Tuesday, September 25, 2012

Nostalgia gaun biru tua

Macam baru semalam aku sarung pinafore atau gaun biru tua ke sekolah rendah. Sampai sekolah, main rebut tiang, pijak-pijak kasut (permainan paling sadis di hari Isnin), main getah, teng-teng, batu seremban, ceper, sebelum loceng masuk kelas bunyi. Nanti lepas makan masa rehat, kalau masih ada masa tersisa, sempat lagi sambung main. Paling best bila subjek pendidikan seni dan pendidikan jasmani. Sebab dapat lepas dari rutin mengadap buku teks dan buku latihan. Ataupun bila cikgu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ajak masuk perpustakaan. Berebut baca buku-buku cerita yang baru sampai dengan kawan-kawan.

Saat paling menggerunkan, bila van doktor dan misi dari Jabatan Kesihatan masuk kawasan sekolah membawa sekali bau-bauan ubat yang buat bulu hidung meremang. Kalau tak acara check gigi mesti ada upacara suntikan beramai-ramai. Bermulalah edisi gigil-menggigil dengan kawan-kawan. Yang syoknya bila misi bagi berus gigi dan ubat gigi kecik secara free sebelum duduk beratur kat tepi longkang dan berus gigi secara berjemaah. Tapi paling heaven sampai tak jejak tanah adalah bila lori Milo masuk sekolah. Sayangnya nak habiskan air Milo free -paling sedap seantero dunia- tu walaupun tak sabar nak tebuk dasar cawan kertas tu untuk masukkan benang sebelum jadi 'telefon'. Paling kokak pun buat cawan Milo tu jadi bekas untuk buang habuk-habuk pensel yang dikorek.

Kawan-kawan baik aku di sekolah rendah dulu antaranya Salim, Norizan Ahmad,  Muhaini, Mayzatulnalin (Along), Maizatulniza (Angah), Salmiyati, Siti Hajar, dan Salina. Bila dah masuk darjah 4 dan pinafore biru tua pun dah berganti dengan baju kurung putih berkain biru tua, kelas kami dipecahkan ikut prestasi masing-masing. Maka aku pun dapat ramai kawan baik baru dari kelas lain. Antaranya Hanimarliza, Sazaliza, dan Nora Lyana. Geng baru ni kekal sampai darjah 6 sebab kami sama-sama jurujual kedai buku sekolah merangkap pustakawan dan selalu lepak dalam bilik stor sukan dengan Cikgu Mutalib, Cikgu Azman dan Ustaz Mohsin. 

Kalau ada aktiviti kokurikulum hari Sabtu, lepas balik sekolah aku dan geng selalu lepak kat jeti atas laut. Masa tu rasanya tulah port paling best untuk lepak sambil makan nasi lemak atau mihun dalam plastik kecik yang diikat hujungnya dan kemudian digigit bucunya -sepeket 50 sen beli kat kedai makan Rahmat-, makan dengan diiringi tiupan angin laut Selat Johor yang boleh nampak Pulau Ubin, Singapura dengan jelas sekali sebab cuma berjarak lebih kurang 200-300 meter je dari pesisir pantai kampung kami.  Kedai makan tu masih ada sampai sekarang tapi jeti atas laut tu dah lama roboh. Pantai pun dah tak cantik sebab dah ditambak dengan batu dan pasir sampai pantai pun dah hilang. Hilang sekali dengan nostalgia kami waktu kecik-kecik dulu.


Masa sekolah rendah, aku rajin ikut serta dalam persembahan sekolah macam koir, tiup rekorder, dikir barat dan bacaan puisi. Selain tu, aktif jugak ikut kuiz antara sekolah dalam zon Masai & Pasir Gudang. Masa tu geng-geng 'muka kuiz' yang selalu penuhkan kereta cikgu untuk ke sekolah-sekolah lain selain dari aku adalah si Hani, Amirudin, Fairul, Johan, Sazaliza dan Izwan kalau tak silap. Masa tu kami dapat la jumpa dengan best student fofuler dari sekolah lain yang selalu ikut kuiz. Balik-balik muka yang sama je.

Tapi serius, zaman pakai gaun biru tua dan kain biru tua ni memang antara fasa paling menarik dan manis dalam hidup. Fasa di mana kita tak perlu fikir benda yang berat-berat dalam hidup dan lalui semua apa adanya. Memang belum ada dan tak terfikir langsung pun akan wujud gadjet-gadjet canggih macam budak sekarang, tapi nikmat bermain macam-macam permainan di luar rumah dengan kawan-kawan tak ternilai harganya. Waktu di mana segalanya lebih nikmat dan indah untuk dilalui dan dikenang. Dan simpatiku tumpah untuk anak-anak generasi baru..

Friday, September 21, 2012

Peperangan ketam bangkang

Gila lama tak update entry. Ada aku kesah? Kata kalian, kan?
Aku ketandusan idea sebenarnya. Padahal ramai di luar sana ternanti-nanti entry terbaru dari aku. Haktuihhh!

Bila tiba masa nak update blog, selalu rasa entri yang aku tulis entahapahapa tak bermotip langsung. Tapi bila baca blog orang lain, semua cerita macam best dan bermotip walaupun cuma cerita berapa kali dia masuk toilet sebab sakit perut terlebih makan pelam muda cicah kicap.

Atas kesedaran itu, -iaitu ceritalah apa-apa pun asalkan blog kau ber'update', maka aku putuskan untuk cerita pasal ketam. Ye, ketam. Mari.

2 hari lepas, dua pupu aku hantar sekotak ketam bangkang ke rumah. Sayanglah, aku tak sempat tangkap gambar ketam yang masih hidup tu sebab lepas tu sibuk berperang dengan ketam untuk masak makan malam. Ingat nak masak lemak je, tapi bahan nak masak tak cukup sifat, maka masak sambal black pepper saja. Tu pun tak berapa nak black pepper sangat la. Sebab cuma pakai apa yang ada kat rumah je.

Kronologi kejadian bermula dengan edisi berperang dengan ketam oleh Encik Papa dalam usaha nak bersihkan badan ketam tu. Aku tak ambik pulak rakaman saat-saat genting tu. Kitorang bukannya pandai nak handle ketam-ketam yang serius, sangat ganas tu. Sampai ada satu masa tu, aku duduk cangkung nak tengok ketam-ketam tu secara close up, boleh pulak ketam tu melompat dengan sepit ternganga nak sepit muka aku! Fuh! Berlubang jantung aku sekejap. Aku tak tau pulak ketam tu boleh lompat macam tu sekali. Mesti dia dah aim nak sepit batang hidung aku. Sumpah taknak duduk dekat kurang dari 30 cm dari ketam tu lagi.

Antara peralatan perang yang Encik Papa pakai dalam sesi perang ketam tu adalah 2,3 batang sudip dan senduk besi, penyepit kuih dan pisau pemotong buah yang panjangnya dekat sedepa. Punyalah lama nak tamatkan riwayat sekor ketam. Dengan bisingnya lagi. Terjerit-jerit macam orang bergaduh, lepas tu tergelak-gelak  mengekek-ngekek. Kalau orang dari luar dengar, entahapa yang dorang fikir. Lastly, cabut semua sepit-sepit ketam tu baru lah depa tak mengganas sangat. Aku yakin sangat, kalau dapat kena sepit dengan ketam tu, mau 2,3 jam jugaklah dia bergantung kat tangan taknak lepas. Ngeri weh.

Ketam bangkang ni warna hitam. Kalau kat pasar, harga sangat mahal okeh. Ada yang sampai RM50++ sekilo. Yang 2 pupu aku bagi ni, saiz boleh tahan besar.  Ada la dalam 10 ekor. Sepit dia je nak sama besar dengan lengan si Rayyan. Ganas weh. Sepit dah tercabut pun masih mengganas macam apa. Aku siap berus badan ketam tu dengan berus sabut nak buang daki-daki apa semua. 

Macam nilah lebih kurang rupa ketam tu. -Foto dari gugel.



Ha, yang ni rupa ketam bila aku dah siap belah 2 badan dia.

Masak sambal black pepper edisi  resepi sendiri. 

Makan ketam ni yang tak syoknya, kena concentrate nak kopek kulit ketam sampai kadang nasi tak tersentuh pun. Dahlah kena kopekkan untuk budak-budak kecik ni. Lastly, semua dah kenyang makan baru aku ambik turn makan bahagian aku tanpa gangguan. Rasa dia sangat heaven. Manis, segar and juicy. Lagu-lagi tang sepit dia tu. Lantaklah resepi tak berapa nak black pepper pun. Yang penting boleh dimakan dan kenyang. Burp! Separuh dari ketam tu mak aku masak lemak. Tak tau la berapa cm terangkat dari kusi masa makan tu. Kepada 2 pupu aku tu, kalau rasa-rasa nak beramal jariah lagi, sila-silalah hantar lagi 2,3 kotak ke rumah lagi lepas ni ye. Rajin beno dia berkubang dalam paya nak cari ketam ni.
 

Thursday, September 6, 2012

Cerita pasca raya

Masih dalam mood raya walaupun dah masuk raya ke 19. Mengapakah sesuatu yang best cepat sangat berlalu? Mengapakahhhh?

Edisi terjah menerjah raya ke rumah orang dah distopkan buat sementara waktu dan insya allah akan disambung balik pada masa yang sesuai nanti. Lepas ni nak terjah bank pulak, nak simpan duit raya budak-budak ni sebelum duit tu disimpan dalam poket tokey kedai mainan. Tak sanggup aku nak tambah meter meroyan aku tiap kali kemas rumah yang penuh dengan toys tak cukup sifat, sebab toys baru cuma bertahan paling lama 4 jam sebelum bertukar jadi toys OKU. Waris-waris aku kan terlebih kreatif. Tak suka tengok sesuatu yang biasa, nak jugak buat sesuatu tu jadi unik dan luar biasa. Contohnya kepala Barbie Doll dicabut dan dipasang pada badan lori mainan. Kau ada?

Raya tahun ni biasa-biasa saja. Terutamanya bab baju raya. Ni kes paling biasa. Tak pernahnya siap pada hari raya pertama. Maklumlah, mak aku yang jahit sendiri baju raya kami. Jadi mesti dahulukan customer lain punya dulu. Korang pernah dengar, tukang rumah yang rumahnya sendiri tak siap-siap? Atau penjual top-up yang handphone sendiri tak pernah berisi? Tu la kesnya. Untuk makluman, baju raya aku anak-beranak cuma siap pada raya ke 7. Diulangi, raya ke 7.

Aku malas sebenarnya nak upload gambar raya. Lagipun takde gambar raya family yang semenggah. Ada je tak kena. Kot ada pun kalau aku nak masukkan dalam ni, gambar yang muka aku senonoh sikit la. Tang muka orang lain aku tak berapa nak kisah sangat. 

Cerita tambahan lain yang aku nak ungkit sikit dalam ni, perihal officemate aku, si Nova yang lebih bertaraf adik bagi aku, resign kerja lepas 8 bulan kerja dengan aku dalam opis ni. Sedih jugaklah, tapi disebabkan tuntutan untuk masa depan yang lebih cerah dan bersih bersinar Sunlight, maka relakan je lah budak kecik tu sambung belajar ke UPSI, Perak. Dah jadi cikgu Sejarah nanti jangan lupa masukkan bab akak sikit dalam silibus pembelajaran ya.

Disebabkan tak nak menghampakan harapan peminat-peminat (puihhhhh!) aku, maka terimalah gambar-gambar raya edisi terhad untuk tahun 2012. Siapkan plastik sampah hitam kat sebelah anda ye.

tak cukup korum.

si kembar Alyaa & Alysaa.


adik beradik, kakak berakak..

tengok muka si kembar, muka mintak bantal.


terbongkang tidur atas sofa orang T_T

family adik aku dari Klang.

lakonan semata-mata.

kellasss betul gaya aku masa ni. :p
 
muka encik papa tak nampak. mahaplah ye.

cumillsssnye 2 beranak ni..:p


raya rumah sahabat sebakul seraga.



Tuesday, August 14, 2012

Siapkan duit raya. Syawal dah dekat!

Raga je ada kat opis. Jiwa dah melayang pergi raya pertama on Syawal 2012. Semoga dipanjangkan umur dan diberi peluang untuk sampai dan menikmati indahnya Syawal tahun ini. Amin..

Persiapan raya hampir 60% peratus dah siap. Tinggal lagi barang-barang keperluan untuk mak budak ni ha yang tak settle. Untuk anak-anak, mostly dah siap. Yang ada anak mesti tau macam mana terujanya perasaan untuk siapkan semua kelengkapan anak, sampai kelengkapan sendiri pun tak lengkap-lengkap. Dan kerja penting yang masih belum bersentuh, -kemas rumah. Siapa datang rumah aku sekarang mesti keliru, ada dalam rumah ataupun sebuah tongkang yang pecah sebab langgar ketulan batu? Ketulan ais kelas sangat, dah macam Titanic pulak karang.

Tahun ni persiapan raya semuanya sederhana. Mana yang masih boleh pakai, pakai je lagi. Seriously, tadi pagi ternampak gambar hasil post seorang kawan di FB yang buat jiwa jadi pilu sangat, suasana kehidupan kat negara-negara lain yang tengah bergolak dengan peperangan, kebuluran atau kekacauan. Tiba-tiba jadi bersyukur sangat dengan segala limpahan rahmat dan nikmat yang Allah bagi kat kita. Walaupun lumrah jiwa manusia yang tak pernah puas takkan boleh hilang dari diri, sekurang-kurangnya mesti berusaha untuk mensyukuri apa yang ada. Mungkin kita rasa kekurangan, tapi sebenarnya lebih banyak orang lain yang tak punya kelebihan yang sedang kita nikmati. Teringat kata sahabat baik aku dulu, Maizatulakmal Mahmood, -kalau kita rasa kita susah, masih ada orang lain yang lebih susah dari kita. Kalau kita rasa masalah kita besar sangat, masih ada orang lain yang lebih besar masalahnya dari kita. Intipatinya, syukuri apa yang ada. Hidup adalah anugerah. Tetap jalani hidup ini, melakukan yang terbaik. (D'Masiv - Jangan Menyerah)

Serius betul entri kali ni ye. Mood sekarang adalah tak sabar nak raya. Jadi, adalah lebih baik aku mohon ampun dan maaf pada semua pembaca yang tersesat masuk blog aku, zahir dan batin. Sila ampunkan jika ada yang terkasar bahasa dan termulut longkang, semoga syawal kali ini lebih bermakna. Raihlah kemenangan kita setelah sebulan berpuasa dengan jiwa bersih dan penuh kesyukuran. Feeling-feeling ustazah pulak ko ye, kata Kak Temah yang sedang membaca. Salam lebaran dari penulis dan keluarga. Aku nak letak gambar aku dengan family. Jangan muntah ijo 3 sudu ye.


p/s: Ini adalah tidak mampu masuk studio tangkap gambar canggih-canggih macam orang. Jadi adalah lebih baik edit sendiri. Sekian untuk makluman.

Wednesday, August 8, 2012

Perihal biskut raya

Bila si Nani dan Kak Siti dah start cerita pasal biskut-biskut raya, aku pun start la kemam-kemam mulut sambil tahan-tahan air liur dari meleleh tak tentu pasal. Puiii, tengahari rembang gini, mulut dengan tekak tengah kering pun kau terliur ngan biskut raya, ye Misae! Dasar selera anak T-Rex.

Aku ni boleh masuk kategori hantu biskut raya. Bukan hantu dalam bentuk biskut raya seperti tart sepit atau dahlia, tapi seorang wanita jelita (kahkah) yang obses dengan biskut raya. Sila selamatkan biskut raya kat rumah masing-masing kalau nampak kelibat aku datang. Biasanya aku suka try semua jenis biskut raya yang terhidang lagi-lagi kalau nampak sedap, dan bila deria rasa aku dah dapat detect biskut mana yang paling sedap, maka bersiap sedialah untuk nampak dasar balang kuih tu. 

Masa kecik-kecik, biskut feveret aku ngan adik-adik aku adalah batang buruk. Walaupun nama dan bentuknya memang buruk, tapi rasanya tak buruk wehh. Kitorang suka main tiup-tiup habuk kuih tu ke muka pihak lawan dan ketawa berdekah-dekah sebelum kena sergah dengan mak sebab menghasilkan timbunan serbuk-serbuk batang buruk atas meja, lantai, mulut, pipi  dan bulu mata masing-masing. Sampai sekarang, kalau jumpa adik-beradik mesti kitorang gelak kalau nampak batang buruk.



Satu lagi biskut lagenda bagi aku adalah biskut dahlia. Kata mak aku, kalau aku datang beraya rumah orang, mesti aku akan cari biskut dahlia sebab aku suka dengan manik-manik yang berwarna-warni atas biskut itu. Atas motif apa, aku pun kurang  pasti. Mungkin nampak cantik agaknya benda tu tak? Kadang-kadang aku ambik satu genggam, lepas tu simpan dalam kocek gaun aku. Biasanya time mak aku basuh baju, biskut tu masih ada dalam kocek dan nama aku akan menjadi sebutan sekali lagi. Ni tips jugak ni, kalau nak selalu ada dalam ingatan mak kita, selalu-selalulah buat hal. Kalau bernasib baik, boleh dapat bonus sekali,  cubitan manja atau hayunan rotan. Kehkeh. Tapi mak aku jarang naik tangan, kecuali kalau daya momentum kesabaran tu dah hilang, sayugia berbiratlah badan kau adik beradik.

Kalau nak cerita pasal biskut raya memang tak boleh habis la. Bagi aku biskut raya ni special sangat sebab masa hari raya je boleh dinikmati dengan feeling yang heaven. Masa lain boleh jugak kalau nak, tapi feeling dia tu melencong ke laut sikitlah. Hari raya ni memang cukup istimewa kan? Bersyukurnya kita sebagai umat Islam yang diberi nikmat berhari raya setelah sebulan berpuasa.

Sekarang ni dah bermacam-macam pesen biskut raya orang jual. Tapi tetap tak boleh lawan biskut-biskut tradisional yang dah wujud sejak lama dulu. Cuma, fungsinya tetap sama, jadi hidangan untuk tetamu di hari raya. Tak sabar aku nak selongkar biskut raya kat rumah orang nanti. Apa salahnya praktikkan perangai comel masa kecik-kecik dulu kan? Hehe..

Friday, August 3, 2012

Nama unik vs islami

Nak bagi nama untuk anak-anak tu adalah hak mak bapak memasing kan. Makin moden zaman, makin canggih nama anak-anak. Dulu masa baru dapat anak first, si kembar Alyaa & Alysaa, umur aku baru 24 tahun. Masa tu tahun 2005.  Facebook, Twitter, belum meluas dan mengganas lagi sampai menguasai hidup manusia macam sekarang. Rangkaian sosial tu baru nak bertapak. Masa tu aku cuma cari rujukan pada buku-buku nama-nama anak Islam je. Jadinya nama si kembar taklah secanggih mana. Alysaa Nazura & Alysaa Najwa. Mengandung kali kedua tahun 2009, aku dah start kerja di opis yang sediakan talian internet 24 jam. Jangan jeles. Jadinya, rujukan untuk nama anak nombor 2 (atau 3, sebab kakaknya kembar) jadi lebih meluas. Tapi meluas-meluas pun nama sederhana jugak. Rayyan Mikhail. Yang penting, maksud yang baik.

Apa yang aku perhatikan sekarang, pasangan-pasangan muda yang baru dapat anak berlumba-lumba nak bagi nama anak secanggih-canggih mungkin. Mungkin untuk kedengaran unik tapi biasanya jadi pelik. Lebih mat salleh bunyi nama anak, lebih banggalah mak bapaknya, kot? Kesian tok nenek nak nyebut pun sampai terbelit lidah. Maksud nama anak mungkin dah jadi kepentingan nombor 2. Yang penting nama anak lebih kellasss kau, Maria, daripada anak orang lain. Dan mungkin untuk bagi imej yang lebih upper class la untuk mak bapaknya. Kalau dalam flight, kiranya macam kabin untuk business class la..

Even nama-nama nabi yang dalam versi Bahasa Inggeris pun tak berapa elok sebenarnya sebab apa yang tertulis dalam Al-Quran tulah yang wajib kita percayai, nama-nama yang ditulis dalam kitab bahasa lain tak 100% peratus betul. Mungkin sudah diubah. Ni pendapat aku la sebagai seorang marhaen yang kurang serba-serbi. Cuba bayangkan, satu hari nanti nama-nama anak-anak Melayu Islam berubah jadi Britney, Ashley, Christina, Brad, Kate, William, Jude, Reynold, Justin.. Apakah? Banyak lagi kot nama-nama islami yang indah dan bermaksud baik macam Damia, Batrisya, Qistina, Maryam, Irdina, Insyirah, Umar, Adam, Cahaya Malika. Tak kalah kellasss jugak, kan?

Sebab nama itulah yang akan digunakan di hari kebangkitan di akhirat kelak.

Eh, yang aku sibuk sangat ni apasal pulak? Suka hati dorang la nak letak nama apa pun kat anak dorang. Dah nama pun anak dorang kan?


p/s: sikit terkilan la sebab dulu mak bapak tak bagi aku nama yang ada makna. sob..sob..
Related Posts with Thumbnails