Thursday, May 27, 2010

Konservatifnya minda!

Beberapa hari yang lalu, rumah aku dikunjungi oleh dua orang tetamu anak beranak yang ingin berjumpa dengan emak aku. Aku kenal dengan mereka sebab rumah kami tidaklah berapa jauh sangat. Tak perlulah aku beritahu siapa nama mereka atau sedikit biodata tentang mereka, cuma yang penting suami makcik tersebut adalah seorang yang memegang jawatan yang agak penting dalam komuniti kami. Sedikit info tambahan, makcik ini mempunyai mulut yang bukan mungil atau seksi tetapi boleh dikelaskan dalam kategori mulut tak berinsurans atau dengan bahasa kasarnya, mulut longkang.

Sebolehnya aku malas nak bertentang mata atau bertembung dengan mereka, tapi apakan daya, itulah yang terpaksa aku lakukan jika tak mahu mati terdehidrasi secara sadis di luar rumah dengan cuaca panas terik yang melampau-lampau. Bukannya apa, makcik tersebut orangnya terlampau prihatin dengan apa juga perkara hinggakan kalau boleh jenama pencuci mangkuk tandas yang kita pakai pun dia sibuk nak ambil tahu dan kemudian menawarkan diri untuk menjadi juri profesional dengan komen-komen sadis ala-ala Adlin Aman Ramli tanpa diminta. Dan itu sudah cukup membuat aku terfikir untuk menyumbat mulutnya dengan tauhu bakar yang panas berasap. Sekurang-kurangnya bukan cuka getah. * Senyum jahat *.

Okeh, sewaktu melintas di depan makcik tersebut dengan penuh sopan-santun, aku SANGAT berharap makcik tersebut tidak membuka mulutnya walaupun untuk batuk sekalipun. Tetapi, itu semua cuma dalam mimpi sahaja apabila mulutnya tetap juga terbuka dan mengeluarkan suara. Chess! Dialognya tak panjang, cuma beberapa patah perkataan tetapi memberi bekas yang sangat dalam seperti kawah gunung berapi. Bukan kawah jerawat pada pipi okeh.

Makcik: "Kau kerja lagi ke?"

Aku: "Kerja. Ni baru je balik kerja."

Di saat ini, aku amat berharap tiada soalan susulan dari mulut itu.

Makcik: "Haaaiii... dah kahwin pun kerja lagi.."

Aku: ????

Apa maksud makcik bermulut longkang itu?

A. Menghina suami aku bukan seorang jutawan sehingga aku terpaksa bekerja walaupun telah berkahwin? Masalahnya, menantu dia cuma seorang peniaga pakaian bundle dan barang-barang terpakai sahaja dan suami makcik ini pun cuma mendapat imbuhan kecil atas khidmatnya.

B. Menganggap perempuan cuma perlu duduk di rumah dan melakukan kerja-kerja rumah sebab itu sahaja kerja perempuan dan tak layak untuk setanding dengan lelaki? Masalahnya, anak perempuan dia pun bekerja sebagai operator kilang dan makcik ini pun selalu mengambil upah membuat dodol secara sambilan di rumah. Bukankah itu bekerja juga namanya?

C. Menganggap perempuan tak perlu belajar tinggi, tak perlu berkerjaya, tak perlu berusaha memajukan diri dan keluarga, tak perlu bercita-cita, kemudian kalau dah belajar tinggi-tinggi pun cuma perlu simpan atau bingkaikan sahaja sijil kita dan duduk diam-diam di rumah. Maksudnya tempat perempuan cuma di dapur sahaja? Hello, kita sekarang berada di zaman di mana budak kecil pun dah pandai berlaptop, bukan di zaman batu, okeh.

D. Memandang rendah pada perempuan-perempuan yang bekerja walaupun bekerja dalam sektor profesional seperti doktor, peguam, arkitek, pegawai-pegawai kerajaan dan pekerja-pekerja kolar putih. Hinakah perempuan yang bekerja pada pandangan makcik tersebut?

Yang mana agaknya jawapan yang betul untuk soalan aku di atas tadi ya? Yang pasti makcik tersebut bukan sekadar terkelas dalam kategori bermulut longkang sahaja tetapi turut layak menggondol trofi dalam kategori orang yang berminda konservatif. Orang yang masih berfikiran kolot dan jumud yang menganggap perempuan adalah golongan yang lemah serta tak mampu berdiri apalagi berlari setanding dengan lelaki. Wah, emosinya aku!

Tiba-tiba aku berasa sangat bertuah sebab keluarga dan sanak-saudara aku bukan tergolong dalam golongan makcik tersebut. Keluarga kami sangat mementingkan pelajaran dan pendidikan. Sepupu-sepupu, makcik, pakcik dan kaum kerabat aku akan disekolahkan setinggi yang mungkin walaupun ada yang terpaksa bergolok-gadai demi pendidikan anak-anak. Dan alhamdulillah mereka semua telah berjaya dalam kerjaya masing-masing sebagai pensyarah, pendidik dan pegawai-pegawai kerajaan. Dan aku sendiri masih berhasrat untuk menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Insya-allah. * Buat muka baik *.

Kesimpulannya, jangan ikut resmi makcik tersebut tetapi ikutlah resmi orang yang berpendidikan dan berkerjaya namun masih tetap dengan norma hidup dan landasan agama yang betul. Maksudnya, buanglah minda konservatif tu, ya, makcik. Aku doakan semoga dia berubah. Amin.

Wednesday, May 26, 2010

~ The End Of The World ~

THE END OF THE WORLD
Skeeter Davis - 1964



Why does the sun go on shining
Why does the sea rush to shore
Don't they know it's the end of the world
'Cause you don't love me any more

Why do the birds go on singing
Why do the stars glow above
Don't they know it's the end of the world
It ended when I lost your love

I wake up in the morning and I wonder
Why everything's the same as it was
I can't understand, no, I can't understand
How life goes on the way it does

Why does my heart go on beating
Why do these eyes of mine cry
Don't they know it's the end of the world
It ended when you said goodbye

Why does my heart go on beating
Why do these eyes of mine cry
Don't they know it's the end of the world
It ended when you said goodbye

P/S: Aku sangat suka lagu ini. Lagu-lagu lama memang enak didengar kerana ia tetap malar hijau. Tambahan lagi, lagu ini mengingatkan aku pada memori-memori indah beberapa musim yang lalu. Tiba-tiba bersikap sentimental. *Malu*. Chett!

Tuesday, May 25, 2010

Rayyan Mikhail Mineka: Keajaiban dalam hidup aku

Bukan. Bayi gorjes ini bukan lahir atau wujud secara ajaib seperti di dalam cerita-cerita klasik atau dongeng seperti Thumbelina, Anak Buluh Betung, Pinocchio dan sebagainya. Aku bertarung dan bertaruh nyawa hingga ke hujung titisan nyawa terakhir untuk mendapatkan bayi ini. Sungguh! Mungkin ayat ini keterlaluan bagi sesetengah orang yang beranggapan aku ini terlalu taksub dan obses dengan anugerah terindah dalam hidup ini. Tapi ketahuilah, Rayyan Mikhail Mineka sesungguhnya adalah sebuah keajaiban dalam hidupku. Dan itu sangat aku syukuri. Sangat.

Tidak. Aku bukan menganggap kembar cantikku itu bukan satu anugerah. Mereka adalah anugerah tercantik dan terhebat yang aku miliki. Tidak semua orang diberikan peluang menikmati perasaan indah melahirkan kembar. Dan perasaan itu terlalu hebat bagi aku. Cuma, mendapatkan zuriat berjantina lelaki dalam keluarga kecilku sangat-sangat memberi impak yang besar sekali. Terlalu besar. Untuk sebuah keluarga yang memiliki majoriti perempuan di dalamnya, kecuali bapa dan menantu lelaki, (mustahil mereka berjantina perempuan, ya), dianugerahkan dengan bayi lelaki dianggap sebagai sebuah keajaiban. Ini bukan kepercayaan karut seperti kaum-kaum purba dan nomad, tetapi seumpama perumpamaan bagi keluarga kami yang data statistiknya mencatatkan kadar minoriti bagi jantina LELAKI. Okeh, jelas?

Kelahiran si gorjes Rayyan sudah cukup dianggap sebagai sebuah keajaiban. Bagaimana aku tidak mengkelaskannya sebagai ajaib jika dia lahir sebagai bayi lelaki sedangkan tiga kali keputusan scan sewaktu mengandung, doktor memberitahuku bahawa bayi tersebut adalah perempuan! Itu sudah cukup ajaib bagi aku. Sangat terharu. Walaupun lahir secara caesarean (kali ke 2 bagi aku, oh tuhan!) kerana bayi telah lemas dalam kandungan akibat kekeringan air ketuban dan aku turut mengalami pelbagai komplikasi penyakit yang agak teruk selepas melahirkan seperti tekanan darah tinggi, kaki membengkak dan infeksi pada bekas jahitan caesarean, namun itu semua tidak seberapa berbanding kebanggaan dan kegembiraan mendapatkan bayi gorjes ini. *Senyum bahagia*.

Keajaiban selalu mengiringi si gorjes Rayyanku itu. Satu peristiwa di mana kalau aku ingat dan kenang-kenang, bagai nak putus nyawa dan kosong jiwa raga. Kata orang, malaikat selalu mendampingi dan menjaga bayi-bayi kan? Buktinya, sewaktu Rayyan terjatuh dari katil dengan ketinggian hampir 1 meter dan mengalami pendarahan dalam hidung (itu sudah cukup membuat longlai tubuh badanku) beberapa bulan yang lepas sewaktu berusia 9 bulan, doktor telah melakukan x-ray dan scan bahagian kepala si gorjes Rayyan untuk memastikan tiada pendarahan atau keretakan di bahagian itu dan aku sangat bersyukur dengan keputusan doktor. Alhamdulillah yang teramat sangat kerana tiada apa-apa kecederaan selain dari kecederaan kecil dalam hidung. Syukur tak terhingga kupanjatkan kepada Allah Maha Kuasa kerana aku hampir-hampir kehilangan si gorjes Rayyan pada ketika itu. Manakan tidak, pendarahan di hidung atau telinga selepas terjatuh dianggap serius dan berkemungkinan ada kaitan dengan kecederaan di bahagian dalaman kepala atau otak. Ohh, sangat menakutkan!

Ironinya, Rayyan Mikhail Mineka tetap kuanggap sebagai sebuah keajaiban dalam hidupku walaupun dunia telah mengiktiraf tujuh keajaiban terbaru dunia di serata muka bumi ini.

Nah, inilah arjuna hidupku itu yang bakal menyambut ulang tahun pertamanya pada 28 Mei 2010. Selamat hari jadi, sayang mama.. Siapa nak cop jadi menantu? Heh!

Rayyan beberapa jam selepas dilahirkan (secara caesar, ya)

Rayyan ketika berusia 1 bulan

Rayyan 2 bulan

Rayyan buat muka macho

Rayyan 5 bulan

Rayyan sudah pandai memandu. Hebatkan?

Rayyan sudah ada blog. Jangan percaya, okeh.

Rayyan mendera haiwan.

Rayyan dan ratu hatinya.

Mama sayang Rayyan sebesar dunia.
Dan jika dalam versi Bahasa Inggerisnya,
You are the nearest thing to heaven that I've seen, my gorgeous baby!

Monday, May 24, 2010

Kuih bingka 'terbakar'

Petang-petang di hari minggu, tiba-tiba tekak teringin benar nak merasa kuih bakar atau bingka. Sepenuh perasaan menyelak-nyelak buku resipi turun temurun yang dah hampir barai itu. Dengan penuh semangat, semua bahan disediakan sambil berdoa semoga kuih yang diidamkan itu bakal menjadi. Maksudnya boleh dimakan dengan selamat dan tidak ke tong sampah destinasi terakhirnya. Mmm, tingginya harapan. Maklumlah, aku ini tidak begitu pro membuat kuih-kuih tradisional selain dari kek dan kuih-kuih moden seperti kek kukus lembap. Heh!

Setelah berhempas-pulas, memerah tenaga dan keringat, mmm.. macam pekerja pencuci tingkap bangunan tinggi bunyinya. Oh, ya. Rasanya tak perlulah aku senaraikan bahan-bahan dan cara-cara mengadunnya sebab aku cukup pasti blog ini bukan blog masakan. Akhirnya, (ayat untuk memendekkan cerita panjang) adunan berbau wangi daun pandan itu pun masuk ke dalam loyang pembakar. Istimewanya aku membakar kuih ini tidak menggunakan oven tapi menggunakan loyang pembakar kuih yang dimasak di atas dapur gas. Tujuannya adalah untuk mendapatkan hasil yang lebih tradisional. Kononnya.

Setengah jam berlalu.

Satu jam lagi berlepas.

Gigi besi: "Kak, kuih kau belum masak lagi ke? Dah lama rasanya. Bau pun dah semacam."

Aku: "Belumlah. Aku dah cucuk garfu, tapi masih lekat. Kuih bingka ni kalau hangus sikit lagi sedap. Tunggu lagi sekejap."

Sekejap itu pun berlalu.

Emak: "Kak, belum masak lagi ke kuihnya? Lama sangat dah ni."

Aku: "Mmm, oklah. Tolong padamkan apinya."

Dan, hasilnya sangat mengejutkan. Teruja hingga ingin menangis.

Nah, ini dia.

Kuih 'ter'bakar. Keraknya berkilat 'menyelerakan'.

Si gigi besi begitu teruja sekali.
(Sedaplah sangat kalau hangus, kak..)

Haha.. walaupun terbakar tapi tetap licin dibantai seisi rumah terutamanya si gigi besi.

Kesinambungan dari peristiwa ini, emak berkata: "Tak apa, lain kali dah tau. Belajar dari kesilapan."

(Kau ni, habiskan gas memasak je!) Dalam hati emak aku, agaknya.

Thursday, May 20, 2010

Memori 2

Menyambut ulang tahun adalah satu upacara yang sangat menggembirakan JIKA tidak disambut di kolej. Pelikkah ayat ini? Ya, sewaktu masih belajar di kolej, kedatangan hari jadi bagi sesetengah pelajar adalah sangat mendebarkan dan kadangkala tidak dinantikan. Kadangkala ia mencetuskan satu fenomena yang seakan perasaan fobia untuk menyambut pertambahan umur tersebut.


Aku tak pasti siapa yang mencipta fenomena ini tetapi kebanyakan kawan-kawan baik semasa di kolej terutamanya kawan serumah aku akan menyediakan senarai perkara-perkara 'menakutkan' yang akan dilakukan apabila salah seorang dari kami bakal menyambut hari jadi. Semasa Syah @ Baizura si tomboy tu (mungkin sekarang dah jadi wanita sejati) menyambut hari jadinya, dia telah mendapat sekotak hadiah berbungkus cantik yang berisi beberapa ekor haiwan amfibia iaitu katak!! Entah manusia mana yang rajin mencari dan menangkap katak-katak tidak berdosa tersebut. Tak ada kerja betul! Sebenarnya aku taklah begitu geli sangat dengan haiwan yang satu ini, tapi waktu haiwan tersebut bertempiaran melompat keluar dari kotaknya semasa dibuka di ruang tamu rumah kami, terpaksalah aku bertempiaran lari juga wehh.. Takut-takut kalau katak tu melompat dan melekat di muka atau di mana-mana bahagian badan. Naya je! Dan yang bertugas mencari dan menangkap semula katak-katak tersebut tentulah si Maizatulakmal bt Mahmood sebab dia sorang je yang berani memegang katak. Yuck!


Aku turut terlibat beberapa kali dalam misi jahat tersebut. Antaranya memeram campuran budu, cencalok, telur dan entah apa-apa lagi di dalam botol selama beberapa hari hingga menghasilkan bau yang gila busuk! Serious! Aku tak ingat siapa si malang yang mendapat habuan tersebut. Tapi acara wajib yang biasa kami lakukan adalah membaling telur (membazir betul! boleh makan kalau tak ada duit kan? tapi kenapa tak terfikir waktu tu ya?) dan juga melumur tepung ke atas mangsa. Macam nak digoreng pulak! Ada satu peristiwa di mana kulit kepala seorang kawan lelaki kami telah terluka akibat terkena serpihan kulit telur yang di pecahkan di kepalanya. Kesian dia. Kejamnya kami. Dan itu adalah kejahatan terakhir yang kami lakukan sebelum aktiviti ini dihentikan sama sekali kerana dianggap sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Wah, bunyinya macam kenyataan dari pihak Pertubuhan Hak Asasi Manusia!


Eh, baru aku teringat! Sebenarnya aku dan si Maizatulakmal bt Mahmoodlah yang meredah pekat malam dengan basikal dan menyelongkar isi semak belukar berdekatan Cyber Warung di Taman Tampoi Utama untuk mencari dan menangkap 4 ekor katak yang kemudian dibungkus cantik dalam kotak sebelum diserahkan kepada Syah @ Baizura.


Macam mana boleh lupa ni? Hehe..


Acara sambutan hari jadi kawan-kawan yang diikuti dengan acara kejar-mengejar keliling blok kerana dibaling dengan air busuk yang diperam dalam botol.
Kawan-kawan serumah yang selalu terlibat dalam acara merosakkan kebahagiaan orang di hari ulang tahun.
I love u guys!

Sunday, May 16, 2010

Selamat pagi, cikgu!

16 Mei 2010

Tak kira siapa pun kita sekarang, guru selain dari ibu-bapa adalah insan paling penting dalam memberi ilmu dan didikan hingga kita menjadi apa yang kita jadi sekarang. Ayat ini terkecuali untuk mereka yang gagal menjadi manusia berguna contohnya peragut, perompak, pembunuh, penagih dan pengedar dadah, pemberi dan penerima rasuah, mat rempit, along, perampas suami orang dan semua profesyen yang buruk-buruk.

Teringat sewaktu kecil semasa bergelar pelajar sekolah rendah yang comel, hehe.. Bila Hari Guru tiba, mesti sibuk paksa mak bapak belikan hadiah untuk cikgu. Waktu tu belum ada kedai RM2, jadi tak beli barang berharga RM2, tapi beli di kedai-kedai runcit biasa. Bukan barang mahal pun, cuma beberapa batang pen berwarna biru, hitam dan merah yang biasanya berjenama Reynolds atau Kilometrico. Kadang-kadang di tambah dengan sebuku sabun mandi Lux. Kemudian dibungkus cantik-cantik. Itu pun dah rasa bangga semacam bila hadiah bertukar tangan dengan cikgu kegemaran di sekolah. Haha, comelnya waktu tu! Bayangkan kalau seorang murid bagi 3 batang pen untuk seorang cikgu, kalau 20 orang murid? Wah, cukup stok pen cikgu untuk setahun! Sabun mandi pun tak perlu beli lagi untuk beberapa bulan akan datang. Tapi budak-budak sekarang mana nak lagi bagi hadiah sedemikian rupa kan? Malu sehh...

Sempena dengan Hari Guru 2010, aku nak mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua insan bergelar guru atau tenaga pengajar yang pernah berjasa memberi ilmu yang sangat berguna untuk aku. Tak kiralah semasa sekolah rendah, sekolah menengah atau pusat pengajian tinggi. Jasa kalian akan tetap kukenang sampai bila-bila. Terima kasih, cikgu! (Ucapan untuk cikgu bila kelas dah habis dan rasa sangat gembira lagi-lagi jika subjek dan guru tersebut sangat tidak dinantikan)

Berikut adalah senarai nama-nama guru yang terlibat dalam ini cerita:-

Sekolah Kebangsaan Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor
  1. Cikgu Azman bin Mohd Isa
  2. Cikgu Mutalib bin Awang
  3. Cikgu Wong Chai May
  4. Cikgu Rosyati bt Jani
  5. Allahyarham Cikgu Anita
  6. Cikgu Ghazali
  7. Sir Ashok
  8. Cikgu Mustafa
  9. Cikgu Tajudin
  10. Ustaz Mohsin
  11. Ustaz Talib
  12. Cikgu Joma'ah
  13. Cikgu Norhayati
Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2, Pasir Gudang, Johor
  1. Cikgu Rodzilah bt Adziz
  2. Cikgu Khalidah bt Abu Bakar
  3. Cikgu Nazatul Shima
  4. Ustazah Che Hasnah bt Nuh
  5. Cikgu Mohd Radzi bin Shamsuddin
  6. Cikgu Jamaliah bt Mohd Taib
  7. Cikgu Saaim Sundarman
  8. Cikgu Adam bin Hj Salim
  9. Cikgu Khoo Boon Hoon
  10. Cikgu Sahalan bin Anuar
  11. Cikgu Nor Rahman bin Hussein
  12. Cikgu Ruziyah bt Hj Misran
  13. Cikgu Hamisah bt Mohd Daud
  14. Cikgu Noraniza bt Shamsuri
  15. Cikgu Hasnah bt Hamzah
p/s: Terima kasih kepada majalah sekolah Mawar Bestari yang banyak menyumbang kepada penemuan nama penuh cikgu-cikgu ini. Otak aku tak mungkin sehebat ini untuk mengingat semua nama penuh dengan cemerlang sekali.

Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (UPM)
  1. Encik Effendy
  2. Puan Syarifah Ayuni
  3. Puan Norhafiza
  4. Encik Zakaria
  5. Puan Norbiza
  6. Puan Wilda
  7. Puan Siti Zahrah
  8. Puan Alina
  9. Puan Siti Zubida
  10. Tuan Haji Samuri
  11. Puan Azlina
  12. Encik Samad
  13. Puan Shereen
p/s: Hadoii.. berbelit otak aku nak ingat nama-nama lecturer nih. Ni pun masih ramai yang tertinggal. Aku akan usaha dengan lebih gigih untuk mendapatkan senarai penuh nama mereka. Sedikit musykil dengan kemampuan memori sendiri. Kenapa masih mampu mengingat nama-nama cikgu di sekolah rendah yang sudah berpuluh tahun ditinggalkan berbanding nama lecturer yang belum sampai 10 tahun terpisah? Mungkin memori aku perlu diganti atau diupgrade kepada kapasiti yang lebih besar dan laju. Emm, bagaimana ya?


Guru-guru Sekolah Kebangsaan Pasir Putih (1988-1993)


3 Zamrud (1990)
Zaman ketika comel iaitu memberi hadiah pen dan sabun untuk cikgu.

5 Sains Tulen (1998)
Aku tak ingat apa hadiah yang aku beri untuk cikgu di zaman ini. Tak mungkin masih pen dan sabun lagi..

Thursday, May 13, 2010

Diskriminasi menjatuhkan kita


Diskriminasi menjatuhkan aku
Reputasi kini menjadi bisu
Dan aku layu di situ

Tengok pada tajuk, nampaknya entri ini agak serius bunyinya. Dan mungkin juga membosankan. Aku tak pasti dari mana pula datangnya inspirasi untuk menulis tajuk ini. Datang secara tiba-tiba, sama seperti orang-orang seni yang mendapat ilham secara tiba-tiba untuk menghasilkan karya agung mereka. Ehemm!

Menurut Kamus Pelajar (DBP), diskriminasi bermaksud perlakuan membeza-bezakan sesuatu hal. Diskriminasi boleh dibahagikan kepada beberapa cabang iaitu diskriminasi kaum, diskriminasi sosial dan diskriminasi harga. Tajuk yang akan kita bincangkan pada hari ini adalah..wahh, terasa macam panel penceramah dalam rancangan diskusi di kaca televisyen. Bosan kan rancangan sedemikian rupa. Huwarrgghhh... (sangap secara ayu dengan diameter dan kelebaran mulut yang boleh telan dua biji bingka ubi sekaligus).

Perlakuan membeza-bezakan ini telah wujud sejak azali dalam sejarah peradaban manusia. Faktor yang selalu menyumbang ke arah gejala ini di antaranya adalah warna kulit, keturunan, jantina, saiz badan dan kedudukan atau pangkat dalam masyarakat. Ayat pensyarah sudah keluar nampaknya. Aku sangat tidak berpuas hati dengan keadaan ini sebenarnya. Kenapa kita harus membeza-bezakan manusia yang sebenarnya tiada beza di sisi Allah? Apa kelebihan kita berbanding orang lain yang kita anggap bertaraf rendah dan hina di bumi ini?

Contoh diskriminasi yang sangat menjengkelkan aku adalah diskriminasi kaum. Bagaimana mungkin wujud layanan yg berbeza-beza terhadap kaum yang berlainan kerana beranggapan bahawa terdapat keadaan tidak seimbang dari segi kemahiran, kebolehan, keistimewaan hak dan sebagainya? Apa hak kita sebagai mahkluk Allah yang sama hinanya dengan mahkluk Allah yang lain itu untuk merasa bahawa diri kita lebih mulia dan lebih tinggi darjatnya berbanding kaum lain?

Tak kira kaum atau keturunan, negara asal atau negara kelahiran, kita semua tetap sama. Tak perlu terlalu bangga mendabik dada ditakdirkan terlahir di sebuah negara makmur merdeka, moden dan maju terbilang hingga memandang rendah pada orang lain yang terlahir di negara mundur, miskin, kucar-kacir dan penuh konflik. Allah telah mengatur takdir hidup hambaNya dengan saksama. Di penghujung jalan kelak, kita tetap bertemu di titik akhir yang sama dan dinisab mengikut amalan kita. Bukan pada warna kulit, jantina, keturunan, kebangsaan atau kedudukan.

Ah, insafnya..

Bumi yang kita kongsi bersama tanpa diskriminasi seharusnya.

Monday, May 10, 2010

Aku rasa dah tua bila..

Bila dicongak-congak umur aku setelah ditambah, ditolak, didarab dan bahagi, sebenarnya belumlah terlalu tua pun. Itupun jika dibandingkan dengan orang yang lebih tua dari aku. Heh! Kenapa kita takut dengan perkataan tua ya? Kalaulah boleh kembali ke zaman silam.. hah, jangan buang masa dengan mengingat benda yang buat sakit hati sendiri. Ye lah, sakit hati lah bila ingat satu masa dulu kita pernah muda belia dan sekarang semakin tua kerepot tak sedar diri. Tapi, mungkin tak seteruk itu, ya. Mungkin aku perlu minum susu Anlene bermula dari sekarang.

Walaupun aku belum merasa diri terlalu tua, mungkin kerana perasan, tapi ada beberapa perkara yang membuat aku merasa sudah tua dengan tiba-tiba iaitu bila berhadapan dengan perkara-perkara ini:
  1. Bila melihat remaja-remaja sekarang yang suka buat mulut ikan untuk kelihatan vogue tapi kelihatan seperti makcik Wok bagi aku dan buat muka alalalala..comelnya aku (control cute pada tahap maksimum) bila menangkap gambar sendiri sebelum dimasukkan sebagai gambar profile di dalam Facebook, Myspace atau mana-mana laman web sosial. Mungkin sebab aku cemburu kerana pernah beberapa kali mencuba teknik-teknik tersebut tetapi kelihatan sangat buruk dan sangat menakutkan, hingga diri sendiri mengalami mimpi ngeri pada waktu malam.
  2. Bila membaca SMS dari remaja atau untuk remaja yang membuatkan aku kelihatan seperti orang buta huruf yang tidak berkesempatan menjejak kaki ke sekolah. Muka berkerut, mata menyepet, mulut terkumat-kamit, kepala terteleng-teleng semata-mata untuk memahami apa maksud SMS tersebut. Contohnya, aq nk g ne, kw ble nk smp kt sn, mn kw ltk bg tw, aq rs ne x lh pki. Ini contoh ayat yang masih boleh difahami lagi. Aku tak mampu mengingat dan mengemukakan beberapa contoh bahasa purba seperti yang tercatat di batu bersurat atau bahasa Sanskrit yang dapat dikuasai dengan baik oleh remaja-remaja sekarang. Yang pasti kita perlu mengerah tenaga untuk membaca SMS tersebut. Sepatutnya mereka diterima bekerja sebagai arkeologi atau pengkaji sejarah.
  3. Bila berjumpa dengan remaja-remaja perempuan bertudung yang sanggulnya macam tombong kelapa di atas puncak kepala. Baca betul-betul ayat tersebut. Kadang-kadang nampak macam ada ketumbuhan di atas kepala. Juga sesekali kelihatan seperti watak kartun dinosour hijau yang berbonjol di kelapa. Entah apa tajuknya. Mungkin nampak stylo tapi bayangkan di dalam kelas atau dewan kuliah. Malanglah bagi mereka yang duduk di barisan belakang mereka. Belum pernah mencuba untuk teknik ini sebab rambut tak boleh disanggul. Bukan botak ya, cuma kurang rambut. Ohh, tuanya aku bila buat ayat macam tu. Rambut kurang panjang, itu ayat yang betul. Baru rasa lega sikit.
Umur cuma sekadar nombor. Semakin bertambah umur, pengalaman dan kematangan kita juga bertambah. Cheh, ayat menenangkan diri sendiri. Setiap orang ada zaman masing-masing. Bagi mereka yang sebaya aku, bersedialah menghadapi hari tua anda.

Oh, tidakkkkkk!!!

Yang pasti, ini bukan aku di masa hadapan. Aku yakin!

Saturday, May 8, 2010

Paranoid

Ada satu hal yang akan membuatkan aku berubah menjadi seorang manusia yang sangat paranoid dan ini sangat menyusahkan diri, perasaan dan otak aku sendiri. Nak tau apa dia? Iaitu bila melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan anak-anak aku. Aku akan berubah, bukan berubah menjadi Power Rangers, Satria Baja Hitam atau Bumble Bee dalam Transformer ya. Kalaupun aku boleh berubah menjadi sebuah kereta, aku memilih untuk menjadi sebuah Rexton barangkali iaitu kereta idaman aku yang sangat eh, apa tajuk entri ni?

Aku tak dapat terangkan macam mana perasaan itu sebenarnya. Cuma rasanya macam bila kita dah memandu sejauh beberapa puluh kilometer dari rumah menuju ke satu destinasi, dengan tiba-tiba kita teringat yang kita terlupa mengunci pintu rumah dan pada masa yang sama komputer riba HP Pavilion dv6000, kamera digital Sony W380, tv LCD Panasonic 42 ini, telefon bimbit Nokia E90 dan kasut Crocs tiruan berharga RM50 bagi dua pasang tersusun rapi di atas meja ruang tamu. Bayangkan.. Untuk lebih menghuru-harakan keadaan, peti besi juga terlupa di tutup dengan sejumlah wang yang nilainya adalah hasil kerja selama 12 bulan. Denyutan jantung dan nadi terhenti, paru-paru berhenti berfungsi, esofagus tergendala dan seluruh isi perut seperti membeku keras. Izrail pun datang eh, belum sampai tahap tu. Belum cukup amal. Hah, begitulah lebih kurang rasanya bila paranoid itu menyerang.

Bila ada antara gorjes atau cantikku itu jauh dari aku, perasaan pelik di atas akan menjelma. Mulalah dalam otak akan berfikir benda yang buruk-buruk dan negatif belaka. Macam-macam andaian, formula, rumus, dan skrip filem akan muncul dalam benak dan otak. Aku tak suruh pun, datang sendiri dan rasa itu bukanlah best macam makan durian D24 di waktu bukan musim durian pun. Okeh, senarai contoh ayat yang menguatkan lagi tajuk di atas adalah:

  1. Takutnya kalau-kalau mereka membuka pintu kereta yang sedang bergerak. Ataupun terjadi apa-apa dalam perjalanan (sangat-sangat minta dijauhkan). Ini sekiranya mereka menaiki kereta yang bukan dipandu oleh mama dan papa.
  2. Seramnya kalau si gorjes Rayyan terjatuh dari buaian, walker atau dari mana-mana sekalipun. Ataupun masuk ke dalam bilik air yang ada air bertakung dalam baldi atau besen. Ataupun dia dicubit, dipukul. Ataupun tersimbah air panas. Ataupun.. ah, banyaknya! Ini sekiranya dia dijaga oleh orang selain dari orang yang boleh dipercayai seperti maid mak aku.
  3. Matilah aku kalau mereka bermain di luar rumah dan ada orang jahat memerhati dari jauh di dalam van berwarna putih dengan muka cap 'wanted' yang ditampal di balai-balai polis.
  4. Tiadalah aku lagi di bumi ini sekiranya tiada orang mengawasi mereka ketika melintas jalan untuk ke mana-mana terutamanya ke kedai runcit berdekatan untuk membeli pop ice berharga RM0.10 sebatang dan pada masa yang sama banyak kenderaan memecut dengan lajunya di jalan raya.
Kegusaran-kegusaran ini akan sentiasa ada dalam hati seorang ibu yang menyayangi anak-anak lebih dari diri sendiri. Hidup untuk mereka, berkorban segalanya untuk mereka dan tersenyum di kala menangis hanya untuk mereka. Seperti aku, kamu yang sudah bergelar ibu dan semua ibu di seluruh dunia kecuali ibu ayam dan ibu hampeh yang sanggup membuang anak di tong sampah. Jadi, paranoid tidak salah kan? Sebab dengan paranoid kita akan jadi lebih hati-hati dan prihatin dengan persekitaran anak-anak.

Selamat Hari Ibu untuk semua ibu yang selalu paranoid tentang anak-anaknya.


Wednesday, May 5, 2010

Kebimbangan terkini

Wahh, ada sesuatu yang bergayut-gayut di dalam jantung dan hati aku di saat ini. Seperti bidalan orang putih, macam ada rama-rama dalam perutku sekarang. Bimbang, risau, takut dan berbagai adunan rasa yang sangat sukar kuluahkan. Susah nak terangkan tentang hal ini. Rasa itu sama macam kita membayangkan sesuatu yang menakutkan yang bakal ditempuh hari esok atau hari-hari mendatang. Contohnya, temuduga kerja di tempat baru atau bakal mengambil keputusan SPM di sekolah besok atau kalau budak kecil lelaki, bakal disunat keesokan harinya. Ini cuma contoh dan tiada kaitan dengan kebimbangan terkini yang kualami sekarang. Paling penting, rasa itu sangat tidak menyenangkan.
Haihhhh......

Tuesday, May 4, 2010

Kembalinya si gigi besi

Yeay! Monster kecil bergigi besi telah kembali ke pangkal jalan. Maksud aku, dia telah jumpa jalan pulang ke rumah setelah hampir dua minggu berpetualang di luar Malaysia. Jadi maksudnya, sekarang aku sudah boleh mandi dengan sempurna iaitu melaksanakan semua rukun mandi dengan lengkap dan teratur, mendandan diri dengan sempurna selepas mandi iaitu mampu bersikat dan berbedak, makan dengan sempurna tanpa tersedak akibat makan dengan kelajuan tahap maksima, membezakan antara keempukan tilam di rumah dengan keteguhan meja pejabat sebagai tempat tidur, bangun tidur dengan tenang dan 'cool' tanpa gaya terkejut sakan laksana kera apabila melihat jam apabila terlewat bangun di waktu pagi, tidak lagi datang lewat ke pejabat dengan muka ayam berak kapur dan tidak lagi menjerit-jerit seperti tarzan akibat tertekan dengan tingkah-laku si gorjes Rayyan dan si kembar cantik Alyaa dan Alysaa.

Pendekata, kepulangan si gigi besi merangkap babysitter si gorjes Rayyan betul-betul membantu aku kembali sebagai manusia normal. Wah, tak dapat kubayangkan bila si gigi besi melanjutkan pelajarannya tak lama lagi. Mesti orang di sekeliling tak dapat membezakan antara aku dan manusia primitif di hutan belantara. Ohh....


P/S: Walaupun si gigi besi selalu beraksi ganas dengan si gorjes Rayyan di hadapan kamera seperti di atas, tapi kerana tiada orang yang lebih layak menjaga si gorjes Rayyan sebaik dirinya, maka aku terpaksa merelakan..
Related Posts with Thumbnails