Monday, July 19, 2010

Memori 5

Lokasi: Jom! Cyber, Taman Tampoi Indah, Johor Bahru.
Tarikh: Antara Jun - Dis 1999



Satu jam RM3.00. RM3.00 boleh buat makan tengahari atau makan malam dengan syarat minum ais kosong sahaja. Bagi siswi seperti kami, RM3.00 sangat memberi impak yang besar dalam meneruskan hidup. Itu kalau sejam. Kalau 2 jam, 3 jam, 4 jam?

Waktu itu, chatting di miRC sangat menjadi kegilaan. Istilah-istilah seperti a'kum, asl?, lol, gtg dan entahapa-hapa lagi adalah antara bahasa gaul yang sedang 'in' laa.. Habis, takkan aku nak ketinggalan? Pertama kali dalam hidup kenal dunia maya internet betul-betul buat aku dan Maizatulakmal bt Mahmood serta kawan-kawan lain ketagih macam terkena penangan pil syabu. Kalau dah duduk di depan pc dan mula masuk ke chat room, habislah. Tak sedar langsung masa cepat sangat berlari. Bila dah cukup sejam, nak tambah lagi sejam. Bila dah genap dua jam, tak apalah tambah lagi satu jam je lagi. Tapi bila dah nak bayar, baru terasa macam jantung nak terlepas. Bagi duit kat tokey kedai pun macam main tarik-tarik je.

Itu adalah intro pengenalan kenapa aku dan Maizatulakmal bt Mahmood terjebak dalam kancah ini. 

Jom! Cyber adalah sebuah cafe berinternet yang agak famous jugalah di kalangan pelajar pada waktu itu.  Sistem pendaftaran untuk pengguna internet di cafe pada waktu itu belum sistematik dan canggih lagi. Cuma sekadar tulis nama dan pukul berapa waktu masuk dalam form yang disediakan di kaunter. Bila bayar nanti, kiraan bayaran dikira dari pukul berapa kita masuk tadi dan pukul berapa kita keluar.

Mula-mula belum terfikir pun nak buat dajal. Tapi salah pemilik cybercafe juga sebab pengurusan premisnya tak sistematik dan sistem keselamatan sangat longgar. Siapa-siapa pun boleh masuk dan duduk-duduk di dalam cybercafe dengan pc-pcnya yang tidak ber'lock'. Boleh dibuka tanpa control dari kaunter. Adalah juga sesekali pemilik cafe mundar-mandir untuk pastikan tak ada yang berchatting secara haram. Tapi, sesekali. Dan itu adalah antara cabaran yang sangat seronok dilalui bagi orang-orang seperti kami. Hantu!

Mula-mula buat memang takut-takut. Dah namanya buat jenayah memanglah kan. Bila buat untuk kali ke dua atau tiga, kami terkantoi. Waktu itu, aku dengan si Radin Norhafizah bt Radin Mohd Syafri. Boleh pula bapa kepada pemilik cafe terperasan kami pakai pc tak daftar nama di kaunter. Hampeh! Apa lagi, bila pakcik tu menjerit, kami pun cabut turun dari tangga macam tak cukup tanah. Dia siap kejar lagi sampai ke bawah. Takutnya kami macam kena kejar dengan polis bantuan je.

Bila dah beberapa bulan peristiwa tu terjadi, aku fikir tentu memori semua orang tentang kisah tu dah lenyap. Entah kenapa waktu itu aku dan kroni aku, si Maizatulakmal bt Mahmood itu memang berotak dajal. Sebenarnya malam itu kami tak merancang pun untuk chatting secara haram. Asalnya cuma duduk-duduk dengan kawan-kawan sambil borak-borak dalam cybercafe. Bila seorang kawan lelaki yang chatting secara 'halal' dah keluar untuk bayar di kaunter, pcnya masih on dan masih berada dalam miRC. Sebelum dia keluar pun dia secara berseloroh suruh aku 'sambung' saja chattingnya itu. Dan itulah yang aku lakukan. Gila! Padahal dalam poket satu sen pun tak ada. Gila! Gila!

Bila tengok aku chatting tak ingat dunia, si Maizatulakmal bt Mahmood pun iri hati dan turut cari penyakit untuk diri sendiri juga. Samdol! Maka dia pun mencari pc yang masih on dan meneruskan kerja murninya itu. Betul-betul golongan yang tak pakai otak untuk fikir. Kami chatting dengan penuh perasaan dengan daya tumpuan yang sangat baik. 

Waktu terus berlalu. Seorang demi seorang pengguna internet dalam cybercafe itu mula keluar memandangkan malam semakin larut. Setiap kali mereka keluar, kami akan mula berpandangan. Maksudnya, woi, bila nak blah? Yalah, bila dah tak ada orang tentu kami mudah dikesan sedang buat kerja haram. Nama tak ada pun dalam form di kaunter. Betul-betul gila! Tapi disebabkan terlalu asyik-masyuk, maka hasrat untuk   balik dipendam dulu sehinggalah, sehinggalah cuma tinggal kami berdua saja dalam cybercafe itu! Aku dah tak tentu arah. Betul-betul macam kucing nak beranak. Apalagi si Maizatulakmal bt Mahmood. Kamu boleh bayangkan tak situasi dua orang si bodoh yang pandai cari penyakit itu?

Pemilik cybercafe sudah sedar ada dua orang penjenayah comel dalam premisnya. Dia sengaja mundar-mandir di pintu masuk (tempat kami berkurung tu ditutup dengan dinding dan pintu kaca) dan sengaja duduk-duduk di kaunter sambil menyemak form sebagai tanda, hah, aku dah tau kau orang punya kerja lah! Kau nak lari ke mana? Aku lupa nama abang tu, tapi orangnya memang agak pendiam dan tak banyak cakap. Kalau akulah jadi dia, dah lama aku pepah budak dua ekor tu dengan meja lipat.

Kami dah hilang punca. Jadi, untuk mengelakkan kami dikunci di situ dan harus menunggu kalau-kalau kedengaran bunyi siren polis, kami harus berbuat sesuatu. Dalam apa jua keadaan, kerjasama dan persefahaman dua belah pihak sangat penting. Kami nekad. Kami perlu pastikan kedudukan titik lokus pemilik cybercafe itu sebelum bertindak. Jadi, sewaktu pemilik cybercafe sedang membelakangkan kami sambil menonton televisyen yang tergantung di ruang tengah, kami mula berjalan berjengket-jengket, membuka pintu dengan sangat perlahan dan wusshhhhh!! Berlari sepantas kilat, melepasi pemilik cybercafe yang cuma berjarak tak sampai semeter dan menuruni tangga dengan kelajuan maksimum diiringi gelak ketawa yang sangat gegak gempita. Kalau kamu ada di tempat pemilik cybercafe itu, apa perasaan kamu agaknya ya?

Kalaulah mak aku tau, tentu dia sedih sebab dia tak pernah pun ajar aku buat macam tu. Dan itulah kali terakhir kami buat perkara nakal tu sebab selepas itu, pemilik cybercafe telah memasang sistem rangkaian baru yang lebih canggih di dalam cybercafenya sekaligus mematikan hasrat kami untuk beraksi lagi. Huh!

Kepada Maizatulakmal bt Mahmood, berdoalah agar tak ada antara waris-waris kita yang mewarisi kenakalan kita yang comel itu. Kalau ada, memang aku perambat dengan batang mop!

P/S: Maizatulakmal bt Mahmood, kau ingat lagi tak nama abang pemilik cybercafe tu?

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails