Friday, July 9, 2010

Aku tak tau macam mana rutin harian kucing

Sebetulnya aku benci pada rutin. Tapi, mahu tak mahu, harus lalui juga sebab rutin adalah sebahagian dari hidup kita. Setiap hari, bangun dari tidur kita akan lakukan benda yang sama. Satu demi satu, ikut kronologi dan penuh dramatik. Dari rumah membawa ke tempat kerja, semuanya dilakukan ikut tertib. 


Pagi-pagi, bila diri dan anak-anak dah siap, capai kunci kereta, panaskan enjin dan meluncur ke tempat kerja. Sampai pejabat, punch card, masuk pejabat dengan muka sardin, menyapa kawan sepejabat, duduk di tempat dan memulakan kerja seperti robot. Hah, bunyinya macam askar kerahan. Balik rumah, bergelumang lagi dengan kerja rumah dan kerja sekolah anak yang perlu dikaji, diulang, dibetulkan dan kadangkala disiapkan . Itu adalah contoh rutin harian yang selalu buat aku rasa lagi best kalau jadi kucing. Mana kau tau rutin harian kucing tu best? Ha'ah ek.

Aku terfikir tentang ini sewaktu masuk ke kereta pagi tadi sebelum ke tempat kerja. Termenung barang seminit dua sambil memanaskan enjin kereta. Tak bosan pula kita lakukan semua ini setiap hari ya? Tapi sekadar terfikir saja. Bukan dapat semangat baru untuk buat perubahan atau anjakan paradigma pun. Kalau macam dalam drama atau filem di televisyen, terfikir begitu pun sudah dapat semangat luar biasa untuk lari dari kebiasaan. Macam berhenti kerja untuk buat sesuatu yang kononnya lebih sesuai dengan jiwa raga contohnya, walaupun kadangkala tak masuk akal. Hah, namanya pun cerita. Kisah hidup manusia yang dikomersialkan.


Nak menunggu awal bulan genap ke hujung bulan, macam terpaksa merangkak atas bara api. Itu rutin yang semua pekerja makan gaji macam aku harus lalui. Tapi bila dah dekat-dekat hari nak dapat gaji, rasa macam nak meluncur atas air biar masa cepat berjalan. Bila gaji dah dapat, maka rutin yang membosankan pun berputar lagi.

Rutin tak salah langsung. Rutin buat kita lebih mahir dengan sesuatu perkara sebab kita lakukan hal yang sama berulang kali tanpa jemu sampai dah ke tahap expert. Macam operator pengeluaran di kilang elektronik contohnya. Berdiri dari siang ke malam atau malam ke siang untuk pasang stiker DVD player sampai dah naik muak dengan kerja itu. Ataupun pekerja di kilang membuat dan memproses makanan ringan. Dah boleh hafal mana bentuk keropok yang reject atau tak cukup bahan sampai dah naik loya tengok jajan yang sama setiap hari walaupun bunyinya macam sedap kalau kerja di kilang makanan.

Entah apa aku bebel di siang-siang panas buta begini.


Cerita tentang operator pengeluaran macamlah aku ni pernah kerja di bidang itu. Dulu waktu habis PMR dan cuti sekolah panjang hujung tahun ada juga cuba kerja operator. Pagi-pagi dah bangun dengan dua orang kawan dan tunggu van di simpang jalan. Van belum sampai, kami dah balik dulu. Secara tiba-tiba kami bertukar fikiran. Rasa macam belum cukup umur untuk kerja dengan makcik-makcik di kilang jajan.Hahah!


Dah makin jauh aku melalut. Mungkin cuba lari dari rutin. Agaknya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails