Thursday, May 5, 2011

Untuk emak yang boleh bagi seluruh dunia untuk aku, Selamat Hari Ibu!

Aku cuma ada 1 emak. Emak yang boleh bagi seluruh dunia untuk aku. Emak yang tak bagi walau seekor nyamuk atau semut pun singgah ke kulit aku. Emak yang bagi aku susu badan hingga umur aku 2 tahun tapi masih tak mahu berhenti menyusu. Emak yang setia menunggu aku keluar dari kelas semasa waktu rehat di sekolah dengan bekal nasi dan air sirap dan kemudian menyuap aku hingga kenyang di bawah pokok besar tepi kantin sekolah. Emak yang bersengkang mata menyiapkan baju raya untuk aku pakai walaupun bajunya sendiri tak sempat siap. Emak yang selalu memasakkan  makanan kegemaran aku sebelum dihidang atas meja sambil menunggu aku pulang dari sekolah. Emak yang kadangkala menyembunyikan sedikit makanan kegemaran untuk aku bila aku tak ada di rumah waktu semua orang menjamu selera. Emak yang pasti akan menjaga aku dengan baik bila aku sakit atau demam (sehingga kini). Emak yang akan jatuh sakit bila berpisah atau berjauhan dari aku walaupun cuma satu malam. Emak yang akan tersenyum bangga bila aku naik ke pentas berulang kali untuk terima hadiah kecemerlangan di sekolah hampir saban tahun sambil terdengar-dengar orang berbisik-bisik di belakangnya, "anak siapa tu?", dan emak cuma senyum bangga. Emak yang akan belikan barang-barang yang terbaik dan terbagus untuk aku. Emak yang selalu cuba sedaya upaya untuk memenuhi semua keinginan aku. Emak yang selalu berada di samping aku dalam apa jua situasi dan menjadi ubat penenang yang paling baik untuk aku.

Emak aku cuma 1. Dan walaupun aku sudah menjadi seorang emak, tapi aku tetap rasa aku tak mampu menjadi seperti apa yang emak aku telah jadi untuk diri aku selama ni. Sebanyak mana pun yang aku buat untuk dia, takkan mampu membayar apa yang telah dia lakukan untuk aku selama ni. Dia wanita yang sangat kuat dan cekal. Masakan dia adalah masakan berkelas dunia bagi aku. Aku lemah dan hilang punca tanpa emak. Emak adalah segalanya untuk aku. Walaupun tak mampu bagi seluruh dunia untuk emak, aku janji akan bahagiakan dunia emak sebab emak adalah dunia aku. Selamat Hari Ibu, Puan Hajah Siti Badariah bt Hj Asiab. Emak selalu teratas di hatiku!

2 comments:

Related Posts with Thumbnails