Friday, June 4, 2010

Kenapa aku tak jadi doktor

Sewaktu kecil, emak aku ajar kalau cikgu tanya apa cita-cita kamu, mesti jawab doktor. Waktu itu aku fikir semua budak kecil akan jawab benda yang sama. Jadi aku akan jawab doktor setiap kali aku ditanya dengan soalan itu. Tapi rupanya ada cita-cita lain selain dari doktor. Itupun setelah mendengar jawapan dari kawan-kawan sekelas. Aku ingatkan semua budak kecil akan dipaksa menjadi doktor bila dewasa.

Disebabkan telah 'dipaksa' untuk menjadi doktor sejak kecil, aku turut membesar dengan cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Alah, selain aku pun mesti ramai dari kamu semua yang ada cita-cita untuk jadi doktor satu masa dulu kan? Peliklah kan, kenapa mesti doktor? Bukankah banyak lagi profesyen lain yang juga tak kalah mulia dengan doktor? Mungkin sebab jubah doktor berwarna putih tu yang menarik minat ramai orang. Andaian aku lah. Tapi, bila tengok doktor dengan jubah putih tu, mesti rasa kagum dan teruja, kan?

Sayangnya, seperti kebanyakan orang lain yang turut bercita-cita menjadi doktor tapi tersasar ke profesyen lain, aku juga turut tergolong dalam golongan itu. Dem! Malah, jurusan yang aku ambil di institusi pengajian tinggi turut menyimpang jauh dari lingkungan kedoktoran. Allah telah menentukan jalan hidup hamba-hambaNya kan? (Seperti biasa, ayat untuk memujuk diri sendiri. Rasa sedikit lega sekarang).

Walaupun aku yakin Allah sememangnya telah mengatur jalan hidup hambaNya (kebetulan aku juga merupakan seorang hemophobia), tetapi aku rasa ada beberapa perkara yang turut menyumbang kepada tajuk di atas. Dengan penuh keikhlasan aku akan nyatakan di sini, okeh.

Okeh. Aku sangat bagus dalam menghafal dan mengingat fakta. Aku juga bagus dalam mengarang dan menulis serta sangat meminati subjek Bahasa Inggeris. Jadi biasanya aku boleh score dalam subjek Sejarah, Agama Islam, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Sayangnya aku sangat lemau dalam subjek mengira seperti Matematik Moden dan SEMESTINYA Matematik Tambahan (ohh, sebut nama pun aku nak pengsan).

Imej buku teks Matematik Tambahan yang menyeramkan

Jadi sewaktu dalam Tingkatan 4 dan 5 Sains, aku berasa bahawa subjek tersebut boleh membunuh aku dan disebabkan itu, aku 'menjauhkan' diri darinya. Yalah, mestilah jauhkan diri dari sesuatu yang membahayakan diri dan mengancam keselamatan kan? Dan antara cara-cara aku menjauhkan diri dari benda bahaya ini adalah dengan jarang sekali membuat kerja-kerja rumah yang diberikan oleh Cikgu Mariawati dan Cikgu Sahalan. Serious! Sumpah, aku memang jarang buat kerja rumah Matematik Tambahan yang cikgu beri. Aku dah cuba buat tapi bila dah habis menyalin soalan dan otak aku mula berbelit dan mula membengkak untuk mencari idea apa yang perlu aku jawab di situ (siot betul situasi itu), aku akan hentikan dengan segera. Ini pun untuk mengelakkan otak aku dari tercedera dengan parah. Tapi aku akan buat semua kerja rumah yang aku tak buat sekaligus dalam satu hari bila cikgu suruh hantar buku latihan Matematik Tambahan. Hebat kan? Heh, itupun dengan 'menempah' dan meminjam buku latihan budak paling pandai dalam kelas aku, Tzyy Chyun, dan menyalinnya dari kulit ke kulit. Kulit ke kulit tanpa terkecuali, okeh. Erk, kenapa cikgu tak pernah panggil aku untuk bertanya, kenapa awak terlalu hebat menjawab soalan latihan di dalam buku latihan tetapi sangat menjengkelkan saya bila menanda kertas jawapan awak semasa ujian bulanan dan peperiksaan akhir tahun? Mmm, aku tak pasti kenapa cikgu tak pernah panggil aku. Baru aku rasa musykil sekarang.

Kata Cikgu Sahalan, kalau awak rasa nak tidur semasa saya mengajar, awak boleh tidur. Kelas saya hanya untuk orang yang mahu belajar sahaja. Aku tak pasti aku di dalam golongan yang mana. Mungkin kedua-duanya sekali. Jadi aku akan buka buku teks Matematik Tambahan dan menegakkan buku itu di hadapan muka aku dan aku akan tidur di sebalik buku teks itu. Mungkin satu hal yang tak sepatutnya dibanggakan dan dikagumi. Cuma aku kagum sebab pada waktu itu, aku duduk di barisan paling hadapan sekali. Macam mana aku boleh buat macam tu pada waktu itu? Dan sekali lagi aku musykil.

Bersambung..

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails