Friday, July 30, 2010

Antara peribadi dan publisiti

Menjaja kisah peribadi untuk publisiti. Ada orang yang gemar melakukannya tanpa rasa bersalah.


Yang pasti, aku bukan dari golongan itu.


Semua manusia waras pun ada masalah peribadi. Bohonglah kalau cakap tak ada. Orang paling kaya dalam dunia pun lagi banyak masalah peribadi agaknya. Nasib baiklah aku bukan orang paling kaya itu.


Seingat-ingat aku, selama aku hidup di muka bumi ini, jarang sekali aku meluahkan perasaan atau menjaja kisah peribadi aku kepada orang lain. Kecuali orang yang betul-betul rapat dengan aku. Itupun melalui tulisan. Ya, kami berkongsi cerita melalui diari yang kami miliki bersama. Tapi itupun entah berapa tahun yang lepas. Di zaman nakal-nakal dan suka main-main mata dengan balak-balak jambu. Hahah. Selebihnya atau secara khususnya,sekarang, aku lebih suka memendam sendiri sebarang kisah dan masalah peribadi.


Ada orang suka menceritakan secara terperinci masalah peribadi yang dialaminya di dalam blog. Yang lebih parah lagi, melalui status di Facebook atau Twitter. Bukan aku nak halang. Itukan hak masing-masing. Secara jujur, aku rasa itu bukan tindakan yang bijak. Kita umpama membuka sendiri pekung di dada. Kalau boleh, segala keburukan dan kekurangan orang yang rapat dengan kita terutamanya ahli keluarga dan suami, khasnya, janganlah didedahkan kepada umum. Selain mendapat dosa, kita juga seumpama mendedahkan keburukan diri sendiri. Tak payah aku cakap pun, semua orang tau. Kan dah diajar oleh ustaz atau ustazah di sekolah seawal dari sekolah rendah lagi.


Ada kisah yang boleh dikongsi bersama dan ada yang tidak. Terpulang kepada kematangan pemikiran kita untuk menentukannya. Jika sekadar untuk mendapat publisiti, fikirlah dulu sejenak. Kalaupun sekadar ingin melepaskan perasaan terbuku yang tak larat ditanggung sendiri, carilah orang tertentu yang benar-benar boleh dipercayai. Bukan dipaparkan kepada umum.


Kau ingat tu, Senah?


Siapa pulalah Senah tu?


Entahlah.

Aku asyik teringatkan katalog biskut raya aku yang sedang beredar dari rumah ke rumah dan dari kilang ke kilang. Laku ke tidak ya?

Rahmat Ramadan sebelum Syawal


Fuyyoh! Lama tak update blog. Nasib baik tak bersawang.


Lagi sikit hari nak masuk bulan Ramadan. Bila sebut Ramadan, selain teringatkan tentang daya usaha kita mengawal segala nafsu yang ada dalam diri, seringkali juga kita teringatkan berapa banyaknya duit yang perlu dikawal pengeluarannya. Waktu belum berkeluarga dan belum bekerja dulu, taklah begitu difikirkan sangat sebab cuma diri sendiri yang perlu diurus. Itupun ada bantuan dari PaMa. Kamu tak tahu apa itu PaMa? Suka hatilah. Malas aku nak terangkan. Kamu patut lebih banyak tahu ilmu pengetahuan am.


Sekarang sudah ada beberapa kepala yang perlu diuruskan segala keperluan mereka. Dari hujung kaki mereka hingga ke hujung kuku kaki mereka adalah tanggungjawab aku dan suami. Kalau tak nak bertanggungjawab, janganlah buatkan mereka lahir ke dunia, kan? Haha. Ayat penyata yang bagus. Terutamanya kepada golongan separa binatang yang suka buang anak di merata tempat. Hoi, daripada kau buang, baik kau bagi aku. Kau ingat beranak tu senang? Binatang pun tak macam tu. Keji.


Okeh. Kembali ke tajuk. Kebanyakan dari kaum keluarga aku suka berniaga. Aku, walaupun tak begitu berbakat dalam bidang perniagaan, ada jugalah mencebur-ceburkan diri dalam bidang yang boleh buat kita kaya dengan cepat kalau kena gayanya itu. Tapi jualan langsung sangat tak sesuai untuk aku, okeh. Sangat-sangat. Secara tiba-tiba, di dalam tahun 2010 ini, timbul pula keinginan untuk berniaga biskut raya. Sekadar mencari pengalaman dan menambah-nambah duit poket sebelum poketku rabak menjelang Syawal nanti. Tapi sekadar menjadi penjual biskut raya dan bukan tukang buat biskutnya. Kamu ingat aku ada masa nak buat semua tu? Bernafas pun kadang-kadang tak sempat. Hah, melampau betul perumpamaan tu.


Aku agak sibuk dalam usaha melariskan biskut raya yang aku jual. Mungkin aku perlu memikirkan cara terbaik bagaimana untuk memastikan orang yang melihat-lihat katalog aku akan membeli sekurang-kurangnya 2 balang biskut raya di dalam katalog. Rugilah aku buat katalog dengan begitu eksklusif kalau yang melihatnya tak teringin pun nak menempah. Mungkin aku perlu mempersiap-sediakan machine gun atau paling koman pun lastik kayu di sebelah orang tersebut sambil membuat muka ganas. Menconteng muka dengan arang sambil mengikat kepala dengan kain seperti Rambo mungkin membantu.


Macam bagus juga idea tu. Aku yakin mereka pasti akan menempah dengan hati ikhlas.


Nanti aku fikirkan dulu.




Antara biskut raya yang aku jual hasil dari tangan seorang sifu dalam bab-bab membuat
kek, cupcake, kuih-muih, biskut-biskut dan macam-macam lagi. Best woo, jadi anak dia.
Hari-hari boleh makan sedap-sedap. Jeles aku.
Oh, kak, jangan saman saya. Saya sudah minta izin untuk paparkan gambar-gambar
benda yang menggiurkan ini untuk tujuan promosi.

Thursday, July 22, 2010

Kita bukan orang suci

Selagi kita masih bergelar manusia biasa, kita tetap tak boleh lari dari ketidaksempurnaan. 

Walau sehebat manapun status kekayaan, setinggi manapun pangkat dan gelaran kita, sebesar mana pun pendapatan perkapita kita dalam setahun, sebanyak mana pun pengalaman yang kita ada, sejauh mana pun tempat di muka bumi ini yang pernah kita kunjungi, semewah dan sebesar mana pun kereta yang kita pandu (lantak kaulah, sebab kau yang bayar sendiri tiap bulan), semuanya bukan penyebab kita menjadi seorang yang sempurna. Tidak sedikitpun.

Kita tetap bukan orang suci. Maksud suci di sini bukan bersih dari hadas besar atau masih lagi dara mahupun bujang, faham tak? Maksud aku, kita tetap melakukan kesilapan dalam hidup sebab kita tak sempurna dan tak akan pernah sempurna! 

Jadi, janganlah anggap diri kita ni macam sempurna sangat. Mungkin kau rasa diri kau sempurna sebab kau tak tau bagaimana pandangan orang lain terhadap diri kau sebenarnya.

Kita selalu nampak kesalahan orang lain. Tapi kadang-kadang kita tak sedar kesalahan yang kita sendiri lakukan. Atau mungkin juga buat-buat tak sedar sebab kita anggap orang lain tak berperasaan. Tapi cuba sesekali buat survey tentang pandangan dan pendapat orang lain tentang kita. Baru kita sedar bagaimana orang menilai diri kita sebenarnya.

Mungkin ada masanya kita tak sedar kesilapan yang kita lakukan. Sehinggalah ada orang yang berani menegur. Tak ramai yang sanggup menegur kesilapan atau kekurangan individu lain sebab takut mengguris perasaan atau menjatuhkan air muka orang itu. Ya, sesekali kita perlu fikir perasaan orang lain. Cuba letakkan diri kita sendiri di tempat orang lain atau sehingga kita sendiri yang mengalami apa yang orang lain rasakan. Sesekali. Aku rasa, sesekali pun sudah memadai.

Once bila kita dah tau bagaimana sebenarnya pandangan orang lain terhadap kita, baru kita sedar rupanya kita memang bukan orang suci. Aku, kamu dan semua orang di luar sana, sama sahaja. Tak ada beza antara kita. Oh ya, mungkin kita memandu kereta yang berlainan jenama, saiz dan harga. Tapi, selagi kamu sendiri yang menanggung susah senangnya membayar ansuran bulanan kereta kamu atau perit jerihnya bagaimana nak mencukupkan duit perbelanjaan bulanan kamu, itu bukan masalahnya. Kita masih tetap sama. Tak akan pernah sempurna.

Cuma, kita sentiasa diberi peluang untuk berhijrah. Berhijrah dari sikap negatif ke sikap positif. Atau sekurang-kurangnya tidak mengulangi kesilapan sama yang pernah kita lakukan. Itu sudah cukup.

Aku belajar satu perkara dari ini. Kita perlu tahu bagaimana menghargai dan menjaga perasaan orang lain sebab kita sama-sama tak sempurna. Ingat, okeh.

Tuesday, July 20, 2010

Beberapa peristiwa kehilangan yang tak boleh aku lupakan

Hilang. Lenyap dari pandangan. Tak boleh disentuh dan dipegang lagi. Sangat menyakitkan hati.


Ada beberapa peristiwa kehilangan yang pernah terjadi dalam hidup aku, sejak baru pandai bercakap hinggalah dewasa, yang tak boleh aku lupakan hingga kini atau sekurang-kurangnya sehingga aku belum nyanyuk atau hilang ingatan dan aku sangat berharap aku tidak akan melalui dua situasi itu.


#1 - Ketika berusia 5 tahun, bapa aku membelikan aku sebuah kereta mainan kecil berwarna merah yang sangat comel dan hebat pada pandangan mata aku. Kereta kecil itu diperbuat dari besi dan pintunya boleh dibuka dan ditutup. Kalau tak silap dibeli di deretan kedai-kedai yang ketika itu terletak di tapak bangunan kompleks membeli-belah City Square, Johor Bahru sekarang ini. Waktu itu aku tinggal di rumah panggung. Jadi ada kolong rumah. Kereta itu bukan kereta control, jadi tak bolehlah digerakkan ke sana ke mari dengan remote control. Maka, aku telah mengikat kereta itu dengan tali rafia dan menariknya ke sana sini sehinggalah kereta kebanggaan aku itu terjatuh ke kolong bawah rumah melalui celah papan yang berlubang. Sebaik sahaja ia terjatuh, aku terus bergegas ke kolong bawah untuk mengambilnya. Tapi yang peliknya, bila sampai di bawah, kereta itu tak ada. Bayangkan, barang yang kita sangat sayang tiba-tiba hilang sekelip mata! Waktu itu aku terfikir ada hantu yang menyorokkan kereta itu. Aku menangis bagai nak gila. Tup-tup, dua tiga hari selepas itu aku ternampak seorang kawan lelaki aku memegang kereta merah aku. Bila aku tanya mana dia beli, dia terus melarikan diri. Sialan!


#2 - Oleh kerana mendapat tempat pertama dalam peperiksaan akhir tahun di sekolah, maka bapa telah menghadiahkan aku sebuah basikal baru berwarna biru. Ketika itu, aku berumur 10 tahun kalau tak silap. Basikal itulah yang aku gunakan untuk ke sekolah kalau bapa tak sempat nak hantar dengan motornya. Basikal itu juga yang aku pakai untuk pergi ke kedai-kedai runcit berdekatan kalau emak suruh beli barang-barang runcit. Suatu malam, selepas maghrib, aku dapati harta paling berharga yang aku miliki ketika itu telah tiada di tempatnya padahal aku baru saja meletakkannya di situ. Aku punya sedih sampai rasa macam nak korek tanah dan masuk ke dalamnya. Bengkak hati aku! Rupanya, basikal aku telah diangkut oleh seorang mat gian terkutuk sebelum menjualnya kepada bapa seorang budak di sekolah aku. Kalau aku buat laporan polis pun, bukannya aku boleh dapat semula basikal aku. Hampas!


#3 - Waktu berkelah dan mandi-manda di Pantai Desaru lebih kurang 18 tahun yang lalu di mana aku berusia 11 tahun pada ketika itu, emak telah menyuruh aku membuka rantai emas dan loket yang aku pakai sebelum berendam dalam laut. Untuk keselamatan katanya. Kalau hilang dalam laut kan susah. Emas bukan murah. Jadi, ketika kami bersiap-siap di atas sebuah jeti kayu berbumbung di mana di bawahnya mengalir sebatang sungai kecil, aku telah membuka rantai emas aku sebelum menyerahkannya kepada emak aku. Sebelum sempat rantai dan loket itu sampai ke atas tapak tangan emak aku, tiba-tiba loket emas aku terjatuh dengan penuh dramatik ke dalam sungai di bawah kaki kami. Aku betul-betul terkedu dan rasa bersalah sampai rasa nak bunuh diri pun ada. Bapa aku dengan nekad telah turun meredah sungai yang agak hitam berkeladak itu untuk mencari loket itu, tapi hampa. Menurut emak aku, loket itu berharga lebih kurang RM500 pada waktu itu. Sampai sekarang pun kalau aku ingat, rasa macam nak hantuk kepala kat tembok menara KLCC je.


#4 - Aku kehilangan sekotak permainan yang dengan sengaja telah dibakar dengan sadisnya oleh pakcik aku ketika aku berumur 10 tahun sebab katanya aku kalau main tak tau nak kemas balik. Kamu tahu tak macamana perasaan aku waktu itu? Lagi-lagi bila pulang dari sekolah dan mendapati sekotak permainan aku telah hangus menjadi abu! Kalau aku ada pistol waktu itu, memang dah arwahlah pakcik aku tu.


#5 - Pemergian arwah atuk aku sangat membekas dalam diri aku sebab waktu kecil aku amat rapat dengan arwah. Atuk meninggal ketika aku berumur 15 tahun. Pertama kali mendapat berita pemergian arwah, aku belum menangis lagi. Selepas dua tiga hari arwah meninggal, baru aku menangis bagai nak rak. Aku tak sanggup kehilangan lagi. Kalau boleh, biarlah aku yang meninggalkan dari ditinggalkan. Sob..sob..


#6 - Tayar kereta aku hilang sebanyak 3 biji ketika kereta diparkir di belakang rumah. Yang dicuri semuanya yang lengkap dengan rim. Yang tak ada rim tak pulak diangkutnya. Kepala hangguk punya penyamun!


Sebenarnya banyak lagi peristiwa kehilangan yang sangat melarakan hati di dalam senarai. Tapi aku tak sanggup nak menaip lagi. Semua orang pun ada senarai kehilangan masing-masing malah tentu banyak yang lebih tragis dari peristiwa kehilangan yang pernah aku alami. Tapi yang paling menyebalkan adalah kehilangan ini. Mangkuk tingkat betul!

Monday, July 19, 2010

Memori 5

Lokasi: Jom! Cyber, Taman Tampoi Indah, Johor Bahru.
Tarikh: Antara Jun - Dis 1999



Satu jam RM3.00. RM3.00 boleh buat makan tengahari atau makan malam dengan syarat minum ais kosong sahaja. Bagi siswi seperti kami, RM3.00 sangat memberi impak yang besar dalam meneruskan hidup. Itu kalau sejam. Kalau 2 jam, 3 jam, 4 jam?

Waktu itu, chatting di miRC sangat menjadi kegilaan. Istilah-istilah seperti a'kum, asl?, lol, gtg dan entahapa-hapa lagi adalah antara bahasa gaul yang sedang 'in' laa.. Habis, takkan aku nak ketinggalan? Pertama kali dalam hidup kenal dunia maya internet betul-betul buat aku dan Maizatulakmal bt Mahmood serta kawan-kawan lain ketagih macam terkena penangan pil syabu. Kalau dah duduk di depan pc dan mula masuk ke chat room, habislah. Tak sedar langsung masa cepat sangat berlari. Bila dah cukup sejam, nak tambah lagi sejam. Bila dah genap dua jam, tak apalah tambah lagi satu jam je lagi. Tapi bila dah nak bayar, baru terasa macam jantung nak terlepas. Bagi duit kat tokey kedai pun macam main tarik-tarik je.

Itu adalah intro pengenalan kenapa aku dan Maizatulakmal bt Mahmood terjebak dalam kancah ini. 

Jom! Cyber adalah sebuah cafe berinternet yang agak famous jugalah di kalangan pelajar pada waktu itu.  Sistem pendaftaran untuk pengguna internet di cafe pada waktu itu belum sistematik dan canggih lagi. Cuma sekadar tulis nama dan pukul berapa waktu masuk dalam form yang disediakan di kaunter. Bila bayar nanti, kiraan bayaran dikira dari pukul berapa kita masuk tadi dan pukul berapa kita keluar.

Mula-mula belum terfikir pun nak buat dajal. Tapi salah pemilik cybercafe juga sebab pengurusan premisnya tak sistematik dan sistem keselamatan sangat longgar. Siapa-siapa pun boleh masuk dan duduk-duduk di dalam cybercafe dengan pc-pcnya yang tidak ber'lock'. Boleh dibuka tanpa control dari kaunter. Adalah juga sesekali pemilik cafe mundar-mandir untuk pastikan tak ada yang berchatting secara haram. Tapi, sesekali. Dan itu adalah antara cabaran yang sangat seronok dilalui bagi orang-orang seperti kami. Hantu!

Mula-mula buat memang takut-takut. Dah namanya buat jenayah memanglah kan. Bila buat untuk kali ke dua atau tiga, kami terkantoi. Waktu itu, aku dengan si Radin Norhafizah bt Radin Mohd Syafri. Boleh pula bapa kepada pemilik cafe terperasan kami pakai pc tak daftar nama di kaunter. Hampeh! Apa lagi, bila pakcik tu menjerit, kami pun cabut turun dari tangga macam tak cukup tanah. Dia siap kejar lagi sampai ke bawah. Takutnya kami macam kena kejar dengan polis bantuan je.

Bila dah beberapa bulan peristiwa tu terjadi, aku fikir tentu memori semua orang tentang kisah tu dah lenyap. Entah kenapa waktu itu aku dan kroni aku, si Maizatulakmal bt Mahmood itu memang berotak dajal. Sebenarnya malam itu kami tak merancang pun untuk chatting secara haram. Asalnya cuma duduk-duduk dengan kawan-kawan sambil borak-borak dalam cybercafe. Bila seorang kawan lelaki yang chatting secara 'halal' dah keluar untuk bayar di kaunter, pcnya masih on dan masih berada dalam miRC. Sebelum dia keluar pun dia secara berseloroh suruh aku 'sambung' saja chattingnya itu. Dan itulah yang aku lakukan. Gila! Padahal dalam poket satu sen pun tak ada. Gila! Gila!

Bila tengok aku chatting tak ingat dunia, si Maizatulakmal bt Mahmood pun iri hati dan turut cari penyakit untuk diri sendiri juga. Samdol! Maka dia pun mencari pc yang masih on dan meneruskan kerja murninya itu. Betul-betul golongan yang tak pakai otak untuk fikir. Kami chatting dengan penuh perasaan dengan daya tumpuan yang sangat baik. 

Waktu terus berlalu. Seorang demi seorang pengguna internet dalam cybercafe itu mula keluar memandangkan malam semakin larut. Setiap kali mereka keluar, kami akan mula berpandangan. Maksudnya, woi, bila nak blah? Yalah, bila dah tak ada orang tentu kami mudah dikesan sedang buat kerja haram. Nama tak ada pun dalam form di kaunter. Betul-betul gila! Tapi disebabkan terlalu asyik-masyuk, maka hasrat untuk   balik dipendam dulu sehinggalah, sehinggalah cuma tinggal kami berdua saja dalam cybercafe itu! Aku dah tak tentu arah. Betul-betul macam kucing nak beranak. Apalagi si Maizatulakmal bt Mahmood. Kamu boleh bayangkan tak situasi dua orang si bodoh yang pandai cari penyakit itu?

Pemilik cybercafe sudah sedar ada dua orang penjenayah comel dalam premisnya. Dia sengaja mundar-mandir di pintu masuk (tempat kami berkurung tu ditutup dengan dinding dan pintu kaca) dan sengaja duduk-duduk di kaunter sambil menyemak form sebagai tanda, hah, aku dah tau kau orang punya kerja lah! Kau nak lari ke mana? Aku lupa nama abang tu, tapi orangnya memang agak pendiam dan tak banyak cakap. Kalau akulah jadi dia, dah lama aku pepah budak dua ekor tu dengan meja lipat.

Kami dah hilang punca. Jadi, untuk mengelakkan kami dikunci di situ dan harus menunggu kalau-kalau kedengaran bunyi siren polis, kami harus berbuat sesuatu. Dalam apa jua keadaan, kerjasama dan persefahaman dua belah pihak sangat penting. Kami nekad. Kami perlu pastikan kedudukan titik lokus pemilik cybercafe itu sebelum bertindak. Jadi, sewaktu pemilik cybercafe sedang membelakangkan kami sambil menonton televisyen yang tergantung di ruang tengah, kami mula berjalan berjengket-jengket, membuka pintu dengan sangat perlahan dan wusshhhhh!! Berlari sepantas kilat, melepasi pemilik cybercafe yang cuma berjarak tak sampai semeter dan menuruni tangga dengan kelajuan maksimum diiringi gelak ketawa yang sangat gegak gempita. Kalau kamu ada di tempat pemilik cybercafe itu, apa perasaan kamu agaknya ya?

Kalaulah mak aku tau, tentu dia sedih sebab dia tak pernah pun ajar aku buat macam tu. Dan itulah kali terakhir kami buat perkara nakal tu sebab selepas itu, pemilik cybercafe telah memasang sistem rangkaian baru yang lebih canggih di dalam cybercafenya sekaligus mematikan hasrat kami untuk beraksi lagi. Huh!

Kepada Maizatulakmal bt Mahmood, berdoalah agar tak ada antara waris-waris kita yang mewarisi kenakalan kita yang comel itu. Kalau ada, memang aku perambat dengan batang mop!

P/S: Maizatulakmal bt Mahmood, kau ingat lagi tak nama abang pemilik cybercafe tu?

Tuesday, July 13, 2010

Gangguan jiwa

Aku perlukan seorang psikiatri. Sejak akhir-akhir ini aku selalu sangat ditimpa perasaan cemas dan berfikiran negatif yang teramat kronik setiap kali teringat tentang ahli keluargaku yang sedang dalam perjalanan ke mana-mana, berada di tempat yang jauh dari aku atau dengan kata mudahnya, tidak berada di hadapan mata aku pada waktu itu. Ini tidak hanya tertumpu kepada si gorjes Rayyan di mana dia berada di tangga teratas, tetapi turut merangkumi semua ahli keluarga aku. 


Saat yang paling mencabar kewarasan fikiran aku adalah setiap kali aku menghubungi mana-mana ahli keluarga aku, tetapi panggilan tidak dijawab atau dijawab tapi oleh mesin bersuara wanita. Aku akan terus mendail untuk berpuluh-puluh kali tanpa penat dan pada waktu yang sama, otak aku akan mula memikirkan semua benda yang negatif-negatif belaka. Bermula dari satu perkara negatif yang minimal hingga membesar menjadi sebuah jalan cerita yang saling berhubungkait tanpa sempadan. Dan cerita hasil rekaan imaginasi otak aku itu akan mula menghasilkan perasaan cemas, takut, bimbang dan bermacam rasa yang tak sedap langsung.


Kamu ingat aku suka perasaan itu? Ia menjadi bebanan jiwa dan kadangkala aku rasakan ia adalah sejenis gangguan jiwa yang tak semua orang alami. Dan aku tak rasa bertuah langsung sebab diberikan perasaan itu. Aku mula tak senang duduk, tak boleh fokus pada apa yang aku kerjakan dan betul-betul membuat aku sangat tak tenteram. Sangat-sangat.


Cuma, rasa itu cuma akan hilang bila panggilan aku dijawab. Puff! Automatik, semua jalan cerita dan skrip rekaan minda aku akan hilang begitu sahaja. Alasan biasa yang aku dengar dari individu yang tak mengangkat panggilan telefon dari aku biasanya: "Sorry, handphone dalam bag." Atau, "Tak dengar handphone bunyi sebab kami di luar dan handphone di dalam." Atau, "Handphone aku buat silent mode la.." Atau, "Apa lagiiii? Kau tak penat ke asyik dail nombor aku? Sampai nak muntah aku nak jawab panggilan kau!!".


Erk.. sebenarnya dialog yang paling akhir tu aku saja buat-buat. Tapi kalau ada yang jawab macam tu memang betul-betul menyebalkan. Aku macam nak mati fikir tentang dia, boleh dia jawab macam tu?


Apa agaknya nama penyakit aku ini, ya?                                                                                                                                                                                                            

Monday, July 12, 2010

Tentang dia (lagi)

Aku tak dapat lari dari bercerita tentang pemergian si gigi besi yang sangat membekas dalam jantung hati aku. Walaupun baru genap satu hari si gigi besi berhijrah ke Shah Alam, aku sudah hilang arah seperti kompas hilang magnet. Entah kenapalah pemergiannya kali ini betul-betul menyebakkan jiwa dan melarakan hati. Bukan dia tak pernah pergi jauh pun. Malah lebih jauh berganda dari ini pun pernah. Tapi disebabkan aku tahu tempoh dia bakal mengikat perut bila poket dah kering itu adalah selama 3 x 365 hari, maka itulah aku agak sentimental sikit kali ini.

Hoh, macam putus cinta pula aku ni.

Tapi, sumpah. Setiap detik yang berlalu, minda dan ingatan aku asyik terfokus pada budak kecil yang bergigi besi itu. Setiap memori yang pernah tercipta antara kami, satu persatu terlayar dalam fikiran aku macam ada projektor yang menayangkan semuanya. Bila terpandang semua benda yang ada kaitan dengan dia seperti berus gigi, bantal busuknya, bilik tidurnya yang macam kandang ular hatta besi buruk sekalipun, semuanya memusatkan pemikiran aku pada dia.

Dia satu-satunya adik kandung aku. Kami dah lalui bermacam-macam bersama. Pahit, manis, kelat, masam, masin, wangi, busuk. Lebih banyak dari reseptor rasa pada lidah kita. Aku risau sebab aku tak ada teman shopping yang paling best lagi dalam dunia ni. Aku rasa dia sedang alami perasaan yang lebih kronik dari aku sekarang. Sebab dia selalu anggap aku ni sebagai penasihat dia dalam banyak perkara. Dari pilih jenama berus gigi sampailah ke gadjet-gadjet canggih, semuanya dia minta petunjuk dari aku. 

Secara tiba-tiba semua lagu-lagu sedih yang melankolik dan mendayu-dayu turut menyumbang kepada kesayuan hati yang maha dahsyat kepada aku. Aku kembali ke zaman muda-muda, ketika baru kenal cinta pertama, di mana semua benda yang aku buat tak tentu arah rasanya. Kamu pernah rasa tak pelbagai variasi perasaan ketika sedang dilamun cinta? Apalagi ketika sedang ada masalah dengan si dia atau lebih teruk lagi ketika putus cinta. Begitulah lebih kurangnya perasaan aku sekarang, cuma lebih mendalam sebab si gigi besi adalah darah daging aku yang begitu rapat, berkongsi hampir semuanya dan tak pernah berpisah begitu lama.

Perasaan cengeng aku bertambah-tambah bila si gorjes Rayyan yang tak mengerti apa-apa sering tercari-cari babysitternya yang dipanggil mummy itu. Rayyan sering masuk ke bilik mummynya dan seolah-olah hairan bila seharian tak nampak langsung kelibat mummynya. Bila tak ada dalam bilik, ditariknya aku ke luar rumah, seolah-olah menunggu bunyi kereta mummynya pulang dari mana-mana. Bila aku menelefon si gigi besi tadi dan memberi peluang kepadanya untuk bercakap dan mendengar suara Rayyan, bukan main si gorjes Rayyan ketawa terbahak-bahak hingga terbatuk-batuk dia setiap kali mendengar suara mummynya. Dan si gigi besi pun menangis lagi untuk kesekian kalinya.

Panjang eh aku bebel tentang si gigi besi itu. Maaflah jika ada yang bosan membaca. Maklumlah, sejak dua tiga menjak ini, kebanyakan entri aku banyak bercerita tentang dia. Tapi, peduli apa aku. Blog aku, suka akulah nak cerita apa pun.

Gigi besi, walaupun kau banyak perangai buruk contohnya yang paling aku tak tahan suka kentut terabur dengan bau membunuh, pemarah dan kepala angin (aku macam tak boleh terima kalau ada orang yang pemarah dan berkepala angin selain dari diri aku sendiri, hehe) dan yang paling selebet, suka melombong bijih dan menyelet hasilnya di mana-mana sahaja, aku tetap sayang gila kat kau, dol! (Dol adalah panggilan manja aku padanya kadangkala, hasil singkatan Badol atau Samdol.)

Kau jangan buat perangai buruk kau kat sana. Aku berani jamin kau tak banyak kawan nanti. Gila!

Tiba-tiba rasa sayu gila bila tengok gambar ni.


Saturday, July 10, 2010

Selamat jalan, budak kecil!

Semakin dekat detik itu sampai, semakin berkabut jantung hatiku.


Rasanya macam ratusan duri dan jarum peniti menusuk-nusuk ke seluruh pelusuk perut naik ke kerongkong. Pedih, ngilu. Pahit dan kelat. Kamu pernah rasa tak?


Itu yang sedang aku rasakan di kala ini. Menanti detik-detik terakhir sebelum si gigi besi bakal meninggalkan rumah dan segalanya di JB ini sebelum menukar angin di Shah Alam, Selangor. Pergilah, gigi besi. Aku doakan kau bakal membawa pulang sebuah kebanggaaan dan kebahagiaan untuk kami semua.


Tawaran dari sebuah pusat pengajian tinggi dalam jurusan makmal perubatan itu tak seharusnya kau tolak, doh. Aku yakin kau boleh 'bawa' course itu dengan baik walaupun kau selalu mengeluh, takut tak boleh 'bawa' dan pulang sebagai loser. Kau bukan loserlah. Kalau kau betul-betul nak buat orang sekeliling respect dan hentikan cakap-cakap longkang mereka, kau mesti buat yang terbaik demi diri kau dan keluarga kau. Kau faham tak?


Sebak seh aku.


Aku bukan pernah berpisah lama-lama dengan budak kecil ni. Hahah! Aku akan selalu anggap kau budak kecil walaupun umur kau dah 20 tahun. Jangkamasa 3 tahun terlalu lama bagi aku. 3 tahun, kalau orang dah kahwin boleh dapat 2 orang anak, atau 3 orang anak kalau dapat kembar dan beranak rapat-rapat, atau 4 orang anak kalau dapat 2 kali kembar. Hah, lama kan?


Tak ada lagilah orang yang mandi lama-lama sampai air habis dan orang lain tak dapat mandi. Hampeh kau!
Tak ada lagi orang yang menjerit-jerit bila si kembar cantik buat onar di rumah. Eh, aku kan ada lagi?
Tak ada lagi kawan aku untuk buat lawak bodoh dan bangang dan ketawa sampai putus urat kentut.
Tak ada lagi teman untuk pergi shopping tak ingat dunia. Ye lah tu. Kau je yang selalu shopping tak tau penat.
Tak ada lagi si kepala angin 2 (selepas aku) yang selalu hempas pintu kuat-kuat bila marah atau bengang.
Tak ada lagi makhluk yang berus gigi berkali-kali sehari dan selalu berebut nak berus gigi lebih awal dari aku sebelum masuk tidur. Apa motif ntah.
Tak ada lagi manusia yang selalu kentut kuat-kuat tak kira masa. Bau bangkai tikus pula tu.
Dan yang paling penting,
tak ada lagi babysitter si gorjes Rayyan yang sayang Rayyan lebih dari aku sendiri.


Kenapa ada perpisahan di dunia ni?


Aku betul-betul sedih sekarang. Jangan ganggu aku, okeh.


Sob..sob..

Friday, July 9, 2010

Aku tak tau macam mana rutin harian kucing

Sebetulnya aku benci pada rutin. Tapi, mahu tak mahu, harus lalui juga sebab rutin adalah sebahagian dari hidup kita. Setiap hari, bangun dari tidur kita akan lakukan benda yang sama. Satu demi satu, ikut kronologi dan penuh dramatik. Dari rumah membawa ke tempat kerja, semuanya dilakukan ikut tertib. 


Pagi-pagi, bila diri dan anak-anak dah siap, capai kunci kereta, panaskan enjin dan meluncur ke tempat kerja. Sampai pejabat, punch card, masuk pejabat dengan muka sardin, menyapa kawan sepejabat, duduk di tempat dan memulakan kerja seperti robot. Hah, bunyinya macam askar kerahan. Balik rumah, bergelumang lagi dengan kerja rumah dan kerja sekolah anak yang perlu dikaji, diulang, dibetulkan dan kadangkala disiapkan . Itu adalah contoh rutin harian yang selalu buat aku rasa lagi best kalau jadi kucing. Mana kau tau rutin harian kucing tu best? Ha'ah ek.

Aku terfikir tentang ini sewaktu masuk ke kereta pagi tadi sebelum ke tempat kerja. Termenung barang seminit dua sambil memanaskan enjin kereta. Tak bosan pula kita lakukan semua ini setiap hari ya? Tapi sekadar terfikir saja. Bukan dapat semangat baru untuk buat perubahan atau anjakan paradigma pun. Kalau macam dalam drama atau filem di televisyen, terfikir begitu pun sudah dapat semangat luar biasa untuk lari dari kebiasaan. Macam berhenti kerja untuk buat sesuatu yang kononnya lebih sesuai dengan jiwa raga contohnya, walaupun kadangkala tak masuk akal. Hah, namanya pun cerita. Kisah hidup manusia yang dikomersialkan.


Nak menunggu awal bulan genap ke hujung bulan, macam terpaksa merangkak atas bara api. Itu rutin yang semua pekerja makan gaji macam aku harus lalui. Tapi bila dah dekat-dekat hari nak dapat gaji, rasa macam nak meluncur atas air biar masa cepat berjalan. Bila gaji dah dapat, maka rutin yang membosankan pun berputar lagi.

Rutin tak salah langsung. Rutin buat kita lebih mahir dengan sesuatu perkara sebab kita lakukan hal yang sama berulang kali tanpa jemu sampai dah ke tahap expert. Macam operator pengeluaran di kilang elektronik contohnya. Berdiri dari siang ke malam atau malam ke siang untuk pasang stiker DVD player sampai dah naik muak dengan kerja itu. Ataupun pekerja di kilang membuat dan memproses makanan ringan. Dah boleh hafal mana bentuk keropok yang reject atau tak cukup bahan sampai dah naik loya tengok jajan yang sama setiap hari walaupun bunyinya macam sedap kalau kerja di kilang makanan.

Entah apa aku bebel di siang-siang panas buta begini.


Cerita tentang operator pengeluaran macamlah aku ni pernah kerja di bidang itu. Dulu waktu habis PMR dan cuti sekolah panjang hujung tahun ada juga cuba kerja operator. Pagi-pagi dah bangun dengan dua orang kawan dan tunggu van di simpang jalan. Van belum sampai, kami dah balik dulu. Secara tiba-tiba kami bertukar fikiran. Rasa macam belum cukup umur untuk kerja dengan makcik-makcik di kilang jajan.Hahah!


Dah makin jauh aku melalut. Mungkin cuba lari dari rutin. Agaknya.

Tuesday, July 6, 2010

Cerita tentang besi II

Hahah! Tadi si gigi besi sekali lagi ada temujanji di klinik pergigian berkaitan dengan urusan pendakap giginya yang baru ditanggalkan semalam. Bila dia pulang dari klinik, aku terkejut sebab doktor memasang besi lain pula di giginya untuk memastikan rahangnya tidak bergerak sebelum boleh dicabut enam bulan lagi. Fuhh, banyak betul dugaan si gigi besi untuk cantik. Besi yang dipasang kali ini agak berlainan. Tak perlulah aku cerita lebih lanjut. Yang pasti dia kembali pelat menyebut beberapa huruf seperti sewaktu mula-mula memakai pendakap gigi dulu. Kesian.

Monday, July 5, 2010

Cerita tentang besi

Besi pada gigi si gigi besi secara rasminya telah ditanggalkan pada hari ini setelah tiga tahun sehidup semati bersama besi-besi itu. Aku tak pasti sama ada dia bersedih kerana terpaksa berpisah dengan besi ajaib itu atau gembira kerana tiada lagi 'sesuatu' yang berkilat di giginya yang sering menjadi perhatian budak-budak kecil ke mana pun dia pergi.

Si gigi besi sudah berwajah baru. Tadi sewaktu dia sampai ke rumah setelah pulang dari klinik gigi, aku tergelak besar sebab muka si gigi besi lain benar dari biasanya. Macam makcik-makcik yang baru pasang gigi palsu. Disebabkan susunan giginya yang nampak pelik itu, aku betul-betul tak boleh tahan gelak setiap kali dia membuka mulut. Maaflah gigi besi. Tapi kau patut berbangga sebab gigi kau dah cantik, doh! 

Dulu aku sangat pelik dan jakun kalau nampak orang pasang pendakap gigi. Sewaktu di sekolah, ada seorang kawan yang memasang pendakap gigi. Aku akan perhatikan setiap gerakan yang dia buat. Dari mula buka mulut, bercakap, menguap, makan, minum, batuk dan bersin sekalipun, semuanya aku amati betul-betul. Nasib baik aku tak pernah kena sergah atau kena baling dengan pinggan plastik kantin atau kena hempuk dengan buku teks.

Bila si gigi besi dengan nekadnya memasang pendakap gigi pada giginya, tak pula aku jakun sangat. Dan baru aku sedar si pemakai boleh nampak cool bila memakai pendakap gigi. Nampak macam golongan-golongan atasan la. Macam anak somebody gitu. Hahah! Yalah, bukan semua orang sanggup melaburkan duit untuk melekatkan besi-besi itu di gigi. Tabik spring untuk si gigi besi sebab berani mengambil risiko dengan merelakan lima batang giginya di cabut untuk proses pemasangan besi di giginya, menikmati peritnya mulut dipenuhi ulser, menyeksa diri dengan hanya memakan makanan-makanan lembik, menerima pandangan pelik dan jakun dari orang sekeliling dan menghabiskan masa berulang-alik untuk temujanji di klinik pergigian.


Dan sampai sekarang aku masih tak boleh berhenti gelak tiap kali dia buka mulut untuk bercakap. Hahah!


macam ni la lebih kurang situasi di dalam mulut si gigi besi.

hasil yang menakjubkan! bravo! bravo!

P/S: Bukan gambar sebenar si gigi besi. Jangan harap dia bagi keizinan
aku publishkan gambar dia di sini. HUH!

Friday, July 2, 2010

Rayyan dalam bingkai

Aku malas nak bercerita panjang hari ini. Kata orang, sekeping gambar ada 1000 cerita.
Jadi, biarlah gambar yang bercerita. Si gorjes Rayyan dalam sesi fotografi bersama si bingkai gambar.
Mari.

Pelakon utama
Bingkai gambar yang terlibat.

Testing dulu..

Okeh. Muat nampaknya.

Mula beraksi. 

Eh, cantik sulam baju kau. Tengok sikit.

Hahah.. Baju murah kau beli pasar malam ya?

Oh, maafkan aku. Tak sepatutnya aku berkata 
sedemikian.

Sudah mula fed-up. Perlu rehat. Nampak botol
susu aku tak?

Hah, sekian terima kasih. Sila tunggu gambar si gorjes Rayyan bersama bingkai gambar ini di dalam majalah sekolah masing-masing.

Thursday, July 1, 2010

Misae


Siot!
Si gigi besi bagi aku gelaran baru.
MISAE.
Kenal?
Misae adalah ibu kepada Shin Chan.
Dia kata aku garang dan kuat membebel macam Misae.
Ada ke patut?
Aku sembur gigi besi kau pakai serbuk kari Babas, berkarat!

Tapi, sebut banyak kali, cool juga nama tu, ek?
Related Posts with Thumbnails