Showing posts with label monolog diri. Show all posts
Showing posts with label monolog diri. Show all posts

Friday, May 10, 2013

Sabar dan pelangi

Baiklah. Aku memang bukan blogger tegar. Bukak blog seminggu sekali. Update blog sebulan sekali. Pemalas bukan tahap gaban je, tapi kesatria baja hitam. Ok, tak lawak.

Lately, banyak benda yang jadi. Tapi macam biasa, aku bukan jenis yang buat blog macam jurnal hidup. Tak macam kebanyakan blogger yang kau rasa boleh kenal dia luar dan dalam dengan baca blog dia je, sebab semua benda dia war-warkan dalam tu.

Aku taknak cerita pasal pilihanraya umum. At least, lagu Jom Kita Mengundi by Tomok, Black dan 2 orang pompuan yang aku tak ingat nama tu dah takde tayang lagi kat TV. Kot tak, kau boleh dengar sape-sape je dalam rumah ni sambil buat kerja pun boleh hummingkan lagu tu. Termasuk aku, ok. Baru dengar 3 kali aku dah boleh hapal lirik. Dan nyanyi penuh semangat sambil basuh pinggan. Oh-oh, dan nyanyi secara berjemaah dengan si kembar. (-_-"

Dan ini, yakni mengupdate blog di tengah malam buta adalah 1 keadaan yang luar biasa.

Hurmm..
Korang pernah tak rasa, bila korang terlalu bersabar dalam apa-apa pun perkara, nanti hujung-hujungnya korang akan harapkan ada pelangi yang muncul? Aku, ya. Bila aku rasa aku cukup sabar bertahan dalam apa situasi sekalipun, walaupun aku mampu untuk buat benda yang jauh lebih baik kalau aku tinggalkan benda yang aku tengah buat tu, secara automatik mesti aku akan sedapkan hati sendiri dengan keyakinan yang pelangi akan muncul kat hujung kesabaran tu. Kadang-kadang tu memang ada pelangi. Dan kadang-kadang pelangi tu tak muncul-muncul. Kadang-kadang jugak, pelangi tu muncul kejap je. Lepas tu hilang pelan-pelan.

Ni apa kes pulak berfalsampah tengah-tengah malam buta ni ye?

Tapi aku yakin, setiap kesabaran tu mesti ada ganjaran yang manis menanti. As long as benda yang kau sabarkan tu eloklah. Kalau dah tak sabau-sabau nak curik durian Tok Mail malam karang dengan geng-geng kau tu lain cerita la. Manis yang kau dapat lain pulak rasanya.

Dah sepelaung aku merepek. Sebelum berpanjangan lagi sedepa, ada baiknya aku undur diri.

dah tak tau nak letak gambar apa, ni kira boleh lah..

Wednesday, June 8, 2011

Bila seseorang menyuruh aku kembali tersenyum

Betullah. Hidup akan jadi berat dan perit bila kita sendiri yang memberatkan dan memeritkannya. Hal yang sebenarnya sangat ringan, kecil dan remeh-temeh akan jadi berat, besar dan kompleks bila kita sendiri yang menentukan ia harus jadi sedemikian rupa. Memaksa diri dan fikiran untuk berfikir sesak tentang sesuatu yang tak wujud atau berusaha keras untuk mengadakan sesuatu yang tak ada dan susah untuk direalisasikan menjadikan kau seorang pewaris si berat senyum dan si pemikir kusut. Hilang seri di wajah dan perginya tawa yang manis.

Betullah. Aku yang terlalu menanggapi hal-hal biasa ini dengan terlalu radikal. Hingga aku hilang sesuatu dalam diri sendiri. Dan kadang kala hilang dalam kembara jiwa yang lara.

Aku sendiri yang cipta kalut dalam hidup.

Seharusnya aku kuat. Seharusnya aku senyum, senyum dan senyum dengan seikhlasnya.

Wednesday, May 18, 2011

Stuck

Kadang-kadang dalam hidup ni, kita akan jumpa satu titik di mana tiba-tiba kita rasa hidup kita ni tak ada makna apa-apa. Tak tau apa sebenarnya pencapaian yang kita dah dapat selama ni. Tak tau ke mana arah tuju kita lepas ni. Tiba-tiba kita rasa macam semuanya sia-sia. Macam hidup ni dah tak ada gunanya lagi. Stuck kat satu tempat dan tak tau apa nak buat.

Biasanya itu akan hilang bila bersimpuh atas sejadah dan bercakap dengan Allah. Ataupun sejukkan hati dengan tengok muka innocent anak-anak. At least itu akan buat kita tau apa tujuan sebenar kita hidup.

Allah memang tak jadikan semua hambaNya bertuah dan bernasib baik dalam hidup. Aku kena terima kenyataan itu.

Friday, January 21, 2011

Aku: Homo Sapiens

Aku taulah tak ada manusia yang sempurna dalam dunia ni. Aku tau juga kadang-kadang sebagai manusia biasa yang tidak dijanjikan syurga macam Rasulullah kita, aku selalu juga rasa yang aku ni lebih baik dan sempurna daripada orang lain walaupun pada orang lain tak sebegitu pandangannya. Heh, semua orang pun pernah dan selalu rasa macam tu. Jangan nak tipu. Aku pun tau, aku selalu bagi pandangan negatif pada orang-orang yang selalu memandang rendah dan hina pada orang lain sebab status, sejarah hidup atau perangai buruk orang tu, sebab aku rasa manusia semuanya pernah buat silap. Ada sisi terang dan gelap masing-masing.

Tapi bila aku dah alami sendiri perkara di atas, iaitu berhadapan dengan manusia yang status dirinya rendah dan hina, sejarah hidupnya busuk dan buruk, perangainya yang hitam legam dan tak ada tanda nak berubah sampai berjaya memporak-perandakan sebuah situasi yang dulunya aman, aku tak boleh halang diri aku sebagai manusia biasa yang memandang rendah pada orang lain sebab status, sejarah hidup atau perangai buruk orang tu, sebab aku: homo sapiens biasa. Ada sisi terang dan gelap aku sendiri.

Tuhan, ampunkan aku.

Friday, January 7, 2011

Melayan perasaan

Aku sedang merindui detik-detik manis yang terlalu indah untuk dikenang hingga membuatkan hati berbunga-bunga manis, pada beberapa musim yang lalu.

Yang aku tak pasti adakah mungkin ia boleh berulang kembali.

Euwwww. Melankolislah konon. Geli je.

Wednesday, December 22, 2010

Sempurna

Hey, dengar sini.

Kamu carilah di mana-mana pun pelosok dunia, kembara ke serata benua dan rantau, berenang di tujuh hamparan segara, berterawang di tujuh lapis langit atau menggali sedalam tujuh lapisan tanah sekalipun. Percayalah. Kamu  tak akan jumpa walau secarik atau sekelumit pun manusia yang penuh kesempurnaan. Tak akan.

Jadinya, jangan harapkan walau sedikitpun, aku adalah salah seorang manusia sempurna yang bakal kamu jumpa dalam pencarian itu. Mengharapkan aku menjadi sempurna untuk diri kamu adalah satu anganan mustahil sebab kamu sendiri tak ada kesempurnaan itu. 

Maka, terimalah aku seadanya. Seadanya aku. 

Dan jangan lupa. Syukuri itu.


Tuesday, November 30, 2010

Gegaran jiwa

Berdepan dengan manusia yang selalu merasa dirinya saja yang betul membuat aku merasa lemah dan mual. Rasa bisa menyengat dalam jiwa dan otak, sengal-sengal macam digigit binatang buas.

Golongan begini biasanya mata dan mindanya dah disetkan untuk mengesan kesalahan orang lain semata-mata. Tak pernah nak sedar kekurangan dan kekhilafan diri sendiri sampai ada kamikaze yang berani menegur, barulah dia tersedar (sekejap).

Tapi tiada yang berada di puncak kesebalan dan kejengkelan aku selain dari bersemuka dengan manusia yang tak tahu nak menjaga perasaan orang lain. Di kala kita selalu berusaha sedaya upaya untuk tidak melukakan atau mengecilkan hati orang lain di sekeliling kita hingga kadangkala kita sendiri yang terluka, wujud pula kelompok mahkluk yang ditakdirkan tidak dikurniakan dengan apa yang kita panggil perasaan dan rasa segan.

Hoi, tak ada satu pun yang sempurna di muka bumi ini lah.
Alpa pula aku.

Tapi rontaan jiwa sebaiknya diluahkan dari bernanah dan membusuk di dalam sana.

Saturday, November 20, 2010

Hakikat

Aku dah lama tau tentang satu ungkapan ni, "kita takkan boleh dapat semua yang kita nak".

Tapi baru sekarang aku betul-betul rasa pengertiannya dengan begitu mendalam dan menusuk jiwa.

Sakit, dol!!

Friday, November 19, 2010

Cetusan melankolik

Aku tak pasti macam mana dengan orang lain tapi aku selalu mengalami hal-hal yang begini.

Ada sesetengah bau yang aku cium terutamanya bau udara, bau suasana atau bau khas sesetengah tempat, akan masuk ke dalam hidung aku dan secara automatik menghantar mesej kepada otak aku untuk mengigatkan aku tentang sesuatu yang berkaitan dengan bau itu. Contohnya ada bau yang akan mengingatkan aku dengan kampung halaman, rumah nenek aku, rumah emak-emak saudara aku dan tempat-tempat lain yang biasanya adalah tempat-tempat yang penuh nostalgia. Ada juga bau yang mengingatkan aku dengan zaman kanak-kanak aku dan juga mengingatkan aku dengan orang-orang yang pernah rapat atau pernah wujud dalam hidup aku.

Selain bau, sesetengah dendangan lagu turut memberi impak yang sama pada aku. Contohnya bila aku mendengar lagu ini, akan mengingatkan aku kepada itu. Biasanya lebih kepada memori-memori silam yang pernah aku lalui dalam hidup. Bila dah begitu, mulalah melayan perasaan. Satu demi satu kenangan-kenangan tu akan diulang tayang dalam minda aku. Dan biasanya, beberapa situasi yang selalu mewujudkan suasana melankolik sedemikian rupa selalunya berkaitan dengan kenangan-kenangan sewaktu masih belajar di sekolah, IPT dan juga kenangan sewaktu masih kecil dengan adik-adik aku. Oh, sangat nostalgik!

Ada ke yang turut melalui apa yang sesekali aku lalui ini?

Contoh gambar yang boleh mencetuskan rasa sayu bagi aku.


Contoh gambar yang boleh mencetuskan perasaan
insaf dan takut kepada aku dan kamu. Mari insaf!

Monday, July 12, 2010

Tentang dia (lagi)

Aku tak dapat lari dari bercerita tentang pemergian si gigi besi yang sangat membekas dalam jantung hati aku. Walaupun baru genap satu hari si gigi besi berhijrah ke Shah Alam, aku sudah hilang arah seperti kompas hilang magnet. Entah kenapalah pemergiannya kali ini betul-betul menyebakkan jiwa dan melarakan hati. Bukan dia tak pernah pergi jauh pun. Malah lebih jauh berganda dari ini pun pernah. Tapi disebabkan aku tahu tempoh dia bakal mengikat perut bila poket dah kering itu adalah selama 3 x 365 hari, maka itulah aku agak sentimental sikit kali ini.

Hoh, macam putus cinta pula aku ni.

Tapi, sumpah. Setiap detik yang berlalu, minda dan ingatan aku asyik terfokus pada budak kecil yang bergigi besi itu. Setiap memori yang pernah tercipta antara kami, satu persatu terlayar dalam fikiran aku macam ada projektor yang menayangkan semuanya. Bila terpandang semua benda yang ada kaitan dengan dia seperti berus gigi, bantal busuknya, bilik tidurnya yang macam kandang ular hatta besi buruk sekalipun, semuanya memusatkan pemikiran aku pada dia.

Dia satu-satunya adik kandung aku. Kami dah lalui bermacam-macam bersama. Pahit, manis, kelat, masam, masin, wangi, busuk. Lebih banyak dari reseptor rasa pada lidah kita. Aku risau sebab aku tak ada teman shopping yang paling best lagi dalam dunia ni. Aku rasa dia sedang alami perasaan yang lebih kronik dari aku sekarang. Sebab dia selalu anggap aku ni sebagai penasihat dia dalam banyak perkara. Dari pilih jenama berus gigi sampailah ke gadjet-gadjet canggih, semuanya dia minta petunjuk dari aku. 

Secara tiba-tiba semua lagu-lagu sedih yang melankolik dan mendayu-dayu turut menyumbang kepada kesayuan hati yang maha dahsyat kepada aku. Aku kembali ke zaman muda-muda, ketika baru kenal cinta pertama, di mana semua benda yang aku buat tak tentu arah rasanya. Kamu pernah rasa tak pelbagai variasi perasaan ketika sedang dilamun cinta? Apalagi ketika sedang ada masalah dengan si dia atau lebih teruk lagi ketika putus cinta. Begitulah lebih kurangnya perasaan aku sekarang, cuma lebih mendalam sebab si gigi besi adalah darah daging aku yang begitu rapat, berkongsi hampir semuanya dan tak pernah berpisah begitu lama.

Perasaan cengeng aku bertambah-tambah bila si gorjes Rayyan yang tak mengerti apa-apa sering tercari-cari babysitternya yang dipanggil mummy itu. Rayyan sering masuk ke bilik mummynya dan seolah-olah hairan bila seharian tak nampak langsung kelibat mummynya. Bila tak ada dalam bilik, ditariknya aku ke luar rumah, seolah-olah menunggu bunyi kereta mummynya pulang dari mana-mana. Bila aku menelefon si gigi besi tadi dan memberi peluang kepadanya untuk bercakap dan mendengar suara Rayyan, bukan main si gorjes Rayyan ketawa terbahak-bahak hingga terbatuk-batuk dia setiap kali mendengar suara mummynya. Dan si gigi besi pun menangis lagi untuk kesekian kalinya.

Panjang eh aku bebel tentang si gigi besi itu. Maaflah jika ada yang bosan membaca. Maklumlah, sejak dua tiga menjak ini, kebanyakan entri aku banyak bercerita tentang dia. Tapi, peduli apa aku. Blog aku, suka akulah nak cerita apa pun.

Gigi besi, walaupun kau banyak perangai buruk contohnya yang paling aku tak tahan suka kentut terabur dengan bau membunuh, pemarah dan kepala angin (aku macam tak boleh terima kalau ada orang yang pemarah dan berkepala angin selain dari diri aku sendiri, hehe) dan yang paling selebet, suka melombong bijih dan menyelet hasilnya di mana-mana sahaja, aku tetap sayang gila kat kau, dol! (Dol adalah panggilan manja aku padanya kadangkala, hasil singkatan Badol atau Samdol.)

Kau jangan buat perangai buruk kau kat sana. Aku berani jamin kau tak banyak kawan nanti. Gila!

Tiba-tiba rasa sayu gila bila tengok gambar ni.


Saturday, July 10, 2010

Selamat jalan, budak kecil!

Semakin dekat detik itu sampai, semakin berkabut jantung hatiku.


Rasanya macam ratusan duri dan jarum peniti menusuk-nusuk ke seluruh pelusuk perut naik ke kerongkong. Pedih, ngilu. Pahit dan kelat. Kamu pernah rasa tak?


Itu yang sedang aku rasakan di kala ini. Menanti detik-detik terakhir sebelum si gigi besi bakal meninggalkan rumah dan segalanya di JB ini sebelum menukar angin di Shah Alam, Selangor. Pergilah, gigi besi. Aku doakan kau bakal membawa pulang sebuah kebanggaaan dan kebahagiaan untuk kami semua.


Tawaran dari sebuah pusat pengajian tinggi dalam jurusan makmal perubatan itu tak seharusnya kau tolak, doh. Aku yakin kau boleh 'bawa' course itu dengan baik walaupun kau selalu mengeluh, takut tak boleh 'bawa' dan pulang sebagai loser. Kau bukan loserlah. Kalau kau betul-betul nak buat orang sekeliling respect dan hentikan cakap-cakap longkang mereka, kau mesti buat yang terbaik demi diri kau dan keluarga kau. Kau faham tak?


Sebak seh aku.


Aku bukan pernah berpisah lama-lama dengan budak kecil ni. Hahah! Aku akan selalu anggap kau budak kecil walaupun umur kau dah 20 tahun. Jangkamasa 3 tahun terlalu lama bagi aku. 3 tahun, kalau orang dah kahwin boleh dapat 2 orang anak, atau 3 orang anak kalau dapat kembar dan beranak rapat-rapat, atau 4 orang anak kalau dapat 2 kali kembar. Hah, lama kan?


Tak ada lagilah orang yang mandi lama-lama sampai air habis dan orang lain tak dapat mandi. Hampeh kau!
Tak ada lagi orang yang menjerit-jerit bila si kembar cantik buat onar di rumah. Eh, aku kan ada lagi?
Tak ada lagi kawan aku untuk buat lawak bodoh dan bangang dan ketawa sampai putus urat kentut.
Tak ada lagi teman untuk pergi shopping tak ingat dunia. Ye lah tu. Kau je yang selalu shopping tak tau penat.
Tak ada lagi si kepala angin 2 (selepas aku) yang selalu hempas pintu kuat-kuat bila marah atau bengang.
Tak ada lagi makhluk yang berus gigi berkali-kali sehari dan selalu berebut nak berus gigi lebih awal dari aku sebelum masuk tidur. Apa motif ntah.
Tak ada lagi manusia yang selalu kentut kuat-kuat tak kira masa. Bau bangkai tikus pula tu.
Dan yang paling penting,
tak ada lagi babysitter si gorjes Rayyan yang sayang Rayyan lebih dari aku sendiri.


Kenapa ada perpisahan di dunia ni?


Aku betul-betul sedih sekarang. Jangan ganggu aku, okeh.


Sob..sob..

Thursday, July 1, 2010

Misae


Siot!
Si gigi besi bagi aku gelaran baru.
MISAE.
Kenal?
Misae adalah ibu kepada Shin Chan.
Dia kata aku garang dan kuat membebel macam Misae.
Ada ke patut?
Aku sembur gigi besi kau pakai serbuk kari Babas, berkarat!

Tapi, sebut banyak kali, cool juga nama tu, ek?

Saturday, June 26, 2010

Ayat kebulur

Di saat ini, betul-betul di saat ini, aku sangat-sangat berkeinginan untuk makan buah durian. Cesss.. kecur air liur aku.

Kalau dapat nanti, aku nak pulun habis-habisan.

Kesian betul.

Wednesday, June 23, 2010

Mengomel yang comel

Ermm.. aku ingat aku teguh sangat pendirian. Rupanya tidak.

Baru tiga hari aku dah dua kali tukar template blog ini. Warna cokelat pekat sebelum ini nampak pudar, suram dan buruk bila dibuka di lappy gigi besi walaupun nampak hebat di lappy aku. Cercaan ini datangnya dari mulut si gigi besi tu lah. Aku selalu sangat terpengaruh dengan cakap-cakap budak itu. Macamlah dia tu best sangat. Pelik aku.

Aku rasa, blog aku membosankan sebab tak banyak gambar. Entri tanpa gambar memang agak muram durja. Aku akan cuba untuk memuatnaik lebih banyak gambar selepas ini.

Bercakap tentang pendirian, rasanya aku perlu buat sesuatu untuk jadi lebih teguh. Sekarang (dengan nada orang yang berpendirian teguh), aku mesti sambung buat kerja pejabat aku yang dari tadi tak sudah-sudah sebab asyik mengadap blog ini saja. Pheww!

Monday, June 21, 2010

Aku dan konflik


Oh Tuhan. Aku sedang dalam konflik sekarang. Cuba beritahu aku, manusia mana yang tidak pernah berkonflik sepanjang hidupnya. Hatta seorang bayi pun mempunyai konflik tersendiri dalam hidupnya, agaknya. Konflik aku ini agak rumit atau complicated sekali rasanya bagiku. Konflik dengan individu dan konflik dengan diri sendiri ini sudah cukup membuat aku merasa ada seekor kucing dalam perut aku. Kadang-kadang rasanya macam ada dua ekor kucing sedang bergaduh di dalam sana.

Aku amat berharap pada ketika ini aku boleh mengalami amnesia walaupun untuk 10 minit agar aku boleh melenyapkan semua konflik tak guna ini dari mindaku.


Wednesday, May 5, 2010

Kebimbangan terkini

Wahh, ada sesuatu yang bergayut-gayut di dalam jantung dan hati aku di saat ini. Seperti bidalan orang putih, macam ada rama-rama dalam perutku sekarang. Bimbang, risau, takut dan berbagai adunan rasa yang sangat sukar kuluahkan. Susah nak terangkan tentang hal ini. Rasa itu sama macam kita membayangkan sesuatu yang menakutkan yang bakal ditempuh hari esok atau hari-hari mendatang. Contohnya, temuduga kerja di tempat baru atau bakal mengambil keputusan SPM di sekolah besok atau kalau budak kecil lelaki, bakal disunat keesokan harinya. Ini cuma contoh dan tiada kaitan dengan kebimbangan terkini yang kualami sekarang. Paling penting, rasa itu sangat tidak menyenangkan.
Haihhhh......

Related Posts with Thumbnails