Thursday, March 31, 2011

Jadilah pelindung terbaik untuk anugerah itu

Bercampur baur perasaan bila baca harian Metro secara laju-laju dan percuma di depan kedai runcit pagi tadi. Aku yang membaca pun diselingkupi rasa hiba dan pilu, apatahlagi mereka yang mengalaminya. Terus teringat anak-anak di sekolah dan di rumah. Rasa hiba dan sedih (sebenarnya tak tau nak terangkan apa rasanya) tu, aku bawa sampai ke tempat kerja. Ya Allah, minta dijauhkan dengan dugaan-dugaan sedemikian rupa.

Aku alah betul kalau membaca berita tragis tentang anak-anak. Anak mati dilanggar kereta jiran, anak mati lemas dalam baldi, bayi mati tersedak susu, budak mati terjerut tali buaian, anak jatuh dari tingkat 14, budak mati tersepit kaki meja lipat. Tengok, baca tajuk pun dah gerun semacam kan? Kadang-kadang, tak sedar air mata jatuh waktu baca berita-berita macam tu. Apatahlagi bagi yang bergelar ibu. Seolah-olah dapat selami dan rasai apa yang ibu itu rasakan.

Ajal maut urusan Allah. Dan sebagai ibu- bapa, kita tak boleh leka dan alpa terhadap semua aktiviti dan kegiatan anak-anak. Setiap masa dan detik kita kena pantau dan ambil tahu di mana dan apa yang anak-anak sedang lakukan sebab alpa dan cuai sesaat pun, macam-macam perkara boleh terjadi. Kita tak boleh menghalang takdir dari berlaku, tapi mungkin kita boleh elakkan sesuatu yang buruk dari berlaku dengan bersikap lebih peka, waspada dan prihatin.

Anak adalah anugerah yang terindah dan tak ternilai kurniaan Allah. Jadilah pelindung yang terbaik untuk mereka.

My whole world

Wednesday, March 30, 2011

Hikayat si ulat buku

Terlahir sebagai ulat buku sangat menyenangkan sebenarnya. Yang jadi masalahnya bila tersekat dalam satu situasi yang sangat membosankan dan kebetulan tak ada langsung bahan bacaan yang boleh dinikmati. -_-

Sedari kecil aku memang suka benar membaca. Sejak pandai membaca dan berjaya menghabiskan buku pertama dalam hidup aku yang tajuknya 1111 Tafsir Mimpi milik bapa aku, memang aku tak boleh lekang dari buku, majalah, komik, suratkhabar, label botol syampu dan kicap, atau apa saja asalkan ia boleh dibaca. Waktu makan pun mesti bentang buku depan mata. Biasanya majalah komik Gila-Gila. 

Yang jadi kegilaan waktu tu, siri buku cerita penyiasatan macam 5 Sekawan (The Famous Five) oleh Enid Blyton, Siri Salma oleh Nancy Drew, dan siri penyiasatan Hardy Boys. Kemudian ada novel tentang budak-budak sekolah asrama karya Enid Blyton juga iaitu Sekolah Seri Melur (The Malory Towers) dan Sekolah Tengku Asikin (The St. Clare). Kalau dah baca buku cerita ni, memang tak toleh kiri kanan dah. Wah, tiba-tiba rasa macam nak punggah balik kotak-kotak lama tempat simpan novel-novel ni kat rumah.


Antara koleksi novel dalam simpanan aku. Buku
cerita budak-budak dah simpan dalam kotak sebab
habis dikerjakan dek si kembar.

Bila dah meningkat remaja dan jadi ahli perpustakaan awam di tempat aku, paling kurang dalam seminggu aku akan baca 3-4 novel atau buku cerita. Untuk mahirkan Bahasa Inggeris, kadang-kadang pinjam novel orang putih yang tebal-tebal macam tak boleh habis baca. Biasanya novel Stephen King dan jarang habis baca. -_-. Tapi yang suka sangat baca, novel-novel karya R.L Stine dan siri Sweet Valley High oleh Francine Pascal. Dan masih juga baca karya-karya Enid Blyton versi asal untuk kanak-kanak :p

Novel-novel terbitan Creative Enterprise pun jadi kegemaran aku waktu tu. Novelis macam Liana Afiera Malik, Lamia Aimal, Samsiah Mohd Nor, Matt Romeo, Ujang, Norhayati Berahim memang jadi kegilaan.  Tapi yang tak boleh lupa, novel-novel karya Ahadiat Akashah. Macam satu kemestian untuk semua remaja waktu tu kan? Novel yang meletup waktu tu, Lagenda Budak Setan. Fuh! Memang novel-novel dia takkan sempat jejak kat rak buku perpustakaan lah. Berebut budak perempuan nak pinjam. Kesudahannya, kumpul duit dan beli sendiri. Lagi puas hati.

Bila novelis Habiburrahman El- Syirazi mencipta fenomenal dengan novelnya seperti Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2, aku pun tak ketinggalan juga. Novel-novel beliau ni memang buat kita terbuai dan termasuk dalam cerita. Memang superb! Tapi sebaiknya baca yang belum diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Novel tu lebih indah dalam bahasa asalnya.

Membaca buat aku rasa senang dan tenang. Kalau boleh, aku nak novel yang aku baca tu tak ada kesudahan dan tak boleh habis-habis. Cuma, bila dah semakin sibuk dengan pelbagai komitmen sebagai isteri, ibu, anak dan pekerja yang multitask, aku rasa macam hampir-hampir jadi mantan ulat buku. Suratkhabar pun jarang sempat baca. Kesian kan?

Tuesday, March 29, 2011

Aku dan 'penyakit' itu

Aku memang jarang beli sesuatu untuk diri sendiri sejak dah jadi mak orang yang lebih pentingkan keperluan (& kehendak) anak-anak berbanding keperluan (terutamanya kehendak) diri sendiri. Yang dah jadi mak, taulah apa rasanya. Yang belum lagi jadi mak, tunggu kamu dah dapat anak nanti, baru akan rasa.

Tabiat buruk aku, sebelum dapat gaji akan senaraikan barang-barang keperluan dan kehendak aku dalam satu kertas dan selit dalam wallet supaya senang nak tau apa yang perlu aku beli bila dah dapat gaji nanti. Masalahnya, bila dah dapat gaji dan keluar ke mana-mana untuk beli barang, satu demi satu barang yang aku dah senaraikan tu akan dicancel sebab sayang nak keluarkan duit dan rasa boleh beli lain kali sebab tak berapa penting sangat.

Kemudian bila dah sampai rumah, akan tepuk-tepuk dahi atau kepala sebab tengok semua barang keperluan peribadi aku dah habis di rumah, atau menyesal sebab tak beli-beli barang kehendak yang dah berbulan-bulan aku impikan padahal masa keluar tadi dah siap pegang-pegang dan belek-belek barang tu.

Aku tak taulah apa nama 'penyakit' tu.

Monday, March 28, 2011

Bila kulit wajah tak mulus, gebu dan bersih

Aku bukan nak bagi petua kat sini. Aku cuma nak bangkitkan isu, bila kulit wajah tak mulus, gebu dan bersih, apakah tanggapan atau impression yang akan kamu dapat dari orang lain. Aku pernah bangkitkan tentang ini, di sini. Adalah sangat menyedihkan bila kita dipandang hina, rendah dan buruk oleh orang lain yang kebetulan bernasib baik kerana memiliki kulit wajah yang sempurna, idaman semua orang di muka bumi ini kecuali bagi penduduk negara miskin yang merasakan bahawa sesuap makanan adalah lebih bermakna daripada memikirkan tentang kulit wajah mereka.

Aku ada termasuk ke dalam satu blog yang agak sarkastik bila merujuk kepada pembaca yang kurang bernasib baik kerana memiliki kulit wajah yang tak sempurna macam kulit wajah dialah, kononnya. Kalau ya pun kulit wajah awak cantik, janganlah menghina sangat orang lain. Mungkin dia nak gunakan ayat yang santai dan selambalah kononnya, tapi tak sedar yang ayat-ayat dia tu buat dia nampak agak bongkak dan riak dengan kelebihan yang dia ada. Macam mana kalau tiba-tiba Allah tarik balik kesempurnaan kulit wajah yang cuma pinjaman tu?

Kalau diberi pilihan, semua orang mestilah nakkan kulit yang sempurna tak ada cacat cela. Tak ada jerawat, jeragat, parut, bintik hitam dan putih, dan macam-macam masalah kulit. Malangnya tak semua orang bernasib baik. Ada yang terpaksa keluarkan jumlah wang yang agak besar dan cuba bermacam-macam jenis produk untuk dapatkan kulit yang cantik.Tapi biasalah, bukan semuanya menjadi dan tak semuanya sesuai dengan kulit kita. Lagipun kalau tak cuba, macam mana kita nak tau keberkesanannya, kan?

Moralnya, bila nampak orang lain dengan kulit wajah yang kurang sempurna dan bercela, janganlah pandang rendah dan bagi tanggapan negatif. Mungkin itu satu masalah besar yang susah nak diselesaikan walaupun dengan pelbagai solusi bagi dia. Mungkin juga masalah tu yang selalu merantai dia menjadi seorang yang kurang percaya diri dan sentiasa merasa rendah diri? Jenis kulit manusia ni berbeza-beza. Jadi bersyukurlah kalau kamu dikurniakan dengan kulit normal yang tak bermasalah. Janganlah angkuh dan ujub sangat dengan  kelebihan diri. Dan kalau berniat nak menegur tentang kekurangan orang lain, carilah ayat yang sesuai dan berlapik. Jangan sampai menyinggung perasaan dan membuat orang rasa rendah diri dan sedih. Atau kalau nak, cuba pergi dekat-dekat dan tanya dia, kenapa kulit teruk sangat macam ni? Kau tak nak kulit cantik ke? Dan tunggulah sedikit habuan  berupa hayunan tangan atau kaki menuju ke arah sasaran pilihan beliau jika kurang bernasib baik.

Epilog: Grr.. tiba-tiba muncul 3, 4 biji jerawat segarrr di pipiku yang memang dah sedia tak sempurna ni. Kalau nak rasa kena hayun sikit, meh la kutuk-kutuk jerawat dan kulit aku. Depan-depan aku.

Google punya. Aku tak ada DSLR.



Thursday, March 24, 2011

Ketakutan 10 minit

Tadi terlambat 10 minit jemput si kembar dari tadika mereka. Asyik sangat berblogging di pejabat sampai terlupa nak jeling-jeling jam. Hah, apalagi. Kelam kabut aku jadinya. Tadika anak memang dekat dengan tempat kerja dan rumah aku. Biasanya atuk mereka yang jemput, tapi kebetulan dah dua hari ni atuk mereka ada urusan penting, jadi akulah yang terpaksa jemput.

Ketakutan pertama aku alami masa sampai ke tadika si kembar. Tadika dah kosong! Biasanya kalau ada budak-budak yang terlambat dijemput oleh ibu bapa atau penjaga, mereka akan bermain-main di perkarangan tadika. Tapi tak ada sesiapa pun kat situ. Jantung aku terhenti sekejap. Okeh, tak apa. Mungkin maid aku dah jemput mereka balik tadi. Terus menuju ke rumah. Waktu nak masuk ke dalam rumah, sempat toleh pada rak kasut untuk pastikan mereka dah balik. Ketakutan kedua mula muncul bila aku tak nampak pun kasut mereka tersusun kat situ. Fuh, memang tersentap habis aku bila maid aku muncul dan cakap yang si kembar belum balik dari tadi. Tolonglah bayangkan apa yang aku rasa, okeh! Macam-macam andaian buruk muncul dalam kepala otak aku.

Tempat seterusnya yang aku terfikir adalah kedai mak aku. Mungkin juga budak cashier kedai dah jemput mereka sebab kadang-kadang dia pernah juga jemput si kembar balik dari sekolah. Dah macam siri penyiasatan Enid Blyton pulak aku rasa. Sebelum terus menuju ke kedai mak aku, singgah dulu di tadika mereka, takut-takut kalau aku terlepas pandang tadi. Waktu bersiap sedia untuk turun dari kereta dan bertanya pada cikgu, aku ternampaklah kelibat kepala dua orang budak kecil terjengah-jengah dari tingkap gelap dalam bilik kecil di bahagian depan tadika yang dijadikan bilik guru tu. Comel je muka pandang-pandang aku dari dalam tu dengan muka excited. Automatik debaran dan kekalutan tadi terus hilang. Phewww!

Dari jauh si kembar berlari-lari masuk ke dalam kereta sambil mulut mereka membebel-bebel. "Mama, kenapa tadi mama terus je jalan, tak tunggu Alyaa dengan Alysaa?". Kemudian, "Mama, kata teacher, mama dah terlepas. Teacher suruh tunggu je dalam bilik tu diam-diam".  Haha. Comel.

Aku yang kalut sangat tadi sebab tak nampak bayang diorang tunggu kat luar kelas macam biasa sampai tak terfikir pun nak masuk dalam dan tanya cikgu. Macam ibu ayam hilang anak. Apapun, aku tak nak lagi alami perasaan takut dan kalut sebab kehilangan anak lagi lepas ni dan sampai bila-bila pun walaupun hanya untuk 10 minit macam ni. Woh, mintak dijauhkan!

Si kembar.



Wednesday, March 23, 2011

Sesalan si mulut longkang

Dalam hidup, ada tak hal yang kamu sesali tapi tak boleh buat apa pun sebab semuanya dah terlambat? Aku rasa semua orang ada kot? Ya, ada beberapa peristiwa yang agak aku sesali dalam hidup tapi yang satu ni memang aku tak boleh lupa sebab aku tak tau macam mana nasib aku kat akhirat kelak. (-_-")

Waktu masih belajar di IPT dulu, ada kawan-kawan yang panggil aku mulut longkang sebab kalau bercakap main lepas je. Kalau nak kutuk orang tak pandang kiri kanan dan kadang-kadang tak pakai otak yang waras. Depan-depan orang pun boleh bantai gelakkan apa-apa yang tak kena pada orang tu. Ada sekali tu aku gelakkan sorang mamat hip-hop yang baru turun dari bas sebab dia pakai serkup kepala sebijik macam anak tudung yang makcik-makcik selalu pakai. Aku cakap dengan kawan-kawan yang budak tu pinjam serkup kepala mak dia dan gelak-gelak depan budak tu macam syaitan. Lepas tu baru aku perasan yang mamat tu sebenarnya adalah OKU sebab dia gunakan bahasa isyarat untuk berinteraksi dengan kawan-kawan dia. Aku terus diam terkedu dan rasa bersalah yang amat sangat. Tak taulah berapa banyak dosa aku kaut masa tu. Tapi, sekurang-kurangnya aku cuma gelakkan anak tudung dia, bukan dia kan? Sumpah, aku tak ada niat nak gelakkan keistimewaan dia.

Tapi yang paling aku tak boleh lupa adalah kisah seorang budak perempuan junior di IPT tempat aku belajar. Aku pun tak tau kenapa sejak dari pertama kali aku tengok budak tu, hati aku macam tak senang. Nak kata dia cantik, taklah cantik. Cuma dia nampak agak over berbanding kawan-kawan dia. Solekan dia, gaya dia berpakaian, warna rambut dia, pergerakan dia, semuanya mengundang rasa meluat sangat bagi aku. Aku rasa macam dia tu gedik dan nak publisiti murahan je. Alah, korang pun mesti ada perasaan yang sama kalau jumpa orang macam tu kan? Setiap kali aku nampak kelibat dia, mesti berbakul-bakul aku kutuk.  Siap bagi nama gelaran lagi untuk budak tu. Aku tak ingat apa, tapi mestilah gelaran yang tak best langsung. Ditambah lagi bila aku dapat tau nama penuh budak perempuan tu sangat-sangat islamik dan tak sesuai langsung dengan gaya dia waktu tu. Kawan-kawan aku pun naik pelik, kenapa aku anti sangat dengan budak perempuan tu. Dia kenal aku pun tidak. Bercakap pun tak pernah. Apalagi nak kata dia ada buat salah dengan aku? 

Sampailah satu hari, kami dikejutkan dengan berita tentang beberapa orang pelajar kolej kami terlibat dalam sebuah kemalangan maut. Macam berdentum guruh kat telinga aku bila aku dapat tau, salah seorang mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan tu adalah budak perempuan junior yang selalu sangat aku kutuk semasa hidupnya. Dapat bayangkan tak betapa menyesalnya dan takutnya aku dengan apa yang aku dah buat selama ni? Berhari-hari jugak aku asyik fikirkan tentang dosa yang aku dah buat sampai tidur malam pun aku takut kalau-kalau arwah datang kacau aku. Tiba-tiba semua cerita kawan-kawan arwah tentang arwah tu, semuanya aku berminat nak dengar. Dengarnya, arwah meninggal sebab tercampak keluar dari cermin depan kereta tu. Tak taulah berapa banyak Al-Fatihah aku dah sedekahkan untuk arwah. Kalau solat, aku berdoa sangat supaya Allah dapat ampunkan dosa aku dan semoga dosa aku dapat diringankan walaupun aku tak sempat minta maaf dengan arwah.

Seriously, sejak tu aktiviti kutuk-mengutuk dan gelak-menggelakkan orang sikit demi sedikit aku buang walaupun belum berjaya buang sepenuhnya. Sekurang-kurangnya, bila niat nak mengutuk orang tu datang, aku akan terfikir, macam mana kalau aku tak sempat minta maaf dengan orang yang aku kutuk tu, bila tiba-tiba aku atau dia yang pergi dulu?

Setiap kejadian ada hikmahnya. Allah dah bagi petunjuk untuk aku supaya tak tambah lagi dosa atas kesalahan yang sama. Maksudnya, Allah sayangkan aku, kan? Jadi kawan-kawan, muhasabahkan diri. Kat akhirat kelak, tak ada orang lain yang boleh bantu kita semasa kita terima hukuman atas dosa yang kita dah buat semasa hayat kita.

Al-Fatihah untuk arwah.
Related Posts with Thumbnails