Showing posts with label Peristiwa. Show all posts
Showing posts with label Peristiwa. Show all posts

Thursday, November 17, 2011

Rumah kena pecah masuk!

Serius betul bunyi tajuk tu.

Kejadian ni dah 3 hari berlalu, tapi baru hari ni tergerak nak buat entri. Penyangak malaun tu pecah masuk ke rumah aku melalui pintu dapur yang dikopak dengan penuh seni, di siang-siang buta hari Isnin yang lepas. Penyangak zaman sekarang canggih-canggih. Aku tak tau mana dorang dapat gadjet yang best-best untuk pecahkan rumah orang. Tak dapat kopak pintu, dia kopak grill besi tingkap. Tak dapat kaedah tu, dia sanggup pecahkan simen untuk tanggalkan terus pintu. Kreatif sungguh. Hebat.

Benda pertama yang aku dapat kesan kehilangannya adalah, tabung duit si kembar dan Rayyan yang aku letakkan bawah kabinet tv dalam bilik, yang malam sebelumnya aku dan encik Papa dah rancang untuk bukak tabung sebab dah penuh sendat dan kira duit dalam tu sebelum tukar kepada duit kertas di kedai runcit dan masukkan dalam akaun bank mereka, tapi tak jadi kira sebab masing-masing malas nak bergerak, nah terimalah kau! Kalau aku tau benda tu nak hilang, tak tidur malam pun aku sanggup untuk kira duit tu 5,6 kali. Tapi biasalah. Aku manusia ok. Dah terhantuk baru nak terngadah.

Hilang sekejap jantung aku bila masuk dapur dan nampak pintu dah terkopak. Rasa macam melayang tak jejak tanah. Terus lari masuk ke bilik dan tengok apa yang hilang. Yang sangat aku syukuri, aku sempat simpan laptop sebelum pergi kerja pagi tu dan sembunyikan di ruang tamu (tempat yg paling selamat untuk simpan barang berharga sebab pencuri biasanya akan target bilik tidur untuk cari barang berharga-tip penting ni). Kamera digital yang aku letak atas meja solek malam sebelumnya pun aku sempat capai dan letak dalam handbag pagi tu. Walaupun tetap kesal sebab kehilangan tabung duit anak-anak yang diorang dah penuhkan dengan susah payahnya selama ni, aku tetap bersyukur sebab tak kehilangan barang berharga yang lain.

Dugaan Tuhan untuk kami. Kena cari hikmah di sebalik kejadian. Walaupun penyangak tetap kena maki dan carut berbakul-bakul dan aku siap doakan dia tak sempat taubat lalu ditempatkan di neraka jahannam, aku tetap bersyukur sebab selain kehilangan tabung tu, tak ada kejadian buruk lain yang berlaku.

Semoga kejadian ni jadi ikhtibar kepada semua. Lebihkan sikap berhati-hati dan waspada sebab kejahatan berlaku bukan hanya kerana niat si pelaku, tapi juga sebab adanya peluang.

Ada sesiapa nak pakai khidmat 'pecah rumah'?

Monday, April 25, 2011

Bila kereta sudah sakit

Akibat meredah banjir selepas hujan lebat dan perasan macam tengah bawak pacuan 4 roda, maka kereta aku telah mengalami komplikasi dalaman di bahagian brek belakang yang mengakibatkan tayar belakang tak mampu berpusing seterusnya tak mampu beroperasi seperti biasa kerana terlantar di halaman rumah. Sempat juga tersadai selama 2 hari sebelum 'doktor' kereta yang kebetulan kawan baik emak aku datang untuk membuat pemeriksaan sebelum mengesahkan bahawa komplikasi itu disebabkan oleh kemasukan air ke dalam sistem brek belakang (lebih kurang macam tu la..) dan seterusnya menggantikan beberapa 'organ' yang penting seperti brek belakang, pump brake dan minyak brek. Harga yang dikenakan adalah harga kawan-kawan. Masa bill dah keluar pun, Encik Yaakob kurangkan lagi harga.

Terima kasih, Encik Yaakob. Lepas ni, saya akan berfikir 45 kali sebelum nekad untuk redah banjir. Yang paling penting, saya akan sentiasa ingat yang saya bukan seorang pemandu pacuan 4 roda. Cuma pemilik sebuah kereta nasional.

Sekian.

Tuesday, April 5, 2011

Flasher oh flasher!

Pagi-pagi lagi aku dah dijamukan dengan adegan memualkan yang betul-betul buat aku nak keluarkan semua isi perut. Sudahlah dari pagi perut aku meragam dan asyik keluar masuk tandas, entah akibat salah makan atau masuk angin, ditambahlah pula dengan 'pertunjukan' percuma yang tak mampu nak ditapis dek Lembaga Penapisan Filem Malaysia sebab berada di luar bidang kuasa mereka. Cis! Buat rosak mata dan minda aku je.

Waktu pulang dari hantar si kembar ke sekolah mereka pagi tadi dan sampai di simpang nak masuk ke rumah aku, dari jauh aku dah nampak seorang mamat ni berdiri sambil bersandar di dinding rumah yang paling tepi sekali sambil buat something yang aku macam dah boleh agak apa sebab bukan pertama kali jumpa orang macam tu. Aku rasa dia memang sengaja berdiri kat situ sebab modus operandi orang-orang kurang akal macam ni memang nak orang yang lalu-lalang nampak 'kepunyaan' dia dan mereka akan dapat kepuasan (klimaks misalnya) dari situ. Gila! Bila dah makin hampir ngan flasher tu, tak agak-agaklah kalau aku nak berhentikan kereta dan renung dia lama-lama kan? Haruslah aku tekan minyak dan tak pandang langsung pun kat dia. Euwww! 

Sebelum ni aku pernah jumpa dengan flasher ni waktu sekolah dan belajar di IPT. Orang-orang macam ni biasanya akan muncul di kawasan yang jadi tumpuan orang lalu lalang, lagi-lagi budak-budak perempuan. Ataupun parking kereta di tepi jalan tempat pelajar ulang-alik pergi dan balik kelas. Lagi teruk, kalau dia buat dalam bas. Keji kan?

Bagi adik-adik atau sesiapa saja terutamanya wanita yang belum ada pengalaman jumpa manusia bermasalah kejiwaan macam ni, hati-hatilah ya. Jangan pandang apa yang dia tunjuk dan jangan lalu dekat-dekat dengan dia. Kalau boleh, pecut lari atau jerit minta tolong. Takut kalau dia buat something yang lebih ekstrim dan agresif sebab nafsu mereka dah melebihi kewarasan fikiran mereka waktu tu. Memang berderau darah lagi-lagi kalau pertama kali jumpa situasi macam ni. 

Mungkin ada yang tau apa itu flasher. Boleh klik sini atau sini untuk sedikit info. Ini bukan setakat pengetahuan am saja, tapi penting sebab melibatkan keselamatan diri kita. Penting juga untuk mereka yang ada anak-anak perempuan macam aku supaya dapat mendidik dan mendedahkan anak-anak dengan bahaya jenayah terpencil macam ni sebab silap-silap boleh memberikan kesan psikologi yang negatif kepada minda kanak-kanak yang sedang membesar.

Nasib baik waktu pergi kerja tadi, si flasher tu dah tak ada lagi. Kalau tak, terfikir juga nak baling bom petrol. Then terfikir juga, kalau perempuan yang suka sangat dedah sana dedah sini, berseksi-seksa dan tunjuk semua yang dia ada, tu namanya flasher juga ke? Urmmm...



Thursday, March 17, 2011

Kisah hitam sandwich tuna

Dulu aku suka betul makan roti sandwich berinti tuna dalam tin. Lagi-lagi masa bergelar pelajar IPT dan duduk ramai-ramai kat rumah sewa. Simple, sedap dan mengenyangkan. Sampai dah habis belajar pun aku masih suka makan sandwich tuna. Sampailah satu hari si gigi besi cakap, "Kak, apasal kau suka sangat makan sandwich tuna ni? Aku tengok sebijik macam muntah kucing!"

Siot! Sejak hari tu aku dah tak pernah makan lagi sandwich tuna, sebab bila masuk je dalam mulut aku terus terbayang yang aku tengah kunyah bahan buangan binatang tu. (-_-")

Aku rindu sama kamuu..

Monday, March 14, 2011

Belasungkawa untuk Jepun

Tersentuh hati manusiawi melihat gambar-gambar dan video-video ketika gempa bumi dan tsunami yang dahsyat melanda Jepun, lebih-lebih lagi gambar-gambar pasca tsunami yang meninggalkan kesan yang sangat dahsyat persis seperti apa yang pernah menimpa saudara kita di Acheh pada 2004.  Allah Maha Besar. Segala yang baik dan buruk datangnya dari Allah. Belasungkawa untuk Jepun atas ujian Allah terhadap mereka. Semoga kita dapat mencari ikhtibar di sebalik bencana ini sekaligus menjadikan kita hamba Allah yang lebih baik. Semoga Jepun dapat bangkit dari kedukaannya dan membangun dengan lebih maju lagi seperti membangunnya mereka selepas pengeboman Hiroshima dan Nagasaki satu waktu dulu. Amin. Sesungguhnya tiada apa yang dapat menghalang kekuasaan Allah.


  

  







Gambar-gambar pasca gempa bumi dan tsunami Jepun.

Wednesday, January 5, 2011

Mama, Alysaa tak nak makan ikan!

Hello, Alysaa!!
Tempat kerja aku dekat dengan rumah. Dekat sangat. Naik kereta 3 minit dah sampai. Kalau pecut gila-gila, 1/2 minit dah sampai. Jadi, waktu rehat aku akan balik rumah untuk makan. Tahun ni si kembar balik sekolah pukul 12.15 tengahari, jadi memang jumpalah di rumah kalau aku balik rehat. Dah boleh suap sendiri sebenarnya, tapi disebabkan kemanjaan yang ekstrem kalau ada aku, maka kebiasaannya mereka akan merengek suruh aku suapkan makan.

Semalam Alysaa cipta sejarah lagi. Waktu aku suap dia dan kembarnya Alyaa makan nasi berlaukkan ikan kembung masak asam dan sayur bayam, dia tercekik tulang. Rasanya aku dah tilik habis tulang-tulang hatta yang sehalus kuman sekalipun. Dan biasanya juga dia dapat kesan kalau aku tersuap tulang. Tapi semalam, memang nak jadi sejarah, tulang ikan kembung tu tersekat di kerongkongnya pula.Gelabahlah aku.

Nasib baik mak aku ada waktu tu. Kami cuba macam-macam cara nak bagi keluar tulang ikan tu. Jolok tekak suruh muntah, telan nasi banyak-banyak, minum air bergelas-gelas, sampai habis ikhtiar. Waktu rehat aku pun dah nak habis. Yang terfikir cuma, hantar Alysaa ke klinik. Tak kesian ke kalau dia menangis tiap kali telan air liur sampai mulutnya menganga je sebab takut nak telan air liur? Akhirnya aku call office dan bagitau aku masuk lambat sebab nak hantar anak ke klinik sekejap.

Pergi klinik dan Doktor Shahrul cabut tulang tu tak sampai pun seminit. Yang lamanya sebab Alysaa mengamuk sakan bila tengok doktor datang bawa forcep kecil tu dengan lampu suluh. Dah pujuk pun tak makan saman. Masih juga meraung bagai nak rak. Sampaikan aku terpaksa bagi sogokan dengan berjanji untuk belikan dia bekal makanan Barbie kalau dia diam dan bagi doktor cabut tulang tu. Tapi tak menjadi juga taktik tu. Sudahnya kata doktor, "Ok. Mamanya ke tepi dulu". Apalagi, doktor dengan 4 orang pembantu kliniknya pun 'kerjakan' Alysaa tak sampai seminit. Kelakar betul! Kata doktor, walaupun tulang kecil atau besar, mesti cabut cepat, takut bernanah dan luka kat dalam tu. Macam kelakar bunyinya kan, tercekik tulang lari ke klinik. Tapi sekurang-kurangnya dah jadi pengajaran dan pengalaman.

On the way nak balik rumah, Alysaa tuntut janji. Mama, kata nak belikan bekal Barbie? Oh, anakku! Bila aku cakap yang dia tak layak nak dapat bekal makanan tu sebab tak berkompromi dengan doktor tadi, dia menangis lagi. Manalah ada benda tu kat sini. Takkan nak ke Jusco sekarang juga. Disebabkan tak sampai hati, maka aku belikan juga bekal makanan yang colorful dengan gambar kartun harga RM4 x 2 (untuk Alyaa sekali) kat pasaraya. Jimat duit!

Ironinya, bila tiba waktu makan malam, Alysaa sudah trauma untuk makan berlaukkan ikan dan cuma nak makan berlaukkan ayam sahaja. Fuh, sabar je lah.

Saturday, December 4, 2010

Hampir-hampir aku tak berada di sini lagi

Jumaat - 3 Dis 2010
Jam 3: 56 petang.
Lebuhraya (PLUS) Senai

Hujan lebat. Suami bawa kereta dengan kelajuan 60 km/j di lorong kiri lebuhraya. Dalam perjalanan pulang ke Pasir Gudang dari Taman Universiti, Skudai. Tak berani bawa laju-laju kesan trauma melampau akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2007.

Di lorong kanan, semua kereta meluncur gila laju. Hujan lebat bagai tak menghalang. Honda Civic dengan kelajuan 110 km/j. Toyota Corolla dengan kelajuan 100 km/j. Honda Accord, Ford Ranger, Toyota Camry, Grand Livina, semua memecut macam pelesit. Fuh, gila betul! Tapi tak berapa nak hairan sebab semua kereta tu mahal-mahal dan sudah tentu dilengkapi dengan sistem brek yang baik dan ciri-ciri keselamatan yang hebat. Setandinglah dengan harganya. Jadi, pemanduan kami diteruskan dengan penuh etika dan sopan-santun.

Kejap. Ada sebuah lagi kereta nak memotong di lorong kanan. Fuh, berdesup! Kereta Wira rupanya. Warna putih. Terkejut sekejap sebab memang gila punya laju. Belum sempat nak mengutuk, kereta tersebut yang berada beberapa meter saja di depan kami hilang kawalan, tergelincir barangkali dan berpusing 2,3 kali tanpa kawalan. Terkedu dan terkesima. Pasrah. Dan hampir pitam.

Kereta tu terhenti melintang di tengah lorong kanan. Bumper belakangnya tergesel sedikit pada besi pembahagi jalan. Ya Allah, rasa macam jantung aku dah hilang dan tak berada di tempatnya lagi. Alhamdulillah, panjang lagi umur kami. Belum ajal. Kalaulah waktu itu ada kenderaan lain yang turut meluncur laju di belakang kereta Wira tu, aku yakin aku dan suami mungkin terlibat sama kalau terjadi apa-apa. Lagi-lagi kalau yang mengekor tu lori treler. Aku tak nak bayangkan. Selisih.

Kami melepasi kereta Wira yang aku yakin pemandu dan penumpangnya rasa macam mati hidup semula. Pemandu kaku di tempat duduk dengan muka pucat lesi dan mulut ternganga. Kami yang nampak pun dah beku-beku dan kebas-kebas sendi lutut, apalagi mereka yang berada di dalam tu. Bila aku pandang ke belakang semula, kereta Wira tu pun dah berpusing balik dan dipandu perlahan di lorong kiri. Tertunggu-tunggu juga kalau-kalau dia masih mahu memotong kami di lorong kanan dengan kelajuan sama seperti tadi. Tak agak-agak. Serius, jantung aku berhenti berfungsi beberapa saat dan tangan aku menggeletar tak sudah macam penyakit parkinson. Baru hampir-hampir terlibat kemalangan dah begitu rasanya. Uish, minta dijauhkan.

Seruan aku, kalau memandu tu ingat-ingatlah tuhan. Ingat-ingatlah orang-orang tersayang yang kita bawa bersama dan juga orang-orang tersayang yang akan bersedih jika kita meninggalkan mereka dengan cara yang begitu sadis, yang sepatutnya dapat dielakkan jika kita menggunakan kewarasan fikiran kita ketika berada di jalan raya.


Syukur alhamdulillah sebab Allah masih lagi memberi kami peluang bernafas di atas muka bumiNya ini.

Oh ya, kereta nasional bukan tak bagus, sebab aku pun pakai kereta nasional. Tapi sendiri mau ingatlah. Kan?




Related Posts with Thumbnails