing ikan balik pukul 2,3 pagi pun aku dah mengamuk macam orang kena sawan.

Muvi ni dah lama rasanya. Tapi aku baru pes time tengok. Muvi 'Exorcist' dulu ada la aku tengok. Tu pun tengok ramai-ramai dengan housemate kat hostel masa belajar dulu. Seram jugak muvi ni. Lagi-lagi bila tunjuk scene yang Emily Rose kena rasuk tu. Keseraman adalah berganda bila kau tengok muvi seram sorang-sorang okeh. Jadinya, untuk mengurangkan kadar keseraman tu, aku slowkan lah volume sampai nombor 3 je, iaitu tahap di mana bunyi-bunyian adelah hampir tak kedengaran dan kalau takde subtittle, kau adalah mempraktikkan kemahiran membaca gerak bibir semata-mata. Volume aku naikkan sikit je kalau scene perbicaraan dalam mahkamah. Acara bertukar ke channel lain secara rawak adelah terjadi bila ada scene-scene yang gila bapak punya seram. Menarik jugak muvi ni. Based on true story katanya. Mat Saleh pun percaya pada benda-benda rasuk-merasuk ni ek? Tapi tak semualah.

Aku takde benda nak tulis sebenarnya. Tu yang merepek pasal muvi ni. Padehal bukan me'review' pun. Kalau belum tengok muvi ni, pergilah gugel sendiri ye. Aku malas nak taip sinopsis. Muvi lama lagi pun. Tahun 2005 kalau tak silap.

Sekian, terima kasih.


Tuesday, January 1, 2013

2 ribu 3 belas sudah datang

Sekolah dah nak bukak besok, baru 2,3 hari ni aku bersengkang mata sampul buku-buku si kembar ni.
Dah jadi mak orang pun masih bawak perangai dari azali. Suka buat kerja last minute.
Dah la buku teks yang sekolah bagi pinjam tu sikit lebih kurang macam belacan. Menjenuh aku kasi repair sana-sini, biar nampak ada rupa buku sikit.
Kalau tak, pembungkus tempe tu lagi lawa 45 darjat.

Ni dah masuk 2013.
Seingat aku, sejak aku jadi manusia, tak pernahnya aku keluar malam 31 Disember tu nak celebrate malam tahun baru dengan penuh semangat berjoli-joli katak.
Ada la, 2,3 kali. Tu pun duduk tak sampai sejam kat tengah padang dekat-dekat rumah, tunggu persembahan bunga api.
Nama nak pi konsert la, karnival itu inilah, takdenya. Macam tak penting gitu.
Aku rasa macam lagi baik aku terbongkang depan tv. Takpun teruskan aktiviti kat rumah macam biasa.
Lipat kain ke, baca novel ke, buat latihtubi dubbing suara tarzan ke.
Orang lain sibuk bersesak-sesak sampai nak pitam secara beramai-ramai kat dataran mana-mana entah, aku kat rumah melanguk depan tv tengok Hell Hotel macam takde apa-apa jadi pun.
Pastu dah ngantuk, tido..
Sesuai betul hidup zaman mesolitik.

Macam umat manusia lain jugak, aku harap tahun 2013 ni lebih baik dari tahun sebelumnya.
Semoga kesihatan, ketenangan jiwa, rezeki yang diberkati dan keluarga yang sakinah, mawaddah, warahmah, mengiringi aku sekeluarga sampai penghujung tahun dan bersambung pulak ke tahun seterusnya. Insya allah kalau umur panjang.

Selamat tahun baru, semua orang.

Wednesday, December 26, 2012

Cara mudah membersih henpon

Kalau nak dikumpul spesis yang pemalas ya hamat nak update blog tapi rajin check earning kat Nuffnang, aku boleh duduk kat barisan pertahanan paling depan kot? Kau kemain tampal iklan bersepah dalam blog tapi kemain malas nak taip bahan bacaan berguna untuk peminat tegar blog kau kat luar sana. (Jap. Aku nak gi rodok mulut pakai sudip kayu nak kasi keluar muntah ijo crepe durian.). Eh. Ada lagi kot yang duduk lagi depan dari aku. Contohnya, dia ni: BudakGigi Besi. Peh. Dia punya blog last sekali aku baca masa tu Rayyan masih pakai diapers, belum pandai kencing berak sendiri dalam toilet. La ni dia dah pandai masuk sendiri dalam toilet dan untuk qada' hajat sambil main air habis 25 liter.

Aku takde tajuk spesifik nak borak hari ni.
.
.
.
.
.
Oh. Ada.

Semalam masa mak aku basuh cadar pakai mesin basuh, tiba-tiba ada dengar bunyi gedebak-gedebuk dalam tu. Penuh penghayatan Puan Haji tu dengar betul-betul bunyi tu sambil tanya kat aku. "Pebenda bunyi-bunyi dalam tu, kak?". Aku tak payah jawab pun dia mesti dah tau dalam tu konfem ada something yang keras, yang tak sepatutnya termasuk dalam tu. Dia belum bertindak lagi masa tu. Bila dah agak-agak 2,3 minit baru dia ambik tindakan stopkan mesin dan celup tangan dalam tu, nak cari punca pebenda yang berkelentung-kelentang dalam tu.

Dan hasilnyaa..
Puan Haji berjaya mengeluarkan sebijik henpon Nokia 1280 miliknya (ye, memang agak klasik) yang dah penuh dengan air sabun akibat dibasuh sekali dengan 2 helai cadar saiz queen.   

Menjerit 'manja' mak aku. Siap dengan keluh kesah rindu dendam.

Takpelah mak. Nak dapat henpon baru le tu.

Monday, December 17, 2012

Suwa suwe kemuning

Suwey.
Ada tak yang tak tau suwey tu apa?
Kalau nak suruh aku terangkan definisi suwey tanpa gunakan ayat Dewan Bahasa dan Pustaka, meh aku terangkan maksud suwey pakai kaedah penceritaan.
Lagi senang nak paham.

Hari Sabtu, 15 Dis 2012
Suwey adalah bila kau jenis umat yang basuh baju seminggu 2 kali dengan sekali basuh, output yang berjaya disiapkan memerlukan masa paling kurang 45 minit untuk siap dijemur dan fuhh lega bila dah siap. Lepas tu dah elok-elok dijemur kat laman rumah, tiba-tiba hujan turun. Okeylah, menggelepar lari angkut 2 besi penyidai kain yang penuh dengan baju dan 2 umbrella hanger untuk baju budak-budak tu. Lepas tu hujan dah berenti, menggagau lagi angkut besi penyidai baju keluar rumah then tak sedar besi penyidai kain tu tersangkut kat umbrella hanger yang digantung kat laluan nak keluar. Debub! Umbrella hanger yang penuh dengan baju-baju budak kecik tu pun jatuh dengan penuh dramatik atas lantai simen yang basah becak dengan air hujan.
CILAKE! (+15 bakul sumpah seranah tak tau untuk siapa).

Dah petang sikit, baju yang sidai kat besi penyidai kain tadi dah hampir nak kering. Terniat nak angkat bawak masuk tapi tunda dulu sebab nak suruh betul-betul kering. Guruh dah start bunyi tapi belum bergerak nak pi angkat kain sebab sibuk buat benda lain dulu. Angin dah bertiup kencang. Tiba-tiba dengar bunyi something jatuh bedebub atas tanah kat luar rumah. Pergi jenguk dan nampak besi penyidai baju-yang-penuh-dengan-baju dah terdampar atas tanah yang berlopak dan berlecak.
CILAKESTTT! (+43 tong sumpah seranah bonus tumbuk dinding 8 kali).

Itu adalah maksud suwey ye, penduduk kampung.

Maka, minggu ni baju-bajan penduduk kat rumah ni adelah dibasuh dengan 2 kali pemeringkatan.
Reput tulang belikat aku.


Monday, October 29, 2012

Anda buat, anda dapat!

Aku jarang mencarut. Atau memaki.
Ada jugak, bila dah terlampau marah.
Atau kadang-kadang bila termelatah tanpa sengaja.

Tapi kalau nak dengar aku memaki hamun dan mencarut-carut  tanpa kawalan dan hadlaju, adalah bila aku tengah memandu seorang diri.
Siapa nak tersenyum manis dengan muka penuh keimanan kalau tetiba ada kereta atau motor muncul dari simpang dengan had kelajuan highway?
Atau tiba-tiba membelok masuk simpang tak bagi signal?
Atau ikut bontot kereta aku gila bapak punya dekat, sambil bagi high beam suruh aku ketepi mungkin sebab dia tak tahan nak berak, tapi time tu kat lane belah kiri aku ada lori balak atau treler 20 tayar.
Memang berbakul-bakullah kau dapat sumpah seranah aku. Percuma tanpa downpayment.

Kalau dalam sehari aku jumpa 10 kes macam tu, memang kompom tak cukup buku amal jahat aku nak diisi.
Tak kisahlah walaupun time tu aku tengah berbaju kurung atau berpurdah sekalipun.
Kau tetap dapat jugak bahagian kau.
Sayangnya, aku jugak yang jadi wakil kau untuk dengar carutan, makian dan kejian tu.
Keluar dari mulut sendiri, masuk ke telinga sendiri.
Hahaha. Bangang.

Ahh. Yang penting aku puas hati.

Monday, October 22, 2012

Kisah 2 dalam 1

Kisah 1
Dah 2 minggu laptop HP aku rosak. Skrinnya penuh ngan line putih bergaris-garis.
Disebabkan sistem UBS Payroll untuk kira gaji pekerja kompeni tempat aku kerja ada dalam tu, maka terpaksalah aku tangguhkan dulu hantar ke kedai untuk repair.
Kebetulan pulak waktu skrin rosak tu betul-betul time nak kira gaji orang. Terpaksalah terjegil-jegil, tersepet-sepet mata, terteleng-teleng kepala ngadap skrin bangang tu. Masih boleh nampak la walaupun blur macam pandangan mata orang rabun kronik.
Rancang dah siap kira gaji orang baru nak hantar repair.

Maka, semalam aku dan Encik Papa pun berkelanalah ke kedai-kedai repair komputer.
Kedai pertama yang aku pergi, kedai Melayu, bagitau yang skrinnya rosak. Aku ingat pasal kena virus. Kos untuk repair adalah RM550. Terbegik aku dengar. Alasan sebab skrin aku besar. 15.6 ".
Untuk seorang yang kedekut taik idung masin macam aku, ingat senang-senang ke nak serah RM550 kat orang macam tu?
Kalau nak suruh aku tawaf satu JB untuk carik kedai paling murah pun aku sanggup tau. Harga macam tak tercapai akalku, okeh?

Then, ke Tesco pulak. Kedai cina. Tanya itu ini, dia kata harga RM380. Nampak, jauh kan beza? Hmm, boleh lah. Daripada yang tadi kan? Beza seratus lebih, boleh buat makan KFC berkali-kali. Ceh!
Pengajaran: silalah rajinkan kaki untuk berjalan survey harga. Untuk golongan yang tiap bulan main cop-cop duit je dan jenis tak kisah nak keluar-keluar duit walaupun pada harga yang tak masuk akal, tak payahlah nak join stok-stok kedekut dan berkira macam aku ni, okeh.

Kisah 2
Hero kecik aku si Rayyan tu asal celik mata je, tanya laptop. Kalau dah ngadap laptop main game, memang tak banyak bunyi la.
Eh. Sejak bila pulak dia ada share dengan aku nak pakai laptop ni kan? Kadang-kadang dia je yang conquer sampai ke malam. Orang lain tak boleh sentuh. Tak boleh jadi nih!

Cuma sejak laptop aku berproblem hari tu, baru dia bersara sekejap dalam bidang ni. Tu pun sebab aku sungguh-sungguh bagitau yang laptop tu rosak. Tak boleh on. Kalau on nanti tebaboo! Meletup.
Tapi disebabkan dia ikut kecerdasan dan kepintaran otak belah aku, maka dia bukan senang-senang nak ditipu ok. Lainlah kalau dia ikut belah-belah bapak dia. Kehkeh.

Jadi kitorang terpaksalah cari solusi lain. Kebetulan Tesco ada buat promosi tablet pc murah. Brand AndroPad. Harga RM299. Pakai OS Android 4.0. Skrin 7". Harga yang sangat-sangat relevan untuk orang yang pergi mana-mana pun mesti bawak kalkulator.

Setakat untuk si Rayyan buat main game Angry Bird, Fruit Ninja, Plant vs Zombies, boleh download-download game, boleh wi-fi, boleh bagi makpaknya celah-celah bukak Facebook, Twitter, boleh buat rebut-rebut dengan si kembar, boleh baling-baling, hempas bila dah boring, ketuk-ketuk kepala bila bergaduh adik-beradik, boleh sangatlah tu kan? Murah pun murah. Function pun ok.
Apa ingat aku sanggup nak keluar duit banyak-banyak untuk yang mahal-mahal setakat untuk tengok diorang hempas-hempas benda tu atas lantai bila dah boring?
Karang aku pulak yang hempas kepala kat dinding secara sukarela.

Maka secara rasminya, si Rayyan pun memiliki tablet pc peribadinya sekarang.
Semalam aku trylah nak carikan cover untuk Rayyanpad (nak panggil ipad/i-tab takut kena saman), kengkononlah boleh budget-budget ala-ala Samsung Galaxy Tab kan kalau ada cover.
Kedai pertama yang aku pergi takde masalah. Ati Cina tu siap try pasangkan Rayyanpad tu dalam cover untuk i-tab Samsung Galaxy punya. Boleh. Ngam-ngam masuk.
Tapi aku ingat nak carik harga yang lagi murah. Maklumlah, al kedekut ibni al bakhil. Jadinya, tak jadi ambik. Try carik kedai lain.
Sekali pergi kedai lain, bila aku tunjuk je Rayyanpad, terus diorang macam taknak layan. Mentang-mentanglah bukan yang mahal kan? Cilakak.
Diorang kata, "Ooh, ini bukan Samsung punya maa. Samsung punya cover tak boleh masuk brand biasa macam ini" . Encik Papa cakaplah, "boleh masuklah. Cuba you try dulu". Tapi dia taknak jugak.
Macamlah Rayyanpad tu bawak virus sopak ke, tibi ke. Takut sangat. Aku bukan nak free, nak bagi kau duit, budusss!
Dahlah harga kemain mahal. Pergi 2,3 kedai lain pun sama.Harga berganda-ganda mahal dari kedai yang first tadi. Pastu bila tau je bukan Samsung Galaxy, semua buat muka ala-ala Bill Gates.
Apa, kau ingat aku tak mampu nak beli Samsung Galaxy Tab? Silap-silap dengan nenek-nenek kau sekali aku sedekahkan nanti.

Ciskek betul!

Tuesday, October 2, 2012

Entri pertama di bulan Oktober

Bila baca blog orang yang pemes-pemes dengan entri yang best-best, gila lawak sampai perut menggigil-gigil tahan gelak takut opismate aku mati terkujat dengar suara gelak aku yang gila bapak buruk nak mampos, maka secara automatiknya akan rasa, betapa cikainya dan huduhnya blog aku ni. Blog ke apa ni? Mana dorang dapat idea best-best nak buat ayat haa? Ada menatang ajaib ke dok tepi telinga bagi bisikan ayat-ayat best nak tulis dalam blog? Ciss. Jeles haku.

Ooh. Ko kena ingat, bakat menulis bukan ada pada semua orang. Dah tau bakat tak seberapa,nak jugak buat blog. Puihhh. Dasarr tak sedar diri. Gi junam kepala kat dinding kaca bilik bos ko sambil memakai baju kurung dan tudung pink. *Tibatiba*

Hape ko merepek ni, setannnn?


Tuesday, August 14, 2012

Siapkan duit raya. Syawal dah dekat!

Raga je ada kat opis. Jiwa dah melayang pergi raya pertama on Syawal 2012. Semoga dipanjangkan umur dan diberi peluang untuk sampai dan menikmati indahnya Syawal tahun ini. Amin..

Persiapan raya hampir 60% peratus dah siap. Tinggal lagi barang-barang keperluan untuk mak budak ni ha yang tak settle. Untuk anak-anak, mostly dah siap. Yang ada anak mesti tau macam mana terujanya perasaan untuk siapkan semua kelengkapan anak, sampai kelengkapan sendiri pun tak lengkap-lengkap. Dan kerja penting yang masih belum bersentuh, -kemas rumah. Siapa datang rumah aku sekarang mesti keliru, ada dalam rumah ataupun sebuah tongkang yang pecah sebab langgar ketulan batu? Ketulan ais kelas sangat, dah macam Titanic pulak karang.

Tahun ni persiapan raya semuanya sederhana. Mana yang masih boleh pakai, pakai je lagi. Seriously, tadi pagi ternampak gambar hasil post seorang kawan di FB yang buat jiwa jadi pilu sangat, suasana kehidupan kat negara-negara lain yang tengah bergolak dengan peperangan, kebuluran atau kekacauan. Tiba-tiba jadi bersyukur sangat dengan segala limpahan rahmat dan nikmat yang Allah bagi kat kita. Walaupun lumrah jiwa manusia yang tak pernah puas takkan boleh hilang dari diri, sekurang-kurangnya mesti berusaha untuk mensyukuri apa yang ada. Mungkin kita rasa kekurangan, tapi sebenarnya lebih banyak orang lain yang tak punya kelebihan yang sedang kita nikmati. Teringat kata sahabat baik aku dulu, Maizatulakmal Mahmood, -kalau kita rasa kita susah, masih ada orang lain yang lebih susah dari kita. Kalau kita rasa masalah kita besar sangat, masih ada orang lain yang lebih besar masalahnya dari kita. Intipatinya, syukuri apa yang ada. Hidup adalah anugerah. Tetap jalani hidup ini, melakukan yang terbaik. (D'Masiv - Jangan Menyerah)

Serius betul entri kali ni ye. Mood sekarang adalah tak sabar nak raya. Jadi, adalah lebih baik aku mohon ampun dan maaf pada semua pembaca yang tersesat masuk blog aku, zahir dan batin. Sila ampunkan jika ada yang terkasar bahasa dan termulut longkang, semoga syawal kali ini lebih bermakna. Raihlah kemenangan kita setelah sebulan berpuasa dengan jiwa bersih dan penuh kesyukuran. Feeling-feeling ustazah pulak ko ye, kata Kak Temah yang sedang membaca. Salam lebaran dari penulis dan keluarga. Aku nak letak gambar aku dengan family. Jangan muntah ijo 3 sudu ye.


p/s: Ini adalah tidak mampu masuk studio tangkap gambar canggih-canggih macam orang. Jadi adalah lebih baik edit sendiri. Sekian untuk makluman.

Wednesday, July 25, 2012

Tudung Syria dan penulis

Sejak bila ya aku jadi peminat tegar tudung syria ni? Mungkin sejak aku perasan, kalau aku pakai tudung berawning, orang yang nampak macam sebaya dengan aku akan panggil kakak atau budak-budak kecik akan panggil aku acik. Tapi kalau pakai tudung syria, orang yang nampak macam sebaya dengan aku akan panggil adik atau budak-budak kecik akan panggil aku kakak. Hehe. Betullah wei, tudung syria selalunya akan buat kau nampak lebih muda dan comel. Sebab tu aku dah tak pernah beli tudung-tudung berawning ni walaupun cantik berlapis-lapis macam kuih lapis, aku usahakan jugak cari yang jenis syria. Bukanlah takut nak jadi tua (ko jangan nak menipu!), tapi rasa lebih selesa dan mudah dengan tudung syria ni.

Apa motip aku bagitau dan membebel pasal tudung syria ni ye? Entahla. Baru pukul 3 petang. Lagi 4 jam lebih masuk waktu buka puasa. Ni lagi tak bermotip. Hoh, sudah la.

p/s: Bumi Syria sedang bergolak. Mari doakan saudara seislam kita di sana dari kekejaman rejim diktator Bashar Al-Asaad. Semoga Allah melindungi bumi Syria...



Thursday, June 21, 2012

Ringgit kasorrga

Dulu-dulu, waktu maktu masih sekolah membawak sampai ke IPT, ada satu perkara yang sangat buat aku teruja dan gembira sangat bila benda tu jadi.  Kalau aku nak describe rasanya macam mana, mungkin macam korang terserempak dengan orang yang korang admire dalam diam dan dia bagi senyum paling manis kat korang. Woh! Macam nak melayang sampai awan!

Benda yang aku maksudkan tu, bila terjumpa duit tak kiralah berapa ringgit, dalam poket seluar atau baju atau mana-mana tempat yang tak terjangka di kala ketandusan duit untuk apa-apa aktiviti penting terutamanya makan. Gila happy woo kalau jumpa duit walaupun duit sendiri yang entah bila punya tahun kau selit dalam poket tu. Macam menang jackpot kot? Lepas tu, aku pernahlah berkira-kira untuk selit duit kat mana-mana poket seluar jeans waktu duit masih berduit la konon, mana tau nanti-nanti bila tengah pokai lepastu bolehlah seluk-seluk mana-mana poket seluar dan menjerit kegembiraan kalau terjumpa dengan duit tu. Cess! Takdenya aku buat sebab tak pernahnya duit belanja ada baki untuk simpan dan lagi baik aku pakai duit tu untuk buat makan atau bayar tambang bas pergi merambu kat City Square. Aktiviti jumpa duit pastu happy sendiri sampai melompat ni biasanya terjadi masa tengah iron baju atau seluar atau tengah lipat baju atau tengah basuh baju.

Kome tau aku tak seburuk ni kan?

Aku ingat feeling tu aku tak rasa lagi lepas dah kahwin, bekerja dan jadi mak budak. Rupanya masih lagi walaupun dah tak melompat tinggi lagi la, kan? Biasanya jadi masa aku basuh kain dan jumpa duit dalam mesin basuh. Best woo. Masih rasa macam menang jackpot. Tak kiralah tu duit siapa, entah duit aku sendiri atau duit encik Papa, tapi dah aku yang jumpa, dah sah-sahlah jadi duit aku, kan? Sebelum duit tu aku campak masuk dalam handbag, kenalah keringkan dulu kat depan kipas angin. Walaupun setakat singgit dua dan paling mewah pun dalam RM5-RM10, lepas jugaklah coklat bar sebatang..
 


Tuesday, April 3, 2012

Hikayat setandan pisang

Waduh. Berkulat blog aku tak pernah hapdate. Terabai sungguh macam hidup segan mati tak mau. Aku tak tau nak cerita apa sebenarnya. Tapi bila tengok adik aku si gigi besi lebih tabah mengupdate berbanding aku dengan 5 entri selama 2 bulan berbanding 1 entri bagi pihak aku, tercabar pulak aku sebagai warga senior. Yelah, budak kecik tu dah aku cop blogger berkarat sebab gila pemalas nak update blog, tapi rupanya karat aku lagi tebal. Chess. Maka, terimalah hikayat setandan pisang dari penglipurlara tak tertanding ni. Yang rasa nak muntah ijo 3 sudu pergi siap-siap.

Awal bulan lepas, nenek aku kat Batu Pahat yang tanah keliling rumahnya luas macam padang golf siap bercucuk tanam macam-macam tanaman kampung kat keliling rumah, bagi kami setandan pisang berangan yang sangat cantik bentuk fizikalnya. Cantik betul sampai kalau diandaikan pisang tu manusia, nescaya macam Maya Karinlah gamaknya. Disebabkan jumlah sisirnya yang banyak dan sayang nak dibazirkan, maka aku pun plan macam-macam benda nak buat dengan pisang tu. Lepas beberapa hari, ada dua tiga sisir yang dah ranum. Menu pertama yang aku buat adalah pisang bersira sirap. Ni makanan orang berketurunan Bugis. Pisang yang masak ranum dan manis di rebus dalam air yang menggelegak dan lepas tu makan dengan kuah sirap. Habis satu sisir. Satu sisir mak aku bagi pada pengasuh si Rayyan. Kemudian dua sisir aku sedekah pada pakcik aku dan keluarganya yang rajin makan. Satu setengah sisir aku beri pada opismate aku, si Nova. Aku taktaulah Nova buat apa dengan pisang tu. Dia yang makan atau monyet-monyet keliling rumah dia yang baham.

Masih ada banyak sisir lagi. Aku selongkar goggle dan cari resepi kek pisang. Dapat pulak resepi kek coklat pisang. Try yang ni dulu. Sedap jugak. Habis sesisir lebih pisang. Wahh, banyak lagi. Berlumba-lumba pulak pisang ni nak meranum. Maka aku pun buat kek pisang yang tak berapa nak gebu. Grrr.. Berkurang sesisir lagi pisang. Kebetulan pulak si kembar Alyaa & Alysaa suka makan pisang, maka dalam sehari berbijik-bijik jugak dorang makan pisang berangan yang manis dan gebu tu. Tapi masih ada baki beberapa sisir lagi. Pulak tu dah semakin ranum dan mula membonyok. Rasa nak panggg pisang tu pun ada jugak. Ehmm.. Kalau dah agak bonyok gitu, apa lagi yang sedap selain dari cekodok pisang. Ye tak?

Tak payah cerita banyak, memang 2,3 hari jugaklah jenuh kitorang membaham cekodok pisang sebagai sarapan pagi dan minum petang. Memang conform tak sembelitlah untuk sebulan tu. Maka, setelah beberapa minggu setandan pisang berangan tu menghuni sudut dapur rumah, akhirnya tamatlah hikayat setandan pisang berangan yang sangat molek rupa parasnya. Huh, terseksa jugak aku berfikir apa nak buat untuk elakkan pembaziran. Cuma, ada lagi satu tupperware kek pisang bantat yang tak laku dalam peti ais rumah aku. Erk, tu kira pembaziran jugak kan?



Friday, February 3, 2012

Keropok magic

Aku nak minta maaf pada blog ni sebab dah lama benar tak update. Aku tak tulis minta maaf pada pembaca sebab macam perasan blogger femes yang ramai follower pulak kalau tulis macam tu. Mana ada orang sengaja datang nak baca entri dalam blog aku, kecuali yang tersesat.

Aku belum ada mood nak menulis panjang-panjang dan berat-berat.

Petang semalam waktu sedang goreng keropok ikan parang yang Encik Papa beli di pasar malam, malam Selasa yang lalu, tiba-tiba aku teringat satu rancangan memasak di tv. Kalau tak silap, tajuknya 'Yan Can Cook'. Aku malas nak ambil tau, korang pernah tengok atau tak rancangan tu. Yang aku ingat, dalam satu rancangan tu, si chef yang namanya tentulah Yan, takkan Seman pulak kan, menggoreng sejenis keropok berwarna-warni untuk dijadikan hiasan pada hidangan yang dah disiapkan. Kalau tengok pada jenisnya, tu mungkin keropok dari tepung beras sebab mak aku selalu buat masa aku kecik-kecik dulu. Intisari cerita ni kat sini. Ada ke waktu sedang menggoreng tu dan keropok tu mengembang bila dah masuk dalam minyak panas, si chef tu dalam nada teruja dan bersungguh-sungguh kata macam ni, "See, it's magic. Wow, it's so magic." Keropok tepung beras mengembang dalam kuali adalah magic, okeh. Harharharun.

Terer betul makcik Senah yang buat keropok ni pakai tangan dan tinggal di kampung nelayan, buat benda yang magic macam tu.

.................................

Kopok magic.

Monday, January 2, 2012

Si kembar naik darjah 1, oi! Kataku sambil menjahit poket yang koyak.

Ok, memang dah lama tak update blog. Mood menulis entah ke mana. Banyak hal penting yang jadi, tapi tak tau nak cerita yang mana dan bagaimana.

Sepanjang cuti sekolah, kami tak ke mana-mana pun. Awal cuti sekolah yang dihiasi dengan palitan sejarah pahit buat kami seolah-olah jadi badi tak tertanggal yang di bawa terus hingga hujung tahun. Dah tak ada mood nak ber'happy-happy'an. Kronologi kisah Alyaa dijangkiti demam denggi berdarah pun masih tak usai aku ceriterakan di sini. Mungkin tak berapa gemar jiwa digayuti dengan perasaan tak enak sewaktu melalui penderitaan sejenak tu. Sungguh, aku tak sanggup dan tak ingin nak lalui tu semua untuk sekali lagi, jika diperkenankan tuhan.

Cuti sekolah bakal berakhir 2 hari lagi. Tak payahlah aku ceritakan bagaimana lajunya duit mengalir untuk segala pembiayaan dan perbelanjaan sekolah si kembar. Atau nak menerangkan bagaimana ceria dan lebarnya senyuman tokey kedai tempat aku berbelanja barang-barang dan peralatan sekolah mereka sebab semuanya perlu didarab dengan dua. Atau berapa bacaan gigilan tangan aku pada skala richter untuk keluarkan duit dari dalam wallet semasa membayar senarai bayaran pelbagai, yuran dan buku-bukuan di sekolah mereka. Perasaan tu cuma orang beranak kembar, atau beranak rapat-rapat setahun 1, atau ada lebih dari seorang anak yang bersekolah pada satu masa je yang tau. Apalagi kalau bermastautin di negeri Johor Darul Takzim yang mengharuskan anak bersekolah agama. (Ini kelebihan, bukan kekurangan Johor, paham?)

Tugas sekarang adalah mengira berapa baki duit gaji yang tinggal, itupun kalau ada, dan meneruskan hidup seperti biasa. Untuk seorang yang berpendapatan sederhana macam aku, mungkin akan terasa sangat papa kedana dan fakir miskin setiap kali menjelang hujung tahun. Mujur juga ada sedikit rezeki dan rahmat untuk aku menjelang tahun baru 2012. Alhamdulillah.

Tuesday, December 20, 2011

Entri yang membuktikan aku masih hidup lagi

Wahhh! Obsesi untuk habiskan pembacaan novel 'Me & Mr Darcy' by Alexandra Potter banyak mencuri masa aku dari layan drama Korea online dan update blog. Omoo... Serius, novel tu best! Sampaikan Encik Papa terkagum-kagum, kenapa novel tu tak pernah lekang dari tangan? Dan semestinya ayat ni, "Tak boring ke baca novel?" Oh my, dunia kita berbeza, Encik Papa.. (yang lebih suka baca komik Doraemon serta komik-komik bergambar daripada novel-novel tebal yang buat dia nak muntah walaupun pada pembacaan baris pertama di muka surat pertama). Lepas ni nak proceed ke novel yang seterusnya. Nanti aku update lagi untuk label '1 bulan 1 buku'.

Monday, October 31, 2011

Misteri kehilangan zink rumah

Beberapa malam yang lepas, sedang aku duduk berehat-rehat atas sofa depan tv, tiba-tiba Encik Papa meluru masuk dari luar rumah. Tak payah tanya pun, tengok muka je dah tau tak dia tak sabar-sabar nak bercerita.

Encik Papa  : Tiga bijik rumah hilang zink!
Aku             :  Erk.. zink?
Encik Papa  : Rumah sewa sederet yang kosong kat sebelah ni ha. Tiga bijik rumah yang paling hujung sana, bumbungnya dah melopong!
Aku             : Apakah?
Encik Papa  : Kena curi laa.. Siap dengan mesin-mesin basuh sekali dia angkut. 2 bijik pulak tu!
Aku             : Mana tau?
Encik Papa  : Ada orang belakang rumah nampak. Zink tu dia angkut sikit-sikit bawak pergi port dia.
Aku             : Woh. Kuat eh? Sampai 3 rumah dia kasi licin.

Sederet rumah sewa separuh papan dan separuh batu berdekatan dengan rumah aku tu, memang dah agak lama kosong. Yang berpenghuni, ada la dalam 2, 3 buah rumah. Itupun ada yang penghuninya balik kampung. Rumah-rumah yang tuannya balik kampung tu lah yang kena angkut mesin basuh. Fuh, semangat waja betul pencuri tu panjat bumbung rumah dan kopak zink ye? Tiga buah rumah sekali pulak tu. Bumbung zink kan mahal harganya kalau jual di pusat jualan barangan lusuh. Nasib baik rumah aku bumbung asbestos. Pencurinya pun dah tau siapa. Golongan mat pit atau mat gian, atau apa saja korang panggil golongan diorang tu. Kes terdesak lah tu. Dah tu, apa yang misterinya? Entah. Heheh.

p/s: jahat diorang ni. selalu ambil barang aku tanpa izin. kasut, selipar, seluar jeans. mangkuk tandas betul! badan sekeping pun boleh hangkut mesin basuh, zink, etc. nasib baik tak boleh hangkut kereta dengan rumah!

Friday, October 28, 2011

Kereta rosak dan ais krim Magnum

Sejak peristiwa aku terpaksa menapak lebih kurang 500 meter untuk ke tempat kerja setelah kereta aku meragam tak nak hidup enjin sebab kegagalan fungsi bateri kereta, aku dapat sikit pengajaran la. Disebabkan cuma 500 meter je, bukannya sampai 1 kilometer pun, tak adalah journey tu buat aku dapat penyakit lelah, semput ke apa, cuma bila petang tu balik dari kerja dan dijemput oleh adik aku si gigi besi yang dah tak berapa nak besi sebab besi kat gigi dia dah kena cabut, dan dia bertanya sesuatu pada aku berkaitan dengan kes aku terpaksa menapak ke tempat kerja, yang mana tak pernah langsung aku buat selama ni, aku tiba-tiba terfikir sesuatu. Dialog kitorang lebih kurang macam ni:

Aku        : Fuh, berpeluh ketiak aku menapak pergi kerja tadi.
Gigi besi  : Fuh, betul kau menapak eh? Macam tak percaya.
Aku        : Apasal pulak?
Gigi besi : On the way tadi, tak ada orang nampak kau ke? Maksud aku, orang-orang yang kenal dengan  kau?
Aku        : Entah. Aku tak peduli pun.
Gigi besi : Kau tak rasa malu ke?
Aku        : Malu kenapa?
Gigi besi : Yelah, dah biasa naik kereta kalau nak ke mana-mana, tiba-tiba menapak. Orang tak cakap ke, eh, budak ni kenapa tiba-tiba jalan kaki?
Aku        : ...............................
Gigi besi : Kalau aku, serius, ada rasa malu sikit dan tak biasa. Sebab dah biasa sangat naik kereta. 
Aku       : ................................

Pengajaran yang aku dapat, woh, rupanya selama ni aku dah lupa macam mana rasanya berjalan kaki agak jauh, sebab terlampau bergantung pada kereta. Nak ke kedai runcit yang jaraknya tak sampai 100 meter pun, kena hidupkan enjin kereta. Tak sihatnya gaya hidup aku. Cuma, rasa malu macam yang gigi besi cakap tu, taklah berapa aku rasa. Atau mungkin ada, tapi tak mencengkam jiwa sangat. Aku terfikir jugak, manja betul badan aku ye. Orang lain yang tak ada kenderaan dan setiap hari terpaksa berjalan kaki ke sana sini tu badannya lebih sihat dari aku. Pengajaran seterusnya, bila kau penat jalan kaki walaupun baru 100 meter, kena berhenti beli ais krim Magnum dan sebungkus kerepek kentang. Macam yang aku buat. Mahal ye, satu batang RM3.90, kata aku yang kedekut.

Sebelum

Selepas

p/s: kereta tu memang sengaja nak cari pasal dengan aku sebab balik kerja tiba-tiba dia dah boleh hidup tanpa was-was. Hampagas!

Friday, October 21, 2011

Dilarang masuk!

Aku bukannya apa. Aku cuma tak boleh terima kalau ada individu atau kumpulan-kumpulan tertentu yang datang pada aku untuk promosikan bisnes jualan langsung atau direct selling atau MLM atau apa jenis pelaburan pun yang aku tak paham dari mana dapat untung berlipat kali ganda tanpa jual barang dan tanpa buat apa-apa pun. Tak apalah kalau diorang dah kaya raya, tayang kereta mewah dan rumah gah gila dalam brochure atau pamplet sebab dah berjaya dalam bisnes mereka jual ubat-ubatan, makanan kesihatan, kosmetik, pelaburan atau apa pun ia, bisnes direct selling dan pelaburan entah apa-apa tu tetap BUKAN dunia aku!

Oklah, memang ada yang kaya betul bila masuk dalam bisnes ni, tapi sejauh pengetahuan aku setakat ni, dalam ramai-ramai yang dah datang ke rumah sejak aku kecik dulu sampai sekarang, dalam usaha untuk tarik mak bapak aku dan jugak aku untuk join bisnes diorang tu, serius, sampai sekarang belum ada sorang pun yang datang semula untuk tunjuk kereta mewah atau ajak kitorang datang ke rumah mewah diorang hasil dari bisnes yang biasanya kena bayar paling kurang RM30 untuk pendaftaran sebelum dapat kit lengkap siap dengan fail-fail kulit bagai tu.

Aku tak boleh join direct selling. Aku tak boleh join mana-mana pelaburan cepat kayap. Aku tak mampu nak tarik minat orang untuk beli barang aku apatahlagi untuk ajak orang join bisnes dan melabur dengan aku. Aku tak mampu dan tak berkebolehan. Maaf kawan-kawan. Aku bukan orang yang kamu cari, ya!

yeah, pokcik kayo!!

Wednesday, October 19, 2011

Kisah anak jiranku


Umur Hafiz 7 tahun. Serius, dia sangat comel dan ada ciri-ciri nak jadi kacak. Hidungnya mancung dan matanya cantik berbulu mata lentik. Senyumannya manis. Anak pertama dari pasangan suami isteri yang duduk berjiran dengan aku. Ada adik lelaki yang umurnya belum menjangkau setahun.

Dulu Hafiz selalu datang rumah aku. Main-main dengan si kembar. Si kembar ada berbakul-bakul toys. Tu yang buat budak-budak suka datang rumah. Dia tak sama dengan budak-budak lain. Bila dah siap bermain, dia akan kemas balik semua permainan yang bersepah. Tak macam Mail, bila nak balik kena check dulu kocek seluar. Kalau nampak kembung lain macam, ada la tu mainan si kembar yang dia rembat nak bawak balik.

Pantang ada masa lapang, mesti Hafiz berlari datang ke rumah. Lepas beberapa minit nanti, ada lah orang datang menyusul cari dia. Kalau tak emaknya, bapanya. Takpun makciknya. Aku kata, Hafiz budak baik. Tak buat kacau pun. Biarlah dia main kat sini.

Tapi, tu dulu. Sejak Hafiz dah masuk sekolah darjah 1, dia dah jarang datang ke rumah. Kalau ada pun, bila balik dari sekolah dan lalu depan rumah, ada la sesekali dia masuk. Tapi tak masuk dalam rumah. Cuma setakat sampai kat tempat letak kereta sambil tunjuk-tunjuk buku sekolah dia pada si kembar dan Rayyan, kemudian berlari balik ke rumah sambil melambai-lambai tanda selamat tinggal.

Hafiz anak istimewa. Sejak lahir dia ditakdirkan tak boleh mendengar dan bertutur. Untuk berkomunikasi dengan dia, perlu gunakan bahasa isyarat mudah. Setiap kali tengok dia, jiwa aku diruntun sedih dan simpati. Sedih sangat. Semoga emak dan bapanya dapat lebih ganjaran dari Allah atas kurniaan istimewa itu. Dan aku bersyukur sebab diberikan anugerah-anugerah indah yang sempurna dan sihat. Alhamdulillah.

Apapun, Hafiz anak istimewa yang sentiasa istimewa di hati semua orang.
Related Posts with Thumbnails