Thursday, April 28, 2011

Kisah maid aku yang membengkakkan hati

Mari. Aku nak berkongsi cerita tentang seorang manusia yang pada akhir cerita nanti, kau orang pandai-pandailah nak masukkan dia ni kategori apa. Mungkin ni entri terpanjang yang pernah aku buat. Jadi, bagi yang nak baca, sila baca. Yang tak nak, tak payahlah baca.

Disebabkan simpati pada si gojes Rayyan yang terpaksa dihantar ke rumah pengasuh selepas ketiadaan si gigi besi yang melanjutkan pelajarannya setelah sempat menjadi babysitter Rayyan sejak lahir hingga berumur setahun, maka aku memutuskan untuk mencari seorang maid yang boleh menjaga Rayyan dan si kembar sambil membuat kerja-kerja rumah. Kebetulan masa tu, bapa aku sering berulang-alik ke Sulawesi, Indonesia atas urusan jual beli tanah. Jadi aku suruhlah tengok-tengokkan kalau ada sesiapa yang nak kerja sebagai maid di rumah. Okeh, memang ada. Tapi kena tanggunglah ongkos buat pasport dan juga tiket flight mereka. Tak apalah, since kalau ambil dekat agen pun bayar mahal juga.

Bukan seorang, okeh. Tapi 4 orang adik- beradik sekaligus. Dua lelaki dan dua perempuan. Yang lelakinya bapa aku nak jadikan pekerja di kilangnya sebab bapa aku ni sub-contractor yang memang perlukan ramai pekerja. Yang perempuan pula, seorang jadi maid di rumah, dan seorang lagi jadi cashier di kedai runcit mak aku. Kat sana, mereka ni orang susah. Yang perempuannya masing-masing dah menjanda dan ada anak. Yang lelaki pulak, umur dalam lingkungan budak-budak sekolah menengah lagi, tapi tak sekolah pun. Masing-masing hisap rokok macam orang pro je. Geleng kepala aku tengok. 

Kakak yang sulung jadi maid di rumah. Adik perempuannya yang muda setahun dari aku, jadi cashier di kedai sebab katanya kat sana dia ada pengalaman jaga kedai orang cina. Yang aku nak cerita kat sini, kisah si kakaknya yang jadi maid tu. Muka dia macam orang baik-baik. Tak banyak cakap. Sembahyang pun tak tinggal. Jadi aku ingat dia ni memang boleh diharaplah buat kerja-kerja rumah dan mengasuh anak.

Maka bermulalah cerita. Hari pertama, aku dah terjerit-jerit kat maid ni sebab ada ke patut dia dah togelkan si Rayyan, lepas tu dia letakkan anak aku tu yang umur belum sampai 2 tahun dalam toilet siap dengan satu besen penuh air untuk dia mandi sendiri! Budak umur macam tu manalah pandai mandi sendiri.. Silap-silap boleh lemas dalam besen besar yang penuh air tu! Nasib baik aku nampak! Yang aku pelik sangat, bila aku membebel dan tegur silap dia, dia boleh buat muka dek je. Tak ada perasaan. Terus aku kata dalam hati, dia ni betul ke tidak? Entah-entah ada yang shot tak dalam kepala otak dia? Maklumlah, masa dia masuk Malaysia tu, dia baru je cerai dengan suami dia sebab suami dia kena kebas dengan perempuan lain. Tak apalah, aku maafkan untuk kes yang pertama tu. Hmm.. macam manalah dia jaga anak-anak dia ye?

Makin hari dia kerja, makin banyak pula benda yang dia buat yang buat otak aku macam nak meletup, tapi masih mampu kutahan-tahan lagi. Kerja-kerja rumah semua aku nak kena ajar dan tunjuk. Lepas tu kalau aku tak suruh buat, sampai bila-bila pun dia tak akan buat. Sekali ketuk, sekali jalan. Sekali di suruh, sekali tu jelah dia buat. Ya Allah, siapa yang mampu tahan ye? Bab masak, memang dia failed. Dahlah tak sedap langsung, hari-hari menu yang sama sampai naik loya aku nak makan kat rumah. Kalau aku tunjuk cara-cara nak masak masakan kegemaran kami sekeluarga, dia macam nak tak nak je tengok. Yang aku sakit hati, kalau dia basuh pinggan, bukannya tambah bersih. Tambah kotor dan berminyak lagi ada la. Aku cakap dengan dia, bilas bersih-bersih sebab pinggan mangkuk semua berminyak. Tapi tetap tak ada perubahan, sampai aku rasa dia ni mungkin bilas pinggan mangkuk tu pakai minyak masak agaknya.

Nak tambah sakit hati lagi, satu hari aku jenguklah dia basuh baju pakai mesin basuh. Terkejut aku sebab dia basuh baju-baju kotor dia dulu, kemudian dengan bekas air basuhan baju dia yang dah hitam melegam tu lah yang dia guna untuk basuh baju kami sekeluarga padahal aku dah siap asing-asingkan baju kotor ikut warna. Geram tak? Aku marahlah dia. Siapa yang tak marah kan? Paling teruk, aku jumpa dia basuh baju bapa aku campur dengan kain-kain pengelap dapur yang gile punya kotor. Masya allah.. manusia apalah dia ni. Manusia paling sabar dalam dunia pun tak akan sabar lah kalau jumpa orang macam ni. Lepas tu, bila disuruh buat apa-apa, mulalah muka dia muncung sedepa dan masam mencuka. Hoi, ingat kau kerja aku tak bayar ke? Cess!

Botol susu Rayyan, dah siap basuh pun tetap penuh berkeladak dengan saki baki susu basi. Bila aku bebel, tanya dia basuh pakai berus botol atau tak, dia pandai pulak jawab pakai. Pakai hape kalau macam tu? Aku rasa aku dah tak mampu bertahan lagi dengan perangai dia. Dah ramai maid yang kerja kat rumah aku, aku rasa ni lah yang paling bebal tahap soopa-doopa. Kemuncaknya sampai satu hari tu, si kembar mengadu pada aku yang maid ni kalau mandikan diorang, dia just tengok je kat sudut bilik air dan jarang nak sabunkan badan diorang. Si kembar tu kalau dah duduk dalam bilik air, memang berjam-jam lamanya sebab main air sambil bergaduh-gaduh dalam tu. Sabun pun habis dibuat main. Sebab tulah aku suruh dia yang mandikan, jadi diorang cepat siap dan air dengan sabun pun tak terbuang-buang. Dengar je aduan rakyat si kembar, menyiraplah darah aku. Sebenarnya tu lebih pada kemarahan terpendam untuk tempoh sebulan lebih yang kupendam-pendam selama ni. Memang aku marah habis pagi tu. Siap menggigil-gigil suara aku sebab marah sangat.

Bila aku marah, korang tau dia buat apa? Dia menjawab beb, menjawab! Dia kata, selama ni dia memang tak tahan kerja kat rumah ni. Dia tak tahan jaga anak-anak aku. Dia kerja sini pun sebab terpaksa. Dia nak cari kerja lain! ~Fuh, banyak cantik ye! Dasar tak sedar diri. Orang dah kutip dari kampung dia yang terperuk tu, tanggung semua perjalanan, pasport, dah sampai sini cepat je besar kepala. Dia buat keluarga aku ni macam batu loncatan dan gunakan duit kami untuk dia sampai ke sini supaya dia boleh pilih kerja apa yang dia suka dengan gaji yang lebih besar. Betul-betul kurang ajar! Aku kalau marah, memang penuh setan dalam kepala. Dengar ke dia menjawab tadi, aku memang basuh dia habis-habis. Mau tak, dah lama gila aku pendam semua tu. Aku kata dengan dia, aku memang tak pernah puas hati dengan semua kerja dia selama ni. Korang tau, yang aku sakit hati sangat tu, sambil dia menjawab-jawab apa yang aku cakap tu, dia siap naikkan tau kaki dia atas bangku kecil kat tepi singki tu. Memang kurang ajar habis! Berjuzuk-juzuk jugak aku bebel sampailah endingnya aku bagi sumpahan kat dia, kerja apa pun yang dia buat lepas ni, dia tak akan boleh dapat kerja yang lebih senang dari kerja maid kat rumah aku. Rasakanlah nanti!

Akhirnya dia berhenti kerja. Dia keluar dari rumah tanpa jumpa dan salam aku. Aku pun tak ingin nak jumpa dia. Apapun, puas hati aku walaupun lepas ni terpaksa berpenat-penatan buat kerja rumah sebab aku bekerja, tapi aku puas hati sebab rumah lebih teratur, bersih dan anak-anak aku pun lebih terjamin kebersihan dan keselamatannya tanpa maid kerek yang tak sedar diri tu. Tak habis lagi tau cerita maid tak guna tu. Dia pergi mengadu kat bapak aku macam-macam cerita buruk pasal aku. Dia kata aku layan dia kasar dan bercakap pun tak pernah baik-baik. Cilakak punya orang. Rasanya aku tak pernah pun bagi layanan buruk kat dia selama ni, aku tetap hormat sebab dia lagi tua dari aku. Tapi, sebagai majikan yang bayar gaji dia, aku rasa aku ada hak untuk tegur dan marah kalau dia buat salah atau ada kerja dia yang aku tak puas hati kan? Kan? Kan? Memang aku marah dia, tapi cuma sekali tu je lah. Tu pun sebab dah tak tahan sangat dengan perangai dia. Cuba korang letakkan diri korang kat tempat aku. Ada sabar tak?

Bila dah berhenti jadi maid kat rumah aku, aku dengar dia kerja kilang. Gaji besarlah kononnya. Tapi dia tak fikir, gaji besar yang dia dapat tu bukan jagi bersih. Belum tolak sewa rumah, duit makan, duit transport, duit belanja harian, duit gi sambung pasport dia lagi. Masa kerja dengan aku, tu semua kena tanggung. Duit gaji bersih dia dapat. Dapat juga kirim untuk anak-anak dia lebih kurang Rp 1,300,000.00 dalam sebulan. Ha, reti sebut tak? Sejuta tiga ratus ribu rupiah sebutan dia. Jumlah tu besar tau untuk diorang. Bandingkanlah dengan gaji diorang sebelum datang ke Malaysia, aku dengar cuma Rp 250,000.00 (dua ratus lima puluh ribu rupiah = lebih kurang RM90) untuk kerja jaga anak orang. Kau kiralah berapa kali ganda kau dapat. Tapi tetap tak bersyukur, lupa daratan, besar kepala, tamak haloba. Kami dah tolong adik-beradik kau, bawa ke sini untuk bagi kerja, masih lagi tak tau nak berterima kasih. Manusia yang tak tau di untung!

Berita terbaru yang aku dengar pasal maid hampeh tu, dia dah mula tak tahan dengan kerja kilang yang dia bangga-banggakan sangat sebab bergaji besar tu. Dia ingat senang nak cari kerja senang kat sini ye? Nak kerja senang, bergaji besar. Kau siapa? Baru dia rasa macam mana peritnya nak cari kerja kat sini. Kerja kilang bukan tak penat, oi. Masa kerja dengan aku, kerja siap je kau dah boleh rehat, tidur-tidur terbongkang dalam bilik. Pukul 6 petang dah stop kerja. Dah tak ada buat apa, sebab malam aku ada kat rumah. Sekarang, rasakanlah! Sumpahan aku dah berjalan agaknya. Lepas ni, kau tetap tak akan dapat kerja yang sesuai dengan kau. Heh, jahatnya aku!

Serik aku nak ambil orang Sulawesi jadi pekerja. Walaupun tak semua teruk macam tu., tapi disebabkan 2,3 kerat ni lah yang buat busuk nama semua orang. Nanti ada masa, aku cerita pulak pasal pekerja mak aku yang banyak amalkan ilmu-ilmu jahat dan kaki kikis duit lelaki. Dari Sulawesi juga. Tunggu je lah.


Monday, April 25, 2011

Bila kereta sudah sakit

Akibat meredah banjir selepas hujan lebat dan perasan macam tengah bawak pacuan 4 roda, maka kereta aku telah mengalami komplikasi dalaman di bahagian brek belakang yang mengakibatkan tayar belakang tak mampu berpusing seterusnya tak mampu beroperasi seperti biasa kerana terlantar di halaman rumah. Sempat juga tersadai selama 2 hari sebelum 'doktor' kereta yang kebetulan kawan baik emak aku datang untuk membuat pemeriksaan sebelum mengesahkan bahawa komplikasi itu disebabkan oleh kemasukan air ke dalam sistem brek belakang (lebih kurang macam tu la..) dan seterusnya menggantikan beberapa 'organ' yang penting seperti brek belakang, pump brake dan minyak brek. Harga yang dikenakan adalah harga kawan-kawan. Masa bill dah keluar pun, Encik Yaakob kurangkan lagi harga.

Terima kasih, Encik Yaakob. Lepas ni, saya akan berfikir 45 kali sebelum nekad untuk redah banjir. Yang paling penting, saya akan sentiasa ingat yang saya bukan seorang pemandu pacuan 4 roda. Cuma pemilik sebuah kereta nasional.

Sekian.

Friday, April 22, 2011

Tahniah, gigi besi!

Si gigi besi sms aku beberapa hari yang lalu sejurus selepas dapat tau keputusan final examnya untuk semester lepas. Dia beritahu aku result yang dia dapat. Aku senyum dan terus telefon dia. Setelah berbual beberapa patah, tiba-tiba si gigi besi teresak menangis. Laa.. kenapa pulak budak ni?

"Oi, kau nangis eh?"

"..........................."

"Kenapa ni?"

"Aku frust dengan result ni.."

"Dah cukup oklah tu. Bukan senang nak dapat pointer macam tu."

"Aku sedih tak dapat 4 flat macam sebelum ni."

"Oiiiiiiiiiiiiiiiiiiii! 3.93 dah cukup gempak okehhhhhhhhhhh!!!! Congrats, dolll! Sem ni buat betul-betul lagi."

"Ermmm.. yela.."

Kau menangis sebab cuma dapat pointer 3.93? Okeh, kau memang adik aku!

Thursday, April 21, 2011

Mudahnya mengeluh, sukarnya bersyukur. Haihhh~

Bila dah sebulan terpaksa basuh baju secara manual iaitu menggunakan berus baju untuk menyental hingga tersembul urat hijau dan hampir-hampir diserang buasir disebabkan oleh kerosakan mesin basuh automatik, dan tiba-tiba pada hari ke 31 iaitu ketika otot bisep dan trisep dah mula membesar dan mengembang, rumah didatangi sebuah lori kecil 1 tan yang menghantar sebuah mesin basuh baru, walawei!! Rasa nak timang-timang driver lori sampai cucur atap. Aktiviti membasuh baju terus jadi hobi terbaru.

Berdasarkan kisah benar. Terjadi 2,3 bulan yang lepas. Sekarang, aktiviti tersebut dirasakan sangat membosankan dan berharap ada robot tukang cuci baju yang bakal dihantar oleh lori kecil 1 tan lain.

Kenapalah manusia tak tau bersyukur dan selalu rasa tak cukup dengan apa yang ada? Diberikan nikmat untuk bangun pagi ini dalam keadaan sihat walafiat pun dah tak terhingga besarnya. Bersyukurlah, Misae.

Wednesday, April 20, 2011

Memori 9

Tiba-tiba aku teringat dengan Maizatulakmal Mahmood, kawan baik aku merangkap classmate, housemate, roommate dan kadang-kadang soulmate aku waktu belajar di Instedt dulu. Berkawan dengan dia buat aku nampak macam orang yang tak berapa betul kalau tak pernah ketawa macam bapak setan dalam sehari.

Selain dari memiliki kapasiti dan ruang perut yang cukup besar dan luas untuk menyimpan makanan, tidur mengorok macam mak lembu di malam hari dan kepala gila-gila selamba badak, beliau juga ada satu tabiat yang susah nak jumpa pada orang lain kecuali penghidap penyakit alzheimer. Seperti ini:

Situasi: Ruang tamu rumah sewa, semasa semua orang sudah siap untuk ke kelas pada waktu pagi.

Maizatulakmal Mahmood :  Aku rasa macam lain macam je pagi ni.

Kawan-kawan                 :  Kau setiap masa memang lain macam.

Maizatulakmal Mahmood :  Betullah. Aku rasa macam lupa something..

Kawan-kawan                 :  Mustahil pulak kalau kau lupa makan.

Maizatulakmal Mahmood :  Haa, macam dah nak ingat dah!

Kawan-kawan                 :  Cepatlah. Kelas dah nak start.

Maizatulakmal Mahmood :  Oo, a'ah. Patutlah. Tunggu kejap. Aku lupa nak pakai seluar dalam!

Hampeh dan selebet kan? Padahal dah siap berbaju kurung pun. Apapun, dia sangat istimewa bagi aku sampai sekarang.

Tuesday, April 19, 2011

Hujung minggu bersama si gigi besi

Mood untuk menulis dah lari entah ke mana. Hujung minggu yang baru lepas ni, si gigi besi balik bercuti selama 3 hari. Selain dari dikejutkan dengan berita kemalangan sepupu kami yang dilanggar lari  sewaktu dalam perjalanan balik ke kolejnya dengan menaiki motorsikal hingga patah tulang selangka dan luka-luka di badannya (takziah Iwan, semoga cepat sembuh), kami juga menghabiskan masa dengan berjimba dari hypermart ke hypermart (je. tak sempat nak ke shopping mall), sempat juga belikan dia beberapa biji raja buah yang dia nak sangat makan dari minggu lepas tapi tak dapat sebab tak jumpa pun kat kedai buah, sampai hampir-hampir dia nak leleh air mata dan dah leleh air liur pun bila tengok rancangan Majalah 3 kat TV3 minggu lepas yang ada segmen pasal buah durian. Aku cakap, "kong hajo TV3" lepas dia sms aku malam tu. Kesian kan?

Terima kasih, Awie. Sebab sudi jadi alas.


Si gigi besi dan si kembar di indoor playground Giant, Plentong.

Si gorjes Rayyan.

Di Bukit Layang-layang.




Playground Taman Bandar, Pasir Gudang.
Layankan ajelah, ye. Aku ketandusan cerita nak menulis.

Friday, April 15, 2011

Kualiti dan kuantiti

Yang adik-beradik sikit, bila dah kahwin mesti nak anak ramai. Yang adik-beradik ramai, bila dah kahwin mesti tak nak anak ramai. Tak semualah. Kebanyakan. Dan ikut pada pemerhatian dan pengalaman aku serta kawan-kawan. Mungkin sebab faktor pengalaman yang dilalui sewaktu membesar dalam keluarga masing-masing. Yang adik-beradik ramai mungkin terpaksa berebut dalam banyak hal, suasana yang agak bising dan riuh dan terpaksa adaptasi diri dengan berbagai jenis perangai yang bervariasi. Yang adik beradik sikit pula cepat rasa bosan sebab tak banyak perkara yang boleh dijadikan alasan untuk bergaduh atau berebut-rebut (tak best woo), suasana kurang meriah dan terpaksa buat kerja lebih sebab tak cukup kakitangan untuk tolong mak buat kerja rumah. 

Aku termasuk dalam golongan kedua. Bosan weh. Jadi, bila dah kahwin kalau boleh nak anak ramai. Tapi terpaksa difikirkan banyak kali juga sebab dah dua kali beranak caesarian. Dan yang penting, hidup di zaman ini lebih perlukan kamu berfikir bahawa kualiti lebih penting dari kuantiti. Syukurlah tuhan bagi aku anak kembar. Alhamdulillah.

Cukuplah dulu.


Thursday, April 14, 2011

Kala malam bulan mengambang

Seisi rumah dah tidur. Dah masuk dalam alam mimpi masing-masing. Aku tak pedulilah apa yang diorang mimpikan sebab perut dah berkeroncong hebat. Tadi lupa makan malam sebab tertidur depan tv dalam bilik, layankan si gorjes Rayyan tengok DVD Megamind untuk yang entah ke berapa puluh kali diputar dalam sehari. Tak bosan-bosan dia tengok cerita tu.

Aku laparrr. Masuk dapur dan tengok apa yang ada. Tak selera nak makan nasi. Setelah berkelentung kelentang di tengah malam yang sunyi, maka siaplah..

Maggi kari versi kala malam bulan mengambang.

Mari tambah kalori.

Wednesday, April 13, 2011

Sisi terang dan gelap aku

Aku tak taulah kenapa kalau aku terlampau marah sangat, suara yang keluar dari mulut aku bila bercakap kedengaran macam suara lembu berdengkur. Aku akan sebut sepatah demi sepatah perkataan dengan sangat tertib, lengkap dengan suara dan tangan yang menggigil sebab terlalu nak kawal suara aku dari terlalu melengking dan mengaum macam singa betina pencen. Itu daya usaha aku untuk tak kelihatan macam orang yang kena sawan atau sampuk hantu busut bila bercakap dalam keadaan marah. Sekurang-kurangnya. Dan kadang-kadang. Sebab adakalanya bila tak mampu buat suara lembu berdengkur, aku akan buat suara beruang mengamuk. Lagi teruk.

Tuesday, April 12, 2011

Memori 8

Waktu masih bergelar pelajar sekolah menengah, aku tak berapa ingat form berapa, aku pernah alami ini:

Aku balik dari latihan sukan di sekolah petang tu dan terus tertidur kepenatan atas sofa tanpa sempat mandi dan bersalin pakaian. Mungkin berdengkur sebab aku penat sangat. Tak sedar berapa lama aku tidur sebab terlampau letih sampailah aku tersentak dan terus terjaga dari tidur. Gila kau! Dah pukul 7.00 pagi! Memang tidur mampus betul.

Gelabah jangan cakaplah. Beg sekolah belum berkemas, baju sekolah belum bergosok, homework dah siap atau belum pun aku dah tak peduli. Pukul 7.00 pagi okeh! Capai tuala dan terus lari masuk bilik air dengan kelajuan  80km/j. Agaknyalah, sebab bunga plastik dalam pasu mak aku turut bergoyang bila berpapasan dengan aku. Ada pulak emak aku tengah buat apa entah dalam tu. Terpaksa tunggu turn sekejap. Hoh, mak aku pun bangun lambat ke? Sebab nampak macam tengah ambil wudhuk. Hurm..Bukan masa yang tepat untuk aku fikirkan.

Aku mandi versi apa tak taulah. Berus gigi ala kadar dan aku tak ingat sama ada aku pakai sabun atau tak. Bukan ada orang tanya pun, kan? Bila dah siap, terbang lagi masuk bilik, nak bersiap pakai baju sekolah. Terserempak dengan adik-adik aku tengah tengok tv kat ruang tamu. Hah, tak sekolah ke? Relax je semua orang. Aku macam nak apa gelabah dari tadi. Tapi semua orang pandang aku macam pandang alien.

Masa tengah pakai baju sekolah dengan sangat tergesa-gesa, adik aku yang nombor dua masuk dan pandang aku dengan pandangan mintak penumbuk. 

"Kau kenapa kak?"

"Kenapa apa? Kau tu yang kenapa. Tak nampak dah pukul 7 lebih tu?" kerek gila suara aku.

"Dah tu?"

"Dah tu apa. Kau tak nak sekolah?" sambil pakai anak tudung dan masih bersuara kerek.

"Kau gila ke apa? Baru pukul 7 malam la. Maghrib pun belum lepas. Betul punya gila."

"Hoh? Maghrib?"

Memang maghrib pun. Aku yang mengigau sebab tidur masa maghrib. Patutlah terserempak dengan mak aku yang tengah ambil wudhuk untuk solat maghrib dan adik-adik aku yang layan kartun kat tv. Maghrib rupanya.. Sudahnya, satu rumah separuh mati gelakkan aku yang turut tepuk-tepuk lantai siap dengan baju sekolah.

Woh, betapa aku nak kembali ke zaman ni.
Oh ya, cerita aku ni pernah keluar dalam majalah Remaja tahun bila entah dalam ruangan Kisah Lucu ke Kisah Kelakar kalau tak silap. Erk, penting eh?

Monday, April 11, 2011

Sebab kita manusia biasa

Sebagai manusia biasa yang tak lekang dan lepas dari salah, khilaf dan dosa, aku selalu juga terfikir betapa jahatnya dan berkepuknya dosa aku bila tiap kali aku mendoakan semoga sesuatu yang buruk-buruk dan jahat-jahat akan berlaku terhadap seseorang yang aku tak suka dan menjadi kebencian aku. Contohnya;

" #@&^%*#$!@!! Masuk longkanglah kau kat depan sana!"  (dialog untuk mat rempit yang merempit sebelah kereta yang sedang aku pandu.)

" Satu hari nanti, anak kau pulak yang glemer sekampung sebab kantoi termengandung atau  mengandungkan  anak orang tanpa nikah atau mencuri atau mengintai anak dara orang atau jadi mat pit atau meragut orang!" (dialog untuk makcik kepoh yang sibuk menjaja cerita buruk tentang anak orang lain tapi tak sedar anak sendiri bersusun kat rumah dan belum tau apa diorang akan jadi satu masa nanti.)

" Macam mana kalau mak atau kakak atau adik perempuan dia pulak yang kena rogol atau cabul nanti ye?" (dialog untuk perogol atau pencabul yang dah sabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman.)

" Tunggu kau dah tua nanti, tengok macam mana muka kau kalau kena dera dan kena buang dengan anak-anak." (dialog untuk pembuang anak dan pendera anak.)

" Semoga kau tak dapat anak sampai bila-bila / Sebab tulah tuhan buat kau mandul dan tak dapat anak sampai sekarang." (dialog untuk perempuan cerewet yang tak suka dengan budak-budak kecil sebab mereka cuma buat kotor dan sepahkan rumah beliau yang bersih berkilat hingga boleh jilat lantai tu saja.)

Hoh. Kejam kan? Tapi aku cuma manusia biasa.


Friday, April 8, 2011

Hati-hati! Radiasi bahaya ruangan berhawa dingin

Bekerja dalam sebuah ruangan pejabat yang berhawa dingin walaupun air-condnya sangat klasik dan berbunyi macam enjin motobot atau kadang-kadang macam generator lampu peniaga pasar malam bila suhunya ditingkatkan, adalah seharusnya disyukuri sebab masih ramai yang bekerja di bawah panas terik bermandikan peluh di luar sana.

Tapi kadangkala rasa syukur itu hilang bila tiba-tiba pintu pejabat diketuk dan masuk seseorang yang buat kamu bernafas dengan elok pada beberapa saat yang pertama, kemudian diikuti dengan perubahan warna muka menjadi biru atau hijau akibat menahan nafas, disusuli dengan rasa loya yang teramat sangat, kesan daripada penyebaran bau KAKI atau STOKIN beliau dalam ruangan yang berhawa dingin itu. Secara automatik, perasaan ingin menendang pesalah tersebut keluar segera dari ruangan tersebut akan muncul tanpa disuruh.

Gila busuk wehh! Tak tahan aku dengan golongan kaki-berbau-bikin-aku-mau-mati ni.

Buweeeekkkk!!

Thursday, April 7, 2011

Posto! Posto!

Hari Selasa bersamaan dengan 5 Mac 2011 yang lepas, buku Conteng-conteng Edisi Kedua yang aku tempah dari Fadli, blogger berbakat yang sangat kreatif dan pandai melukis ni telah pun selamat sampai ke tangan aku di tempat kerja. Teruja juga sebab nak tau kehebatan buku komik si blogger yang punya ramai peminat ni. Tapi sejujurnya, sampai detik ni aku belum sempat nak baca walau sehelai pun buku tu sebab belum jumpa masa yang sesuai untuk menikmati buku tu tanpa ada gangguan dari anasir-anasir luar terutamanya dari golongan pejuang reformasi yang menuntut kebebasan hak mereka iaitu si kembar dan si gorjes Rayyan. Mereka ni anggap aku macam imperialis saja layaknya.

Pujian untuk Pos Malaysia sebab jaminan tu boleh pakai.
Comel je bukunya. Siap ada komik mini (warna kuning) tu lagi.


Berbakat sungguh budak ni. Aku suka betul golongan berbakat yang tau nak gunakan bakat dan kelebihan yang dia ada untuk sesuatu yang bermanfaat. Boleh jadi pengganti Dato' Lat nanti dia ni. Karya dia dalam blog tu pun dah habis aku baca dari depan sampai belakang. Aku doakan dia boleh bina empayar penerbitan komik yang gah dan hebat satu masa nanti. Tak salah sokong bangsa seagama sendiri kan? Klik sini untuk kenal dengan beliau.

Wednesday, April 6, 2011

Kisah mereka

Dah lama tak cerita tentang si kembar dan gorjes Rayyan dalam ni. Mari berkenal-kenalan dengan mereka dan pura-puralah anggap mereka popular dan femes macam si comel Mia Sara tu.

Si kembar Alyaa dan Alysaa.
Nampak manis kan? Cuba tinggal dengan mereka untuk 2,3 hari atau 2,3 jam pun mungkin dah cukup untuk saksikan kebuasan dan keganasan mereka yang boleh mengubah seseorang menjadi tarzan secara radikal. Jadi, gambar ini adalah lakonan semata-mata.

Aktiviti si gorjes Rayyan Isnin-Ahad.




Nokia E90 buruk aku tu dah jadi macam dia punya. Hari-hari punggah handbag aku untuk cari handphone tu sebab nak main game racing kereta Global Race dalam tu. Kalau dah boring, dia baling handphone tu sampai terbarai bateri dari badan. Cuma 2 benda yang boleh buat dia lupa pada handphone tu iaitu:-

DVD Megamind yang dibuka 24 jam sehari, 7 hari seminggu
kecuali waktu tidur dan menggodeh handphone aku.

dan ini.

Okeh. Sekian terima kasih.

Tuesday, April 5, 2011

Flasher oh flasher!

Pagi-pagi lagi aku dah dijamukan dengan adegan memualkan yang betul-betul buat aku nak keluarkan semua isi perut. Sudahlah dari pagi perut aku meragam dan asyik keluar masuk tandas, entah akibat salah makan atau masuk angin, ditambahlah pula dengan 'pertunjukan' percuma yang tak mampu nak ditapis dek Lembaga Penapisan Filem Malaysia sebab berada di luar bidang kuasa mereka. Cis! Buat rosak mata dan minda aku je.

Waktu pulang dari hantar si kembar ke sekolah mereka pagi tadi dan sampai di simpang nak masuk ke rumah aku, dari jauh aku dah nampak seorang mamat ni berdiri sambil bersandar di dinding rumah yang paling tepi sekali sambil buat something yang aku macam dah boleh agak apa sebab bukan pertama kali jumpa orang macam tu. Aku rasa dia memang sengaja berdiri kat situ sebab modus operandi orang-orang kurang akal macam ni memang nak orang yang lalu-lalang nampak 'kepunyaan' dia dan mereka akan dapat kepuasan (klimaks misalnya) dari situ. Gila! Bila dah makin hampir ngan flasher tu, tak agak-agaklah kalau aku nak berhentikan kereta dan renung dia lama-lama kan? Haruslah aku tekan minyak dan tak pandang langsung pun kat dia. Euwww! 

Sebelum ni aku pernah jumpa dengan flasher ni waktu sekolah dan belajar di IPT. Orang-orang macam ni biasanya akan muncul di kawasan yang jadi tumpuan orang lalu lalang, lagi-lagi budak-budak perempuan. Ataupun parking kereta di tepi jalan tempat pelajar ulang-alik pergi dan balik kelas. Lagi teruk, kalau dia buat dalam bas. Keji kan?

Bagi adik-adik atau sesiapa saja terutamanya wanita yang belum ada pengalaman jumpa manusia bermasalah kejiwaan macam ni, hati-hatilah ya. Jangan pandang apa yang dia tunjuk dan jangan lalu dekat-dekat dengan dia. Kalau boleh, pecut lari atau jerit minta tolong. Takut kalau dia buat something yang lebih ekstrim dan agresif sebab nafsu mereka dah melebihi kewarasan fikiran mereka waktu tu. Memang berderau darah lagi-lagi kalau pertama kali jumpa situasi macam ni. 

Mungkin ada yang tau apa itu flasher. Boleh klik sini atau sini untuk sedikit info. Ini bukan setakat pengetahuan am saja, tapi penting sebab melibatkan keselamatan diri kita. Penting juga untuk mereka yang ada anak-anak perempuan macam aku supaya dapat mendidik dan mendedahkan anak-anak dengan bahaya jenayah terpencil macam ni sebab silap-silap boleh memberikan kesan psikologi yang negatif kepada minda kanak-kanak yang sedang membesar.

Nasib baik waktu pergi kerja tadi, si flasher tu dah tak ada lagi. Kalau tak, terfikir juga nak baling bom petrol. Then terfikir juga, kalau perempuan yang suka sangat dedah sana dedah sini, berseksi-seksa dan tunjuk semua yang dia ada, tu namanya flasher juga ke? Urmmm...



Monday, April 4, 2011

Cerita yang tak boleh HABIS

Cuti hujung minggu, selain dapat HABISkan masa berkualiti dengan bersantai, bergurau serta bergomol dengan si kembar dan Rayyan di rumah (encik papa tak termasuk dalam cerita sebab tak ada di rumah untuk sekurang-kurangnya 3 minggu, jadi jangan nak fikir yang bukan-bukan), aku juga turut mengalami keHABISan sebatang lip balm Maybelline warna pink serta bedak compact powder akibat dicungkil-cungkil, dikorek-korek dan digosok-gosok ke merata tempat oleh beliau:-

Rayyan Mikhail Mineka the Menace.

Saturday, April 2, 2011

Filem aksi terhebat mesti tonton sepanjang zaman (?)



Aku tak tau sama ada nak kagum, jakun, teruja atau tergelak masa tengok trailer movie ni.
Belum pernah ada filem aksi sehebat (dan sekarut) ini, setakat ini hatta filem Hollywood sekalipun.
Mengatasi Matrix, Terminator dan I-Robot. Hebat tak hebat?

Korang semua?

Friday, April 1, 2011

April Fool: Hari umat Islam dibunuh

Bulan Mac telah melabuhkan tirainya. Bulan April kini menjelma. Terdapat suatu kebiasaan jahiliyah yang harus kita berwaspada  sebagai seorang Muslim iaitu 1 April sebagai  hari ‘April Fool’. April Fool  adalah hari di mana orang-orang diperbolehkan untuk menipu atau berbohong tetapi orang lain. Tetapi tahukah anda apakah itu April Fool  yang sebenarnya?

Sejarah April Fool

Sebenarnya April Mop adalah sebuah perayaan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib yang dilakukan melalui cara-cara penipuan. Oleh sebab itulah mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun ia dikaburi dengan alasan kononnya ia hanya sekadar suatu hiburan atau gurauan belaka.

Kebiasaannya orang akan mengatakan bahawa April Fool (yang hanya berlaku pada tanggal 1 April) adalah hari di mana kita boleh menipu kawan, orang-orang tua, saudara-mara atau sesiap sahaja, dan mangsa gurauan itu pula tidak boleh marah atau beremosi apabila sedar bahawa dirinya telah menjadi sasaran April Fool. Biasanya si mangsa, jika sudah sedar terkena April Fool, maka dirinya juga akan ketawa bersama-sama atau hanya sekadar pada bengang, bukan betul-betul marah.

Walaupun ia tidak  sehebat  perayaan tahun baru atau Valentine's Day, budaya April Fool dalam dua dekad ini telah menggambarkan kecenderungan yang semakin menyatu dalam masyarakat ketika ini terutamanya di kalangan anak-anak muda. Tidak mustahil jika pada masa akan datang ia akan merebak ke masyarakat perkampungan. Ironinya, masyarakat dengan sangat  mudah terikut-ikut budaya Barat ini tanpa kajian dan kritikan terlebih dahulu, sama ada adakah budaya itu baik ataupun tidak, atau adakah ia bermanfaat atau sebaliknya.

Perayaan April Fool bermula daripada suatu tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan. Perayaan April Fool atau dikenali sebagai The April's Fool Day, bermula daripada satu episod sejarah tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan yang menimpa kaum Muslimin di Sepanyol pada tahun 1487 M, atau bertepatan dengan 892 H.

Sejak Sepanyol dibebaskan oleh Islam pada abad ke-8 M oleh Amirul Jihad, Thariq bin Ziyad, Sepanyol beransur-ansur tumbuh menjadi negeri yang makmur. Tentera-tentera Islam bukan hanya berhenti di Sepanyol, malah terus-menerus melakukan pembebasan di kawasan-kawasan dalam Perancis. Perancis Selatan dengan sangat mudah dibebaskan. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan kawasan-kawasan yang lain telah dibebaskan oleh Islam. Walaupun tentera Islam kuat, pasukan Islam masih memberi peluang kepada suku Goth dan Navaro di daerah yang berada di sebelah barat di kawasan  pergunungan. Islam tela hmemberikan kemakmuran di Sepanyol.

Oleh kerana sikap para penguasa Islam yang begitu baik dan rendah hati, ramai orang-orang Sepanyol yang kemudiannya dengan tulus dan ikhlas memeluk Islam. Umat Islam Sepanyol bukan sahaja beragama Islam, namun bersungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islami. Bukan sekadar membaca Al-Qur'an, namun bertingkah-laku berdasarkan Al-Qur'an. Mereka sentiasa mengatakan ‘tidak’  untuk arak, pergaulan bebas dan semua perkara yang dilarang oleh Islam. Keadaan yang harmoni ini berlangsung selama hampir 6 abad.

Selama itu juga, pihak  kafir yang masih berada di sekeliling Sepanyol tanpa kenal penat lelah terus berusaha untuk menghancurkan Islam dalam Sepanyol. Namun, mereka sentiasa menemui kegagalan. Maka dihantarlah sejumlah mata-mata untuk memerhati kelemahan umat Islam di Sepanyol.

Akhirnya mereka menemui cara untuk menakluk Islam, iaitu dengan  melemahkan iman mereka melalui serangan pemikiran dan budaya. Maka dalam diam mereka mula menyeludup masuk minuman keras dan rokok secara percuma ke dalam wilayah Sepanyol. Muzik-muzik dipersembahkan bagi melalaikan para pemuda Islam Sepanyol agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca Al Qur'an. Mereka juga mengirim beberapa ulama’ palsu untuk meniupkan idea  perpecahan ke dalam tubuh umat Islam di Sepanyol. Lama-kelamaan usaha ini membuahkan hasil.

Akhirnya Sepanyol jatuh dan dikuasai tentera salib. Serangan tentera salib dilakukan dengan kejam tanpa mengenal perikemanusiaan. Bukan hanya tentera-tentera Islam yang dibunuh, malah termasuk masyarakat awam, wanita-wanita, anak-anak kecil dan orang-orang tua. Satu demi satu daerah di Sepanyol ditakluk oleh tentera salib.

Granada adalah daerah terakhir yang ditakluk. Penduduk  Islam di Sepanyol ( yang juga dikenali sebagai orang Moor) terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera salib terus menerus mengejar mereka. Apabila jalan-jalan dalam keadaan sunyi sepi, yang tinggal hanyalah  sisa-sisa ribuan mayat yang bergelimpangan yang bermandikan darah.  Tentera salib mengetahui bahawa masih ramai umat Islam di Granada yang masih bersembunyi dalam rumah masing-masing. Dengan lantang tentera-tentera salib meneriakkan pengumuman bahawa umat Islam di Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman dan dibenarkan untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang-barang keperluan mereka.

Orang-orang Islam pada mulanya masih curiga dengan tawaran tersebut. Beberapa orang Muslim diizinkan untuk melihat sendiri kapal-kapal layar yang sudah disiapkan di pelabuhan. Setelah benar-benar melihat terdapat kapal yang sudah disediakan untuk mereka, mereka pun segera bersiap untuk meninggalkan Granada dan berlayar meninggalkan Sepanyol.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Islam Granada keluar dari rumah-rumah mereka dengan membawa seluruh barang-barang keperluan, berjalan beriringan menuju ke pelabuhan. Beberapa orang Islam yang tidak mempercayai pasukan salib memilih untuk bertahan dan terus bersembunyi di rumah-rumah mereka. Setelah ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentara salib menggeledah rumah-rumah yang telah ditinggalkan para penghuninya. Api dilihat menjulang-julang ke angkasa setelah mereka membakar rumah-rumah tersebut bersama-sama dengan orang-orang Islam yang masih bertahan bersembunyi di dalamnya.

Ribuan umat Islam yang lain terkandas di pelabuhan dan hanya mampu tergamam apabila melihat tentera salib membakar pula kapal-kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka untuk  keluar dari Sepanyol. Kapal-kapal tersebut dengan cepat tenggelam ke dalam lautan. Ribuan umat Islam tidak dapat melakukan apa-apa kerana tidak mempunyai sebarang senjata. Mereka juga kebanyakannya terdiri daripada  perempuan-perempuan dan anak-anak mereka yang masih kecil. Tentara salib telah mengepung mereka dengan pedang yang terhunus.

Dengan satu teriakan arahan dari pemimpin mereka, ribuan tentera salib segera membunuh umat Islam Sepanyol tanpa rasa belas kasihan. Jeritan, tangisan dan takbir memecah suasana. Seluruh kaum Muslimin Sepanyol di pelabuhan tersebut habis dibunuh dengan kejam. Mayat bergelimpangan di merata-rata tempat. Laut yang biru telah berubah menjadi merah kehitaman.

Tragedi ini bertepatan pada tanggal 1 April. Inilah yang kemudiannya diperingati oleh dunia Kristian apabila tibanya 1 April sebagai April Fool (The April's Fool Day). Pada tanggal 1 April, orang-orang dibolehkan untuk menipu dan berbohong terhadap orang lain. Bagi umat Kristian, April Fool merupakan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib melalui cara-cara penipuan. Oleh sebab itulah mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun diselaputi dengan alasan sekadar sebagai hiburan atau gurauan semata-mata.

Bagi umat Islam, April Fool  merupakan tragedi yang sangat menyedihkan. Hari di mana ribuan saudara seiman mereka disembelih dan dibunuh oleh tentera salib di Granada, Sepanyol. Oleh sebab itu, adalah tidak patut bagi umat Islam untuk turut serta dalam  merayakan tradisi ini. Sesiapapun orang Islam yang turut merayakan April Fool, maka ia sesungguhnya sedang  meraikan ulang tahun pembunuhan kejam ribuan saudara mereka di Granada, Sepanyol pada 5 abad yang silam.

Jadi, perhatikanlah di sekeliling anda, anak-anak anda dan diri anda sendiri daripada terkena virus jahil April Fool tanpa kita sedari. Wallahua’lam.

(Bukan karangan pemilik blog. Sumber dari sini. Menginsafkan, kan?)
Related Posts with Thumbnails