Kadang-kadang bila tidur lewat, selalu terdengar macam bunyi perabot kena tarik atau dialih-alihkan pada waktu malam dari rumah jiran sebelah. Aku tak pastilah pulak sama ada jiran aku tu memang ada hobi pelik atau ada sesuatu yang lain kat rumah dia. Selalunya, untuk tenangkan hati, aku akan fikirkan yang positif sahaja walaupun aku tau jugak melalui pembacaan, iaitu antara tanda-tanda rumah yang turut sama dihuni oleh jin adalah, selalu kedengaran bunyi perabot ditarik atau dialihkan pada waktu malam.
Teringat satu kisah waktu aku masih belajar di IPT dan tinggal di rumah sewa, apartment 5 tingkat. Aku tak berapa ingat sangatlah jalan ceritanya secara terperinci, sebab kejadian tu berlaku di rumah kawan-kawan aku di blok apartment yang lain, tapi bersebelahan dengan apartment tempat tinggal aku. Masa malam kejadian tu, kawan-kawan aku tu rasanya sedang berkumpul kat ruang tamu. Satu rumah ada dalam 10-12 orang. Mungkin sedang belajar di meja atau sedang menonton televisyen. Serius aku tak ingat, apa kejadian yang buat mereka semua lari bertempiaran masuk ke bilik utama. Yang penting memang cukup menakutkanlah sampai buat diorang semua terkejut dan lari masuk bilik. Kalau aku ingat kan bagus, boleh buat korang meremang bulu roma. Yang aku ingat, diorang berkumpul dan bersesak-sesak dalam satu bilik sebab takut nak keluar.
Masa dalam bilik tu, dalam keadaan serba ketakutan dengan ada yang menangis lagi, diorang dengar macam-macam bunyi dari ruang tamu. Bunyi macam perabot-perabot dibaling-baling dan ditolak-tolak dengan ganasnya, macam ada orang mengamuk. Yang aku ingat masa tu, kebanyakan meja belajar kami memang diletakkan di luar bilik sebab dalam bilik dah penuh dengan katil double-decker dan locker baju. Tak pastilah berapa lama bunyi-bunyi tu kedengaran. Yang pasti, diorang memang tak keluar dari bilik tu sampai keesokan paginya. Nasib baik master bedroom ada bilik air!
Bila dah pagi, diorang pun beranikanlah diri keluar dari bilik. Keadaan ruang tamu memang cukup tunggang langgang. Semua perabot dah beralih tempat. Siap ada meja yang bertindih-tindih macam kita susun meja kat sekolah dulu, kalau nak cuti panjang akhir tahun. Ingat tak? Misterinya, siapa yang buat macam tu? Aku ingat, kalau jumpa dengan salah sorang dari penghuni rumah tu dulu, nak tanya baliklah, dapat bongkar tak misteri malam tu?
Tapi, kewujudan jin dan benda-benda halus yang seangkatan dengannya tu, memang tak boleh dinafikan. Kalau ada yang tak percaya, maknanya dia tak percaya pada isi kandungan Al-Quran. Aku dapat ni dari blog mana entah tadi. Sekadar untuk dikongsi bersama:
Berikut adalah di antara tanda-tanda adanya gangguan samada di rumah, pejabat atau kedai:
* Kedengaran bunyi guli jatuh di lantai.
* Kedengaran seperti ada orang mengemas atau menarik perabot pada waktu malam.
* Makanan yang dimasak cepat rosak dan basi (sering berlaku di kalangan peniaga makanan seperti gerai, restoran dan sebagainya).
* Tempat berbau busuk atau kemenyan.
* Keadaan keluarga porak-peranda.
* Sering berlaku perselisihan faham di antara suami dan isteri.
* Nampak kelibat, bayangan atau lembaga hitam dalam rumah.
* Kedengaran suara orang memanggil di dalam rumah.
* Perniagaan merosot secara tiba-tiba.
* Sering kehilangan wang.
* Rumah yang susah untuk dijual semula.
* Suasana muram dan malap.
* Sering terjumpa duit syiling 1 sen atau 5 sen di ruang atau sudut kedai atau pejabat.
* Bayi sering menangis.
Aku rasa, semua orang mesti pernah alami sekurang-kurangnya 2 atau 3 dari perkara kat atas kan? Atau 4, atau 5, atau 6, 7, 8? Ayooo.. tak tau..