Tuesday, June 29, 2010

Entri bagi pihak si gigi besi

Aku bukan nak mengumpat. Cuma nak berkongsi cerita tentang fenomena biasa yang berlaku dalam masyarakat, kelompok dan komuniti kita. Aku rasa semua orang pun pernah lalui situasi ini. Memang menyakitkan hati, jantung, pankreas, pundi kencing dan usus kecil.

Pernah tak kamu lalui ini? Orang pinjam barang (atau barang-barang) kamu kemudian tak reti nak pulangkan dan bila kita tanya bila nak pulangkan balik, dia buat janji manismu yang palsu, di mana barang tu tak sampai-sampai juga di tangan kita sebab mungkin dah rosak teruk atau hilang terus? WTF? Nak kata tak ada duit untuk beli sendiri barang tu, tak mungkin juga. Nak kata sengkek sangat sampai tak mampu nak ganti balik barang yang rosak tu, lagilah mustahil. Sebabnya, boleh pula dia rebonding rambut sampaikan kaum keluarga dari sekecil-kecil kutu pun dia boleh rebondingkan juga. Bila jumpa bertentang mata, buat-buat pandang lain. Dengan orang lain dia cerita macam kita yang salah. Hah, kepala aku dah mula berasap.

Mungkin ini sejenis penyakit agaknya. Boleh dapat kepuasan dari aktiviti tak bersivik tu. Pinjam barang orang, pakai sampai lunyai atau hilang, kemudian buat-buat bodoh dan sengal. Entah otak cap apa dia pakai. Atau mungkin otak dia dah tak terletak di tempat yang sepatutnya. Mungkin dah turun ke lutut barangkali.

Wah, berkepuk-kepuk dosa aku dapat hari ini. Tapi aku menulis ini berpaksikan kebenaran dengan harapan orang lain akan mendapat pengajaran dan kesedaran. Yalah, mana ada manusia yang sempurna. Tapi sekurang-kurangnya kita boleh ubah apa yang rasanya tak betul, kan? (Uihh, pandai betul aku buat ayat penafian bersalah.)

Kejadian ini sebenarnya bukan berlaku pada diri aku tapi tetap memberi kesan yang besar kepada aku. Sebabnya, telinga aku yang terpaksa ditadah untuk mendengar bebelan, kutukan, cemuhan dan luahan jiwa si gigi besi terhadap peristiwa pahit yang menimpa dirinya itu. Dan biasanya aku yang terlebih berapi-api bila dia dah mula mengadu-domba tentang hal ini. Dasar kepala angin!

Kejap. Aku rasa macam menulis tentang gosip artis dalam ruangan Soseh-soseh pula sebab tak tulis nama si pelaku dan biarkan pembaca tertanya-tanya serta berteka-teki sendiri di dalam hati.

Sambung. Aku fikir hal ini tak akan tamat sampai bila-bila sebab si gigi besi agak penakut orangnya. Jadi tentu dia akan terus diperkotak-katikkan oleh si pelaku. Tetapi, si gigi besi nampaknya mula membuat anjakan paradigma di dalam dirinya. Dia dengan nekad telah berjumpa terus dengan emak si pelaku dan melaporkan tentang peristiwa ini dengan penuh percaya diri. Cayalah gigi besi! Mungkin sebab kau bakal tinggal bersendirian jauh dari keluarga tak lama lagi kan? Latihan pra-sekolahlah tu kononnya.

Aku harap, kalau pun kau tak boleh dapat balik kalkulator, bag galas, botol air dan lain-lain yang dia pinjam dari kau selama ni, minta-minta emak kepada mangkuk ayun tu boleh gantikan balik barang-barang kau. Atau paling tidak pun, sekurang-kurangnya emak dia boleh mengamuk sambil baling dulang besi dan senduk nasi pada mangkuk tu. Kalau diberi peluang, aku pun nak tembak telinga mangkuk tu dengan peluru getah. Taklah sadis sangat, kan?


Tinggal kenangan bagi si gigi besi

Monday, June 28, 2010

IPTA ke IPTS?


Dah pertengahan tahun macam ni, sesi pengambilan dan pendaftaran pelajar baru di IPTA dan IPTS seluruh negara sedang rancak berlangsung. Teringat pula zaman aku mula-mula mendaftar kat Instedt dulu. Tapi, bukan nak cerita tentang itu. Cuma nak bebel tentang persepsi orang terhadap IPTA dan IPTS. IPTA, IPTS, IPTA, IPTS.. yang mana satu pilihan kalbu? Hah, lagi nak tanya. Semua orang tentu pilih IPTA. Masalahnya, cukup ke tempat di IPTA untuk tampung kuantiti pelajar yang betul-betul berkualiti di seluruh negara?

Aku hangeenn betul bila ada yang pandang rendah pada IPTS tau. Bila sebut IPTS mesti kebanyakan orang akan fikir tempat tu untuk yang golongan yang tak berkelayakan masuk IPTA sebab tak cukup kredit atau apa-apalah yang berunsur negatif. Hello!! Cuba nisbahkan berapa orang pelajar yang kita ada berbanding jumlah IPTA yang ada di negara ini? Cuba kira pula, agak-agak cukup tak tempat untuk semua pelajar kita kat situ? Pelajar cemerlang yang dapat result best pun masih ramai yang tak dapat tempat, okeh.

Oh, janganlah berfikiran jumud wahai manusia sekalian. IPTS tetap berkualiti dan tetap boleh melahirkan ramai graduan yang tak kalah kualiti dengan IPTA. Yang tak boleh blah bila ada yang kata, "Elleh, IPTS je. Ada duit confirm boleh dapat." Sangat sarcastic. Sekurang-kurangnya mereka yang masuk IPTS masih berkeinginan untuk belajar daripada buat aktiviti-aktiviti tak berguna, kan?

Tak ada salahnya dengan IPTS. Apa yang dipelajari di IPTS adalah setaraf dengan IPTA. Kalau kamu gagal mendapat pointer atau CGPA yang baik, tetap tak ada toleransi di situ. Kalau kamu tak belajar dengan bersungguh-sungguh dan tak boleh 'bawa' subjek dalam course yang kamu ambil, kamu tetap kena repeat dan tetap kena habiskan bertahun masa di situ. Moto IPTS bukan ini, 'kamu bangang tahap gaban pun tak apa, yang penting ada duit dan kamu boleh dapat gulungan diploma atau ijazah kamu.' Tolonglah.

Bagi aku, tahap kejayaan seseorang di dalam hidupnya bukan diukur pada di mana tempat dia belajar. Bukannya bererti kalau kamu belajar di IPTA-IPTA terkemuka maka kamu sudah dikira berjaya dalam hidup. Perjalanan masih panjang, kawan. Belum tau apa yang bakal kamu lalui atau hala tuju kamu selepas berjaya menghadiri majlis konvokesyen yang sangat indah itu. Tolong beri perhatian di sini.

Di mana pun kita belajar, yang penting kesungguhan kita belajar hingga membawa kejayaan yang manis itulah yang paling penting. Tempat atau lokasi tak ada bezanya. Tak semestinya kamu belajar di IPTA terkemuka atau IPTS ternama, maka kamu jadikan ia sebagai satu kebanggaan melampau serta kesombongan dalam hidup. Iaitu dengan kata lainnya, IPTA terkemuka bukan faktor kamu memandang rendah pada IPTS dan IPTS ternama pula bukan tempat untuk mengukur status hidup yang eksklusif atau elit. IPTA dan IPTS adalah wadah untuk kita belajar menimba ilmu demi masa depan yang cemerlang. Maka, undilah saya!!

Saturday, June 26, 2010

Ayat kebulur

Di saat ini, betul-betul di saat ini, aku sangat-sangat berkeinginan untuk makan buah durian. Cesss.. kecur air liur aku.

Kalau dapat nanti, aku nak pulun habis-habisan.

Kesian betul.

Thursday, June 24, 2010

Memori 4

Lokasi: Instedt, Taman Tampoi Indah, Johor Bahru.
Tarikh: Jun 1999.

Ada beberapa pilihan kelab atau persatuan dalam senarai waktu itu. Semua orang wajib pilih satu. Sebagai freshies, mestilah lurus bendul sikit. Peraturan semua kena ikut. Kalau dah jadi senior, lainlah. Jadi aku pilih kelab taekwondo. Pilihan lain macam tak best dan boring, kot. Taekwondo macam cool sikitlah, sebab boleh dapat uniform warna putih dengan tali pinggang sekali.

Masa sekolah menengah dulu aku pernah masuk kelab taekwondo, tapi tak lama. Baru ikut kelas latihan sekali saja, lepas itu dah tak ikut lagi. Uniform pun belum sempat dapat. Tak berapa ingat apa penyebab aku tak teruskan ikut kelas lagi. Jadi, waktu di IPT ini aku berharap dapat meneruskan kelas hingga sekurang-kurangnya boleh dapat tali pinggang yang mempunyai warna.

Agak semangat juga nak menghadiri kelas pertama pada hari itu. Uniform belum dapat, jadi cuma pakai seluar sukan dan T-shirt biasa. Kami diarah berkumpul di sebuah premis kosong bersebelahan kolej yang memang sengaja disewa oleh pihak kolej untuk apa-apa aktiviti kolej. Agak ramai juga. Waktu itu, belum begitu kenal dengan pelajar lain lagi. Mujurlah si Maizatulakmal bt Mahmood yang ketika itu juga baru kukenali, turut memilih kelab ini. Ada juga kawan aku.

Bila instructor (aku tak ingat nama dia) sudah datang, dia pun memperkenalkan diri dan memberi sedikit taklimat berkaitan kelab ini. Seterusnya, dia pun menyuruh kami membuat senaman meregangkan badan sebelum mula mengajar kami langkah-langkah dan gerakan-gerakan asas dalam taekwondo. Aku langsung tak ingatlah apa nama-nama semua gerakan itu. Tapi yang pasti, tiap kali buat satu gerakan, kena jerit kuat-kuat ikut nama jenis gerakan itulah. Macam best juga. Maklumlah, dulu di sekolah tak belajar habis. Kemudian, selalu tengok di televisyen sahaja. Berkobar-kobar semangat nak dapat tali pinggang hitam. Amboihh!

Okeh, sekarang kami sudah agak terer sikitlah, kononnya. Jadi, instructor akan mengajar teknik yang lebih canggih sikit iaitu flying kick dengan satu kaki. Hoho, aku suka flying kick sebab boleh action macam pelakon-pelakon lagak ngeri di filem-filem hebat. Instructor ambil sekeping papan macam yang selalu mereka pakai tu, untuk dipecahkan oleh pelajar-pelajar dengan teknik flying kick yang telah diajarkan tadi. Semua orang kena buat jadi semua kena beratur dan tunggu giliran untuk beraksi. Yeah, tak sabarnya aku! Kaki pun dah menggeletar, tak sabar nak pecahkan papan. Hnshh..Hnshh...

Oh, giliran aku sudah tiba. Aku mesti buat yang terbaik. Mesti! Mesti! Kedudukan dah diambil dan dengan kiraan 1, 2..., 3... Woosshhhh!! Aku pun beraksi hebat dengan terbang di udara sambil melayangkan satu, eh, eh, dua kali sekaligus (wahhh, hebatnya! siapa dia tu??) dan........

BUPPP!

Aku jatuh tertiarap macam nangka busuk, okeh! Hebat tak hebat? Orang lain flying kick dengan satu kaki, tapi aku dengan dua kaki! Aku rasa macam nak korek tanah dan sembunyi diam-diam dalam tu. DEM, okeh!

Aku tunggu juga semua orang gelakkan aku, tapi semua senyap dan cuma bagi pandangan sayu dan simpati pada aku. Kamonlah, takkan aku nak nangis kan? Walaupun perut aku senak dan pinggang bagai nak patah, kan? Aku cuma sengih dan bangun dan kibas-kibas baju dan sengih lagi. Oh, terharu sebab tak ada yang gelakkan aku, tapi, oppss! Ada seorang minah yang terkekeh-kekeh gelakkan aku di satu sudut. Kamu tahu siapa?

Dia adalah Maizatulakmal bt Mahmood! Cipan kau!

Dan itu adalah kelas pertama dan terakhir aku bagi kelab taekwondo. Pinggang aku lebam membiru dan yang penting, maruah aku tercalar di situ, okeh!

Uishh.. macam nilah aksi aku masa tu. Terer kan?

Kalau digilap, tentu aku jadi macam ni. Fuhh!

Wednesday, June 23, 2010

Aku kecil vs aku dewasa

Waktu kecil-kecil dulu, aku nak sangat jadi orang dewasa sebab macam best. Boleh buat apa saja yang kita nak tanpa ada orang yang marah atau melarang. Jadi budak kecil tak best sebab selalu ada orang dewasa yang marah atau halang bila kita nak buat sesuatu. Contohnya bila kita masuk dalam gerobok baju mereka dalam usaha menyembunyikan diri semasa bermain sembunyi ibu, mesti kena marah macam apa. Selain itu, beberapa hal yang aku rasakan sangat hebat bila menjadi orang dewasa adalah:
  • orang dewasa boleh naik kereta pergi kerja.
  • orang dewasa boleh kerja dan dapat gaji.
  • orang dewasa boleh beli apa yang mereka nak.
  • orang dewasa boleh suruh-suruh atau perintah budak-budak kecil untuk beli barang-barang di kedai runcit seperti rokok (waktu tu larangan menjual rokok bagi kanak-kanak belum berkuatkuasa), mancis, ubat nyamuk, biskut jem nenas setengah kilo dan air cap badak (kalau bukan aku yang demam).
  • orang dewasa boleh menonton tv sampai larut malam.
  • orang dewasa kalau masuk kedai pilih-pilih barang, tokey kedai tu tak marah pun. Tapi kalau aku yang pegang-pegang barang, mesti dia jegil biji mata. Diskriminasi!
  • orang dewasa boleh pergi ke mana saja yang mereka nak.
  • orang dewasa tak perlu ke sekolah.

Yang best waktu kecil dulu, masa hari raya dan hari-hari terakhir sebelum raya. Boleh test baju dan kasut raya hari-hari depan cermin. Waktu hari raya, boleh jalan jauh-jauh keliling kampung dan mak tak jerit-jerit pun suruh balik macam hari-hari biasa dan yang paling best, boleh dapat duit raya untuk disimpan dalam tabung ayam. Cuti sekolah pun best juga. Boleh main hari-hari dan tak perlu fikir tentang sekolah langsung. Yang tak best kalau kena cuci kasut sekolah atau kerja sekolah belum siap padahal besok sekolah dah nak buka. Lagi satu bila cikgu matematik yang garang suruh hafal sifir 2 sampai 9, tapi tak boleh hafal-hafal pun sedangkan besok cikgu dah nak soal sorang-sorang di depan kelas. Rasanya baik aku mati!!

Tapi bila dah dewasa, dah bekerja, dah kahwin, dah ada anak, anak dan anak, dah ada komitmen yang sangat besar, dah kena fikir semua benda dalam dunia, dah kena bayar itu dan ini, dah kena sediakan baju raya, kasut raya, bag tangan raya untuk anak-anak, dah kena sediakan selepuk duit untuk yuran sekolah tadika anak dan kelengkapan untuk sekolah anak, dah kena jalankan tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan anak pada masa yang sama, dah kena larang dan marah anak-anak bila mereka buat salah, contohnya masuk dalam gerobok baju aku untuk main sembunyi ibu (owwhh, hukum karma memang wujud!), dah kena berpenat-penatan buat kerja-kerja rumah di hari cuti dan dah kena buat SEMUANYA yang orang dewasa kena buat, aku tiba-tiba terfikir untuk jadi budak kecil semula. Bestnya jadi budak kecil sebab:
  • budak kecil tak perlu naik kereta pagi-pagi untuk pergi kerja.
  • budak kecil tak perlu fikir pasal kerja dan tak perlu bengang bila lambat dapat gaji.
  • budak kecil tak perlu pening-pening kepala nak beli macam-macam barang keperluan.
  • budak kecil kalau disuruh pergi beli barang di kedai boleh dapat upah beli jajan mana yang dia suka.
  • budak kecil boleh tidur awal.
  • budak kecil tak perlu susah-susah nak survey kedai mana yang jual barang dengan harga murah, tak perlu bertegang-tegang urat minta kurang harga dengan tokey kedai.
  • budak kecil boleh ikut ke mana saja orang dewasa pergi tanpa fikir hal-hal lain seperti duit minyak, duit makan, duit belanja, duit bla..bla..bla..
  • budak kecil boleh pergi sekolah!!
Aku rasa macam nak kembali ke zaman aku kecil-kecil dulu dan jumpa dengan 'aku' kecil, seterusnya menasihati dia supaya nikmati zaman itu sepuas-puasnya sebab jadi orang dewasa tak BEST langsung!! Haihh..kalaulah boleh..

zaman kalau gaduh dengan kawan main jeling-jeling mata
dan cakap "aku tak nak tegur kau!." Hahah!

Mengomel yang comel

Ermm.. aku ingat aku teguh sangat pendirian. Rupanya tidak.

Baru tiga hari aku dah dua kali tukar template blog ini. Warna cokelat pekat sebelum ini nampak pudar, suram dan buruk bila dibuka di lappy gigi besi walaupun nampak hebat di lappy aku. Cercaan ini datangnya dari mulut si gigi besi tu lah. Aku selalu sangat terpengaruh dengan cakap-cakap budak itu. Macamlah dia tu best sangat. Pelik aku.

Aku rasa, blog aku membosankan sebab tak banyak gambar. Entri tanpa gambar memang agak muram durja. Aku akan cuba untuk memuatnaik lebih banyak gambar selepas ini.

Bercakap tentang pendirian, rasanya aku perlu buat sesuatu untuk jadi lebih teguh. Sekarang (dengan nada orang yang berpendirian teguh), aku mesti sambung buat kerja pejabat aku yang dari tadi tak sudah-sudah sebab asyik mengadap blog ini saja. Pheww!

Tuesday, June 22, 2010

Kamu banyak wang tak?

Wang bukan segalanya.

Aku agak skeptikal dengan pernyataan ini. Ya, benar wang memang bukan segalanya. Tapi kertas bernilai itulah yang banyak mempengaruhi hidup manusia. Impak wang dalam kehidupan manusia waras di muka bumi ini sangat besar. Boleh berikan aku statistik berapa ramai manusia yang menjadi penjenayah tegar hanya kerana radiasi wang itu? Oh, mungkin aku perlu bertanya di balai-balai polis berhampiran.

Banyak kejadian dan peristiwa yang berlaku di sekeliling aku membuatkan aku kadang-kadang membuat kesimpulan, wang boleh jadi segalanya di bumi ini. Kadang-kadang. Dan biasanya, selalu.

Mari bayangkan, kita menjadi manusia yang tidak memiliki walau satu sen pun di dalam poket, dompet, bawah bantal, akaun simpanan atau ASB. Apakah respon yang bakal kita terima dari manusia lain di keliling kita, termasuk ahli keluarga kita sendiri? Adakah kita bakal disanjung puja dan didudukkan di atas tandu lalu diarak ke hulu ke hilir sebagai tanda penghormatan? Tidak, ya. Malah, mungkin kita akan dinaikkan di atas tandu untuk dibuang ke mana-mana gaung atau longkang yang berdekatan.

Bila kita tidak berwang, berapa keratkah manusia yang sanggup mengaku sebagai saudara kita? Kalau kita berwang (bukan beruang, okeh), berapa ramai pula yang muncul dari zaman mana-mana entah, tiba-tiba mengaku sebagai sedara-mara dari belah pakcik menakan adik ipar nenek Timah. Kenal? Entah, aku pun tak kenal.

Bagi aku, wang memang sangat penting. Tapi yang salah adalah orang yang menjadikan wang itu teratas dalam hidup hingga menjadi hamba wang dan melakukan apa sahaja untuk wang. Fuhh, penuh emosi hingga keluar urat tangan waktu menaip ini.

Cuma, aku agak sedih bila ada yang suka membanding-bandingkan antara orang yang berwang dengan orang yang tidak berwang. Bukan kita mahu dilahirkan sebagai manusia sengkek, cuma bila kadang-kadang dalam sebulan pengeluaran melebihi pendapatan, mungkin sebab terlebih shopping atau mungkin sebab keperluan terhadap wang sangat mendesak akibat tanggungjawab yang bertambah, aku rasa kita perlu ada sedikit perasaan toleransi di situ. Jangan mendesak, okeh. Dan tolong, jangan pentingkan diri sendiri, please!

Sikap sesetengah orang itu yang membuat aku kadang-kadang terfikir, wang adalah segalanya. Ah, aku cuma berharap agar kornea mata aku tidak dilapisi dengan simbol $.

Kau gila tak bila ada duit banyak macam ni? Aku rasa
mesti tak sempat nak spend sebab dah kiok pasal terkejut kot..

Monday, June 21, 2010

Aku dan konflik


Oh Tuhan. Aku sedang dalam konflik sekarang. Cuba beritahu aku, manusia mana yang tidak pernah berkonflik sepanjang hidupnya. Hatta seorang bayi pun mempunyai konflik tersendiri dalam hidupnya, agaknya. Konflik aku ini agak rumit atau complicated sekali rasanya bagiku. Konflik dengan individu dan konflik dengan diri sendiri ini sudah cukup membuat aku merasa ada seekor kucing dalam perut aku. Kadang-kadang rasanya macam ada dua ekor kucing sedang bergaduh di dalam sana.

Aku amat berharap pada ketika ini aku boleh mengalami amnesia walaupun untuk 10 minit agar aku boleh melenyapkan semua konflik tak guna ini dari mindaku.


Thursday, June 17, 2010

Cerita rumah

Rumah adalah tempat tinggal. Macam mengajar budak darjah satu. Okeh, mari lebih serius. Sudah menjadi kelaziman, status seseorang kadangkala dinilai berdasarkan jenis, bentuk, harga atau cantiknya rumah seseorang itu. Dengan kata mudahnya, kamu akan dikelaskan sebagai orang kaya jika tinggal di rumah mewah, orang sederhana jika tinggal di rumah yang bertaraf sederhana dan orang miskin jika duduk di rumah yang serba daif. Ini adalah formula yang digunakan di mana-mana tempat di seluruh pelosok dunia. Jadi, kita tidak boleh menyangkalnya lagi.

Sekarang, aku bukan seorang agen menjual rumah, okeh. Ini cuma sebuah tajuk yang aku rasa agak menarik untuk dibahaskan. Cerita tentang rumah. Mari mulakan. Rumah aku biasa saja. Rumah lama milik keluarga yang dibina atas tanah milik sendiri lebih kurang 20 tahun yang lepas. Belum pernah diubahsuai secara besar-besaran pun. Jadi, jangan mengharap untuk menjumpai sesuatu yang pelik-pelik, yang baru pertama kali kamu lihat atau objek-objek terkini di pasaran. Bentuknya pun belum di tranformasikan kepada bentuk yang lebih moden seperti rumah-rumah sekarang. Apalagi bentuk kluster yang menjadi idaman kebanyakan orang sekarang ini. Ia cuma sebuah rumah batu yang agak luas dengan 4 bilik tidur, 2 bilik air dan beranda yang agak besar termasuk sebuah stor yang luas, yang sudah lama dalam perancangan untuk dijadikan sebuah lagi bilik tidur dan ruang rehat tapi sampai sekarang pun belum terlaksana.

Ya, aku masih tinggal dengan keluarga sebab aku cuma 2 beradik tidak termasuk seorang anak angkat yang kini telah pun menetap di Klang bersama keluarga suaminya. Lagipun, rumah itu masih cukup luas untuk Little Rascals aku berguling-guling dan membuat onar. Si gigi besi pula bakal melanjutkan pelajarannya tak lama lagi meninggalkan rumah kami menjadi lebih sunyi lagi. Bapa aku masih bekerja sebagai seorang sub-kontraktor. Emak aku juga masih aktif dengan perniagaannya. Anak-anak aku adalah cucu pertama mereka. Jadi, perancangan aku untuk berpindah ke rumah sendiri terpaksa diperam dahulu sebab emak dan bapa aku tidak sanggup tinggal bersama kesunyian di rumah. Wah, macam intro orang-orang yang nak menceritakan masalah hidup dalam kolum bersama Dang Wangi di surat khabar.

Rumah aku biasa saja. Perabot-perabotnya pun biasa saja. Sudah terlalu sarat dengan perabot hingga tiada perancangan untuk membeli perabot baru akibat tiada tempat lagi. Jangan tanya apa tema atau konsep, okeh. Untuk mencipta tema atau konsep baru di rumah itu, semua perabot dan kelengkapan rumah terpaksa dibuang terlebih dahulu dan menggantikannya dengan segala yang baru-baru untuk menepati konsep baru. Heh, tapikan itu tak mungkin kami lakukan.

Rumah aku biasanya didiami oleh sekurang-kurangnya 8 orang atau maksimum 10 orang. Hah, ramai tak? Mengikut situasi dan kondisi. 8 orang adalah ahli rasmi keluarga aku dan selebihnya adalah pembantu rumah dan pekerja emak aku. Sejak kecil pun rumah kami memang selalu agak meriah. Jadi, bila sesekali rumah kami lengang dan kosong, kami akan terasa janggal seperti duduk di dalam gua atau hutan.

Aku tak tau kenapa aku cerita tentang rumah aku yang sangat biasa itu. Mungkin kerana sejak dua tahun kebelakangan ini aku terkena sedikit kejutan atau shock. Bertemu dengan beberapa rakan yang sedikit taksub dengan hal-hal yang berkaitan dengan rumah (maaf kawan-kawanku). Kelengkapan dan perhiasan rumah, tema dan konsep rumah, kebersihan dan kekemasan rumah, mahal dan murahnya perabot rumah dan segala macam perkara yang menjurus kepada hal-hal rumah. Minta maaflah, aku tak boleh jadi geng kamu semua dalam hal-hal rumah bagai itu. Rumah aku sangat biasa. Ditambah dengan Little Rascals aktif dan produktif yang aku miliki di rumah, menjadikan ia sebagai sebuah tempat yang tak harus dikunjungi oleh kawan-kawanku itu. Ia cuma bakal menjadi bahan ejekan, umpatan dan kejian kerana tidak setaraf dengan kondisi rumah mereka yang sangat elok, bersih dan mewah. Isk, isk.. sedih kan?

Sekarang, masih adakah yang mahu berkawan dengan aku lagi yang tinggal di sebuah rumah yang sangat biasa ini? Oi, tak sedar diri. Bersyukurlah kau ada rumah sebab banyak lagi orang yang tak berumah di luar sana. Oh ya, baru aku sedar.

Rumah aku memang biasa tapi tidaklah sepelik ini.

Monday, June 14, 2010

Memori 3


Lokasi: Blok L 4/2, Apartment Lily & Jasmine, Taman Tampoi Indah, Johor Bahru
Tarikh dan masa kejadian: 26/06/2001 1:00 AM

Aku tak pasti siapa antara kami yang nampak dulu 'objek' itu. Ia memang jelas kelihatan dari koridor dapur unit apartment kami yang terletak di tingkat 4. 'Objek' yang cukup menarik perhatian kami itu cuma diletakkan di hadapan pondok stor menyimpan barang-barang cleaner di kawasan apartment kami. Tak tahu siapa yang bersikap "sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi" itu. Mungkin juga ada antara cleaner di situ yang berhasrat untuk membawa balik 'objek' itu ke rumah dan sengaja meletakkan di situ supaya senang untuk diangkut balik ke rumah nanti. Apa-apalah. Yang penting, kami betul-betul tertarik dengan 'objek' itu.

Kami bukanlah jahat sangat sampai nak ambil barang milik orang tanpa izin. Kan berdosa tu. Jadi, untuk mengelakkan malaikat di bahu sebelah kiri mempunyai senarai baru untuk di tulis ke dalam buku amalan jahat kami, kami sanggup menunggu selama dua hari untuk memastikan 'objek' itu tidak dimiliki oleh mana-mana individu. Kalau 'objek' itu dimiliki oleh seseorang, bermakna ia akan hilang dari pandangan kami dalam tempoh dua hari itu. Jadi, kami harus menunggu.

Setelah dua hari, ternyata 'objek' itu masih di situ. Kompem! Tak ada orang punya! Jadi, malam itu kami telah membuat rapat umum dan merangka perancangan untuk memiliki 'objek' itu. Perancangan dibuat dengan begitu teliti untuk mengelakkan kami terpaksa menanggung apa-apa risiko yang tidak dijangka. Setelah sebulat suara, kami telah bersepakat untuk menjalankan misi penting itu pada waktu tiada orang keluar rumah iaitu tengah malam nanti. Wah, sangat berdebar-debar rasanya.

Bila tengah malam tiba, kami pun bersiap-siap untuk menjalankan misi itu. Kami melangkah turun tangga diiringi dengan lagu latarbelakang dari kartun Pink Panther yang aku nyanyikan secara perlahan-lahan tapi disambut dengan gelak ketawa meriah dari rombongan misi itu. Siot! Boleh bangun penduduk kampung dengan suara mereka yang tak merdu itu. Ada antara rombongan misi itu yang menutup kepala dengan kain apa entah, untuk mengelakkan identiti dari dikenalpasti. Boleh bayangkan tak, betapa penting dan merbahayanya misi kami itu?

Okeh, bila kami dah sampai ke tingkat bawah, tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kaki dan suara-suara yang agak sayup-sayup di kejauhan beserta dengan suluhan lampu suluh. Bila dijenguk di balik dinding, rupanya itu adalah beberapa orang ahli kumpulan perwakilan pelajar yang bertugas untuk berkawal malam bagi memantau aktiviti-aktiviti tidak bermoral oleh pelajar-pelajar di kawasan apartment itu. Kami tak sanggup ditangkap dalam keadaan yang mencurigakan seperti itu. Jadi kami telah melarikan diri secara lintang-pukang beberapa tingkat ke atas semula. Fuhh, mencabar betul!

Bila keadaan telah kembali terkawal, kami pun meneruskan pelan perancangan kami tadi. Seram seh. Macam nak buat jenayah besar. Bila kami yang seramai 6 orang itu semakin hampir ke arah 'objek' sasaran itu, keadaan semakin mendebarkan. (Sila bayangkan ada lagu Ghost oleh Michael Jackson sebagai latarbelakang cerita ini).

DEM!! Aku tak boleh tahan gelak. Serious! Lawak gila!

Gelak aku terhambur tanpa ada kawalan lagi bila melihat objek itu dari dekat. Aku kalau dah gelak, sangat buruk bunyinya. Sampai terduduk ke tanah. Aku betul-betul tak boleh bergerak dari posisi aku pada waktu itu. Perut aku mengejung dan mengeras pada tahap maksima. Yang aku hairan, ahli rombongan yang lain tak bergelak sakan pun macam aku. Masing-masing dengan muka ketat. Mungkin aku dilahirkan dengan urat gelak yang sedikit tergeliat.

Maizatulakmal bt Mahmood dan Nurul Afiza bt Kamarudin adalah dua individu yang bertugas mengangkat dan melarikan 'objek' itu dengan penuh semangat kesukanan. Mereka dengan gagah mengangkat 'objek' itu dan melarikannya dengan kelajuan maksimum tanpa memandang kiri-kanan. Aku betul-betul sudah mengeras dengan kejung akibat ketawa yang melampau. Bila ahli rombongan yang lain dah agak jauh meninggalkan aku, baru aku boleh bergerak dan bangun perlahan-lahan sebelum berlari menyaingi mereka semua untuk naik ke tingkat atas. Dan sepanjang itu juga gelak aku masih berbaki.

Akhirnya, rak pinggan berkarat (yang kelihatan begitu sempurna bila dilihat dari jauh) dan dibuang oleh siapa entah itu, telah selamat mendarat di lantai dapur kami.

Ya, akhirnya kami telah memiliki sebuah rak pinggan di dapur kami.

Satu kebanggan buat kami yang sengkek dan tak mampu membeli rak pinggan.

Dedikasi indah buat ahli rombongan misi: Maizatulakmal bt Mahmood, Nur Hasnita bt Jalalludin, Nur Hanani bt Abd Hamid dan Nurul Afiza bt Kamarudin.

Friday, June 11, 2010

HAMPA


Sepi di luar. Sepi menekan mendesak.
Lurus kaku pohonan. Tak bergerak
Sampai ke puncak. Sepi memagut,
Tak satu kuasa melepas-renggut
Segala menanti. Menanti. Menanti.
Sepi.
Tambah ini menanti jadi mencekik
Memberat-mencekung punda
Sampai binasa segala. Belum apa-apa
Udara bertuba. Setan bertempik
Ini sepi terus ada. Dan menanti.

Chairil Anwar

Oh, bukan aku yang menulis puisi ini, okeh. Tetapi Chairil Anwar. Kan aku dah tulis namanya di atas tu. Chairil Anwar adalah penyair terkemuka Indonesia yang sangat aku kagumi dan gemari. Ada sesiapa yang tak kenal? Humpphh... Okeh, tak apa. Untuk menambahkan ilmu pengetahuan am kepada kamu, aku sisipkan sedikit info dan fotografi berkaitan penyair hebat ini. Sila..

Inilah dia Chairil Anwar, tak tampan barangkali tapi beliau adalah inspirasi bagi yang tahu menikmati indahnya seni. Sangat berinspirasi manusia ini. Beliau juga meninggal dunia dalam usia yang terbilang muda.

Buku yang menghimpunkan karya-karya beliau semasa masih hidup. Dengan nada sedikit riak, aku nak bagitahu yang aku ada menyimpan buku ini di dalam gerobok buku aku di rumah. Aku beli di Pekanbaru, Riau sewaktu berkunjung ke sana pada 2003 yang silam.

Aku pun tak tahu langsung tentang lelaki ini sehinggalah aku menonton filem 'Ada Apa Dengan Cinta' yang ada menunjukkan sebuah buku karya beliau di dalam salah satu babak dalam filem itu. Kebetulan sewaktu mengunjungi sebuah kedai buku yang sangat besar di sana (Gramedia), aku terjumpa buku ini yang membuat aku menjadi sangat teruja. Aku memang ulat buku dan sanggup menghabiskan waktu berjam-jam lamanya di dalam kedai buku. (Eh, tak ada orang tanya pun).

Kisah hidup lelaki ini agak menarik. Kalau nak tahu lebih lanjut tentang si lagenda ini, kamu boleh rujuk ke sini: Chairil Anwar

Mmm..informatif tak aku? Oh ya. Puisi di atas juga sedang menggambarkan situasi hati aku sekarang ini. Tepat pada waktu ini.

Hampa.

Thursday, June 10, 2010

Kalau bukan konservatif, apa ya?

Masih ingatkah pada makcik bermulut longkang yang aku ceriterakan kisahnya dalam entri bertajuk konservatifnya minda? Okeh, sebetulnya aku malas nak mengingat atau menyimpan apa-apa data atau memori tentang makcik yang sesuai bekerja dalam bidang kontraktor longkang tersebut. Tetapi, kedatangannya ke rumah aku untuk sekali lagi berjumpa dengan emak aku beberapa malam yang lepas telah menyumbang kepada terpublishnya entri ini. Bagus juga. Kebetulan aku turut ketandusan idea untuk menulis ditambah lagi dengan kesibukan maha dahsyat dengan kerja-kerja di pejabat. Serious. Sangat sibuk.

Kali ini aku terpaksa duduk berdepan dengan makcik ini berikutan pada waktu dia datang menerjah rumah aku pada malam itu, aku sedang bersantai ria di depan televisyen dengan si gorjes Rayyan dan si kembar cantikku. Kebetulan (aku benci kebetulan), emak aku masih berada di dalam bilik air. Tak manis pula kalau aku melarikan diri meninggalkan dia terpinga-pinga kehairanan di ruang tamu. Padahal itulah yang nak sangat aku lakukan. Tanpa membuang masa, makcik itupun memulakan ucapan pembukaan majlis. Betapa aku berharap pada waktu itu telinga aku gagal berfungsi seperti biasanya. Pada waktu itu sahaja.

Makcik: "Kau kerja tadi?"

Aku: "A'ah."

Makcik: "Haii, buat apalah kau kerja. Duduk rumah ajelah."

*Ketap gigi*

Aku: "Makcik, kalau saya duduk rumah, tak dapat duit. Kalau saya kerja, boleh dapat duit."

Aku rasa ayat itu sudah cukup senang untuk difahami. Ringkas dan padat.

Makcik: "Suami kau kan ada. Habis, dia buat apa aje?"

Memang sah makcik ni jenis tak faham bahasa. Aku tak sedar kepala aku dah sedikit menggigil dan terasa sedikit membesar. Kaki pun rasanya dah tak berapa jejak di lantai. Kamu pun tahu kan aku ini sangat berbahang orangnya. Ah, terlalu sopan istilah 'berbahang' itu buat aku.

Aku: "Tak salah cari duit lebih, makcik."

Masih dalam nada yang sangat sopan. Emak aku ajar, kita mesti santun dalam berbicara dengan orang tua. Tapi, orang tua yang seperti ini? Terasa kebas kulit muka aku menahan geram di dada.

Makcik: "Kesiannn.. dah tak terurus budak-budak ni mak dia kerja."

Aku pandang rambut si kembar cantik yang belum bersikat. Dia tak tau aku tak suka suka sikat rambut mereka bila masih basah. Selain merosakkan struktur rambut, sikat boleh patah sebab rambut mereka sangat kusut ketika basah. Dan aku akan membebel berbakul-bakul bila situasi itu terjadi. Aku panggil rambut mereka sebagai tali jerami atau tali kapal bila disikat dalam keadaan basah. Dia tak tau semua tu.Dia tak tauuuuu!!

Aku: "Baru lepas mandi, makcik."

Kemudian emak aku datang menyelamatkan keadaan. Oh, aku sayang mak aku lebih pada malam itu. Emak aku tau aku sangat bengkeeeek dengan makcik itu. Jadi, soalan-soalan yang dilontarkan oleh emak aku adalah untuk menyedarkan diri makcik yang tak sedar akan dirinya sendiri. Dia bukan pitam atau pengsan, ya.

Emak: "Anak akak kerja mana?"

Sedikit info, anak perempuan makcik ini sudah berkahwin, okeh.

Makcik: "Dulu kerja *Jesco. Sekarang dah nak pindah kilang minyak kelapa sawit."

*Jesco - aku rasa dia maksudkan Jusco di situ. Muahahahahahhhh!!

Uhhh.. anak dia kerja tak kecoh pula! Aku rasa makcik ini sudah kehilangan semua deria penting pada tubuh badannya.

Emak: "Dah makin tua ni, penat betul bila buat kerja ya, kak."

Makcik: "A'ah. Kau tau aku dah tiga bulan kerja?"

Aku dan si gigi besi berpandangan. Penuh sinis.

Emak: "Hah, kerja mana kak?"

Makcik: "Kat sekolah menengah tu."

Hah, jadi cikgu ke makcik ni? Atau pengetua sekolah?

Makcik: "Penatlah aku. Balik rumah nak buat kerja rumah lagi. Tak larat betul rasanya."

Aku dan gigi besi berlari masuk ke bilik sambil memegang perut, menahan gelak. Dari dalam bilik, suara emak dan makcik itu berbual masih kedengaran.

Emak: "Akak kerja apa kat sekolah tu?"

Makcik: "Cleaner. Penat sangat. Kadang balik rumah tak larat nak buat kerja lain lagi. Tapi terpaksa juga buat. Masak, basuh baju lagi. Tapi kalau aku tak kerja, duduk rumah je, aku tak dapat duit.."

Aku rasa, pada waktu itu kami hampir pengsan bergelak ketawa secara besar-besaran di dalam bilik. Sekuat-kuat hati.

Secara spontan aku 'terkata': "Bodooohhhhh!!"

Untuk siapa bodoh itu aku tak pasti. Tapi, itulah lawak paling bodoh pernah aku dengar. Kisah lawak tentang makcik cleaner yang tak berapa nak sedar diri. Tak patut dia nak kasihan kat aku sebab dia yang sepatutnya dikasihani. Maafkan aku, tuhan. Maafkan aku, makcik.

Dalam gelak ketawa tak ingat dunia itu, aku sempat terbayang makcik itu berkata: "Mengata dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih."

Hahahahahaha....

p/s: sampai sekarang aku masih tak faham, kenapa agaknya makcik itu sangat tak berpuas hati bila aku bekerja ya?

Friday, June 4, 2010

Kenapa aku tak jadi doktor

Sewaktu kecil, emak aku ajar kalau cikgu tanya apa cita-cita kamu, mesti jawab doktor. Waktu itu aku fikir semua budak kecil akan jawab benda yang sama. Jadi aku akan jawab doktor setiap kali aku ditanya dengan soalan itu. Tapi rupanya ada cita-cita lain selain dari doktor. Itupun setelah mendengar jawapan dari kawan-kawan sekelas. Aku ingatkan semua budak kecil akan dipaksa menjadi doktor bila dewasa.

Disebabkan telah 'dipaksa' untuk menjadi doktor sejak kecil, aku turut membesar dengan cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Alah, selain aku pun mesti ramai dari kamu semua yang ada cita-cita untuk jadi doktor satu masa dulu kan? Peliklah kan, kenapa mesti doktor? Bukankah banyak lagi profesyen lain yang juga tak kalah mulia dengan doktor? Mungkin sebab jubah doktor berwarna putih tu yang menarik minat ramai orang. Andaian aku lah. Tapi, bila tengok doktor dengan jubah putih tu, mesti rasa kagum dan teruja, kan?

Sayangnya, seperti kebanyakan orang lain yang turut bercita-cita menjadi doktor tapi tersasar ke profesyen lain, aku juga turut tergolong dalam golongan itu. Dem! Malah, jurusan yang aku ambil di institusi pengajian tinggi turut menyimpang jauh dari lingkungan kedoktoran. Allah telah menentukan jalan hidup hamba-hambaNya kan? (Seperti biasa, ayat untuk memujuk diri sendiri. Rasa sedikit lega sekarang).

Walaupun aku yakin Allah sememangnya telah mengatur jalan hidup hambaNya (kebetulan aku juga merupakan seorang hemophobia), tetapi aku rasa ada beberapa perkara yang turut menyumbang kepada tajuk di atas. Dengan penuh keikhlasan aku akan nyatakan di sini, okeh.

Okeh. Aku sangat bagus dalam menghafal dan mengingat fakta. Aku juga bagus dalam mengarang dan menulis serta sangat meminati subjek Bahasa Inggeris. Jadi biasanya aku boleh score dalam subjek Sejarah, Agama Islam, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Sayangnya aku sangat lemau dalam subjek mengira seperti Matematik Moden dan SEMESTINYA Matematik Tambahan (ohh, sebut nama pun aku nak pengsan).

Imej buku teks Matematik Tambahan yang menyeramkan

Jadi sewaktu dalam Tingkatan 4 dan 5 Sains, aku berasa bahawa subjek tersebut boleh membunuh aku dan disebabkan itu, aku 'menjauhkan' diri darinya. Yalah, mestilah jauhkan diri dari sesuatu yang membahayakan diri dan mengancam keselamatan kan? Dan antara cara-cara aku menjauhkan diri dari benda bahaya ini adalah dengan jarang sekali membuat kerja-kerja rumah yang diberikan oleh Cikgu Mariawati dan Cikgu Sahalan. Serious! Sumpah, aku memang jarang buat kerja rumah Matematik Tambahan yang cikgu beri. Aku dah cuba buat tapi bila dah habis menyalin soalan dan otak aku mula berbelit dan mula membengkak untuk mencari idea apa yang perlu aku jawab di situ (siot betul situasi itu), aku akan hentikan dengan segera. Ini pun untuk mengelakkan otak aku dari tercedera dengan parah. Tapi aku akan buat semua kerja rumah yang aku tak buat sekaligus dalam satu hari bila cikgu suruh hantar buku latihan Matematik Tambahan. Hebat kan? Heh, itupun dengan 'menempah' dan meminjam buku latihan budak paling pandai dalam kelas aku, Tzyy Chyun, dan menyalinnya dari kulit ke kulit. Kulit ke kulit tanpa terkecuali, okeh. Erk, kenapa cikgu tak pernah panggil aku untuk bertanya, kenapa awak terlalu hebat menjawab soalan latihan di dalam buku latihan tetapi sangat menjengkelkan saya bila menanda kertas jawapan awak semasa ujian bulanan dan peperiksaan akhir tahun? Mmm, aku tak pasti kenapa cikgu tak pernah panggil aku. Baru aku rasa musykil sekarang.

Kata Cikgu Sahalan, kalau awak rasa nak tidur semasa saya mengajar, awak boleh tidur. Kelas saya hanya untuk orang yang mahu belajar sahaja. Aku tak pasti aku di dalam golongan yang mana. Mungkin kedua-duanya sekali. Jadi aku akan buka buku teks Matematik Tambahan dan menegakkan buku itu di hadapan muka aku dan aku akan tidur di sebalik buku teks itu. Mungkin satu hal yang tak sepatutnya dibanggakan dan dikagumi. Cuma aku kagum sebab pada waktu itu, aku duduk di barisan paling hadapan sekali. Macam mana aku boleh buat macam tu pada waktu itu? Dan sekali lagi aku musykil.

Bersambung..

Related Posts with Thumbnails