Thursday, July 19, 2012

Lambaian doktor gigi

Aku malas nak kira dah berapa banyak entri yang aku taip tergantung macam tu je dan terperap dalam draft. Ataupun berapa entri yang berhenti setakat part 1 je, dan takde part 2 dah lepas tu. Dasar pemalas kau! Tapi kalau drama Korea, gigih pulak aku habiskan sampai part 16 hatta part 20 sekalipun! Dasar apartheid kau! *tibatiba*

Aku jeles betul dengan orang yang banyak idea, apa nak tulis dalam blog dan yang paling penting orang yang rajin nak update blog sambil cerita aktiviti harian start dari celik bijik mata sampai katup mata nak tidur malam. Aku tak mampu, hokeh. Macam mana korang boleh buat macam tu?

Yang aku tengah fikir sekarang adalah seperti yang berikut: bila aku ada masa nak seret si kembar tu pergi klinik gigi nak cabut 2 batang gigi susu masing-masing yang dah hampir-hampir nak tumbuh gigi kekal kat belakang gigi tu. Haish! Berlapis jugak karang gigi korang. Aku pun lupa nak check gigi memasing walaupun perasan jugak dah lama takde gigi yang goyang nak tanggal. Tengok-tengok dah ada bayang-bayang gigi kekal nak muncul kat belakang gigi susu. 

Lepas ni dah start kena cari ayat power la nak pujuk dorang masuk bilik doktor dan duduk baik-baik atas kerusi boleh laras yang kau ingat tak cukup menggerunkan ke walaupun untuk orang tua tu? Aku sendiri pun rasa macam nak terkucil bila nampak kerusi canggih tu yang mungkin syok kalau dapat sebijik dan letak kat depan tv kat ruang tamu kan?

Friday, June 29, 2012

Si kembar dan mamanya ke hari terbuka sekolah

Pagi tadi macam biasa hantar si kembar pergi sekolah agama. Dari jauh aku nampak sorang makcik tengah melenggang kangkung balik dari sekolah dengan anak dia yang pakai uniform sekolah sambil pegang buku penyata. Dah rasa lain macam sikit la masa tu. Lagi berapa meter nak sampai depan sekolah, tengok banyak kereta parking kat depan sekolah. Hei, hei, apa-apaan ini? Kok bisa aku nggak tau apa-apa ini?

Dah sampai depan sekolah, nampaklah mak bapak ngan anak-anak memasing penuh dalam dewan sekolah. Tunggu turn nak jumpa ustaz ustazah kelas anak memasing. Aku dah agak, ni mesti hari terbuka. Hari mak bapak kena dengar cikgu bebel-bebel pasal anak memasing punya prestasi. Kebetulan sorang mak budak merangkap kawan sekolah aku baru keluar dari kawasan sekolah sambil pegang buku penyata anak. Untuk lebih kepastian aku pun turun dari kereta dan tanya dia. Memang sahlah hari terbuka.

MASALAHNYA, AKU TAKDE DAPAT SURAT PUN DARI SEKOLAH PASAL HARI TERBUKA NI!

Aku tenung si kembar yang masih terkebil-kebil dalam kereta. Bertuah punya budak.. Entah mana dorang selit surat pekeliling dari sekolah tu. Bila tanya surat mana, diorang boleh jawab, cikgu takde bagi punn! Hnshhh.. sabo je la. Entah belacan mana yang dorang balut pakai surat dari ustazah tu.

Maka terpaksalah aku seret si kembar masuk dalam dewan dan tunggu giliran untuk jumpa ustazah tanpa ada persediaan pon. Yelah, mana aku tau hari ni hari terbuka. Kot tak boleh lah jugak aku pakai baju kebaya lip lap ke, kasut wedges2 ke, tudung syria2 bagai ke, handbag yang senonoh sikit ke. Ni tak, baju kurung entah bila punya tahun aku sarung ni. Tot bag yang dah berbulus-bulus tu pun beli kat gerai jualan barang-barang Thai 7,8 taun lepas. Ciss, ciss dan ciss! Sudahnya sampai terlupa nak inform office aku terpaksa masuk lambat sebab baru tau last minute ada hari terbuka kat sekolah. Yeah, i love my twin!


Thursday, June 21, 2012

Ringgit kasorrga

Dulu-dulu, waktu maktu masih sekolah membawak sampai ke IPT, ada satu perkara yang sangat buat aku teruja dan gembira sangat bila benda tu jadi.  Kalau aku nak describe rasanya macam mana, mungkin macam korang terserempak dengan orang yang korang admire dalam diam dan dia bagi senyum paling manis kat korang. Woh! Macam nak melayang sampai awan!

Benda yang aku maksudkan tu, bila terjumpa duit tak kiralah berapa ringgit, dalam poket seluar atau baju atau mana-mana tempat yang tak terjangka di kala ketandusan duit untuk apa-apa aktiviti penting terutamanya makan. Gila happy woo kalau jumpa duit walaupun duit sendiri yang entah bila punya tahun kau selit dalam poket tu. Macam menang jackpot kot? Lepas tu, aku pernahlah berkira-kira untuk selit duit kat mana-mana poket seluar jeans waktu duit masih berduit la konon, mana tau nanti-nanti bila tengah pokai lepastu bolehlah seluk-seluk mana-mana poket seluar dan menjerit kegembiraan kalau terjumpa dengan duit tu. Cess! Takdenya aku buat sebab tak pernahnya duit belanja ada baki untuk simpan dan lagi baik aku pakai duit tu untuk buat makan atau bayar tambang bas pergi merambu kat City Square. Aktiviti jumpa duit pastu happy sendiri sampai melompat ni biasanya terjadi masa tengah iron baju atau seluar atau tengah lipat baju atau tengah basuh baju.

Kome tau aku tak seburuk ni kan?

Aku ingat feeling tu aku tak rasa lagi lepas dah kahwin, bekerja dan jadi mak budak. Rupanya masih lagi walaupun dah tak melompat tinggi lagi la, kan? Biasanya jadi masa aku basuh kain dan jumpa duit dalam mesin basuh. Best woo. Masih rasa macam menang jackpot. Tak kiralah tu duit siapa, entah duit aku sendiri atau duit encik Papa, tapi dah aku yang jumpa, dah sah-sahlah jadi duit aku, kan? Sebelum duit tu aku campak masuk dalam handbag, kenalah keringkan dulu kat depan kipas angin. Walaupun setakat singgit dua dan paling mewah pun dalam RM5-RM10, lepas jugaklah coklat bar sebatang..
 


Monday, June 11, 2012

Ibu wajib baca: Denggi berdarah Part 1

Alyaa di wad 8D. Tengok air mata meleleh, betapa sakitnya dia masa ni =(

Alyaa di HDW
Ni aku nak share sikit pengalaman Alyaa dengan demam denggi berdarah hujung tahun lepas, untuk korang yang sudi baca atau lebih tepat lagi tersesat masuk dalam blog picisan ni. Dah lama nak share kat sini tapi selalu tertunda dan terlupa. Yang paling penting, bila demam melebihi 3 hari je, sila ke klinik berdekatan untuk buat ujian darah. Sebab demam denggi ni ada jugak yang tak disertai dengan tanda-tanda demam denggi macam kebiasaannya.

Mengikut pengalaman aku, demam denggi si Alyaa bermula dengan cirit-birit yang agak teruk 1,2 hari sebelum demam panas mengejut. Demamnya memang teruk, disertai dengan sakit kepala, sakit pada tulang belakang, sendi-sendi, sakit pada bebola mata, sakit perut, mual, muntah-muntah, cirit-birit dan demam yang tak surut walaupun dah diberi paracetamol. Nampak macam demam biasa kan? Tu yang kita kena alert. Masa tu memang aku terfikir, demam Alyaa ni memang lain macam dan teruk sangat tak macam biasanya tapi tak terfikir pun pasal denggi lagi. Hari ke 3 demam, Alyaa diserang sawan. Kejang satu badan sampai pucat dan biru muka dia. Rupanya, tu dinamakan dengue shock syndrome. Ni jenis denggi yang sangat bahaya okeh. Petang tu, Alyaa kami kejarkan ke klinik berdekatan dan terus dirujuk ke unit kecemasan di hospital oleh doktor tu sebab keadaannya yang agak teruk.

Dalam emergency room, Alyaa makin lemah dan sakit perutnya makin kerap. Doktor dah ambil sample darah walaupun belum cukup 4 hari demamnya sebab kata diorang, demam Alyaa ada ciri-ciri demam denggi. Alyaa dimasukkan ke wad 8d masa tu tapi keadaan dia makin teruk malam tu. Muntah-muntah, sakit perut dan cirit-birit nonstop sampai terpaksa dipakaikan diapers sebab tak larat langsung nak bangun ke toilet. Aku langsung tak tidur malam tu. Rasa terlampau takut untuk kehilangan buat aku kalut dan galau. Serius.

Hari ke 2 kat wad, Alyaa makin teruk. Group doktor pakar berulang-alik ke katil Alyaa untuk pantau keadaan dia. Aku tak tau keadaan Alyaa serius sangat sampai seorang doktor bagitau aku secara personal tentang tu - macam dalam drama bila kita dipanggil masuk ke bilik doktor untuk diberitau tentang penyakit sebenar orang yang kita sayang-,tentang betapa bahayanya 'benda' yang tengah mengganas dalam badan Alyaa, tentang betapa aku harus kuat dan bersedia untuk menghadapi kehilangan dia pada bila-bila masa sebab virus denggi dalam badan dia sangatlah bahaya, tentang betapa kumpulan doktor pakar tu sedang berusaha sedaya upaya untuk mengubati sakitnya -perlu diingat, demam denggi tiada ubatnya ya, cuma perlu dikawal dan dipantau supaya tak jadi lebih teruk dan serius-, dan perasaan aku masa tu tak perlu aku terangkan sebab korang-sebagai ibu pun tentu akan rasa apa yang aku rasa.

Kata doktor, Alyaa sedang lalui fasa paling kritikal dalam tempoh 48 jam tu. Dalam tempoh tu, apa je boleh jadi. Darah Alyaa dah mula bocor dan keluar dari pembuluh darah, dan mula 'menuju' ke tempat-tempat yang tak sepatutnya dalam badan. Doktor dah siapkan beberapa paket plasma darah untuk persediaan. Dan aku? Aku dah hilang yang namanya kekuatan. Tengahari tu kumpulan doktor pakar makin kelam kabut sebab baru saja gagal selamatkan satu nyawa akibat demam denggi berdarah macam Alyaa. Aku hampir pengsan sebab terlalu takut dengan berita yang doktor sampaikan. Tak lama lepas tu, Alyaa dimasukkan ke ICU sebab keadaannya makin kritikal. Ya Allah, takutnya aku cuma Allah yang tau.

Bersambung..

Tuesday, April 24, 2012

Kehilangan

Nenek duduk atas katil sebelah aku sambil usap-usap rambut aku perlahan. Kemudian dia raih jari jemari aku dan gentel-gentel hujung-hujung jari. Supaya lebih runcing, katanya. Kemudian nenek akan mula bercerita pasal banyak benda pada aku. Tentang kisah mak aku masa dia kecik-kecik. Tentang betapa dia nak tengok aku bahagia di masa depan aku nanti. Tentang betapa beruntungnya aku menjadi aku. Tentang banyak benda.

Nenek tak tinggal dengan kami. Dia jarang-jarang datang jenguk kami lepas kesihatan dia tak begitu berkompromi dengan dia lagi. Kecuali waktu aku kecik-kecik dulu, bila ada teksi yang berhenti depan rumah, aku tau tu mesti nenek dan atuk datang dari kampung. Tapi bila atuk dah meninggal tahun 1996 dulu, nenek dah jarang datang. Mungkin sebahagian dari diri nenek dah pergi jauh bersama perginya arwah atuk.

Nenek ada di hari bahagia aku. Hari aku disatukan dengan Encik Papa. Aku dah dewasa mungkin, pada masa tu. Tapi nenek masih lagi duduk atas katil sebelah aku. Usap dan belai rambut aku macam waktu aku berumur 6 tahun dulu. Dan masih bercerita tentang banyak benda pada aku. 

Nenek juga ada waktu aku dikurniakan dengan anugerah indah, si kembar Alyaa dan Alysaa. Juga waktu aku terlalu gembira menerima Rayyan Mikhail dalam hidup aku. Nenek akan bangun awal pagi untuk mandikan dan urut mereka. Nenek akan dodoikan mereka dengan lagu-lagu yang sama dia pernah dodoikan untuk aku waktu masih bayi dulu. Nenek akan senyum dan puji betapa sempurnanya mereka sebagai cicit-cicitnya. Sayang, arwah atuk tak bersama kami lagi untuk kongsi semua tu.

Kali terakhir aku jumpa nenek bulan November tahun lepas, nenek memang dah tak berdaya lagi. Terbaring dan tak boleh bangun lagi berjalan-jalan macam biasa. Nenek sakit tapi masih mampu tersenyum bila kami, anak-anak dan cucu cicitnya balik berkumpul sama-sama dengan nenek untuk sambut Aidil Adha. Aku tau, aku akan kehilangan nenek sama macam aku kehilangan atuk dulu. Tapi aku belum boleh bayangkan itu waktu tu.

Tanggal 23 April 2012, jam 5.30 petang kami dapat khabar dari kampung, nenek dah tak ada lagi. Nenek dah dijemput Ilahi kembali kepada penciptaNya. Nenek pergi dalam usia 80an. Remuk redam dan galaunya jiwa. Betapa aku akan merindukan senyum nenek, suara nenek, sentuhan nenek, usapan nenek dan cerita-cerita nenek. Betapa aku akan rindukan jari-jemari nenek yang dah berkedut seribu, menggentel-gentel hujung jari aku supaya lebih runcing.

Nenek, doaku sentiasa bersamamu. Ya Allah, kau cucurilah rahmatMu ke atas roh nenek dan tempatkanlah arwah nenek di kalangan orang-orang beriman. Ampuni segala dosa nenek dan terimalah segala amal ibadatnya selama ini.  Amin. 

Terima kasih nenek sebab pernah ada dalam hidup aku.

Al fatihah.

Tuesday, April 3, 2012

Hikayat setandan pisang

Waduh. Berkulat blog aku tak pernah hapdate. Terabai sungguh macam hidup segan mati tak mau. Aku tak tau nak cerita apa sebenarnya. Tapi bila tengok adik aku si gigi besi lebih tabah mengupdate berbanding aku dengan 5 entri selama 2 bulan berbanding 1 entri bagi pihak aku, tercabar pulak aku sebagai warga senior. Yelah, budak kecik tu dah aku cop blogger berkarat sebab gila pemalas nak update blog, tapi rupanya karat aku lagi tebal. Chess. Maka, terimalah hikayat setandan pisang dari penglipurlara tak tertanding ni. Yang rasa nak muntah ijo 3 sudu pergi siap-siap.

Awal bulan lepas, nenek aku kat Batu Pahat yang tanah keliling rumahnya luas macam padang golf siap bercucuk tanam macam-macam tanaman kampung kat keliling rumah, bagi kami setandan pisang berangan yang sangat cantik bentuk fizikalnya. Cantik betul sampai kalau diandaikan pisang tu manusia, nescaya macam Maya Karinlah gamaknya. Disebabkan jumlah sisirnya yang banyak dan sayang nak dibazirkan, maka aku pun plan macam-macam benda nak buat dengan pisang tu. Lepas beberapa hari, ada dua tiga sisir yang dah ranum. Menu pertama yang aku buat adalah pisang bersira sirap. Ni makanan orang berketurunan Bugis. Pisang yang masak ranum dan manis di rebus dalam air yang menggelegak dan lepas tu makan dengan kuah sirap. Habis satu sisir. Satu sisir mak aku bagi pada pengasuh si Rayyan. Kemudian dua sisir aku sedekah pada pakcik aku dan keluarganya yang rajin makan. Satu setengah sisir aku beri pada opismate aku, si Nova. Aku taktaulah Nova buat apa dengan pisang tu. Dia yang makan atau monyet-monyet keliling rumah dia yang baham.

Masih ada banyak sisir lagi. Aku selongkar goggle dan cari resepi kek pisang. Dapat pulak resepi kek coklat pisang. Try yang ni dulu. Sedap jugak. Habis sesisir lebih pisang. Wahh, banyak lagi. Berlumba-lumba pulak pisang ni nak meranum. Maka aku pun buat kek pisang yang tak berapa nak gebu. Grrr.. Berkurang sesisir lagi pisang. Kebetulan pulak si kembar Alyaa & Alysaa suka makan pisang, maka dalam sehari berbijik-bijik jugak dorang makan pisang berangan yang manis dan gebu tu. Tapi masih ada baki beberapa sisir lagi. Pulak tu dah semakin ranum dan mula membonyok. Rasa nak panggg pisang tu pun ada jugak. Ehmm.. Kalau dah agak bonyok gitu, apa lagi yang sedap selain dari cekodok pisang. Ye tak?

Tak payah cerita banyak, memang 2,3 hari jugaklah jenuh kitorang membaham cekodok pisang sebagai sarapan pagi dan minum petang. Memang conform tak sembelitlah untuk sebulan tu. Maka, setelah beberapa minggu setandan pisang berangan tu menghuni sudut dapur rumah, akhirnya tamatlah hikayat setandan pisang berangan yang sangat molek rupa parasnya. Huh, terseksa jugak aku berfikir apa nak buat untuk elakkan pembaziran. Cuma, ada lagi satu tupperware kek pisang bantat yang tak laku dalam peti ais rumah aku. Erk, tu kira pembaziran jugak kan?



Related Posts with Thumbnails